Tuesday, September 1, 2009

Siapa dalang di sebalik siri pembunuhan?

Siapa dalang di sebalik siri pembunuhan?


AARON KWOK PELAKON UTAMA MURDERER.


FILEM aksi-cemas dan drama kepolisian telah menjadi antara genre arus perdana filem-filem Hong Kong. Dalam sebuah filem genre aksi cemas (action thriller) objektif utamanya tentulah mencari jawapan kepada satu atau sejumlah soalan. Satu perkara yang asas dalam filem genre begini adalah persoalan besar yang muncul secara dramatik di permulaan filem yang akan menyentak perhatian penonton dan dengan cara ini akan terus mengikat atau menyiapkan penonton dengan elemen suspens kemudiannya.

Filem Murderer menggunakan persoalan asas ini, iaitu siapa yang melakukannya. Filem dibuka dengan adegan seorang lelaki yang kemudian diketahui sebagai Tai, seorang anggota polis jatuh dari tingkat sembilan sebuah apartmen. Adegan yang cukup mengejutkan dan dramatik ini mengundang pertanyaan tentang siapa yang melakukannya dan atas tujuan apa. Pada masa yang sama seorang pegawai polis, Ling yang telah dinaikkan pangkat kerana kecemerlangannya didapati tidak sedarkan diri ditingkat tujuh apartmen itu. Apa hubungan Ling dengan anggota polis yang terjatuh itu? Soalan demi soalan menjadi teka-teki yang sengaja disamarkan untuk dicari jawapannya.

Ling yang hilang ingatan sementara akibat kejadian itu menyukarkan tugasnya untuk menyiasat motif kejadian tersebut dan lebih sukar apabila semua hasil siasatan seakan menghala ke atas dirinya sebagai suspek utama. Hubungan antara Ling dengan kawan rapatnya sendiri Ghost pula bertambah tegang kerana Ghost mula mengesyaki penglibatan Ling dalam peristiwa-peristiwa pembunuhan tersebut.

bertambah kusut

Tekanan akibat hilang ingatan dan ditambah pula dengan merasa disyaki oleh teman sekerja menyebabkan kehidupan Ling bertambah kusut, kacau dan mengelirukan. Malah kehidupan Ling sekeluarga turut kacau apabila hubungan dengan isteri dan anaknya Sonny terjejas. Keadaan menjadi lebih rumit apabila Ghost pula terbunuh dalam satu pertengkaran dengan Ling.

Lakon layar yang ditulis Roy Cheung dan To Chi-Cong berusaha menimbulkan soalan demi soalan sebagai teka-teki untuk terus mengikat penonton. Drama meneka dalam mencari jawapan daripada soalan-soalan yang rumit dan samar-samar pada peringkat awal memang mudah memikat khalayak yang sering tertarik dengan pencarian jawapan dan merangka jawapan sendiri. Tetapi putaran plot pada babak akhir sering pula mengecewakan jika tidak dikendalikan dengan baik.

Dalam Murderer penulis ingin membuktikan bahawa pembunuhan yang berlaku sebenarnya bukan atas perancangan Ling tetapi dia terlibat kerana kekacauan mindanya. Penonton terus diasak untuk meneka siapa dalang di sebalik siri pembunuhan itu. Apabila plot filem ini cuba meletakkan jawapannya kepada anak angkat Ling sendiri, maka penulis lakonlayar perlu menyediakan jawapan yang meyakinkan.

Sonny, anak angkat Ling sebenarnya bukan kanak-kanak berusia lima tahun tetapi telah dewasa. Sonny sebenarnya menghadapi sejenis penyakit ganjil yang membantutkan pembesarannya, tetapi fikirannya tidak pula kanak-kanak sehingga mampu merangka pembunuhan balas dendam. Sungguhpun ini sebuah kilasan plot yang boleh diterima untuk menjawab kepada sejumlah teka-teki tetapi ia juga menimbulkan persoalan tentang sebuah putaran plot yang lebih meyakinkan.

Bagaimana mungkin seorang anggota polis yang begitu cemerlang dalam tugas penyiasatannya boleh gagal mengesan latar belakang kehidupan Sonny dan penyakit yang dihadapi oleh Sonny sehingga membiarkan kehidupan dan dirinya kacau.

Malah Sonny mampu pula merancang balas dendam yang pernah dilakukan oleh bapa Ling yang sanggup meninggalkan ibu Sonny dan membiarkan mereka hidup menderita. Struktur plot filem ini yang kuat dan cukup dramatik pada babak-babak awal filem ini malangnya dilemahkan oleh putaran plot penamat filem ini yang kelihatan melucukan.

Murderer sebenarnya dikuasai oleh kekuatan lakonan Aaron Kwok yang telah memberikan dinamisme lakonan yang cemerlang sebagai pegawai polis yang tertekan dengan teka-teki pembunuhan. Persoalan ini menyeret sama dirinya dan menghadapi gangguan mental akibat kehilangan ingatan serta berhadapan dengan persaingan daripada teman-teman sekerja yang mencemburuinya.

Kekuatan lakonan Aaron Kwok selain daripada pengalamannya yang panjang sebagai pelakon, tentulah kerana persiapannya yang rapi untuk membawakan watak Ling. Untuk mendalami dan mendapatkan mood watak Ling yang terganggu dan tertekan emosinya, Aaron Kwok sengaja membiarkan dirinya tidak tidur seharian dan mengasingkan dirinya daripada krew produksi disepanjang penggambaran. Sebagai filem pertama, Roy Cheung berhasil membentuk sebuah jalan cerita yang mencemaskan, penuh debaran dan pada masa yang sama mampu menimbulkan misteri dalam sebuah drama kepolisian.

No comments: