Monday, July 20, 2009

Gejolak jiwa remaja Kaki Blue

Gejolak jiwa remaja Kaki Blue


BARISAN pelakon teater muzikal, Kaki Blue bergambar bersama pengarahnya, Joe Hasham (tengah, berkaca mata) dan penulis skripnya, Mark Beau de Silva (duduk, lima dari kiri) serta Faridah Merican (di sebelahnya).


BERPELUANG menyaksikan sedutan teater muzikal, Kaki Blue yang diarahkan oleh pengarah teater tersohor, Joe Hasham di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) baru-baru ini, ia memberi satu impresif baru kepada pengarah itu.

Manakan tidak, jika disingkap kembali hasil pengarahannya sebelum ini, hampir kesemua karyanya adalah berat dan bukan semua golongan boleh menerimanya.

Tetapi, menerusi Kaki Blue yang bakal dipentaskan di KLPac bermula 30 Julai ini, Joe mempamerkan kisah yang cukup ringkas, menarik dan padat dengan maksud tersirat yang begitu dekat dengan masyarakat.

Namun, jangan sesekali membuat prasangka buruk atau memberi tafsiran nakal hanya berdasarkan judulnya sahaja tetapi cuba selami mesej tersirat yang terkandung dalam naskhah ini.

Biarpun ia sebuah teater muzikal, namun ia diselitkan dengan elemen humor, kekeluargaan serta persahabatan dan bukan seperti teater muzikal yang sering dipentaskan.

Tidak mustahil untuk teater muzikal ini meraih perhatian serta mendapat sambutan hangat daripada semua golongan masyarakat apabila dipentaskan kelak.

Plot utamanya mengisahkan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).

Ia juga memuatkan perihal aksi remaja-remaja itu sewaktu dalam kem PLKN.

Dari sisi lain pula, sub plotnya mengupas pergolakan tiga watak utamanya yang berdepan dengan pelbagai masalah dan situasi yang ada kalanya terjadi dalam diri kita mahupun masyarakat sekeliling.

Sungguh menarik apabila kisah PLKN diangkat ke pentas teater kerana sememangnya naskhah sedemikian agak jarang dipentaskan.

Bertemu dengan penggiat seni persembahan tersohor ini sebaik selesai pratonton teater muzikal berkenaan, rona gembira terpancar jelas pada wajahnya tatkala diajak berbicara tentang Kaki Blue.

Jelasnya, dia cukup teruja apabila dapat mengarahkan teater yang diangkat daripada hasil tulisan Mark Beau de Silva yang disifatkannya sarat dengan semangat serta wawasan tinggi anak muda yang terlibat di dalamnya.

Sememangnya dia mahu mencari idea yang baru dan segar untuk teater terbarunya serta memberi kelainan untuk peminat teater tempatan selepas dia terhibur menonton filem High School Musical.

Impak daripada filem berkenaan telah memberikan satu idea untuk mengetengahkan permasalahan dan gejolak jiwa remaja di negara ini yang mungkin tidak ramai menyedarinya.

"Lalu, saya menceritakan kepada Mark tentang idea saya dan sebaik sahaja saya membaca naskhah Mark, saya begitu teruja dan tertarik kerana belum pernah lagi kisah sebegini diangkat ke pentas teater.

"Saya percaya kisah yang berlaku dalam Kaki Blue ini pernah berlaku dalam kehidupan kita terutama sekali sewaktu kita di alam persekolahan. Itulah yang saya cuba tonjolkan dalam teater muzikal ini.

"Lagipun, saya mahu mencari cerita yang lebih ringan tetapi sarat dengan mesej dan mampu memberikan impak kepada penonton yang menontonnya," ujarnya yang juga pengasas The Actors Studio bersama isterinya, Datuk Faridah Merican.

Sebelum ini, semua karya Joe berteraskan genre drama dan menampilkan tema yang agak berat seperti Broken Bridges, Tunku The Musical dan Ismail The Last Days.

Namun, apa yang membanggakan dan membuatkan anak kelahiran Lebanon ini bersemangat dengan produksi terbaru ini ialah jiwa anak muda yang terlibat daripada barisan pelakonnya hinggalah ke pengarah muziknya.

Kata Joe, semangat waja anak-anak muda itu sudah cukup membuktikan bahawa mereka benar-benar mencintai seni biarpun ada sesetengah daripada mereka masih lagi menuntut di bangku sekolah.

Tidak pernah kenal erti penat dan lelah apabila perlu menjalani latihan lebih kurang tiga jam sehari selama enam hari seminggu sejak dua bulan yang lalu membuatkan Joe dan isteri membuat satu kesimpulan.

"Ia telah memberi satu signal kepada saya dan Faridah bahawa kita sudah mempunyai pelapis negara untuk terus memartabatkan serta memperkasakan penerbitan teater tempatan," jelasnya yang bakal menginjak usia 61 tahun pada 4 September ini.

Keseluruhan krew produksi yang terlibat dalam Kaki Blue adalah seramai 70 orang.

