Tuesday, August 18, 2009

U-Wei mula mencari Nina

U-Wei mula mencari Nina

Oleh Nurulhisham Abdul Latiff & Zaidi Mohamad


U-Wei

MUNGKIN pengarah ini tidak kerap menghasilkan filem. Bagaimanapun, setiap kali dia muncul bersama buah tangan yang baru, pasti ada sesuatu yang menarik mengenai projek dihasilkannya.

Berdasarkan beberapa filem terdahulu seperti Perempuan, Isteri & ... yang dihasilkan pada 1993, Kaki Bakar (1995), Jogho (1997) dan Buai Laju Laju (2004), produk garapan U-Wei Haji Shaari menjadi percakapan masyarakat penggemar filem, dalam mahupun luar negara.

Perempuan, Isteri & ... umpamanya bukan hanya memahat nama U-Wei antara sutradara paling dihormati di negara ini, bahkan filem terbabit turut melonjakkan nama dua pelakonnya, Sofea Jane dan Nasir Bilal Khan dalam industri perfileman.

Nasir dijulang sebagai Pelakon Lelaki Terbaik menerusi penampilannya dalam judul berkenaan, manakala U-Wei sendiri membawa empat trofi - Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1994.

Di bawah arahan U-Wei juga, Eman Manan menggondol anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada FFM17 (2004), menerusi filem Buai Laju Laju.

Lalu, apabila pengarah ini diumumkan sebagai pengarah filem terbaru, Hanyut, baru-baru ini, peminatnya tentu sekali teruja untuk mengetahui apakah filem berbentuk epik itu juga bakal menjadi sebuah karya yang dipandang tinggi oleh juri festival serta penggemar filem?



Hanyut yang bakal diterbitkan Tanah Licin Sdn Bhd ialah filem adaptasi daripada novel pertama tulisan Josep Conrad berjudul Almayer's Folly.

Kisahnya berkisar pada dilema seorang pedagang Belanda, Almayer, yang berdepan pelbagai pengalaman sukar untuk meneruskan kehidupan di Borneo, pada tahun 1830-an. Impiannya untuk mencari gunung emas yang belum pasti wujud itu tercabar dengan kerenah isteri, pihak berkuasa penjajah, peraturan ketua suku kaum dan pedagang Arab, serta cinta anak perempuannya terhadap putera Melayu yang berjuang demi kebebasan.

Bagi menghidupkan watak Nina, syarikat penerbitan filem berkenaan kini mencari bakat yang dirasakan sesuai untuk ditampilkan dalam filem terbabit.

Nina ialah watak perempuan cantik yang berusia awal 20-an. Dia ialah anak kepada Almayer, lelaki kulit putih yang berkahwin dengan seorang perempuan tempatan keturunan Betawi. Nina dihantar bersekolah di Singapura ketika berusia 10 tahun. Selain memiliki wajah jelita, dia juga seorang yang tinggi lampai, lagi mempesona.

Lalu, jika anda seorang pelakon yang mempunyai ciri-ciri dicari U-Wei untuk menjayakan watak Nina, usah berlengah lagi. Anda boleh menjadikan watak itu sebagai milik anda dengan menyertai uji bakat yang dianjurkan secara online oleh Tanah Licin.

Menerusi kenyataan yang dikeluarkan syarikat berkenaan, serta hebahan di laman web rasminya (www.findingnina.com), pelakon wanita, sama ada bakat baru atau pelakon sudah mempunyai nama, dialu-alukan untuk menghantar video lakonan mereka ke laman YouTube, bagi membolehkan khalayak laman web Findingnina.com mengundi aktres kesukaan masing-masing.

Aktres yang menghantar penyertaan boleh mengundi untuk pelakon lain, tetapi bukan untuk diri sendiri. Jumlah undi bagi sesebuah video adalah tidak terhad dan jika pengundi ingin memuatkan komen terhadap undian sesebuah video, mereka juga boleh berbuat demikian dengan syarat ia tidak menyentuh perasaan pengundi lain atau bakal aktres berkenaan.

Uji bakat peringkat pertama ini akan dibuka sehingga 15 Oktober depan. Daripada penyertaan itu, seramai 20 hingga 40 pelakon wanita dengan undian terbanyak akan disenarai pendek. Ia diikuti oleh proses tapisan oleh barisan panel yang akan ditentukan kemudian.

Daripada perbincangan panel juri, seramai 20 bakal aktres akan ditentukan. Sekitar November, Tanah Licin akan membuka undian sekali lagi kepada khalayak Findingnina.com untuk menentukan calon terbaik bagi watak berkenaan.

Bakat yang mempunyai wajah Pan-Asia serta mereka yang berasakan dirinya memenuhi kriteria diperlukan Tanah Licin untuk menghidupkan watak gadis cantik berdarah kacukan itu tentu sekali tidak mahu melepaskan peluang keemasan ini.

Bukan sekadar berlakon di bawah pengarah yang sudah dikenali pada peringkat antarabangsa, Hanyut sendiri karya yang pasti ditunggu ramai kerana novel terbabit sememangnya hasil penulisan unggul yang menjadikan Conrad sebagai antara novelis yang paling dihormati dalam dunia kesusasteraan Inggeris.

Selain Almayer's Folly yang dihasilkan pada 1895, penulis yang dilahirkan dengan nama Jozef Teodor Konrad Korzeniowski pada 1857 itu turut menghasilkan deretan karya lain termasuk Chance, Victory, The Rescue, The Rover dan The Arrow of Gold.

Beberapa bukunya turut dijadikan filem seperti Lord Jim, The Secret Agent, The Duel, Heart of Darkness, dan Nostromo.

Inikah Nina yang dicari?

ADA beberapa pelakon tempatan yang dilihat mempunyai gambaran tepat untuk dipilih atau dicadangkan nama. Diana Danielle, Juliana Evans, Farahdhiya, Datin Natasha Hudson, Joanna (naib juara Bintang RTM 2009) atau Tania Hudson.

Sofea Jane yang pernah bekerjasama dengan U-Wei menerusi filem Perempuan, Isteri & ..... mungkin tidak boleh lagi bersaing merebut watak itu apatah lagi usianya kini sudah berada di ambang 40-an. Datin Natasha Hudson juga nampaknya hampir mencecah 30-an dan wajahnya yang sedikit matang mungkin terlalu sukar untuk memikul watak sebagai Nina.

Barangkali adiknya, Tania Hudson sesuai untuk watak itu. Malah Hip difahamkan Tania kini sedang merebut peluang untuk berada di persada seni. Sebelum ini pun, Tania pernah menjadi model untuk peragaan dan iklan. Joanna yang pernah digosipkan dengan Adam juga mempunyai pesona yang mampu membuatkan ramai terpukau terutama pada renungan matanya.

Namun, jika diberi kecenderungan pilihan dan peluang kepada pelakon popular berwajah kacukan nescaya Diana Danielle dan Farahdhiya memenuhi ciri sempurna bagi watak itu. Juliana Evans mungkin harus akur dengan faktor ketinggiannya yang sedikit rendah berbanding Farahdhiya dan Diana Danielle.

No comments: