Tuesday, September 1, 2009

Membentuk ikon bidang penyiaran

Membentuk ikon bidang penyiaran


YUSANANI YUSHAK


MELETAKKAN objektif untuk membentuk kerjaya generasi muda sebagai wartawan, penyampai berita dan pengacara yang mahir serta serba boleh, Radio Televisyen Malaysia (RTM) baru-baru ini mengorak langkah apabila menerbitkan sebuah rancangan realiti televisyen, Penyampai Ikon.

Sudah pun bersiaran di TV2 bermula 22 Ogos lalu, seramai 17 finalis terpilih untuk meneruskan cabaran dalam merebut kejuaraan di samping jaminan kerjaya bersama RTM.

Daripada 6,000 peserta yang menghadiri sesi uji bakat, mereka sebenarnya cukup bertuah kerana selain didedahkan dengan dunia glamor, latihan secara profesional disediakan sepanjang menjalani pembelajaran di mahligai gading dinamakan Kolej Penyampai Ikon.

Latihan-latihan itu merangkumi etika kewartawanan, teknik berhadapan dengan kamera dan penyampaian berita serta latihan melaporkan berita dari lokasi secara langsung.

Penggunaan pelbagai peralatan penerbitan dan cara penyesuaian diri dengan persekitaran studio juga diberikan di samping latihan vokal, teknik pembacaan skrip dan penghayatan serta pemahaman skrip.

Bagi mendapatkan gambaran sebenar cabaran dunia kewartawanan, mereka turut berpeluang menemui tokoh-tokoh wartawan negara yang mempunyai pengalaman luar dalam bidang berkenaan.

Finalis yang bertuah itu ialah Kamal Firmanshah Kamaluddin, 25; Norsila Talaha, 26; Siti Aisyah Baslie, 24; Cassandra Manja, 23; Noormadiana Kamaluddin, 23; Athikah Mohd. Naim, 23; Aina Suzaily M. Zailanny, 20; Mohamed Shahril Sarapudin, 21; dan Enzyfrido Abu Hasan, 24.

Lapan lagi yang tersenarai sebagai finalis ialah, Nur 'Izaati Abul 'As, 22; Hazel Anak Desmond, 26; Mohd. Sharkawi Mohd. Sallehuddin, 23; Siti Fazurita Mohd. Famir, 25; Beatrice Krishnan, 23; Al Firdaus Shahrul Naing, 21; Khirjaa a/p Palanisamy, 27; serta Khairul Faizi Dalaiil, 23.

Menurut Pengetua Kolej Penyampai Ikon, Yusanani Yushak, Penyampai Ikon cukup berbeza jika hendak dibandingkan dengan program realiti televisyen yang lain.

Jelasnya, antara perbezaan itu ialah Penyampai Ikon tidak menggunakan medium undian secara khidmat pesanan ringkas (SMS) dalam aspek penjurian.

"Penjurian akan dilakukan oleh juri profesional sepenuhnya. Pada setiap dua minggu sekali, kesemua finalis akan berhadapan dengan juri profesional.

"Juri-juri ini akan menilai kemampuan dan hasil kerja finalis sebelum mengumumkan siapa yang tersingkir untuk minggu tersebut.

"Namun, apa yang menariknya, bagi yang tersingkir, mereka akan tetap diberikan peluang untuk meneruskan pembelajaran tetapi tidak terlibat lagi dalam aspek penjurian,'' katanya pada sidang akhbar penyerahan surat tawaran pengajian di Kolej Penyampai Ikon kepada finalis Penyampai Ikon di Auditorium P. Ramlee, Angkasapuri, Kuala Lumpur baru-baru ini.


YUSANANI (berdiri enam dari kanan) dan Misha bersama barisan finalis Penyampai Ikon.


Majlis penyerahan surat tawaran tersebut disempurnakan oleh Ketua Pengarah Penyiaran, Datuk Ibrahim Yahaya.

Penyampai Ikon yang akan bersiaran selama 13 episod itu menampilkan penyanyi Misha Omar selaku hos rancangan manakala Mohd. Yusni Mohamed Ali sebagai penerbit.

Seramai lima peserta akan berentap pada Malam Anugerah Penyampai Ikon yang akan disiarkan secara langsung dari Istana Budaya, Kuala Lumpur pada 14 November depan.

Menurut Yusanani yang juga bekas pembaca berita, juri-juri yang terlibat dalam pengadilan Penyampai Ikon akan diumumkan kemudian tetapi ia bakal dianggotai kalangan wartawan tersohor, ahli akademik dan pengarah serta pelakon popular.

Jelasnya, tugasan yang menanti setiap finalis cukup mencabar dengan meletakkan mereka ke dunia realiti sebenar bidang penyiaran.

"Mereka akan ditugaskan untuk mencari berita, menulis berita dan menilai kesesuaian visual dengan skrip.

"Pendek kata, apabila berakhir sahaja program ini, setiap mereka yang berada di dalam Penyampai Ikon sudah pun bersedia dan tahu apa yang harus dilakukan andai berpeluang menceburi bidang penyiaran,'' katanya.

Yusanani turut memberitahu, sepanjang tempoh berada di dalam Penyampai Ikon, kesemua finalis akan ditempatkan di Wisma TV dan Institut Penyiaran Tun Abdul Razak (IPTAR), Angkasapuri untuk program latihan.

Bagaimanapun, persoalan yang tidak dapat dinafikan ialah sejauh mana program ini dapat lari daripada elemen populariti?

Menjawab soalan ini, Yusanani berkata: "Memanglah apabila berada di kaca televisyen, glamor itu akan dirasai.

"Bagaimanapun, dari hari pertama lagi, mereka (finalis) telah diberi motivasi dan diingatkan agar tidak mengejar glamor. Itu bukanlah matlamat utama.''

Yusanani yang pernah muncul sebagai antara penyampai berita terbaik negara berkata, selain kualiti tugasan dan penyesuaian diri dalam persekitaran kerja, setiap finalis juga akan dinilai daripada segi budi bahasa.

"Nilai-nilai melalui ucapan, pertuturan harian, perlakuan dan pergaulan juga akan diperhatikan. Mereka juga akan terlibat dengan aktiviti-aktiviti jabatan yang berada di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

"Sebab itulah ia dinamakan ikon. Kami mahu mendidik mereka supaya mampu menjadi contoh satu hari nanti,'' tambahnya lagi.

Black tak mahu sertai MUH

Black tak mahu sertai MUH


BLACK bersama mentornya, Mas Idayu di samping kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva yang dimenanginya.


SEJAK dinobatkan sebagai Juara Mentor 3 pada Julai lalu, heboh cerita kononnya Black akan menganggotai kumpulan indie, Meet Uncle Hussain (MUH) bagi menggantikan penyanyi utama kumpulan itu, Lan.

KHABAR angin tersebut semakin menyakinkan kerana sejak tersebarnya cerita itu, Black tidak pernah memberi sebarang kenyataan sama ada menafikan atau mengiyakannya.

Bagaimanapun sewaktu ditemui pada majlis menandatangani kontrak Black Mentor 3 bersama Monkey Bone Records di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur minggu lalu, anak didik Mas Idayu ini menafikan khabar angin tersebut sambil berkata;

"Saya tidak akan menyertai kumpulan MUH walaupun ianya baik untuk mempromosikan diri saya sebagai artis baru.

"Bagi saya adalah lebih baik saya membina nama sendiri secara solo dahulu di bawah syarikat rakaman Monkey Bone Records."

Black atau nama sebenarnya Hanifah Md. Hanafiah berkata, dia juga tidak pernah mendapat tawaran untuk menyertai MUH sama ada secara lisan mahupun hitam putih.

"Namun jika benar mereka ingin mengambil saya menjadi penyanyi mereka menggantikan bekas vokalis mereka, Lan, saya amat terharu dan rasa berbesar hati.

"Tetapi saya terpaksa menolaknya kerana saya ingin bergerak secara solo dahulu," ujar Black.

Sementara itu, Pengurus label Monkey Bone, Edris Adrian berkata, desas-desus lamaran MUH kepada Black mungkin timbul kerana mereka pernah meminta lagu daripada Taja untuk dinyanyikan oleh Black.

Edris menekankan Black tidak sekali-kali akan menyertai MUH kerana Monkey Bone telah pun merencanakan perjalanannya sebagai artis solo.

Namun, Edris menambah terdapat kemungkinan jika lagu Black turut menampilkan MUH sebagai artis undangan.

"Monkey Bone akan mengeluarkan album penuh Black pada November atau Disember tahun ini.

"Jika tiada aral melintang, album penuh akan dikeluarkan Disember ini. Kami berharap ianya sempat untuk dimasukkan dalam pencalonan Anugerah Industri Muzik (AIM)," kata Edris.

Menurut Edris, dia mengagumi vokal luar biasa Black yang lain daripada lain dari peringkat awal Mentor sehinggalah final.

"Vokal Black memang agak tinggi dan dia memang sesuai menyanyikan lagu berkonsepkan rock.

"Album pertama Black ini juga akan berkonsepkan genre rock secara amnya. "Namun, kami turut mempelbagaikannya dengan rock alternatif dan pop rock kerana Black juga suka menyanyikan lagu pop rock," tambah Edris.

Di majlis yang sama Juara Mentor 3 itu menerima cek RM100,000 dan kereta Kia Spectra 5 tajaan Oriva.

"Saya akan menghadiahkan kereta ini kepada ibu bapa saya. Saya juga berniat untuk menghantar mereka berdua mengerjakan ibadah Haji suatu hari nanti," tambahnya yang amat meminati Amy Search dan teringin berduet dengannya jika diberi peluang.

Selepas majlis Tandatangan Kontrak Black Mentor 3 itu, turut diadakan Sesi Rakaman Mentor 3 Raya yang melibatkan artis-artis terkenal dan peserta Mentor.

Berkonsepkan santai dan padat dengan elemen hiburan, rakaman khas episod Syawal kali ini turut membariskan gandingan sifu (mentor) dan protege musim ketiga.

Misalnya, Awie bersama Keena, Adibah Noor dan Thye, Lah dan anak didiknya Fira, komposer terkenal Ajai dan Chaq serta Black bergandingan dengan penyanyi dangdut popular, Mas Idayu mendendangkan lagu-lagu Raya.

Mentor 3 Raya yang akan bersiaran selama sejam ini bakal disiarkan pada 27 September ini pada pukul 9 malam di TV3.

Mahu buka buku baru - Maizawati

Mahu buka buku baru - Maizawati


ANGGUN...Maizawati menggayakan jubah yang dijual di bawah labelnya sendiri, Abaya Maiza.


APA sahaja yang telah berlaku dalam hidupnya, dia reda dan pasrah dengan ketentuan Ilahi. Jauh sekali menyesal, sebaliknya Maizawati Zainal mahu bangkit semula bersama anak-anaknya untuk membina satu kehidupan baru.

Kalau boleh, usah lagi disingkap kenangan lalu yang cukup memeritkan itu kerana bagi empunya diri, dia memperolehi semangat baru untuk meneruskan kehidupannya.

Apatah lagi, bekas suaminya Akhil Hayy juga sudah memiliki kehidupan baru bersama isterinya, Waheeda yang dinikahi dua minggu lepas.

Saat bertemu dengannya di lokasi penggambaran iklan komersial biskut raya jenama Haiz dan Dor di Batu 10, Cheras, Kuala Lumpur minggu lalu, raut wajahnya yang mulus itu sudah cukup menceritakan segala-galanya.

Senyum manisnya menjawab setiap persoalan dengan tenang dan jelas membuktikan dia seorang wanita yang cukup tabah dan cekal.

"Alhamdulillah, kehidupan saya kini semakin tenang dan saya memang tidak mahu menoleh ke belakang lagi. Buat apa mahu difikirkan kenangan lalu.

"Apa yang penting kini adalah untuk mencari rezeki halal demi masa depan saya dan anak-anak. Saya gembira segala duka lalu diganti dengan rezeki yang melimpah ruah," ungkapnya dalam nada tenang.

Selama tiga tahun berdepan dengan kesulitan sehingga hidupnya terumbang-ambing, Maizawati atau lebih mesra disapa Maiza menjelaskan kehidupannya sekarang dan dahulu tiada bezanya.

Malah kata Maiza, dia kini semakin optimis dengan setiap langkah yang diambilnya dan kekuatan yang diperolehi adalah daripada empat orang anak yang kini di bawah jagaannya.

Menerusi perkahwinan pertamanya, Maiza memperoleh dua orang cahaya mata iaitu Deanna Sofea dan Daniel Ariff, masing-masing berusia 16 dan 15 tahun.

Sementara itu, hasil perkahwinan keduanya dengan Akhil pula dikurniakan dengan empat orang anak iaitu Siti Nurmaisarah, 12, Muhammad Sharif Hidayatulloh, 11, Muhammad Shakir Hidayatulloh, 8 dan Muhammad Syathiri Hidayatulloh, dua setengah tahun.

Hanya Siti Nurmaisarah dan Muhammad Sharif sahaja yang kini tinggal bersama Akhil, manakala yang lain tinggal bersamanya di Ipoh, Perak.

"Saya bersyukur kerana anak-anak begitu memahami dengan situasi yang berlaku. Alhamdulillah, mereka kini pun dah mula menerima kenyataan hidup yang tertulis," jelas ibu tunggal berusia 34 tahun itu lagi.

Mengenai tanggapan masyarakat terhadap dirinya yang dikatakan cuba menagih simpati dengan menceburi bidang seni, ternyata Maiza tidak cepat melatah mahupun melenting.

Sebaliknya, dia mempunyai pandangan tersendiri dan memberikan jawapannya sebaik mungkin. "Memang susah untuk memuaskan hati semua pihak tetapi saya percaya hanya segelintir sahaja yang bersikap demikian.

"Saya sudah terangkan dulu tidak pernah terlintas mahupun terdetik untuk saya berdepan dengan media dan menceritakan permasalahan yang berlaku dalam rumah tangga saya ketika itu.

"Apa yang saya lakukan adalah untuk memberikan penjelasan dan tidak juga untuk menuding jari pada sesiapa. Alhamdulillah, ramai yang memuji sikap saya yang berani berterus-terang dan mereka bijak untuk menilai," ujar Maiza panjang lebar.

Mengenai penglibatan pertamanya untuk iklan komersial biskut raya yang kini sudah pun ditayangkan, Maiza tertarik dengan konsep 1Malaysia yang ditonjolkan dalam iklan tersebut.

Apatah lagi, berlakon iklan komersial tidak memerlukan waktu yang panjang juga menjadikan Maiza tidak teragak-agak untuk menerimanya.

"Lagipun produk ini adalah keluaran bumiputera dan setidak-tidaknya saya menyokong produk tempatan. Tetapi, jangan salah sangka pula ya. Saya bukan duta untuk produk ini," tuturnya lembut sambil mengukir senyuman manis.

Iklan komersial berkenaan diterbitkan oleh penerbit drama terkenal, Yong Rahimah Mohd. Johari menerusi syarikatnya, Graphidex Resources Sdn. Bhd., dan diarahkan oleh Zulkiflee Salleh Ghani.

Maiza juga tidak menafikan ada menerima beberapa tawaran berlakon untuk drama bersiri dan telemovie.

TIDAK menolak tawaran

Dan, jelasnya, dia langsung tidak akan menolak tawaran yang datang kepadanya asalkan watak dan skripnya tidak bercanggah dengan penampilan serta perwatakan dirinya.

"Bidang seni bukanlah satu bidang baru untuk saya kerana sejak kecil, saya sudah didedahkan oleh ayah saya yang banyak mengenali orang industri.

"Cuma dia tidak menggalakkan anak-anaknya untuk berkecimpung dalam dunia seni," katanya lagi.

Maiza yang peramah dan mudah mesra ini turut diusik dengan persoalan cinta dan jodoh.

Sambil ketawa kecil, dia tidak mahu terlalu memikirkan soal itu buat masa ini kerana dia mahu mementingkan masa depan dirinya dan anak-anak terlebih dahulu.

Tetapi jelasnya, dia tidak mampu menolak qada dan qadar seandainya sudah tertulis di loh mahfuz dia menemui jodoh dalam waktu terdekat ini.

"Jujurnya, tiada siapa lagi yang bertakhta di hati saya tetapi saya tidak menafikan ramai yang cuba mendekati dan ingin berkenalan.

"Saya tidak boleh berkata tidak kerana soal jodoh ini akan datang apabila sudah ditetapkan oleh Allah. Kalau terdetik dan terbuka pintu hati saya untuk seseorang, saya terima

"Tetapi saya harus akui, pengalaman lalu sedikit-sebanyak membuatkan saya sedikit serik dan berhati-hati," katanya dengan maksud yang mendalam.

Sementara itu, untuk menampung kehidupannya juga Maiza kini aktif menjalankan perniagaan pakaian muslimah dan jubah yang diimport dari Dubai.

Apa yang membanggakan kesemuanya itu adalah di bawah labelnya sendiri, Abaya Maiza.

"Perniagaan ini masih lagi baru dan saya pun sedang mencari agen dan wakil untuk perniagaan ini. Kalau ada yang berminat, boleh hubungi saya di talian 019-6450814," ujarnya.

Fenomena baru ciptaan Rashid

Fenomena baru ciptaan Rashid


RASHID Sibir (tiga dari kanan) bersama Nizam Sani (tiga dari kiri) dan barisan pelakon drama bersiri Kasih Tercipta di ibu negara, baru-baru ini.


TIDAK dinafikan, drama-drama arahan pengarah prolifik ini mendapat sambutan yang menggalakkan daripada penonton.

Bukan itu sahaja, setiap karya yang dilahirkan sedikit sebanyak akan menjadi bualan dan perdebatan di kalangan masyarakat.

Sebetulnya, sentuhan sutradara bernama Rashid Sibir ini telah berjaya meninggalkan impak yang bukan sedikit di kalangan penonton.

Baik kritikan positif mahupun negatif, Rashid menerimanya dengan hati terbuka kerana hanya dengan kritikan, dia tahu kelemahan yang mampu diperbaiki.

Lihat sahaja kejayaan telemovie mahupun drama bersirinya seperti Pondok Buruk, Pondok Buruk 2, Dalam Hati Ada Cinta, Wali, Selimut Putih, Tanah Kubur, Nur Di Pintu Syurga, Rumah Di Tengah Sawah, Sekeras Kerikil dan Quran Buruk.

Malah, Rashid mendapat jolokan pengarah air mata berikutan kebanyakan dramanya mampu meruntun jiwa penonton dan sarat dengan mesej yang berguna kepada masyarakat.

Bukan sekadar intipati mesej di dalam dramanya, tetapi kelebihan drama-drama arahan Rashid juga terletak kepada kombinasi pelakon yang mewarnai karyanya itu.

Nama-nama seperti Rosyam Nor, Fauziah Nawi, Rusdi Ramli, Umie Aida, Nasha Aziz, Rita Rudaini, Ellie Suriaty dan Azean Irdawaty antara bintang handalan negara yang pernah berlakon di bawah arahannya.

Kini, Rashid sedia menggegarkan kaca televisyen menerusi karya terbarunya berjudul Kasih Tercipta yang ditayangkan bermula 1 September (hari ini) di Astro Prima (saluran 105, Astro).

Menariknya, drama sebanyak 26 episod itu buat julung kalinya menggandingkan dua aktres hebat tanah air, Nasha dan Erra Fazira yang sudah pasti merupakan umpan terbaik untuk menarik perhatian penonton.

Selain Nasha, aktor kacak yang semakin menempa nama, Aaron Aziz juga menerajui drama bersiri tersebut sebagai pelakon utamanya.

Sisi lain Erra

Saat bertemu dengan Rashid di majlis pelancaran drama berkenaan di Courtyard Garden, Damansara Heights, Kuala Lumpur baru-baru ini, dia teruja dan gembira kerana dapat menggandingkan dua aktres ternama negara dalam satu drama.

Apatah lagi, Kasih Tercipta juga merupakan kolaborasi pertama Rashid bersama Erra dan semuanya direalisasikan setelah pihak Astro mencadangkan nama bekas ratu cantik itu kepadanya.

"Selepas Astro memberikan nama Erra, saya terus memikirkan satu watak yang berbeza untuknya. Apa yang penting, saya mahu peminat melihat sisi lain Erra yang sebelum ini cukup dikenali dengan watak-watak baik.

"Watak Lisa yang dipegang Erra dalam drama ini telah dijayakan dengan baik olehnya dan wataknya juga bukanlah terlalu hitam dan jahat.

"Sebaliknya, saya menyifatkannya sebagai watak kelabu di mana penonton dapat melihat perkembangan watak Lisa itu dari mula hingga akhir dan akan faham mengapa Lisa bertindak demikian," ujarnya yang turut memuji profesionalisme Erra dan Nasha sewaktu di lokasi.

Turut hadir pada majlis pelancaran drama Kasih Tercipta ialah Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani dan barisan pelakon utama drama tersebut.

Menyambung bicara, Rashid juga melahirkan kepuasan yang tidak terhingga apabila dapat menggandingkan Erra dan Nasha dalam satu drama.

Malah, Rashid juga menyatakan kolaborasi Erra, Nasha dan Aaron juga sebagai menuntut kehendak dan peredaran masa selain memberi satu santapan baru kepada penonton.

"Bukanlah saya mengatakan gandingan pelakon terdahulu tidak bagus, tetapi saya mahu mencipta satu fenomena baru seperti mana yang terjadi dulu menerusi gandingan pelakon-pelakon saya," katanya yang mula mencipta nama menerusi filem Sutera Putih (1995) itu.

Rashid juga ditebak dengan persoalan tentang kualiti karyanya yang dilihat begitu stereotaip.

Sehingga penonton sudah dapat menjangka apakah yang berlaku seterusnya tanpa perlu menunggu pengakhirannya.

Menjawab persoalan itu, dengan tenang Rashid menjelaskan, dia sememangnya sudah mengubah stail dan cara pengarahan seiring dengan zaman.

Tetapi, dalam masa yang sama kata Rashid, sentuhannya masih lagi kekal dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu menghilangkan identitinya.

"Dalam Kasih Tercipta, penonton dapat lihat perubahan itu kerana saya aplikasikan segala teknik mengikut arus pemodenan. Watak-wataknya juga bergerak sekali dengan jalan cerita.

"Malah, jalan ceritanya juga berbeza dengan apa yang saya lakukan sebelum ini biarpun ia berkisar tentang cinta, persahabatan dan keluarga," katanya yang mengharapkan Kasih Tercipta turut mencatat kejayaan yang membanggakan.

Kasih Tercipta yang bersiaran selama satu jam bermula pukul 10 malam itu turut menampilkan pelakon-pelakon lain seperti Fouziah Gous, Syed Ali, Aleeza Kassim, Dee, Ahmad Tarmimi Siregar, Dee dan Aida Radzwill.

Sementara itu, selaku penyiar Nizam sememangnya mengharapkan kejayaan akan berpihak kepada Kasih Tercipta dengan mencatatkan rating yang tinggi.

Sebelum ini, drama bersiri Mertua vs Menantu yang disiarkan menerusi saluran yang sama telah berjaya mencatatkan rating sebanyak 1 juta penonton.

"Kami mahu mengotakan janji kami kepada pelanggan dan penonton yang mendambakan karya berkualiti.

"Kasih Tercipta adalah sebahagian daripada karya yang menjanjikan kepuasan kepada penonton selain daripada drama-drama lain yang sedang menunggu giliran untuk ditayangkan," ujarnya penuh optimis.

Siapa dalang di sebalik siri pembunuhan?

Siapa dalang di sebalik siri pembunuhan?


AARON KWOK PELAKON UTAMA MURDERER.


FILEM aksi-cemas dan drama kepolisian telah menjadi antara genre arus perdana filem-filem Hong Kong. Dalam sebuah filem genre aksi cemas (action thriller) objektif utamanya tentulah mencari jawapan kepada satu atau sejumlah soalan. Satu perkara yang asas dalam filem genre begini adalah persoalan besar yang muncul secara dramatik di permulaan filem yang akan menyentak perhatian penonton dan dengan cara ini akan terus mengikat atau menyiapkan penonton dengan elemen suspens kemudiannya.

Filem Murderer menggunakan persoalan asas ini, iaitu siapa yang melakukannya. Filem dibuka dengan adegan seorang lelaki yang kemudian diketahui sebagai Tai, seorang anggota polis jatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen. Adegan yang cukup mengejutkan dan dramatik ini mengundang pertanyaan tentang siapa yang melakukannya dan atas tujuan apa. Pada masa yang sama seorang pegawai polis, Ling yang telah dinaikkan pangkat kerana kecemerlangannya didapati tidak sedarkan diri ditingkat tujuh apartmen itu. Apa hubungan Ling dengan anggota polis yang terjatuh itu? Soalan demi soalan menjadi teka-teki yang sengaja disamarkan untuk dicari jawapannya.

Ling yang hilang ingatan sementara akibat kejadian itu menyukarkan tugasnya untuk menyiasat motif kejadian tersebut dan lebih sukar apabila semua hasil siasatan seakan menghala ke atas dirinya sebagai suspek utama. Hubungan antara Ling dengan kawan rapatnya sendiri Ghost pula bertambah tegang kerana Ghost mula mengesyaki penglibatan Ling dalam peristiwa-peristiwa pembunuhan tersebut.

bertambah kusut

Tekanan akibat hilang ingatan dan ditambah pula dengan merasa disyaki oleh teman sekerja menyebabkan kehidupan Ling bertambah kusut, kacau dan mengelirukan. Malah kehidupan Ling sekeluarga turut kacau apabila hubungan dengan isteri dan anaknya Sonny terjejas. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Ghost pula terbunuh dalam satu pertengkaran dengan Ling.

Lakon layar yang ditulis Roy Cheung dan To Chi-Cong berusaha menimbulkan soalan demi soalan sebagai teka-teki untuk terus mengikat penonton. Drama meneka dalam mencari jawapan daripada soalan-soalan yang rumit dan samar-samar pada peringkat awal memang mudah memikat khalayak yang sering tertarik dengan pencarian jawapan dan merangka jawapan sendiri. Tetapi putaran plot pada babak akhir sering pula mengecewakan jika tidak dikendalikan dengan baik.

Dalam Murderer penulis ingin membuktikan bahawa pembunuhan yang berlaku sebenarnya bukan atas perancangan Ling tetapi dia terlibat kerana kekacauan mindanya. Penonton terus diasak untuk meneka siapa dalang di sebalik siri pembunuhan itu. Apabila plot filem ini cuba meletakkan jawapannya kepada anak angkat Ling sendiri, maka penulis lakonlayar perlu menyediakan jawapan yang meyakinkan.

Sonny, anak angkat Ling sebenarnya bukan kanak-kanak berusia lima tahun tetapi telah dewasa. Sonny sebenarnya menghadapi sejenis penyakit ganjil yang membantutkan pembesarannya, tetapi fikirannya tidak pula kanak-kanak sehingga mampu merangka pembunuhan balas dendam. Sungguhpun ini sebuah kilasan plot yang boleh diterima untuk menjawab kepada sejumlah teka-teki tetapi ia juga menimbulkan persoalan tentang sebuah putaran plot yang lebih meyakinkan.

Bagaimana mungkin seorang anggota polis yang begitu cemerlang dalam tugas penyiasatannya boleh gagal mengesan latar belakang kehidupan Sonny dan penyakit yang dihadapi oleh Sonny sehingga membiarkan kehidupan dan dirinya kacau.

Malah Sonny mampu pula merancang balas dendam yang pernah dilakukan oleh bapa Ling yang sanggup meninggalkan ibu Sonny dan membiarkan mereka hidup menderita. Struktur plot filem ini yang kuat dan cukup dramatik pada babak-babak awal filem ini malangnya dilemahkan oleh putaran plot penamat filem ini yang kelihatan melucukan.

Murderer sebenarnya dikuasai oleh kekuatan lakonan Aaron Kwok yang telah memberikan dinamisme lakonan yang cemerlang sebagai pegawai polis yang tertekan dengan teka-teki pembunuhan. Persoalan ini menyeret sama dirinya dan menghadapi gangguan mental akibat kehilangan ingatan serta berhadapan dengan persaingan daripada teman-teman sekerja yang mencemburuinya.

Kekuatan lakonan Aaron Kwok selain daripada pengalamannya yang panjang sebagai pelakon, tentulah kerana persiapannya yang rapi untuk membawakan watak Ling. Untuk mendalami dan mendapatkan mood watak Ling yang terganggu dan tertekan emosinya, Aaron Kwok sengaja membiarkan dirinya tidak tidur seharian dan mengasingkan dirinya daripada krew produksi disepanjang penggambaran. Sebagai filem pertama, Roy Cheung berhasil membentuk sebuah jalan cerita yang mencemaskan, penuh debaran dan pada masa yang sama mampu menimbulkan misteri dalam sebuah drama kepolisian.

Aenn sunyi lepas Ekin kahwin

Aenn sunyi lepas Ekin kahwin




BELUM pun setahun usia perkahwinan kakak kembarnya, Nora' Asikin Rahmat, 30, dengan penyanyi kesayangan ramai, Mawi, si adik yang berwajah seiras, Aenn pula bakal mengikut jejak langkah untuk menamatkan zaman solo tidak lama lagi.

Khabar gembira itu disahkan sendiri oleh pemilik nama lengkap Nora' Ain Rahmat kepada Kosmo! semasa majlis tayangan rancangan menarik untuk lima saluran di Astro sepanjang hari raya nanti di Taman Bukit Jalil, Kuala Lumpur Khamis lalu.

Memang ada seri yang terpancar tatkala bertentangan mata dengan anak kelahiran Johor Bahru, Johor itu. Tidak dinafikan, empunya diri pada mulanya seperti malu-malu untuk mengungkapkan perkara yang berkaitan mendirikan masjid kepada umum.

Namum, disebabkan sikapnya yang terbuka dan profesional sepanjang perkenalan dengan penulis, Aenn akhirnya menguak satu-persatu lembaran tentang hari bahagianya pada penghujung September atau pun awal Oktober nanti.

Kata Aenn: "Insya-Allah, jika tiada sebarang aral melintang saya akan bernikah selepas Hari Raya Aidilfitri.

"Cuma saya mohon maaf sangat kerana saya tidak dapat mengulas lebih lanjut tentang lelaki pilihan hati ini. Harap orang di luar sana memahami pendirian saya.

"Saya tidak mahu mendedahkan nama dan siapakah si dia sebelum kami benar-benar sah diikat sebagai pasangan suami isteri.

"Apa yang saya boleh katakan dia ialah seorang duda yang mempunyai tiga orang cahaya mata, bekerja sebagai usahawan, berusia 41 tahun dan berasal dari Kuala Lumpur.

"Saya akan melakukan majlis pernikahan yang sederhana dan santai. Ini kerana saya ingin melaksanakan perkara yang wajib terlebih dahulu.

"Resepsi persandingan akan dibuat kemudian. Lagipun saya masih ada beberapa komitmen yang perlu disudahkan dahulu. Bimbang jugalah sebab tidak dapat beri sepenuh perhatian terhadap resepsi persandingan.

"Tetapi saya sendiri mahukan ia berlangsung dalam waktu terdekat selepas majlis pernikahan," tutur Aenn sempat melayangkan senyuman manis tanda dirinya sedang dilamun prahara cinta dengan pria idaman.

Bahkan sehingga ke saat ini, sebarang persiapan terutama untuk majlis akad nikahnya masih belum berjalan apatah lagi mahu memikirkan persediaan untuk menjalankan resepsi persandingan.

Dalam pada itu, Aenn memberitahu, dia sebenarnya pernah membuat perancangan untuk bergelar isteri orang pada tarikh yang sama dengan majlis Ekin dan Mawi yakni pada 20 Disember lalu.

"Tetapi saya melupakan niat ini kerana tidak mahu mengganggu majlis mereka yang mendapat liputan menyeluruh termasuk siaran langsung di kaca televisyen.

"Lagipun emak (Fatimah Saad) memberitahu tidak digalakkan adik-beradik untuk berkahwin serentak dan bersanding di atas satu pelamin yang sama.

"Saya sekadar mengikut nasihat emak dan menunda hari bersejarah saya ke tarikh lain yang bersesuaian tanpa ada sebarang bantahan," tuturnya.

Ketika diminta menghuraikan bagaimana dua jiwa dengan satu cinta itu bertamu, Aenn memberitahu, dia mengenali lelaki itu kira-kira dua tahun lalu.

"Saya mengenali dia pada tahun 2007 menerusi seorang kawan. Waktu itu kami hanya memulakan persahabatan seperti biasa sebelum menjadi semakin rapat dan selesa bersama.

"Kami memiliki banyak persamaan antara satu sama lain. Saya percaya faktor inilah menyebabkan saya dan dia lekas serasi walaupun baru saja berkenalan.

"Dia juga seorang lelaki penyayang dan matang sekali gus membuatkan saya cukup selesa apabila berdampingan dengannya," terang Aenn.

Tidak mampu menepis kesepian

Selain sudah sampai seru untuk mendirikan rumah tangga dan menguruskan keluarga, Aenn juga membocorkan satu lagi 'rahsia' kenapa dia mahu bergelar isteri orang secepat mungkin.


Aenn dan Ekin sangat akrab sehinga melakukan pelbagai aktiviti bersama sebelum Ekin berumah tangga.


Tanpa sesekali mahu berselindung, Aenn mengaku dia sudah bosan hidup kesunyian setelah Ekin berkahwin dengan Mawi sejak Disember tahun lalu.