Daripada jumlah itu, 11 daripada mereka merupakan pelakon utama yang rata-ratanya memiliki asas serta pengalaman dalam gelanggang teater dan seni persembahan yang lain.

Ini termasuklah juara program realiti, Audition musim pertama pada tahun 2004, Tria Aziz yang memegang watak sebagai Major Sabar.

Sudah pasti, tidak lengkap sebuah teater muzikal itu tanpa lagu-lagu bagi melengkapkan lagi persembahan.

Menariknya, sebahagian daripada 20 buah lagu yang ditampilkan dalam Kaki Blue ini merupakan lagu-lagu malar segar berbahasa Inggeris yang pernah menjadi siulan satu ketika dahulu.

Lantas, ia juga berupaya membawa penonton mengimbas kenangan silam dengan lagu-lagu tersebut biarpun liriknya telah diubah bagi menyesuaikan dengan penceritaan Kaki Blue.

Antaranya lagu-lagunya ialah It's My Party, Girls Just Wanna Have Fun, Silence Is Golden, She Bop dan banyak lagi yang telah digubah dengan muzik yang baru dan segar oleh Nick Davis.

Bagi Mark pula, meskipun secara luarannya tema Kaki Blue agak mudah dan ringkas, namun sebagai penulis, ia merupakan karya yang paling sukar untuk direalisasikannya.

Kerana bagi Mark, dia lebih selesa dan gemar menulis naskhah khususnya untuk genre drama kerana ia mencabar minda serta kreativitinya.

Namun, inspirasi yang terhasil selepas menonton filem Hairspray banyak menggerakkan mindanya untuk mengilhamkan jalan cerita Kaki Blue yang pertama kali seumpamanya dihasilkan oleh Mark.

Bukan itu sahaja, dia juga mahu mengubah stigma dan persepsi negatif terhadap imej PLKN yang sering kali dijaja.

"Agak sukar untuk menolak permintaan Joe dan Faridah. Jadi, apabila Joe mahu sebuah cerita yang berbeza daripada apa yang telah saya lakukan sebelum ini, saya buat sehabis baik.

"Sehinggakan hampir 20 hingga 30 draf saya hasilkan sebelum skrip lengkap dapat disiapkan. Idea saya adalah daripada pengalaman saya sendiri sebagai seorang guru apabila pelajar-pelajar saya sering datang kepada saya untuk meluahkan perasaan mereka.

"Banyak yang diceritakan kepada mereka tentang kegusaran mereka terhadap PLKN dan perancangan selepas tamatnya persekolahan. Maka, dengan itu terhasillah Kaki Blue," jelasnya yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah terkemuka di pinggir ibu kota.

Mark sememangnya sudah sebati dengan dunia teater dan kerap bekerjasama dengan Joe dan Faridah sejak usia remaja lagi.

Salah satu karyanya, Stories For Amah yang diarahkan oleh Joe pernah menerima lima pencalonan dalam Anugerah Seni Cameronian 2002 termasuk Skrip Terbaik.

Cabaran dan dugaan Hafiz

Cabaran dan dugaan Hafiz


DUA bulan selepas keluar daripada AF7, Hafiz kini melalui liku-liku hidup sebagai anak seni dengan penuh tabah.


KENANGAN pada detik 16 Mei lalu pastinya sukar untuk dilupakan dan masih jelas serta segar dalam ingatan jejaka comel bernama Mohd. Hafiz Mohd. Suip ini.

Menjuarai Akademi Fantasia musim ketujuh (AF7), cinta dan impiannya untuk bergelar anak seni tidaklah bernoktah begitu sahaja.

Memiliki perwatakan ceria dan mudah melemparkan senyuman, Mohd. Hafiz atau mudah disapa Hafiz mengakui bahawa dia kini amat teruja untuk meneruskan cita-cita bergelar artis ternama.

Bak menggapai awan di langit, namun, laluan seni Hafiz sepanjang dua bulan bertatih di pentas hiburan bukanlah semudah yang disangkanya.

Ini kerana, awan yang digapainya itu seolah menumpahkan hujan toksid dan bisa membuatkan Hafiz tersungkur andai gagal mengawal emosi diri.

Bagaimanapun, biar diuji dengan pelbagai cabaran dan dugaan antaranya dituduh penyombong, tidak mahu bertegur sapa dengan orang lain dan suka berpeleseran di kelab malam, Hafiz masih mampu berhadapan dengan segala kata-kata negatif tersebut.

Sambil menafikan dakwaan itu, Hafiz dalam wajah tenang berkata, dia memilih untuk tidak mengangkat kata-kata itu sebagai bebanan bagi diangkut dalam kehidupan hariannya.

Bagi Hafiz, cara mengawal permasalahan yang melanda adalah dengan cara bertawakal kepada Allah samping bersikap tenang.

Apatah lagi, Hafiz sering diingatkan sebaik memasuki bidang, dia perlu berhadapan dengan cabaran dunia seni yang cukup hebat.

