Friday, July 17, 2009

Gambar kaki Jacko disuntik ubat disiar

Gambar kaki Jacko disuntik ubat disiar


GAMBAR yang dirakamkan pada 2002 menunjukkan kedua-dua kaki Jacko mempunyai kecederaan yang dipercayai akibat suntikan jarum.


LOS ANGELES - Beberapa gambar yang mengejutkan disiarkan oleh rangkaian televisyen ABC di Amerika Syarikat (AS) semalam yang menunjukkan kedua-dua kaki Michael Jackson mempunyai luka seperti kena suntik dengan ubat.

Gambar-gambar itu menunjukkan terdapat luka, kesan kena suntikan dan kecederaan yang tidak pernah disiarkan sebelum ini.

Gambar-gambar itu disiarkan selepas polis di sini tidak menolak kemungkinan kematian Michael yang mesra dengan panggilan Jacko ketika dia masih hidup sebagai satu pembunuhan.

Pada mulanya gambar-gambar itu disiarkan bagi menunjukkan bahawa penyanyi yang meninggal dunia pada 25 Jun lalu itu mempunyai panau yang kerap diakui oleh Jacko.

Namun, gambar-gambar itu mencetuskan pelbagai persoalan berhubung jenis ubat yang digunakan oleh penyanyi tersebut.

Seorang jurucakap Akademi Dermatologi Amerika, Dr. Debra Jaliman memberitahu stesen televisyen ABC: "Ia kelihatan seperti terdapat kesan benda tajam ke dalam saluran darah."

Dr. Debra berkata, menyuntik ubat di kaki jarang dilakukan.

Namun, ia boleh dilakukan jika tidak terdapat saluran darah di tubuh lain yang mampu menerima kemasukan ubat.

Jacko mengambil sejumlah ubat penahan sakit sebelum dia meninggal dunia dan dia selalu menggunakan pelbagai jenis ubat sejak rambutnya terbakar ketika dia menjalani penggambaran iklan Pepsi pada 1984.

Majalah Weekly di AS mendakwa mendapat imej rakaman video yang menunjukkan rambut Jacko terbakar. - Agensi

Perancangan seni Hunny Madu

Perancangan seni Hunny Madu


HUNNY bersama tunangnya, Khairul Azhar.


MULA mencipta populariti menerusi Hitz FM, Xfresh dan kini Fly FM sebagai penyampai radio, Hani Farhana Mohd. Hatim atau popular dengan panggilan Hunny Madu semakin mengukuhkan kedudukannya di persada seni tanah air.

Menceburi dunia lakonan, nyanyian, pengacaraan serta penulisan lirik, dalam diam, Hunny secara berdikit-dikit telah berjaya mengumpulkan kelompok peminatnya tersendiri.

Masih mencari-cari peluang untuk mengembangkan lagi bakat, wanita berusia 25 tahun ini bagaimanapun mahukan perjalanan seninya teratur dan enggan menjadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.'

Oleh sebab itu, biarpun ditawarkan berlakon di layar perak, Hunny masih belum bersedia ekoran kesibukannya mengendalikan program radio dan televisyen.

Sementelah, Hunny baru sahaja muncul dengan album pengenalannya berjudul Hunny Madu-Bila Dunia yang memuatkan empat buah lagu iaitu Bila Dunia, That Way, Suara dan Don't You Play.

Berkonsepkan hiphop jazz, album itu yang mula dipasarkan sejak bulan lepas menjadi kayu pengukur kepada Hunny untuk terus bertapak sebagai penyanyi versatil.

Menariknya, keempat-empat lagu tersebut, lagu dan liriknya adalah ciptaan Hunny sendiri.

Meski selesa dengan konsep hip hop jazz, lagu berjudul Suara menampilkan sedikit kelainan apabila Hunny memasukkan unsur-unsur Jawa dalam lagu tersebut.

"Hunny Madu-Bila Dunia adalah album pengenalan tentang muzik dan lagu Hunny sebelum album penuh memuatkan 14 lagu dipasarkan tahun depan.

"Untuk album berkenaan, kesemua liriknya adalah ciptaan Hunny. Semua sudah sedia dan sedang tunggu untuk proses rakaman,'' kata Hunny pada sesi fotografi bersama Hits di studio Utusan, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Hunny yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik berkata, dalam proses menghasilkan lagu dan album, dia lebih selesa menggunakan buah fikiran sendiri.

Bukan mahu menafikan atau menidakkan kemampuan komposer lain, Hunny merasakan lagunya akan lebih bermakna andai terhasil daripada pemikiran serta pengalaman hidupnya.

Amat menyanjung tinggi kehebatan vokal Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datin Rafeah Buang, Hunny tidak menolak serta tidak mempunyai masalah andai ada pihak yang mahu menyumbang lagu kepadanya.

Cuma, ujar Hunny, lirik yang dihasilkan perlu kepada perkongsian pendapatnya juga.

"Ini adalah cara Hunny kerana jika orang lain buat lagu, Hunny tidak dapat merasakan 'jiwa' lagu berkenaan.

"Hunny lebih selesa dengan hasil sendiri. Kebanyakan lagu-lagu Hunny adalah terbit daripada pengalaman atau pemerhatian Hunny,'' jelasnya yang sering mendapat idea penulisan lirik menerusi mimpi.