"Bayangkan sebelum ini kami berdua ke mana saja tanpa berenggang. Kini saya berseorangan dan tidak punya kesempatan untuk selalu berjumpa dengan Ekin.

"Kesunyian ini memang terasa apatah lagi kalau Ekin pergi ke luar negara dengan Mawi untuk tempoh seminggu atau lebih.

"Masa saya banyak dihabiskan dengan melayari Internet menggunakan komputer riba sendiri. Tipulah kalau saya cakap saya tidak keluar rumah langsung.

"Cuma saya rasa satu kelainan yang cukup mendalam dengan ketiadaan Ekin. Nasib baik Mawi sendiri jenis individu yang tidak kisah dan terbuka kalau saya hendak jumpa atau keluar dengan Ekin.

"Kalau ada masa terluang terutama hujung minggu, saya akan datang ke rumah Ekin dan Mawi lepak sambil minum kopi. Adakalanya kami akan berbual sehingga larut pagi dan kemudian barulah saya akan pulang ke rumah.

"Tetapi tetap ada bezanya situasi Ekin sebelum zaman bujangnya dengan Ekin yang sudah menjadi hak milik orang," jawab Aenn dalam lontaran suara sedikit beremosi.

Sambutan Ramadan yang bermula 22 Ogos lalu dan perayaan Aidilfitri yang bakal menjelang kurang tiga minggu lagi nampaknya lebih memilukan hati Aenn.

Masakan tidak, sebagai adik-beradik kembar yang berkongsi segala-galanya dalam kehidupan, Aenn dan Ekin sudah terbiasa 'melekat' sambil melakukan aktiviti seharian bersama.

"Masa saya dan Ekin tinggal bersama, kami masih keluar rumah untuk bersahur dalam pukul 2 atau 3 pagi.

"Bahkan, kami pernah berdepan dengan pengalaman berbuka puasa dalam kereta semasa hendak pergi ke bazar Ramadan gara-gara terperangkap dengan kesesakan lalu lintas yang teruk.

"Nampaknya tahun ini saya kena membeli-belah baju raya seorang diri sebab Ekin barangkali sibuk menguruskan rumah tangga dan jadual seni Mawi.

"Sunyilah nampaknya berpuasa dan beraya tahun ini tanpa Ekin. Dia ialah kawan gaduh dan menangis saya," spontan luah Aenn yang hanya sekali bermalam di rumah Ekin dan Mawi di Bangi, Selangor sejak mereka berpindah ke situ.

Ingin bergelar usahawan berjaya

Selain mempunyai bakat sebagai pelakon, Aenn juga tidak terkecuali untuk meluaskan kemahiran yang dimiliki dengan mengusahakan perniagaan sendiri menerusi Ana Enterprise.


AENN memutuskan untuk menamatkan zaman anak daranya dengan seorang usahawan berusia 41 tahun yang sudah dikenalinya sejak dua tahun lalu.


Ditubuhkan baru empat bulan lalu, syarikat milik Aenn itu menyediakan barang-barang keperluan untuk sebuah hotel yang terdapat di Melaka.

"Seronok juga rasanya menjadi ahli perniagaan kerana saya dapat mencabar diri untuk mencapai kejayaan.

"Selain itu saya juga sedang gigih menguruskan perniagaan menjual hamper kuih-muih untuk hari raya nanti pada harga serendah RM120 untuk setiap satu.

"Disebabkan ketiadaan Ekin, saya hanya mengambil tempahan sebanyak 300 unit saja. Kerana itulah saya kena tangguh buat persiapan resepsi persandingan demi menyudahkan kerja yang masih banyak ini.

"Saya tidak boleh tamak mengambil tempahan hamper kerana tiada sesiapa yang membantu malah, saya juga kena pastikan seminggu sebelum raya hamper-hamper ini sudah siap dan dihantar kepada pelanggan.

"Kuih-muih yang ada dalam hamper ini ditempah oleh emak saya di Johor. Selain pembungkusan hamper yang menarik, saya juga kena pastikan kuih-muih yang ada di dalamnya enak," ujar Aenn bersungguh-sungguh.

Ally enggan melatah - Pengakuan seorang aktres di MySpace tolak lamaran Ally

Ally enggan melatah - Pengakuan seorang aktres di MySpace tolak lamaran Ally

"Perkara ini semakin tersebar di Internet. Saya enggan komen dan tak mahu cerita ini jadi panjang. Saya tahu apa yang berlaku" – ALLY




TIADA angin, tiada ribut, tiba-tiba nama pengacara popular, Ally Iskandar Mohd. Mardzi hangat diperkatakan minggu lalu gara-gara pengakuan secara terbuka seorang pelakon wanita yang penuh dengan kontroversi. Dalam pengakuan berani dalam Internet itu aktres berkenaan menamakan Ally sebagai salah seorang lelaki yang pernah melamarnya.

Pelakon itu turut mendedahkan satu persatu mengenai empat jejaka yang pernah melamarnya untuk dijadikan isteri di laman sosial MySpace dengan nama Ally disenaraikan sebagai lelaki yang pertama.

Lebih mengejutkan, Ally yang dikatakan melamar aktres itu pada tahun 2007 turut menghadiahkan sebentuk cincin.

Dalam blog MySpace pelakon yang pernah dikaitkan dengan selebriti lain seperti Farid Kamil, Pierre Andre, Yusry KRU dan Hans Isaac itu, dia memberitahu: "Saya menolak lamaran Ally secara baik walaupun Mama dan keluarga sukakan Ally. Saya menolak kerana saya hanya menganggap dia sebagai seorang abang. Dia terlalu baik untuk saya."

Namun, ketika Kosmo! menghubungi Ally, pengacara itu awal-awal lagi seperti dapat meneka soalan-soalan yang bakal menerjah ke telinganya.

Tidak mengiakan, ataupun menafikan, Ally lebih selesa jika tidak memberi sebarang kenyataan.

"Perkara ini semakin tersebar di Internet. Saya enggan komen dan tak mahu cerita ini jadi panjang. Saya tahu apa yang berlaku.

"Lagipun adakah dia telah membuat pengakuan bahawa dia yang menulis blog itu? Seperti yang semua tahu, laman-laman sosial seperti MySpace, Facebook mahupun Friendster, ia tidak semestinya dikendalikan oleh artis yang sebenar.

"Mungkin orang lain yang mendaftar menggunakan nama pelakon itu," katanya.

Ditanya pula mengenai reaksi pihak stesen TV3 mengenai isu tersebut, beritahu Ally setakat ini TV3 belum lagi memberi sebarang komen.




Ditebak tentang perasaan selepas membaca pengakuan tersebut beritahu Ally, sukar untuknya menggambarkan perasaan waktu itu. Terkejut, marah ataupun sakit hati dengan pendedahan yang dikeluarkan, Ally mengakui tidak dapat menjelaskannya.

"Saya tak tahu nak rasa macam mana. Bila nama dikaitkan dengan sesuatu perkara, kita terima tanpa perlu melatah. Langkah terbaik, saya tidak akan bagi sebarang reaksi. Lagipun, hidup perlu diteruskan bukan?" ujarnya yang sibuk dengan penggambaran program Singgah Sahur.

Beralih cerita pula mengenai bulan Ramadan yang penuh dengan aktiviti kerjaya, Ally terpaksa berpuasa dan berbuka tanpa keluarga di sisi.

Hajat untuk berbuka bersama sentiasa ada namun keinginan itu perlu ditolak ke tepi untuk menjalankan tanggungjawabnya dalam kerjaya.

Katanya, setiap kali tibanya bulan puasa, kerjanya akan menjadi semakin banyak. Malah, kerana terlalu sibuk, masa juga berjalan begitu pantas.

"Kadang-kadang saya tak sedar yang waktu berbuka sudah tiba. Walaupun tidak dapat menikmati berpuasa bersama keluarga di Terengganu, saya tetap menganggap bulan puasa adalah bulan yang menyeronokkan.

"Bayangkan, untuk program Singgah Sahur, saya akan pergi ke rumah orang dan bersahur bersama. Ia satu pengalaman yang menyoronokkan. Saya akan bertemu dengan orang yang kita tidak sangka akan jumpa," katanya.

Kehadirannya dalam bidang penyiaran boleh dikatakan agak lama dan boleh digelar sebagai senior oleh pengacara-pengacara baru yang muncul bak cendawan di TV3.

Biarpun sudah matang dalam penyiaran, Ally dengan rendah diri mengakui masih banyak perkara yang perlu dipelajari.

"Sebenarnya, lagi lama kita bekerja, lagi banyak ilmu yang kita mahu cari. Nak kata terganggu dengan saingan orang baru, tidak juga.

"Untuk menjadi yang terbaik, kita tak boleh nak goyang kaki," tegasnya.

Culkin didakwa bapa anak Jacko

Culkin didakwa bapa anak Jacko


BLANKET iaitu anak Jacko.



GAMBAR fail menunjukkan Jacko dengan Culkin.


LOS ANGELES - Aktor Macaulay Culkin didakwa sebagai bapa kandung anak bongsu penyanyi Michael Jackson, Blanket, lapor sebuah akhbar semalam.

Culkin yang membintangi filem Home Alone dipercayai mendermakan spermanya bagi membantu penyanyi yang popular dengan panggilan Jacko itu memperoleh anak lelaki yang kini berusia tujuh tahun.

Namun, identiti ibu tumpang Blanket atau nama sebenarnya, Prince Michael II masih tidak diketahui.

Kedua-dua selebriti itu menjadi sahabat karib selepas Culkin yang kini berusia 29 tahun, melonjak popular menerusi lakonannya dalam filem Home Alone pada tahun 1990.

"Culkin ialah antara segelintir sahabat yang mendapat kepercayaan Jacko dan dia tidak pernah menghampakan penyanyi itu.

"Dia ialah pujaan Jacko dan kerana itu, Jacko meminta Culkin mendermakan spermanya," kata sumber.

Sebelum ini, sumber-sumber rapat dengan Jacko mendakwa penyanyi itu bukan bapa kandung kepada Blanket, abangnya Prince Michael dan kakaknya Paris yang masing-masing berusia 12 dan 11 tahun.

Mayat Jacko akan dikebumikan Khamis ini di Hollywood Hills selepas dia meninggal dunia di rumah sewanya di sini akibat serangan jantung pada 25 Jun lepas ketika berusia 50 tahun. - Agensi

Madonna lawat tempat suci Yahudi

Madonna lawat tempat suci Yahudi


MADONNA (tengah) tiba di terowong Dinding Barat di Bandar Lama Baitulmaqdis kelmarin.


BAITULMAQDIS - Ikon muzik pop Amerika Syarikat, Madonna kelmarin melakukan lawatan di sekitar kawasan Tebing Barat dan menziarahi kawasan suci Yahudi di Bandar Lama di sini.

Madonna, 51, yang memakai kasut tumit tinggi, seluar jean dan sehelai jaket hitam itu turut ditemani oleh seorang model lelaki Brazil, Jesus Luz dan beberapa orang pengawal keselamatan.

Penyanyi yang popular itu tiba di Israel pada Ahad lalu dengan menaiki pesawat peribadi dan dijadualkan membuat dua persembahan konsert di Tel Aviv.

Madonna akan menemui Perdana Menteri Israel, Benjamin Netanyahu dan ketua pembangkang, Tzipi Livni pada Jumaat ini.

Penyanyi itu akan turut menghadiri simposium kajian mistik Yahudi bersama pelakon Ashton Kutcher dan isterinya Demi Moore.

Kepercayaan mistik Yahudi iaitu Kabbalah menjadi popular sejak beberapa tahun lalu di kalangan selebriti Barat. Madonna pernah melawat Israel pada 2004 dan 2007. - AFP

Monday, August 31, 2009

Nada patriotik generasi baru

Nada patriotik generasi baru


PIHAK penganjur, penaja dan para finalis pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita pada pelancarannya di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


INISIATIF stesen radio Hot FM menganjurkan pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita yang tarikh tutupnya pada 26 Ogos lalu merupakan suatu anjakan baru dalam genre lagu-lagu patriotik di negara ini.

Ini kerana pertandingan anjuran stesen radio yang terletak di bawah naungan Media Prima Berhad (MPB) itu tidak mengehadkan penciptaan lagu berentak march semata-mata, sebaliknya ia juga terbuka untuk genre muzik-muzik lain.

Ketua Rangkaian Radio MPB, Ahmad Izham Omar menyifatkan pertandingan Lagu 1Malaysia Kita itu sebagai salah satu pemangkin dalam usaha membantu kerajaan menyemai semangat patriotik terutamanya di kalangan generasi baru.

“Kalau kita mahu menyematkan semangat patriotik kepada golongan muda, maka kita juga kenalah menyesuaikannya dengan cita rasa muzik mereka. Tidak kiralah genre muzik apa sekalipun, tetapi yang penting ialah mesej di dalamnya.

“Sebab itulah kita buka penyertaan pertandingan ini kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa terutamanya golongan muda. Daripada situlah kita akan tahu lagu-lagu patriotik bagaimana yang mereka cenderung hasilkan.

“Apatah lagi undian memilih juara pertandingan ini dilakukan melalui undian SMS (khidmat pesanan ringkas) dan Internet. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih lagu patriotik yang mereka minati,” katanya kepada Mega ketika ditemui, baru-baru ini.

Sejak pertandingan itu dimulakan beberapa bulan lalu, lebih 350 lagu diterima oleh Hot FM membabitkan kalangan komposer yang sudah ternama dan juga komposer amatur bagi merebut hadiah wang tunai RM25,000 untuk habuan juaranya.

Menurut Ahmad Izham, kepelbagaian muzik yang dibuka pada pertandingan yang ditaja oleh Celcom X itu sedikit sebanyak mampu memperdengarkan kreativiti para komposer tempatan bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik dalam nada lebih moden dan segar.

“Pada pertandingan ini, ramai komposer yang menghantar pencalonan lagu-lagu mereka merupakan golongan generasi baru. Ada yang menghantar lagu berkonsepkan rock, pop dan indie sesuai dengan usia serta cita rasa mereka.

“Dalam soal konsep atau genre muzik, kami sedikit terbuka kerana muzik memainkan peranan yang amat penting. Sebabnya para pendengar akan lebih tertarik dengan melodi lagu yang dipersembahkan kepada mereka.

“Selepas tertarik dengan irama, maka barulah mereka akan menyanyi dan memberi perhatian kepada lirik lagu. Kalau melodi atau muziknya sedap, secara tidak langsung mereka juga akan menghayati lirik lagu tersebut,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan sambutan pada pertandingan itu, Hot FM sedikit sebanyak dapat mengetahui kecenderungan dan kreativiti yang dimiliki oleh sebilangan pesertanya meskipun masih baru dalam bidang tersebut.

Malah, Ahmad Izham juga terkejut kerana terdapat ramai komposer yang menghantar penyertaan mereka menampilkan garapan idea yang mampu memperkayakan lagi khazanah lagu-lagu dalam industri muzik tanah air.


CABARAN Fara Fauzana terhadap Faizal Ismail yang mencetuskan pertandingan itu bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik generasi baru mewakili aspirasi rakyat negara ini.


“Kami tidak menyangka banyak lagu yang kami terima merupakan lagu-lagu yang cukup kreatif dan unik. Senario ini membuktikan kita sebenarnya mempunyai ramai komposer yang berbakat tetapi belum diberi peluang yang secukupnya.

“Kami harap pertandingan ini akan mencungkil lebih ramai komposer muda yang berbakat kerana mereka tentunya mempunyai idea bagaimana mahu mempopularkan lagi lagu-lagu patriotik dalam rentak yang lebih moden dan segar pada masa depan.

“Apa yang penting juga ialah, lagu yang akan diangkat sebagai pemenang pada pertandingan ini kelak mampu diminati serta dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa dan agama,” jelasnya penuh optimis.

Mega difahamkan pemenang pertandingan Lagu 1Malaysia Kita akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 2 September ini dengan kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri.

Daripada lebih 350 lagu yang menghantar penyertaan, 10 lagu telah dipilih sebagai finalis pada pertandingan yang menyaksikan pertembungan ramai komposer serta penyanyi profesional dan amatur tempatan itu.

Idea pertandingan Lagu 1Malaysia Kita tercetus apabila penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dan Faizal Ismail mencadangkan diadakan pertandingan mencipta lagu patriotik baru.

Katanya, lagu patriotik nada generasi baru itu diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-52 pada tahun ini, selain menyahut aspirasi gagasan 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri.

“Menerusi Hot FM, Fara pada asalnya mencabar Faizal supaya menghasilkan sebuah lagu patriotik sempena Hari Kebangsaan dalam suatu tempoh waktu yang ditetapkan. Faizal akhirnya berjaya menyahut cabaran Fara itu.

“Cabaran itu kemudiannya diperluaskan kepada para pendengar Hot FM yang akhirnya membuka penyertaan pertandingan itu kepada segenap lapisan masyarakat, tidak kiralah sama ada mereka itu komposer profesional ataupun amatur.

“Akhirnya kita dapati penyertaannya amat membanggakan kerana ternyata lagu-lagu ciptaan komposer amatur juga hampir sama hebatnya dengan komposer profesional yang menghantar pencalonan mereka pada pertandingan ini,” katanya.

Antara komposer terkenal yang berjaya membawa lagu-lagu mereka ke final pertandingan Lagu 1Malaysia Kita ialah Datuk Siti Nurhaliza, Audi Mok, Aubrey Suwito, Taja (Meet Uncle Hussain), Nur Fatima dan Shazzy.

Hala tuju juara Lagu 1Malaysia Kita


FAIZAL ISMAIL


Pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita bukan setakat dicetuskan oleh Hot FM tetapi ia turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri yang memberi sokongan padu terhadap usaha murni stesen radio swasta tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul pula tidak menyangka usaha mereka mengadakan pertandingan mencipta lagu-lagu patriotik baru itu mendapat sokongan serta perhatian daripada pihak kerajaan.

“Secara tidak langsung inisiatif dan usaha yang kami jalankan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu menyemai semangat patriotik terutamanya kepada golongan muda. Salah satu caranya ialah menerusi lirik dan lagu-lagu.

“Sambutan pertandingan ini amat memberangsangkan. Perkara itu dapat dilihat apabila undian memilih juara pertandingan itu bukan setakat melalui SMS dan Internet tetapi ia juga melalui borang yang disiarkan di akhbar.

“Buat masa ini kami sedang membuat pengiraan jumlah undian yang telah ditutup pada 26 Ogos lalu pukul 11.59 malam. Lagu ciptaan komposer yang terpilih sebagai pemenangnya akan diumumkan secara rasmi pada 2 September ini,” katanya.

Ketika ditanya hala tuju lagu yang akan diangkat sebagai juara Lagu 1Malaysia Kita, jelas Seelan, ia bergantung pada budi bicara Jabatan Perdana Menteri sama ada untuk menjadikannya sebagai lagu rasmi ataupun bagi tujuan-tujuan lain.

Malah, menurut Seelan, lagu yang akan muncul sebagai juara itu juga akan dijadikan klip video dan diedarkan kepada pihak-pihak tertentu seperti wakil-wakil media massa antaranya stesen-stesen radio dan televisyen.

“Kita akan siarkan lagu dan klip video lagu yang akan muncul juara pada pertandingan itu kelak. Sebelum ini pun, kami di Hot FM juga telah menyiarkan 10 lagu yang terpilih sebagai finalis pertandingan ini pada setiap hari secara bergilir-gilir.

“Lagu yang muncul juara pertandingan ini pula akan menjadi hak milik komposernya dan terpulanglah kepada pihak Jabatan Perdana Menteri merancang atau menggunakannya untuk tujuan yang mereka rasakan sesuai pada masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Seelan sembilan lagi lagu yang kurang bernasib baik pada pertandingan tersebut pula akan digunakan oleh Hot FM dengan kebenaran penciptanya, misalnya bagi dijadikan nada dering telefon bimbit dan sebagainya.

Seelan juga tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan lagi pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita selepas ini bagi menghasilkan lebih banyak lagu bertemakan patriotik pada masa depan.

Selain Jabatan Perdana Menteri, pertandingan itu mendapat tajaan daripada Celcom X yang ternyata tidak mengambil masa panjang untuk bekerjasama bagi membantu menjayakan hasrat murni tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly yang turut hadir memberi sokongan padu pada majlis pelancaran dan pengumuman 10 lagu yang terpilih pada pertandingan itu di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini memberitahu:

“Ahmad Izham datang kepada saya mengusulkan ideanya bagi menganjurkan pertandingan itu. Apabila melihatkan cadangan dan idea pertandingan itu yang amat relevan untuk dilaksanakan pada masa sekarang saya terus bersetuju. Kami di Celcom menyokong usaha yang seperti ini,” kata Shazalli penuh semangat.

Karya indah pelbagai kaum

Karya indah pelbagai kaum


AUDI Mok (kiri) bergandingan dengan Nur Fatima menghasilkan lagu 1Malaysia Kita.


PERTANDINGAN mencipta Lagu 1Malaysia Kita secara tidak langsung menggambarkan aspirasi masyarakat berbilang bangsa dalam menghasilkan lagu-lagu patriotik untuk dihayati oleh segenap rakyat di negara ini.

Senario itu dapat dilihat apabila komposer yang terpilih sebagai finalis pertandingan itu terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Serani bagi sama-sama menjayakan hasrat murni tersebut.

Komposer muda, Lead yang baru berusia 21 tahun memperlihatkan bakatnya mencipta lagu berjudul Keranamu Hatiku Malaysia yang menampilkan elemen muzik global supaya ia lebih mudah dihayati oleh semua pendengar.

Lead atau nama sebenarnya, Mohd. Khalid Abu Takdir berpendapat, lagu-lagu patriotik yang hendak diketengahkan kepada rakyat Malaysia genre muziknya seharusnya tidak tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja.

Sebaliknya, kata pelajar jurusan perfileman Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, lagu-lagu patriotik akan lebih mudah dihayati oleh semua pihak apabila ia mampu disesuaikan dengan selera pendengar segenap lapisan masyarakat pada hari ini.

"Sebab itulah dalam lagu ciptaan saya itu, saya ketengahkan konsep muzik yang lebih moden dan bersifat global. Saya ketengahkan adunan antara muzik pop dan punk rock dalam lagu itu supaya ia kedengaran sedikit berbeza.

"Saya yakin lagu yang saya cipta itu bukan sahaja boleh dihayati oleh pendengar Melayu tetapi kaum-kaum lain juga tiada masalah untuk menghayatinya. Sementara lirik lagunya pula saya tulis seringkas yang mungkin tetapi tetap ada mesej di sebaliknya.

"Ia adalah kombinasi rasa penghargaan saya terhadap Perdana Menteri kita yang dulu seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak," katanya kepada Mega.

Sebagai komposer berbangsa Cina, Ng Ching Ching tiada masalah untuk menghasilkan lagu patriotik berdasarkan pengalaman serta pengamatannya menerusi lirik lagu hasil nukilannya bersama Wong Seng Jinn itu.

Ching Ching melahirkan rasa syukur kerana dilahirkan serta menjadi rakyat Malaysia dan luahan rasanya itu dimuatkan melalui lirik lagu berjudul Nyanyikan Lagumu pada pertandingan tersebut.

"Sebelum ini saya pernah melawat Australia, China dan Singapura dan saya rasa berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kehidupan di negara kita lebih aman walaupun ia didiami oleh pelbagai kaum.

Dihayati


Ng Ching Ching


"Sedikit sebanyak pengalaman dan rasa kesyukuran itu saya luahkan dalam lagu tersebut. Saya harap lagu itu juga akan dihayati oleh semua rakyat Malaysia tidak kiralah mereka itu bangsa apa sekali pun," ujarnya.

Tambah Ching Ching, lagu Nyanyikan Lagumu meninggalkan kenangan manis buatnya kerana lagu itu bukan setakat dipilih sebagai finalis pertandingan Lagu 1Malaysia Kita tetapi ia juga sering disiarkan menerusi radio Hot FM.

"Ini merupakan pertama kali saya menghantar lagu dalam pertandingan mencipta lagu dan terpilih pula sebagai finalis Lagu 1Malaysia Kita. Malah, saya paling seronok dan bangga apabila lagu saya itu disiarkan dalam radio Hot FM.

"Sebelum ini saya ada mencipta lagu sebagai hobi dan saya hanya menyanyikannya dalam rumah atau dalam bilik air sahaja," katanya yang mengambil masa sekitar tiga hari bagi mencipta lagu serta lirik Nyanyikan Lagumu bersama rakannya itu.

Paling membanggakan kata gadis Tionghua yang suka bergurau ini, lagu ciptaannya itu telah dinyanyikan oleh artis popular tanah air iaitu Maya Karin dan tentunya sedikit sebanyak akan melonjakkan populariti lagu tersebut.

Selain pencipta muda pelbagai bangsa, komposer amatur yang baru hendak menggilap bakat turut mencuba nasib dalam pertandingan anjuran radio Hot FM itu yang menawarkan hadiah wang tunai buat juaranya.

Norm Aidid merupakan salah seorang komposer dan finalis Lagu 1Malaysia Kita yang mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Lagu Rakyat Satu Malaysia yang dinyanyikan oleh penyanyi baru hasil didikannya, Rida.

Jelas Norm Aidid atau nama sebenarnya Syed Atilla Aidid, 35, dia berharap pemilihannya sebagai finalis dalam pertandingan tersebut akan menjadi batu loncatan buatnya untuk terbabit dalam industri muzik tempatan selepas ini nanti.

"Kalau lagu-lagu patriotik yang saya cipta ini pun sudah boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, saya yakin lagu-lagu genre lain yang akan saya cipta kelak juga mungkin lebih mudah diterima oleh kalangan pendengar.

"Apa yang penting ialah lagu-lagu saya kalau boleh biarlah bukan sahaja diminati oleh pendengar Melayu sahaja tetapi juga kaum-kaum yang lain. Lagu Rakyat Satu Malaysia itu saya hasilkan untuk dihayati oleh rakyat Malaysia," ujarnya dalam nada ceria.

Sebagai sebuah lagu pop moden, Norm Aidid yang merupakan seorang pegawai undang-undang di sebuah firma memuatkan banyak elemen patriotik dalam lagu serta lirik ciptaannya itu sebagai memenuhi tema pertandingan tersebut.

Beliau antaranya menyelitkan elemen dan falsafah yang terdapat dalam Rukun Negara yang secara umumnya diketahui oleh rakyat Malaysia dalam lirik lagu tersebut yang mengambil masa selama dua hari untuk disiapkannya.

"Selain itu, saya juga memuatkan elemen rentak lagu Negaraku pada tengah-tengah lagu ciptaan saya itu. Tetapi temponya saya rancakkan sedikit supaya ia kedengaran lebih moden dan sesuai dengan muzik yang saya tampilkan," jelasnya.

Tidak setakat komposer berbilang bangsa dan komposer amatur, kalangan komposer profesional dan penyanyi terkenal juga tidak mahu ketinggalan menghantar pencalonan serta bersaing sama pada pertandingan tersebut.

Penyanyi Nur Fatima contohnya, bukan sahaja penyanyi tetapi juga komposer baru yang terpilih sebagai finalis Lagu 1Malaysia Kita menerusi lagu berjudul Malaysia Satu hasil ciptaan Audi Mok yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir.

Meskipun Faizal menyanyikan lagu itu dalam gaya muzik rock tetapi Nur Fatima atau lebih mesra dengan panggilan Nur tidak menjadikannya sebagai halangan untuk mengkategorikannya sebagai sebuah lagu patriotik.

"Lagu patriotik yang paling utama ialah daripada segi liriknya. Bagi saya, muzik apa sekalipun ia menjadi perkara kedua, yang penting mesejnya haruslah sampai. Sebagai komposer, saya tidak mencipta lagu-lagu cinta sahaja.

"Sebelum ini saya juga pernah mencipta lirik lagu berkonsepkan patriotik berjudul Satu Harapan nyanyian Jaclyn Victor dalam gubahan genre rock. Ternyata lagu itu diminati ramai," katanya yang mengambil masa tiga hari menulis lirik lagu hasil gubahan Audi Mok itu.

Untung kahwin orang senegeri

Untung kahwin orang senegeri


MAWI dan Ekin


BANYAK kemanisan yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Mawi dan Ekin sepanjang lapan bulan melalui kehidupan sebagai suami isteri.

Kemanisan tambah berganda, apabila berpeluang meraikan kehadiran bulan penuh berkat Ramadan bersama-sama.

Berbeza dengan kehidupan semasa solo, dahulunya Mawi khususnya semuanya dilakukannya bersendirian.

Dan kini kemeriahannya lebih terasa apabila melakukannya berdua.

Mana tidaknya, sekarang hendak bersahur dan berbuka pun kena fikir sajian yang sesuai untuk berdua, kemudian menunaikan terawih bersama.

"Seronok dapat bersahur dan berbuka sambil ditemani isteri tercinta daripada berbuka seorang diri atau bersama kawan," ujarnya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Rumah Anak Yatim Darul Iman, Kuang, Selangor bersama Modenas, baru-baru ini.

Mawi dan Ekin dibawa ke sana untuk pengambaran program Uniknya Ramadan yang ditaja oleh Modenas dan akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini di samping untuk beramah mesra dengan penghuni rumah anak yatim tersebut.

Mawi turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah anak yatim itu di samping menunaikan solat sunat terawih bersama-sama.

Tambahnya, sepanjang minggu pertama puasa, hanya pada 27 Ogos lalu, baru pertama kali dia dapat bersahur di rumah bersama Ekin.

Dia berada di Sri Lanka selama seminggu mulai 19 Ogos lalu bagi menyelesaikan pengambaran Langkah Mawi dan mereka berdua melalui tiga hari pertama bulan Ramadan di sana.

"Selama tiga hari di sana kami bersahur dan berbuka dengan masakan tempatan penduduk Sri Lanka," tambah Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani.

Ekin masak untuk suami

Bagi Ekin, puasa kali ini banyak bezanya berbanding tahun-tahun lalu walaupun sebelum ini dia bersahur dan berbuka dengan seseorang juga.

"Sebelum ini saya akan bersahur dan berbuka bersama kembar saya, Aein. Sebagai pasangan kembar, kami sentiasa bersama tidak kira waktu.

"Kalau dulu, Saya dan Aein akan ke bazar Ramadan bersama-sama dan membeli makanan berbuka dan bersahur siap-siap.

"Tetapi sekarang saya ada suami dan saya akan memasak untuknya jika tiada jemputan untuk berbuka puasa di mana-mana.

"Tetapi dalam minggu pertama puasa ini, kami belum lagi berkesempatan untuk ke bazar Ramadan bersama-sama atau menyediakan hidangan berbuka untuk Mawi memandangkan jadual Mawi yang sentiasa sibuk.

"Mungkin dalam minggu ini, kalau ada masa terluang, kami akan ke bazar Ramadan bersama-sama, barulah seronok," ujar Ekin atau nama sebenarnya Nora'Ashikin Rahmat yang menggemari hidangan Lontong Kering sebagai juadah berbuka puasa.

Air tangan Ekin yang paling disukai suaminya pula tidak kira waktu malah di sepanjang bulan Ramadan ini ialah sambal sardin dan masakan berkicap.

"Mawi bukanlah seorang yang banyak kerenah dalam soal makanan. Ada salah satu lauk sudah cukup untuk buat Mawi berselera," tambah Ekin.

Ujarnya lagi bagi persiapan raya pula, dia tidak bercadang untuk membuat kuih raya pada tahun ini dan sekadar membelinya di kedai.

Terang Ekin, kesibukannya menjalankan perniagaan menyediakan hamper raya yang ditempah orang ramai membataskan Ekin untuk berbuat demikian.

Mawi sibuk di bulan Ramadan

Sepanjang bulan puasa ini, rezeki Mawi tidak putus-putus kerana dia sibuk memenuhi undangan persembahan, rakaman program televisyen dan bazar Ramadan yang diusahakan di Danga Bay, Johor.


MAWI dan Ekin yang sedondon berpakaian hitam bermesra dengan penghuni Rumah Anak Yatim Darul Iman, Kuang, Selangor baru-baru ini.


Selain pengambaran Uniknya Ramadan dan Langkah Mawi, Mawi yang baru sahaja tampil dengan filem lakonannya, Jin Notti, bakal muncul pula dalam sebuah program muzikal untuk Astro Ria bertajuk Habibi Raya Mawi.

Program ini mengisahkan Ahmad (lakonan Mawi) yang meninggalkan kampung untuk merealisasikan cita-citanya menjadi seorang pemuzik.

Dalam mengejar impiannya, sudah tiga tahun dia tidak pulang ke kampung.

Untuk Astro Prima pula, Mawi bergandingan dengan Ekin untuk menyajikan program Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya.

Dalam program itu, Bob Kuman memainkan peranan sebagai orang gaji mereka yang menghuru-harakan keadaan.

Mengenai bazar Ramadan yang diuruskan oleh Mawi di Danga Bay pula, sebanyak 30 tapak telah disewa dan permintaan penyewa tapak mungkin akan bertambah minggu ini.

Setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini, pelbagai aktiviti yang akan dilakukan di bazar Ramadan tersebut seperti pertandingan kompang, nasyid dan azan.

"Setiap hujung minggu jugalah saya dan Ekin akan ke sana kerana saya akan menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan tersebut di samping memeriahkan bazar Ramadan itu.

"Kami juga ada menjual pakaian dari butik Ekin iaitu ME World Collection. Kepada yang sedang mencari pakaian raya, bolehlah singgah di bazar kami," ujar Mawi yang kali pertama mengusahakan bazar Ramadan.

Namun, gerai mereka itu bukanlah akan dijaga oleh Mawi dan Ekin, cuma pekerjanya sahaja ada di sana dan mereka akan menjenguknya pada setiap hujung minggu.

Tak berebut kampung

Menurut pasangan yang melangsungkan pernikahan pada 20 Disember tahun lalu, mereka tidak menghadapi masalah untuk membuat keputusan beraya di mana.

Ini kerana kedua-duanya berpeluang menyambut hari raya pertama di kampung masing-masing memandangkan kampung Mawi dan Ekin di negeri yang sama.

"Itulah untungnya berkahwin dengan orang senegeri! Jarak dari Johor Bharu dan Kulai cuma setengah jam sahaja, jadi kami berdua dapat beraya di kedua-dua buah kampung pada hari raya pertama.

"Untuk warna tema baju raya kami pula, Ekin telah tetapkan warna merah jambu dan biru tapi kami belum berkesempatan untuk mencari baju raya lagi.

"Persiapan yang kami buat secara sederhana sahaja mengikut tuntutan Islam. Namun masih meriah dalam kesederhanaan kami," tambah Mawi mengakhiri perbualan.

Kerajaan bantu pentaskan Gamat

Kerajaan bantu pentaskan Gamat


PARA pelakon Muzikal Gamat yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak begitu ceria dan bersemangat biarpun teater itu belum dipentaskan lagi di panggung tersebut.


ANTARA masalah yang sering dihadapi oleh para penerbit dan pengarah teater di negara ini ialah kekurangan bajet atau ketiadaan penaja bagi mementaskan teater mereka.

Teater Muzikal Gamat anjuran Ctra Production misalnya, turut tidak terkecuali menghadapi masalah bagi mementaskan teater itu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada 4 hingga 8 Oktober ini pukul 8.30 malam.

Sementara 11 hingga 12 Oktober ini pukul 8.30 malam, manakala 9 hingga 10 Oktober ini pula tiada pementasan.

Bagaimanapun, Muzikal Gamat bernasib baik kerana Kementerian Kesihatan berusaha membantu meringankan beban dengan cara menghulurkan dana bagi menjayakan pementasan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kementeriannya menerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) kini sedang menimbang bantuan yang akan diberikan untuk pementasan itu kelak.

"LPKM yang terletak di bawah Kementerian Kesihatan ditubuhkan bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat negara ini. Kita akan bantu teater ini dengan cara memberikan dana yang diputuskan oleh sebuah jawatankuasa penilaian.

"Bantuan itu akan diberikan dalam bentuk geran dan ia bergantung kepada jenis program yang akan dilaksanakan. Ia sedang diperincikan. Permohonan untuk mendapatkan dana itu sudahpun diserahkan kepada kami.

"Mesyuarat akan diadakan pada minggu depan (minggu ini) dan keputusan itu akan diperincikan oleh ahli-ahli jawatankuasa tersebut," katanya pada majlis pelancaran Muzikal Gamat di IB, baru-baru ini.

Difahamkan Muzikal Gamat layak memohon dana daripada LPKM kerana mesej teater berkenaan mengenai kesedaran penjagaan kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar yang semakin tercemar sejak kebelakangan ini.

Kesediaan Kementerian Kesihatan membantu mengyumbangkan dana bagi mementaskan Muzikal Gamat amat melegakan penerbitnya, Siti Rohayah Attan yang sebelum ini sukar mendapatkan penaja untuk pementasan tersebut.

"Sejak setahun yang lalu, kami telah pun berjumpa dengan banyak penaja tetapi hasilnya amat mengecewakan. Kini kami hanya berharap kepada simpati Kementerian Kesihatan. Selain bersifat hiburan teater muzikal ini juga membawa kempen kesihatan.

"Ia merupakan program dua dalam satu. Selain pementasan teater muzikal kami juga akan mengadakan program lain seperti kempen menderma darah sewaktu pementasan itu diadakan kelak," ujarnya yang juga mewakili Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM).

Kerjasama

Selain PPWM, Muzikal Gamat juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan De' Media & Event Entertainment.

Muzikal Gamat yang akan diarahkan oleh Zaifri Husin itu merupakan naskhah hasil cetusan idea dan kolaborasi para pelajar teater tahun dua Aswara 2006. Naskhah yang sama pernah dipentaskan di akademi itu pada 2008.

Menurut Zaifri, Muzikal Gamat dipentaskan semula selepas Siti Rohayah hadir menonton teater itu di Aswara pada tahun lalu dan menyatakan minat untuk mementaskannya di Panggung Sari, IB.

"Muzikal Gamat masih relevan untuk dipentaskan semula kerana ia banyak memaparkan tentang kesepakatan dalam kehidupan laut yang menjadi simbolik dalam menjaga kesihatan.

"Sebagai contohnya, dalam teater muzikal ini kami akan paparkan watak Sotong yang membasuh tangan sebelum makan dan tidak boleh merokok dalam laut. Ia secara tidak langsung mendidik para penonton supaya jangan membuat pencemaran," katanya penuh makna.

Difahamkan seramai 80 pelakon berusia dari tiga tahun hingga 40-an akan berganding bahu mementaskan Muzikal Gamat yang mengenakan tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150.

Sebarang pertanyaan bagi menyaksikan teater muzikal yang diadun muziknya oleh komposer Hafiz Askiak ini sila layari laman sesawang www.muzikalgamat.blogspot.com, atau hubungi 03-6186 6592

Single percuma Sami buat peminat

Single percuma Sami buat peminat


Sami Yusuf


SELURUH dunia mengenali Sami Yusuf, seorang penyanyi British yang terkenal kerana muziknya yang beraliran Islam.

Ahli muzik keturunan Azeri ini terkenal kerana kreativitinya menggubah dan menyanyikan lagu yang menggabungkan sentimen Islam selain mengetengahkan pelbagai isu sosial dan kemanusiaan sejagat.

Lirik Sami lazimnya menceritakan tentang cintanya kepada Islam dan ajarannya yang penuh toleransi dengan tujuan mengetengahkan gambaran sebenar dan tanpa prejudis mengenai Islam ke seluruh dunia.

Sementara lagunya pula memuji nilai tradisional seperti kasih sayang ibu bapa dan belas kasihan kepada yang lebih orang tua.

Dan videonya pula dihasilkan dalam pendekatan yang lebih moden dan kosmopolitan berlatar belakang jalan-jalan di London, Istanbul, New Delhi dan Kaherah.

Sambil menyanyi Sami dengan mudah bertukar bahasa daripada Inggeris kepada Farsi, Turki, Arab, Bosnia dan Urdu, menjadikan muzik dan mesejnya lebih mudah diterima oleh generasi muda Muslim, dan mereka yang mengabdikan diri kepada keamanan di seluruh dunia.

Berpandukan kejayaannya sehingga kini, muzik Sami telah berjaya mempersonakan peminatnya.

Justeru, tidak hairanlah sejak tahun 2003, dua buah album pertama Sami telah mencatat jualan lebih lima juta salinan di seluruh dunia.

Kita juga mungkin tidak tahu yang Sami pernah mengadakan persembahan di hadapan penonton di merata dunia, termasuk konsert yang telah dihadiri 250,000 peminat di Istanbul, Turki.

Terbaru, beliau melancarkan single You Came to Me menerusi laman web bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan.

Istimewanya, sempena Ramadan ini, Sami menawarkan para peminat beliau untuk memuat turun single terbaru ini secara percuma.

Untuk mendapatkannya, para peminat boleh mengunjungi laman web rasmi Sami www.samiyusufofficial.com.

Lagu-lagu berkenaan dikeluarkan dalam empat versi iaitu versi bahasa Inggeris (utama), Inggeris-Arab, Inggeris-Parsi dan Inggeris-Turki.

Turun sekolah sambut merdeka

Turun sekolah sambut merdeka

'Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum" – AZNIL




MUDAH sekali menyatukan empat artis popular tanah air ini dalam sesi fotografi khas sempena merdeka yang dilakukan sehari sebelum tibanya bulan Ramadan lalu.

Kalau melihat jadual Aznil Nawawi, Rozita Che Wan, Liyana Jasmay dan Pierre Nazarul Andre, sememangnya masing-masing sangat padat dengan pelbagai aktiviti seni. Namun, demi memenuhi permintaan Kosmo! dan memeriah majlis sambutan hari kemerdekaan Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur mereka terus menyatakan persetujuan tanpa berfikir panjang saat diajak untuk fotografi istimewa ini.

Sepanjang majlis berjalan, kesemua artis dikerumuni peminat berpakaian seragam sekolah yang setia dengan kamera di tangan masing-masing. Malah, ada yang tanpa segan silu berteriak, I love you kepada artis pujaan mereka.

Memang hiruk-pikuk jadinya apabila membawa artis ke sekolah. Namun, tujuan asal tetap tidak dilupakan iaitu sambutan dan fotografi merdeka.

Merdeka cara Aznil

Aznil yang ternyata mempunyai pengaruh besar turut menyampaikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para pelajar sekolah sempena kemerdekaan.


AZNIL mahu menjadi teladan kepada remaja yang bakal mewarisi kemerdekaan negara.


Menurut pengacara, penyampai radio, penyanyi dan pelakon popular itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan teladan yang baik kepada kanak-kanak dan remaja.

"Semasa saya kecil, saya menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola dan saya tidak kisah sekiranya pelajar yang saya jumpa menjadikan saya idola mereka pula.

"Saya tahu menjadi idola bukan satu kerja yang mudah kerana tanggungjawabnya amat berat. Jadi, sebagai tanggungjawab sosial bagi saya penting untuk memberi motivasi kepada mereka bukan sahaja bila tiba Hari Merdeka kalau boleh setiap hari," ujar Aznil yang sudah biasa melawat peminatnya di sekolah.

Dalam pada itu, Aznil yang biasa dijemput pada konsert-konsert kemerdekaan saban tahun menjelaskan, hanya pada tanggal 31 Ogos sahaja dia akan berpakaian lengkap empat warna jalur gemilang.

"Saya akan ambil kesempatan jika dijemput ke konsert dengan memakai baju dengan empat warna seperti warna Jalur Gemilang. Saya rasa hanya satu hari itulah orang tidak akan kisah kalau saya pakai baju sebegitu," tuturnya dalam tawa.


ROZITA gembira meraihkan Hari Merdeka tahun ini dengan pelajar sekolah.


Luahnya lagi, sambutan merdeka bukan terletak pada hiburan, meletakkan bendera penuh di kenderaan masing-masing atau berkumpul beramai-ramai sambil menunggu detik 12 malam, sebaliknya lebih kepada pengisian kemerdekaan itu sendiri.

"Orang muda sekarang kalau merdeka, mereka hanya akan ingat konsert, hari cuti dan berkumpul bersama rakan-rakan sedangkan apa yang penting adalah penghayatan dan erti merdeka dalam diri mereka.

"Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum.

"Kita bukan sahaja berkongsi kuasa tetapi hampir semuanya. Itu yang harus dididik pada anak-anak kita supaya mereka mempunyai prinsip sayangkan negara. Pada saya tidak salah kalau setahun sekali kita 'sekolahkan' mereka dengan pengisian merdeka selain hiburan," katanya.


AZNIL menyuntik semangat merdeka di kalangan pelajar sekolah dengan memberikan ceramah mengenai kemerdekaan kepada mereka.


Walaupun negara sudah merdeka selama 52 tahun, Aznil mempunyai satu impian yang cukup besar iaitu melihat seluruh rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan yang betul.

"Kalau boleh cakap pun akan ada pelat-pelat yang melambangkan kaum masing-masing. Saya suka mendengar orang Cina berketurunan Nyonya Melaka dan orang India berketurunan ceti Melaka bercakap bahasa kebangsaan. Mereka bercakap dengan baik tanpa pelat.

"Kadangkala saya malu dengan orang asing seperti Nepal dan Bangladesh yang fasih bertutur bahasa kebangsaan daripada rakyat Malaysia sendiri.

Lebih teruk anak-anak Malaysia yang baru balik luar negara bertutur dalam pelat orang Inggeris, sedarlah diri kita orang Malaysia. Apa salahnya cakap dengan betul, baru kita rasa tidak ada perbezaan antara kaum," bicaranya.

Merdeka setiap hari - Rozita

Bagi pelakon jelita, Rozita Che Wan pula, selalunya jika tiba Hari Merdeka dia lebih senang untuk berehat di rumah bersama dua anaknya. Namun, kali ini Rozita berdepan pengalaman baru sebelum menyambut Hari Merdeka kerana turun padang ke sekolah untuk berkongsi kemeriahan hari bersejarah itu.

"Saya seronok kerana ini kali pertama saya dapat sambut merdeka bersama pelajar sekolah walaupun sambutannya lebih awal. Selalunya kalau tidak di rumah saya akan berada di lokasi penggambaran pada Hari Merdeka," katanya.


ROZITA, Aznil, Liyana dan Pierre menyanyikan lagu kemerdekaan bersama guru dan pelajar sekolah.


Walaupun telah biasa beraksi di hadapan kamera, lain pula situasinya apabila berhadapan dengan peminat remaja yang tidak berhenti-henti memanggil namanya.

"Terkejut juga tengok ramai peminat di kalangan remaja yang sebaya dengan umur anak saya sendiri dan saya akui sedikit gementar kerana diminta untuk memberi ucapan sempena merdeka.

"Saya anggap mereka semua seperti anak-anak saya sendiri jadi dan mengambil peluang di sini untuk berkongsi erti merdeka serta memberi sedikit nasihat kepada mereka," tuturnya.

Tambah Rozita, semangat merdeka harus kekal sampai bila-bila bukan sahaja pada bulan kemerdekaan dan kempen 1Malaysia.

"Semangat merdeka harus ada dalam diri setiap rakyat Malaysia bukan sahaja pada hari kemerdekaan tetapi pada bila-bila masa kerana setiap hari kita berpijak dan bernafas atas bumi bernama Malaysia.

"Kita kena ingat meskipun sudah merdeka tetapi untuk kekalkan kemerdekaan itu agak sukar. Penjajah zaman moden bukan datang secara peperangan tetapi secara halus yang kita tidak nampak seperti budaya, hiburan dan pelbagai lagi," terangnya.

Kenangan merdeka Liyana

Buat pelakon remaja Liyana Jasmay, meskipun baru berusia 21 tahun dan tidak pernah berada dalam zaman penjajahan tetapi dia tetap merasai keperitan orang dulu mendapatkan kemerdekaan melalui sejarah.

"Bagi saya merdeka adalah negara kita bebas daripada penjajahan, rakyat bebas berfikir dan kita boleh lakukan apa sahaja yang diingini selagi tidak melanggar undang-undang negara. Walaupun pelbagai kaum kita semua rakyat Malaysia.

"Merdeka bukan terletak hanya pada negara tetapi juga rakyatnya. Jadi kita harus berbangga dengan apa yang Malaysia miliki kini dan jangan rosakkannya," ujarnya.


PIERRE dan Liyana segak bergaya dengan baju Melayu dan baju kurung merah sewaktu fotografi di Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Ditanya apa perasaannya menyambut kemerdekaan di sekolah setelah menjadi artis terkenal, Liyana yang membeli baju kurung merah khas untuk sesi fotografi itu hanya tersenyum sambil mengakui keterujaannya.

"Rasa macam sekolah balik, dulu masa sekolah macam inilah sambut merdeka. Kami nyanyi lagu 31 Ogos ramai-ramai. Seronok sangat sambut merdeka walaupun ini bukan sekolah saya.

"Pelajar sekolah ini semuanya bersemangat termasuk guru-gurunya dan saya rasa itu satu perkara yang bagus kerana sambutan di sekolah memang sangat berbeza di luar. Bezanya adalah semangat sambutan itu sendiri," tutur Liyana yang terkejut dengan sambutan yang diterima sejurus tiba di sekolah tersebut.

Pelakon yang juga bergelar penyanyi ini turut berkongsi pendapatnya tentang kemerdekaan di kalangan generasi muda sepertinya.

"Setiap remaja mempunyai pendapat yang berbeza. Macam saya rasanya ketika di sekolah memang ada rasa merdeka itu tetapi apabila tamat persekolahan ia bertukar menjadi perkara yang subjektif.

"Ada yang masih menghayati kemerdekaan, ada yang anggap merdeka hanya sebuah acara untuk bergembira sahaja dan menyaksikan konsert hiburan.

"Saya rasa semangat merdeka itu masih ada cuma pengertian merdeka itu berbeza-beza. Kalau tidak ada semangat merdeka susahlah negara kita, macam mana mahu lahirkan pelapis?" luahnya penuh semangat.

Pierre jejak kasih cikgu lama

Pierre jejak kasih cikgu lama

"Kalau tiap-tiap tahun sambut merdeka tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat" – PIERRE ANDRE




JIKA tiga selebriti popular Aznil, Rozita dan Liyana kali pertama menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, lain pula ceritanya bagi Pierre Nazarul Andre atau Pierre Andre. Menjayakan fotografi di sekolah itu sangat bermakna buat dirinya kerana dia pernah menuntut di sekolah tersebut.

Bertemu kembali dengan guru-guru yang pernah mendidiknya sehingga menjadi seorang yang terkenal seperti hari ini adalah satu perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Terlihat di wajahnya, perasaan gugup bercampur gembira saat tiba di pekarangan sekolah. Senyumannya meleret sehingga ke telinga begitu juga dengan pelajar dan guru-guru di sekolah itu yang pasti berbangga dengan pencapaian bekas pelajarnya.

"Saya terkejut sangat bila sampai sahaja di sekolah ini. Saya lihat sampir separuh guru yang ada di sana adalah guru yang pernah mengajar saya.

"Malah, sejak sekolah lagi mereka tahu yang saya akan jadi pengarah dan penulis sebab semasa sekolah saya banyak buat persembahan. Namakan apa sahaja majlis sekolah mesti ada saya dan rakan-rakan," ungkap pemuda berusia 24 tahun itu.

Jelasnya, kembali ke sekolah lamanya telah membuka kembali memori manis ketika bergelar seorang pelajar apatah lagi Pierre merupakan antara pelajar terkenal di kalangan guru-guru.

"Saya nakal juga masa sekolah, macam-macam perkara yang saya lakukan tetapi minat saya tetap terarah pada penulisan dan pengarahan sehingga ke hari ini. Sebab itu guru-guru saya tidak terkejut dengan bidang pilihan saya.

"Terubat juga rindu pada sekolah tetapi ada sedikit rasa kekok. saya faham perasaan pelajar hari ini kerana dulu saya pun macam mereka juga.

"Saya ingat lagi dulu masa sekolah, penyanyi, Zainal Abidin pernah datang ke sekolah saya bagi ucapan macam saya buat hari ini. Masa itu rasa seronok bila dapat tengok dia. Lepas itu tiap-tiap hari gembira nak ke sekolah," cerita Pierre tentang kenangan semasa menjadi pelajar sekolah.


PIERRE tidak ketinggalan mendeklamasikan sajak kemerdekaan kepada pelajar Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Bercakap tentang kemerdekaan pula bagi Pierre, selain bebas daripada penjajah, kemerdekaan juga membawa maksud memerdekakan diri daripada kegagalan dan itu perlu ada pada setiap manusia.

"Kalau sambut tiap-tiap tahun tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat," katanya.

Namun, bagi Pierre terdapat jurang perbezaan yang cukup besar antara pelajar sekolah dulu dan sekarang dalam memahami erti kemerdekaan negara.

"Saya rasa tidak semua faham erti merdeka. Kebanyakan mereka pergi sambutan merdeka di mana-mana lokasi untuk tengok artis sahaja. Suku daripada mereka faham erti merdeka. Mereka semua seakan-akan tidak kisah kerana terlalu dimanjakan," ujarnya.

Beritahunya lagi, semua itu jelas kelihatan apabila dibandingkan dengan penerimaan rakyat terhadap filem bercorak patriotisme dan genre yang lain.

"Filem pun macam itu juga, kalau negara Iran filem tentang negara yang memaparkan kesusahan dan kesengsaraan pasti berjaya, tetapi tidak di negara kita yang lebih suka dengan filem hiburan semata-mata.

"Kalau mereka tidak suka melihat kesusahan dan kepayahan yang digambarkan dalam filem, maknanya mereka tidak kenal erti pengorbanan orang terdahulu. Saya rasa orang faham dengan apa yang saya rasa," bicaranya.


AZNIL, Rozita dan Pierre membuktikan selebriti juga punya tanggungjawab sendiri pada Hari Merdeka.


Benar kemerdekaan bukan sahaja terletak pada negara tetapi semuanya yang menggerakkan negara itu ke satu tahap yang lebih baik.

Ditanya pula apa erti kemerdekaan dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni, lama Pierre terdiam lalu menjawab: "Saya rasa merdeka dengan apa yang saya rasa nak lakukan.

"Saya bebas memilih kerjaya yang disukai dan diminati serta merdekakan diri daripada satu kegagalan. Macam saya sendiri, setiap kali tiba 31 Ogos, saya tidak pernah pergi KLCC tengok bunga api kerana itu bukan cara saya.

"Bagi saya sambut merdeka adalah dengan keluarga. Makan bersama keluarga. Merdeka tidak akan terasa tanpa keluarga. Apa yang ada di luar sana lebih kepada hiburan," tuturnya.

Silat Malaysia di National Geographic

Silat Malaysia di National Geographic


BUAT pertama kalinya, dokumentari khas seni silat disiarkan saluran National Geographic.


SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.

Fight Masters: Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.

Dengan kejayaan Becoming A King dan Smart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama.

Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar.

"Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia.

"Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya ketika bercakap pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin.

"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya.

"Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini.

"Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.

Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.

Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan.

Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah yang bakal terjadi kepada Joel yang memiliki angan-angan tinggi melangit itu, jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari Fight Masters: Silat yang pastinya tidak menghampakan anda.

Dokumentari itu bakal ditayangkan secara eksklusif sempena Hari Kemerdekaan ke-52 pada hari ini, pukul 9 malam di saluran National Geographic Asia dan di saluran Astro 553. - FAIZAL SAHARUNI