Menurut Hunny yang pernah muncul dalam drama bersiri 5 Jingga di 8TV, dalam kesibukan mencuri peluang bergelar penyanyi, dia sebaik mungkin akan menjaga kerja hakikinya sebagai pengacara dan penyampai radio.

Justeru, walaupun terpaksa menyusun segala jadual kerjanya sendiri, ia membuatkan Hunny lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

"Buat masa ini, Hunny terikat dengan komitmen sebagai penyampai radio Fly FM dan pengacara 8TV Quickie.

"Untuk 8TV Quickie, Hunny memulakan tugas sejak Januari lalu selepas tiga kali menjalani sesi uji bakat.

"Ia lebih kepada santai dan Hunny berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada personaliti 8TV, " jelas Hani yang baru mengikat tali pertunangan dengan Khairul Azhar Abd. Wahid, 34 tahun pada 13 Jun lalu.

Ditanya mengenai beza lenggok bicara antara Fly FM dan 8TV Quickie, Hunny menjelaskan bahawa dia perlu pandai mengubah situasi ruang kerja agar tidak terikut-ikut dengan suasana Fly FM.

Harapan dalam Shout! Awards

Sementara itu, Hunny yang diajak berkongsi rasa gembira kerana tercalon dalam dua pencalonan melalui Shout! Awards berkata, ia merupakan detik bersejarah sepanjang hidupnya.

Kata Hunny, ini adalah kali pertama dia bersaing mengejar anugerah berprestij seumpama itu.

Dalam senarai finalis Shout! Awards, Hunny tercalon untuk penyampai radio terbaik dengan ditentang hebat oleh Fara Fauzana, JJ, Phat Fabes dan Rudy.

Hunny turut tercalon untuk kategori program radio terbaik yang mempertaruhkan Fly FM Must Have Music.

Saingan Hunny bagi kategori terbabit adalah Fly FM Night Flight (Basil & Hafiz), Fly FM Pagi Show (Ben, Nadia & Phat Fabes), Hot FM AM Show (Fara Fauzana & Faizal Ismail) dan Indie X (Smek & Mat).

"Saingan Hunny cukup hebat dan berpengalaman,'' ujarnya ringkas.

Shout! Awards anjuran 8TV akan berlangsung malam ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pemenang bagi setiap kategori akan ditentukan oleh undian orang ramai iaitu secara online dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Shout! Awards merupakan anugerah yang mengiktiraf kalangan penggiat seni daripada empat kategori iaitu televisyen, radio, muzik dan filem.

Format Suria FM ditiru?

Format Suria FM ditiru?


PENYAMPAI Suria FM, Tuah (kiri) dan Zizi (kanan) bersama pemenang Kempen Suria FM Senyum dan Menang RM18,000 bersama Tuah Zoqarnain dan Zizi, Azariah Ahmad (tengah).


DALAM sibuk khalayak memperkatakan tentang kedudukan rating terkini saluran-saluran radio tempatan yang dibuat oleh AC Nielson baru-baru ini, Suria FM antara saluran yang disebut-sebut kerana mengalami peningkatan jumlah hampir 200,000 pendengar.

Memulakan operasi siaran sejak Disember 2005, peningkatan ketara itu tentu sahaja yang tertinggi pernah dicapai oleh stesen berkenaan.

Jumlah tersebut sedikit sebanyak memberi gambaran masa depan cerah stesen berkenaan kerana ketika ini Suria FM merupakan antara saluran yang semakin mendapat perhatian ramai.

40 minit muzik terbaik tanpa henti adalah pembaharuan yang dilakukan oleh Suria FM terhadap kandungan siarannya sejak Oktober tahun lalu.

Di samping sentiasa berusaha memenuhi keinginan pendengar, stesen itu juga tidak pernah lelah menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi pelbagai pertandingan khusus buat para pendengar setianya.

Bagaimanapun, dalam percaturan menjadi yang terbaik, Suria FM sekali lagi melakukan perubahan. Jika dahulu mempertaruhkan 40 minit muzik terbaik tanpa henti, kini, formatnya diubah kepada 50 minit muzik terbaik tanpa henti.

Peningkatan siaran lagu-lagu sebanyak 25 peratus itu merupakan satu lagi agenda utama saluran itu untuk menarik lebih ramai pendengar.

Bagaimanapun, di sebalik perubahan yang dilakukan, rupa-rupanya ada kisah tersendiri.

Format penyiaran lagu-lagu tanpa henti selama 40 minit rupa-rupanya telah menjadi ikutan sebuah stesen radio yang cukup berpengaruh ketika ini.

Siapa tiru siapa? Itu antara persoalan yang bermain di minda.

Pastinya persoalan serupa turut menjadi tanda tanya ramai di kalangan pendengar setia Suria FM apabila mengetahui ada stesen lain cuba meniru format kandungan yang menjadi tagline saluran kesayangan mereka itu.

Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ketika ditemui pada sidang media Lagu Berduit Suria FM diwangikan oleh Onedrop Perfumes (Lagu Berduit Suria FM) di Studio V, One Utama, Damansara baru-baru ini berkata:

"Kami tukar konsep dan format kandungan siaran kami kepada 50 minit muzik terbaik tanpa henti kerana mendapat tahu ada sebuah stesen radio popular telah meniru format rancangan kami.

"Kami di Suria FM memang terkejut dengan apa yang terjadi. Kalau sayalah seperti radio itu yang mempunyai ramai pengikut, memang saya tak akan tiru.

"Sejujurnya, saya tidak takut malah, berbangga sebab konsep yang kami buat menjadi ikutan saluran lain," katanya.

Bercerita lanjut tentang perubahan format itu, kata Emran, pelbagai seleksi lagu dari dalam dan luar negara , era 80-an hingga kini akan menjadi hiburan pendengar mulai 17 Julai pukul 10 pagi hingga 10 malam.

Antara lain, sejak 13 Julai lalu pendengar Suria FM turut disajikan dengan 105 minit Muzik Maraton setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi.

Lagu berduit di Suria FM

Dalam usaha memenuhi cita rasa pendengar, Suria FM antara saluran yang paling rajin memberikan pelbagai ganjaran kepada pendengar setia mereka.

Baru sahaja tamat Kempen Suria FM Senyum dan Menang RM18,000 bersama Tuah Zoqarnain dan Zizi pada 10 Julai lalu, kini stesen berkenaan terus menyediakan sejumlah wang, RM75,000 untuk direbut menerusi Lagu Berduit Suria FM.

Berlangsung selama lima minggu bermula 20 Julai, setiap hari pukul 8 pagi menerusi breakfast@suria bersama Tuah dan Zizi, sebuah lagu akan dipilih sebagai Lagu Berduit.

Sebaik mendengar lagu tersebut diputarkan, pendengar hanya perlu menghantarkan SMS dengan menaip SuriaLB ke talian 33511 dalam masa 20 minit.

Sebaik talian SMS ditutup, pengirim SMS bertuah akan dihubungi. Dalam masa lima saat mereka perlu memberikan tajuk Lagu Berduit yang diputarkan.

"Untuk pertandingan ini, kami telah menyenaraikan sebanyak 25 lagu.

"Setiap hari akan ada sebuah lagu berduit dan lagu tersebut bakal diputarkan sekurang-kurangnya tiga kali.

"Untuk minggu pertama dan kedua RM500 diperuntukkan, bagaimanapun jumlah tersebut bakal meningkat dari masa ke semasa sepanjang lima minggu," kata Engku Emran lagi.

Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Urusan One Drop Sdn. Bhd., Josafri Johari.

Konsert Nostalgia X'Travaganza Semalam Di Malaysia (KNXSDM) mengimbau nostalgia silam

Konsert mengimbau nostalgia silam


RIA Resty Fauzy mengajak seorang penonton menari bersama-samanya menerusi lagu Cintaku Sedalam Lautan Atlantik. Gambar RASHID MAHFOF


RAMAI penyanyi dari Malaysia dan Indonesia yang popular pada tahun-tahun 1960-an dan 1970-an kini sudah tidak menyanyi lagi.

Ada di antara mereka yang sudah bersara, menjalankan perniagaan sendiri ataupun lebih banyak menghabiskan masa bersama anak cucu masing-masing.

Walaupun sudah lama tidak memegang mikrofon, tetapi minat menyanyi dan ingatan terhadap para peminat masih menebal dalam diri mereka.

Malah, lama tidak menyanyi juga bukan menjadi alasan buat mereka membuktikan bahawa bakat menyanyi yang dimiliki itu tidak pernah lenyap.

Senario itu dapat dilihat menerusi Konsert Nostalgia X'Travaganza Semalam Di Malaysia (KNXSDM) yang diadakan di Life Centre, Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pada konsert anjuran Music City itu, seramai 10 artis veteran termasuk dari Malaysia, Indonesia dan Singapura telah membuktikan hakikat tersebut.

Malaysia diwakili penyanyi Datuk Malek Ridzuan, Zaleha Hamid dan Halil Chik. Manakala Indonesia pula disertai oleh penyanyi Ernie Djohan, Endang S. Taurina, Vivi Sumanti, Tetty Kadi, Tommy J. Pisa dan Ria Resty Fauzy. Sementara Singapura pula menampilkan penyanyi Othman Hamzah.

Usia yang lebih separuh abad tidak menghalang semua penyanyi terbabit menyanyi dengan baik, malah mereka turut berjaya mengimbau nostalgia para penonton pada malam itu.

Biarpun setiap penyanyi hanya menyanyikan dua lagu sahaja tetapi lagu-lagu yang didendangkan memang popular ketika di zaman kegemilangan mereka.

Pentas persembahan dibuka dengan kemunculan Vivi Sumanti dengan lagu berjudul Rindu, Ernie Djohan (Teluk Bayu), Malek Ridzuan (Kelip-Kelip Ku Sangkakan Api), Tetty Kadi (Siapa Pernah Jatuh Cinta) dan Tommy J. Pisa (Suratan).

Persembahan terus dihangatkan apabila Endang S. Taurina muncul dengan lagu Bintang Di Langit Jangan Dihitung, Halil Chik (Joget Bunga Melati), Ria Resty Fauzy (Cintaku Sedalam Lautan Atlantik), Zaleha Hamid (Kerna Pengalaman) dan Othman Hamzah (Gadis Melayu).

Capai sasaran

Biarpun lebih 90 peratus penonton yang menyaksikan konsert itu berusia 50 tahun ke atas tetapi ia tidak menghalang mereka untuk menyanyi bersama-sama penyanyi-penyanyi terbabit.

Penyanyi seperti Endang S. Taurina dan Zaleha Hamid misalnya, sanggup turun ke bawah pentas untuk menyanyi lebih dekat dengan para penonton yang rata-rata duduk sopan di kerusi yang disediakan.

Namun, apabila Endang menghulurkan mikrofon ke mulut penonton yang didekatinya, perasaan untuk turut sama menyanyikan lagu Apa Yang Ku Cari itu seakan-akan tidak dapat ditahan oleh peminat terbabit.

Malah, suasana bertambah meriah apabila ada di antara penonton yang turut menari bersama-sama lagu-lagu malar segar yang dipersembahkan pada konsert itu.

Syarikat rakaman Life Records yang bertindak sebagai label rasmi konsert tidak menafikan sambutan hangat dan meriah sepanjang konsert yang mengenakan tiket berharga RM95, RM65 dan RM45 itu berlangsung.

Pengurus Besar Life Records Singapura, Osman Arrifin berkata, konsert itu boleh dikatakan mencapai sasarannya berdasarkan lebih 72 peratus tiket berjaya dijual.

"Sebanyak 72 peratus jualan tiket daripada 1,000 kapasiti penonton yang boleh memuatkan dewan ini telah dijual. Saya menjangkakan lebih 700 penonton memenuhi Life Centre pada malam ini.

"Ini suatu permulaan yang baik. Pada masa depan kami merancang untuk mengadakan lagi konsert seperti ini dengan membawa lebih ramai penyanyi dari Singapura seperti Rahimah Rahim," ujarnya.

Konsert yang bermula pukul 8.40 malam itu direhatkan sementara waktu pada pukul 9.30 malam sebelum ia disambung semula kira-kira 20 minit kemudian.

Sewaktu masa sanggang itu, para penonton mengambil kesempatan keluar dewan bagi mendapatkan album kompilasi lagu-lagu penyanyi terbabit berjudul Nostalgia X'travaganza yang diterbit serta diedarkan oleh Life Records.

Ernie Djohan menyambung persembahan fasa kedua menerusi lagu Kau Selalu Di Hatiku, Malek Ridzuan (Sampai Di Sini), Vivi Sumanti (Sekadar Bertanya), Tetty Kadi (Tarikan Nafas Yang Terakhir) dan Zaleha Hamid (Pria Idaman).

Seterusnya Ria Restu Fauzy tampil dengan lagu Sepatu Dari Kulit Rusa, Halil Chik (Kemesraan), Tommy J. Pisa (Jangan Biarkan Aku Menangis), Endang (Apa Yang Ku Cari) dan Othman Hamzah (Tanjung Puteri).

Persembahan sempena Festival Kuala Lumpur 2009 itu diakhiri dengan menyaksikan 10 penyanyi terbabit muncul di pentas dengan menyanyikan sebuah lagu berjudul Sepanjang Jalan Kenangan secara beramai-ramai.

George Lucas terkaya di Hollywood

George Lucas terkaya di Hollywood

NEW YORK 16 Julai - George Lucas yang mengetengahkan filem Star Wars menduduki tangga teratas orang berpendapatan tinggi di Hollywood, semalam dengan pendapatan dianggarkan bernilai AS$170 juta (RM608 juta) setahun, selepas filem blokbuster Indiana Jones yang keempat ditayangkan di pawagam.

Pengarah filem Indiana Jones and the Kingdom of the Crystal Skull Steven Spielberg pula menduduki tempat kedua selepas meraih kira-kira AS$150 juta (RM536 juta) antara Jun 2008 hingga Jun 2009, menurut laman web Forbes.com.

Walaupun mendapat kritikan, filem Indiana Jones itu telah meraih kutipan pendapatan berjumlah AS$786 juta (RM2,806 juta) menerusi tayangannya di seluruh dunia.

Secara keseluruhan, senarai laman web Forbes dikuasai oleh orang yang berada di belakang layar berbanding bintang-bintang filem terkemuka, dan penerbit siri televisyen (TV) kesukaan ramai seperti CSI, The Amazing Race dan Cold Case.

Sementara itu, Jerry Bruckheimer disenaraikan sebagai orang ketiga meraih pendapatan tertinggi bernilai kira-kira AS$100 juta (RM357 juta).

"Bintang-bintang Hollywood hanya dapat menghiasi muka hadapan majalah-majalah dan pereka fesyen menggayakan mereka dengan pakaian percuma, tetapi penerbit yang meraih keuntungan lumayan," kata laman web Forbes.com.

Laman web Forbes.com mengumpulkan senarai orang pendapatan tertinggi yang terlibat dalam industri seni termasuk penerbit, pelakon, penulis, ahli muzik serta personaliti TV dan kemudian berbincang dengan penggiat di Hollywood untuk mengganggarkan pendapatan penggiat-penggiat seni dalam tempoh 12 bulan lalu.

Pelakon komedi, Jerry Seinfeld pula menduduki tempat keempat dengan pendapatan bernilai AS$85 juta (RM303.4 juta), sebahagian besar daripada hasil hak ciptanya menerbitkan drama TV, Seinfeld sejak 10 tahun lalu, selepas tayangan drama itu berakhir dan juga daripada satu siri iklan Microsoft yang diciptanya.

Di tempat kelima, ahli psikologi TV, Dr. Phil McGraw membuktikan bahawa nasihat juga mampu memperolehi bayaran tinggi menerusi rancangan TV miliknya, buku-buku dan ceramah-ceramah yang banyak membantu beliau meraih pendapatan kira-kira AS$80 juta (RM285.7 juta) pada tahun lepas.

Hakim American Idol dan penerbit rancangan, Simon Cowell meraih sekitar AS$75 juta (RM267.7 juta), bersama-sama dengan penerbit TV, Dick Wolf dan penerbit filem, Tyler Perry. - Reuters

Faizal Tahir kandas ke APM kerana hutang PTPTN

Faizal Tahir kandas ke APM kerana hutang PTPTN






KUALA LUMPUR - Artis dan komposer terkenal, Faizal Tahir (gambar) gagal menaiki pesawat untuk menghadiri majlis Anugerah Planet Muzik (APM) 2009 di Jakarta semalam dipercayai akibat tidak menjelaskan hutangnya dengan Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Kosmo! difahamkan, Faizal sepatutnya menaiki pesawat bersama beberapa rakan artis seperti Ayu, Dafi dan Aizat pada pukul 3.55 petang menerusi Terminal Penerbangan Tambang Murah (LCCT) di Sepang semalam.

Namun, Faizal satu-satunya artis yang gagal melepasi saringan Imigresen kerana PTPTN sebelum ini telah mengenakan perintah sekatan keluar negara kepada hampir 78,000 peminjam yang tidak menjelaskan hutang.

Usaha mendapatkan komen Faizal, lulusan Universiti Teknologi Mara (UiTM) itu bagaimanapun gagal kerana beliau tidak menjawab panggilan telefon.

Dapatkan berita selanjutnya dalam akhbar Kosmo!.

'Siti dan isu tudung'

'Siti dan isu tudung'


SITI mengakui sudah lali dengan persoalan tentang imej dirinya yang bertudung.


IMEJ tudung penyanyi nombor satu negara, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin tidak pernah habis dijadikan isu. Sejak penghijrahan mengenakan tudung ala selendang selepas menunaikan Haji pada awal tahun 2008, kritikan demi kritikan mula diterimanya.

Agak lama juga isu itu mahu reda, namun ia dibangkitkan semula selepas berlangsung Konsert Satu Eksklusif Siti Nurhaliza baru-baru ini.

Gara-gara Siti mengenakan selendang hitam yang dililit seperti sanggul semasa konsert serta pada sidang akhbar selepas konsert, isu tudung Siti mula dibangkitkan semula.

Bagi sesiapa yang hadir pada waktu tersebut, tiada yang mempersoalkannya kerana selendang itu masih ada di kepala penyanyi jelita itu.

Namun, bagi yang melihat penampilan itu menerusi foto-foto yang dikeluarkan di media cetak, Siti dilihat seolah-olah langsung tidak memakai selendang.

Sehingga pada satu tahap, ada yang mencemuh Siti dengan mengatakan lebih elok jika penyanyi kelahiran Pahang itu tidak perlu lagi mengenakan tudung!

Bertanyakan kepada Siti sendiri, adakah dia akan membuka tudungnya dan kembali kepada imej lamanya, isteri kepada Datuk Khalid Mohammad Jiwa ini dengan penuh berhemah menjawab persoalan tersebut.

Namun dalam tenang nada jawapannya tetap terasa ketegasannya, Siti bagaimanapun enggan mengulasnya dengan panjang lebar.

Bimbang terlanjur kata menjadi janji dan akan ditagih di kemudian hari. Apalagi sepatah bicara Siti, dia yang menanggung semua hal yang akan berbalik kepada dirinya kelak.


BERSAMA dua teman baik, penyanyi terkenal Indonesia, Rossa (kiri) dan Kris Dayanti.


"Kadang-kala, nak puaskan hati semua orang memang susah. Sejak bergelar artis, Siti buat apa yang termampu untuk memuaskan hati semua pihak.

"Bila dengar komen-komen orang, tak adalah Siti geram dan nak buka balik tudung. Cuma Siti tak mahu komen lebih-lebih.

"Sebab setiap komen yang Siti beri, orang akan ingat dan kalau Siti tak buat seperti yang dikatakan, orang akan mempersoalkan pula. Apa pun, Siti akan buat perkara ini secara semula jadi.

"Siti faham, orang akan memandang lalu menyelidik tentang kita, tapi Siti tak marah. Isu tudung ini sering orang perkatakan dan Siti pun dah lali. Kalau boleh, tak nak panjangkan cerita lagi.

"Biar orang melihat sendiri perubahan Siti. Janji Siti tahu apa yang Siti buat dan Tuhan tahu niat Siti," ucapnya.

Menurut Siti lagi, keadaan tersebut berlaku kerana terlalu banyak harapan yang dinantikan oleh masyarakat daripadanya.

Justeru, apabila apa yang dilakukan Siti tidak seperti yang diharapkan, kata-kata nista pula yang datang menyerang.

Mahu ikutkan hati, selepas menunaikan Haji, menjadi suri rumah sudah cukup membahagiakan diri Siti.

"Sebenarnya, sebelum menunaikan Haji dulu, wartawan sendiri yang tanya sama ada Siti akan pakai tudung selepas itu atau tidak.

"Tapi Siti cakap, insya-Allah, kalau niat hati terbuka baru Siti akan pakai. Tiba-tiba perkara ini dah jadi macam satu harapan pula, semua mahu lihat Siti selepas pulang dari Haji waktu itu.

"Tapi selepas perubahan penampilan Siti, ada yang suka dan ada yang tidak. Dalam hal ini, ada yang sudah bersedia (bertudung) dan ada yang belum. Macam Siti, lebih elok Siti berubah perlahan-lahan dan harap Tuhan memberikan masa.

"Tapi kalau nak ikutkan hati, Siti nak jadi orang biasa balik dan duduk saja di rumah," selorohnya yang akan berangkat ke Jakarta hari ini sempena majlis Anugerah Planet Muzik 2009 (APM '09).

Sedia terima respons masyarakat Indonesia

Sibuk dengan jadual yang begitu ketat, Siti hanya berkesempatan membuat persiapan persembahan pada APM '09 sehari sebelum acara itu diadakan sahaja.


SITI berangkat ke Jakarta hari ini untuk menyertai APM 2009.


Mengalunkan lagu medley, Cindai serta Di Taman Teman pada malam itu, Siti turut dicalonkan bagi kategori Artis Malaysia Paling Popular Anugerah Kosmo!; Artis Serantau Paling Popular dan Artis Wanita Terbaik.

"Tahun ini, pemilihan Siti berdasarkan album Lentera Timur, sekurang-kurangnya ia menunjukkan sesuatu yang positif kerana Siti satu-satunya artis yang tercalon daripada genre album berkonsep tradisional.

"Kalah atau menang Siti menerima dengan lapang dada kerana saban tahun APM menonjolkan ramai artis berbakat," katanya.

Sementara itu, ketika ditebak berkenaan dengan masalah politik antara Malaysia dan Indonesia yang timbul sejak akhir-akhir ini, terutama mengenai isu penderaan pembantu rumah Indonesia yang bekerja di Malaysia serta kontroversi model terkenal Indonesia, Manohara Odelia Pinot bersama suaminya, iaitu Tengku Temenggung Kelantan, Tengku Muhammad Fakhry, Siti menganggap muzik dan politik tidak harus dicampur-adukkan.

Apalagi dengan kehadiran delegasi Malaysia bagi acara APM '09 yang mungkin mengundang kekecohan daripada masyarakat seberang, Siti sedia arif.

"Siti sudah pun bersedia dengan segala kemungkinan yang akan berlaku kerana Siti pun faham, isu-isu seperti ini memang agak sensitif bagi mereka.

"Tapi perlu diingat ia tidak ada kena mengena dengan muzik. Jangan campur-adukkan muzik dengan politik," tegasnya.

Siti juga sempat membicarakan tentang perselisihan yang timbul mengenai isu kuota penyiaran lagu-lagu Indonesia di media Malaysia.

"Nak kata pihak kita memulaukan muzik Indonesia tidak juga, kerana penggiat-penggiat seni dari sana kerap datang ke Malaysia dengan pelbagai acara seperti yang terbaru ini, Malam Pesta Indonesia serta beberapa pelancaran majlis yang lain.

"Apa-apa pun, dari segi respons orang ramai kepada Siti dan juga artis-artis Malaysia lain, Siti sudah pun bersedia," bicaranya yang bakal merakamkan album berkonsep kerohanian pada hujung bulan ini.

Kembara rohani Rabbani

Kembara rohani Rabbani


SEBAHAGIAN ahli rombongan ke Mekah yang diuruskan oleh Ar-Raziq Travel & Tours Sdn. Bhd.


POPULARITI kumpulan nasyid, Rabbani telah membuka peluang buat mereka membuat persembahan di negara-negara luar. Malah baru-baru ini, semasa dua anggota kumpulan itu, Asri Ibrahim dan Azadan Abdul Aziz mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah, mereka telah dijemput ke satu majlis nasyid.

Majlis itu dianjurkan oleh kumpulan Nibras yang dianggotai oleh 13 remaja keturunan Arab Melayu Patani. Mendapat undangan menerusi rakan mereka yang menetap di Mekah, Asri dan Azadan dijemput bukan sahaja untuk memeriahkan majlis itu tetapi juga untuk bertemu rakan sealiran daripada lain negara.

Nibras yang beroperasi di Azaziah, Mekah mengetengahkan lagu berkonsep tradisional dan moden dengan menggunakan alat muzik duf dan perkusi.

Menurut Azadan, mereka berdua amat terkejut kerana kehadiran dirinya dan Asri disambut meriah. Nibras sebenarnya telah mengikuti perkembangan nasyid di Malaysia terutama kumpulan Rabbani.

"Mereka menjadikan Rabbani sebagai idola dan mereka teruja dapat bertemu kami dan meluahkan hasrat untuk bergandingan dengan Rabbani suatu hari nanti. Diharap impian itu menjadi kenyataan kerana kami juga sangat berbesar hati dengan jemputan itu yang dilayan bagaikan VIP.

"Saya lihat mereka bersungguh-sungguh ingin mengimarahkan nasyid dengan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat kepada peminat nasyid di Mekah. Kesungguhan itu dapat dilihat menerusi usaha mereka menubuhkan pejabat dan studio sendiri di Mekah. Paling mengagumkan mereka ada pasukan media sendiri yang sentiasa melaporkan kegiatan mereka," tambah Azadan.

Pada majlis itu juga beberapa buah lagu Arab turut dialunkan. Melihat kepada perkembangan tersebut, tidak mustahil Rabbani dan Nibras bakal bergandingan menerusi sebuah konsert istimewa di Mekah suatu hari nanti.

Sebelum ke Mekah untuk mengerjakan umrah, Azadan melawat Kaherah, sementara Asri pula terlebih dulu singgah di Istanbul bersama kumpulan jemaah lain.

Kedua-dua rombongan umrah itu diuruskan Ar-Raziq Travel & Tours Sdn. Bhd. yang juga merupakan cabang perniagaan baru Rabbani.

Mereka bekerjasama dengan syarikat pelancongan itu dan menganjurkan pakej umrah sepanjang tahun termasuk umrah awal, pertengahan dan akhir Ramadan.


NIBRAS sering mengikuti perkembangan tentang Rabbani.


"Biarpun pernah ke Kaherah, saya masih tidak puas menikmati keunikan negara itu yang terkenal dengan Piramid, Sungai Nil dan Universiti Al-Azhar. Saya juga meluangkan masa melawat kubu pertahanan Salahuddin Al Ayubi, Masjid Mohamed Ali Basha, kilang kristal dan ke bandar pelancongan Alexandria (dulunya Iskandariah).

"Di bandar itu, kami melawat Istana Raja Farouk, makam Nabi Daniel dan makam Lokman Hakim," ucap Azadan.

Para jemaah bagaikan kehilangan kata-kata apabila menyaksikan hampir 30,000 penduduk Mesir membina rumah di atas kubur saudara mara masing-masing. Mereka terpaksa membina petempatan di situ disebabkan kemiskinan.

Maka, terlahir perasaan syukur untuk menjadi anak Malaysia yang negaranya aman dan makmur. Benar kata pepatah lama, jauh berjalan luas pandangan. Apabila melihat kedaifan kehidupan masyarakat di negara lain, ia menimbulkan keinsafan dalam diri.

Dalam sesi lawatan itu juga, jemaah ditunjukkan tempat pembunuhan Presiden Mesir ketiga, Mohamed Anwar Al-Shadat, tugu peringatan dan perpustakaan terbesar di Afrika kerana Mesir merupakan satu-satunya negara Arab yang terletak di benua Afrika.

"Namun, apa yang paling mengujakan saya adalah peluang untuk melihat petempatan penduduk miskin dan sederhana di Kaherah serta deretan kedai yang terletak di sebalik premis perniagaan yang tersergam itu.

"Kawasan penempatan itu terletak di seberang Hotel Europa dan kami menaiki kenderaan roda tiga untuk meninjau sebahagian besar petempatan yang dibina berlapis jauh beberapa kilometer ke dalam," jelas Azadan lagi.

Singgah di kedai roti yang terdapat di kawasan itu, Azadan begitu tertarik untuk mengetahui cara membuat roti di situ. Kehadirannya bukan sahaja disambut baik, malah ada yang sudi mengajarnya cara membuat roti.

"Roti adalah makanan ruji masyarakat Arab. Sebenarnya roti mereka lebih ringkas saja dan cara membuatnya pun mudah. Tetapi yang menarik minat saya adalah cara mereka mengadun roti itu menjadi kembung sebaik sahaja dibakar," katanya.

Sebaik sahaja pulang ke tanah air, Rabbani akan bekerjasama dengan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) untuk menganjurkan Konsert Antara Dunia 2009 bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, pada 1 Ogos, pukul 8.30 malam.

Antara artis yang terlibat adalah Rabbani, Raihan, Hijjaz dan Shoutul Harokah dari Indonesia.

Tiket-tiket untuk bersama menghayati keindahan bait-bait melodi Rabbani dan rakan-rakan ini kini sudah dibuka untuk tempahan.

Turut diadakan jualan gerai dan untuk tempahan (gerai) hubungi 013-3796023 atau 03-62721225. Penaja utama konsert ialah Permata Hijrah pengeluar produk kesihatan untuk mata berasaskan ekstrak mutiara, air zam zam, air suling dan karangan laut.

Dan bagi mereka yang berminat untuk menyertai pakej percutian, pakej haji dan upah haji Ar-Raziq Travel & Tours Sdn. Bhd., anda boleh menghubungi Ahmad di talian 012-3062291 atau Rashidah di talian 019-6344332.

David Beckham Tolak dampingi Jolie

Tolak dampingi Jolie


David Beckham


DEMI menjaga hati isteri, David Beckham dilaporkan telah menolak tawaran untuk terbabit dengan kempen seluar dalam Emporio Armani bersama aktres berbibir seksi, Angelina Jolie.

Beckham sanggup menolak tawaran yang mungkin mencecah puluhan juta ringgit itu kerana menurutnya, dia sudah berkahwin dan tidak elok jika dia berlakon iklan bersama wanita lain.

"Angelina merupakan seorang wanita yang hebat, dan begitu juga dengan pasangannya, Brad Pitt. Anda pasti tahu, Angelina tidak patut melakukannya, begitu juga saya. Bagaimanapun, saya tetap tidak akan melakukannya kerana saya sudah berkahwin," katanya kepada program TV, Extra.

Kenyataan suami bekas anggota Spice Girls, Victoria Beckham itu merupakan reaksinya terhadap sebuah laporan baru-baru ini yang mendakwa dia dan Jolie bakal melakukan aksi panas sebuah iklan seluar dalam jenama tersebut.

Beckham sebenarnya telah menandatangani kontrak dengan gedung fesyen ternama Itali itu pada 2007, manakala Angie pula baru sahaja menandatangani kontrak dengan gedung fesyen tersebut pada bulan lepas.

Sebuah sumber memberitahu: "Apabila David Beckham dan Angelina Jolie berada di bawah satu bumbung, saya pasti mereka berdua akan digabungkan walau apa cara sekalipun.

"Kemunculan mereka berdua bersama pasti akan menaikkan publisiti terhadap jenama Emporio Armani."

Dr. Abby didiagnos kanser payu dara

Dr. Abby didiagnos kanser payu dara


Maura Tierney


APALAH nasib pelakon ER yang membawa watak Dr. Abby Lockhart, Maura Tierney. Biarpun tubuh badannya tampak anggun dan seksi, pelakon itu sebenarnya mendapat penyakit kanser payu dara.

Penyakitnya itu diketahui pihak media setelah Tierney tidak dapat hadir pada majlis tayangan program TV terbaru lakonannya, Parenthood, kerana dikatakan tidak sihat pada waktu itu.

"Setakat ini, saya masih berada dalam keadaan stabil. Setelah menjalani beberapa pemeriksaan, terdapat tumor dalam payu dara saya dan pembedahan perlu dilakukan secepat yang mungkin," katanya kepada Contactmusic.

Walaupun tidak mengetahui penyakitnya secara terperinci, pelakon berusia 44 tahun itu begitu berharap agar kesihatannya kembali normal.

"Saya tak pasti dengan penyakit saya mahupun kos pembedahan yang bakal saya lakukan. Doktor saya telah membuat persiapan yang terperinci.

"Namun, saya begitu optimis dengan kesihatan saya selepas pembedahan nanti. Harap penyakit saya ini dapat dipulihkan dan dapat bekerja seperti biasa," katanya.

Krisdayanti pernah bedah plastik

Krisdayanti pernah bedah plastik

JAKARTA - Ini bukan gosip! Krisdayanti pernah menjadi penagih dadah syabu, menjalani pembedahan plastik dan hampir dicerai oleh suaminya iaitu Anang Hermansyah, lapor sebuah akhbar semalam.

Semua itu diakui oleh penyanyi itu dalam buku barunya berjudul My Life My Secret.

Buku itu menggambarkan ungkapan rasa bersalahnya.

Dia mengaku menggunakan syabu pada 1998.

Namun, dia menjalani rawatan pemulihan sehingga sembuh daripada ketagihan dadah.

"Tahun 1999, ketika itu Krisdayanti terkenal tetapi sebenarnya ada tonggak berbahaya iaitu ubat," jelas penulis buku tersebut, Alberthiene Endah.

Krisdayanti mengaku dia turut jauh daripada mengingati Tuhan kerana kesibukan.

"Kesibukan saya membuat saya enggan mengucapkan syukur," katanya yang mengaku ketika itu dia memiliki banyak wang untuk membeli syabu yang mahal.

Dia turut mendedahkan keberaniannya melakukan pembedahan plastik dalam buku tersebut.

"Ketika saya buka baju dan telanjang di depan cermin, saya mengucapkan syukur. Tetapi setelah hamil, naik 30 kilogram. Tubuh saya ada struktur-struktur lemak. Oleh itu, saya melakukan pembedahan dan bentuk badan saya menjadi lebih bagus," katanya.

Dalam bukunya tersebut, kehidupan seksnya dengan Anang turut didedahkan.

Menurut penulis itu, antara perlakuan seks Krisdayanti ialah dia memakai stoking jaring-jaring dengan tujuan untuk mecetuskan keghairahan Anang. - Agensi

Pelakon Harry Potter mengaku tanam ganja

Pelakon Harry Potter mengaku tanam ganja

LONDON - Seorang remaja yang pernah berlakon dalam filem Harry Potter iaitu James Waylett (gambar) semalam mengaku dia menanam pokok ganja di rumah ibunya.

Waylett yang melakonkan watak Vincent Crabbe didakwa pada April lalu selepas ditangkap bersama rakannya, John Innis di tengah London.

Dia yang berada di mahkamah semalam mengaku membesarkan pokok ganja.

Mahkamah diberitahu bahawa Waylett ditangkap selepas dia merakamkan gambar anggota-anggota polis ketika menaiki kereta rakannya.

Polis meminta kereta itu berhenti dan lapan beg ganja serta sebilah pisau turut ditemui.

Beberapa pegawai polis lain kemudian memeriksa rumah ibu Waylett dan menemui 10 pokok ganja.

Tiga lagi beg ganja ditemui di rumah rakannya itu.

Rakannya itu mengaku memiliki sebilah pisau dan 11 beg ganja. - AFP