"Sepanjang dua bulan ini juga, Hafiz telah mendengar macam-macam yang orang lain kata tentang Hafiz. Semuanya itu tidak benar, termasuk dakwaan berpeleseran di kelab malam.

"Hafiz bukanlah begitu. Tapi tidak mengapa, semua itu lumrah kehidupan,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran album sulungnya berjudul Masih Jelas di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama pada majlis tersebut, Pengarah Eksekutif Astro Entertainment Sdn. Bhd. (AESB), Zainir Aminullah, Pengetua AF7, Datin Seri Tiara Jacquelina dan kalangan komposer antaranya M. Nasir, Ajai, Aidit Alfian dan Taja.

Turut hadir, empat finalis AF7 iaitu Aril, Akim, Yazid serta Isma.

Menyambung bicara, ujar jejaka berusia 19 tahun ini, dengan kata-kata negatif yang menghujani dirinya, dia sesekali tidak akan menanam rasa menyesal dalam hati kerana berkecimpung dalam dunia hiburan.

Jelas Hafiz, dalam menghadapi cabaran dan dugaan, dirinya bernasib baik kerana keluarga terutama ibunya, Halizawati Mohd. Salleh, 44, sentiasa memberikan semangat dan mendoakan kesejahteraan.

"Emak selalu beri nasihat supaya saya kerja baik-baik dan gunakan tenaga yang dikurniakan Allah ini dengan sebaiknya serta jangan melakukan sesuatu yang tidak elok,'' katanya yang mengimpikan untuk bergelar pelakon serta pengacara.

Gembira dengan Masih Jelas

Sementara itu, Hafiz ketika diajak berbicara tentang album sulungnya berjudul Masih Jelas memberitahu, dia cukup gembira dengan kelahiran album terbabit.

Berkonsepkan pop balada, Masih Jelas kata Hafiz, merupakan percubaan pertamanya untuk terus bergerak dalam bidang nyanyian.

"Sudah tentu saya berpuas hati dengan hasil rakaman album ini. Ia juga menampilkan komposer-komposer hebat dan terkenal. Terima kasih kepada mereka.

"Masih Jelas juga turut memuatkan lagu-lagu rakan-rakan saya dalam akademi iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma,'' katanya yang berjaya menurunkan berat badan sebanyak enam kilogram baru-baru ini.

Masih Jelas memuatkan lima buah lagu baru nyanyian Hafiz iaitu Masih Jelas (Aidil Alfian, Ad Samad); Noktah Cinta (Ajai, Syeikh Qalam); Watak (Aidil Alfian, Ad Samad); Ku Akui (Ajai) dan Awan Nano (M. Nasir, Buddhi Hekayat).

Selain lagu-lagu berkenaan, turut dimuatkan adalah Toksid nyanyian Aril, Bengang (Akim), Ya Papa (Yazid) dan Bisikan...Godaan (Isma).

Menurut Hafiz, sepanjang rakaman, dia diberikan ruang dan peluang untuk memberikan pendapat mengenai lagu-lagu nyanyiannya itu.

"Hafiz banyak bertanya kepada komposer dan penulis lirik seperti abang Ajai (Ajai) bagaimana hendak menghayati lagu-lagunya,'' katanya yang teringin untuk menghasilkan lagu sendiri satu hari nanti.

Kaitan Ku Akui dengan Hafiz

Masih lagi berbicara soal Masih Jelas, Hafiz berkata, antara lagu-lagu yang terkandung dalam album berkenaan, lagu berjudul Ku Akui sedikit sebanyak mempunyai kaitan dengan dirinya.

"Ia seperti menyindir diri Hafiz sendiri terutama soal cinta. Abang Ajai yang cipta lagu ini ada bertanya Hafiz tentang cinta Hafiz sebelum ini.

"Namun, bagi Hafiz, buat masa ini, biarlah Hafiz tumpukan kepada kerja terlebih dahulu. Kalau ada pun (teman wanita), Hafiz akan bertanyakan kepada emak terlebih dahulu,'' jelas Hafiz sambil ketawa besar.

Strategi pemasaran AESB

Dalam pada itu, Zainir yang diajukan persoalan tentang proses pembikinan Masih Jelas yang dilihat seakan tergesa-gesa berkata, Masih Jelas perlu dipasarkan awal seiring dengan populariti Hafiz yang masih 'panas'.

"Ini adalah strategi AESB. Kalau dilihat pengalaman lalu, album dikeluarkan agak lewat dan hasilnya ia kurang mendapat sambutan,'' tegasnya.

Ketika ditanya mengapa Masih Jelas menyelitkan lagu-lagu empat lagi finalis AF7, ujar Zainir, ia sebagai penunjuk aras untuk membangunkan karier artis-artis lain.

"Selain untuk menaikkan nama mereka, kami gunakan Masih Jelas untuk melihat penerimaan peminat masing-masing.

"Selain Hafiz, empat daripada mereka ini iaitu Aril, Akim, Yazid dan Isma sudah mempunyai jenama tersendiri,'' tambahnya.

Anita 'berperang' di dapur

Anita 'berperang' di dapur


HOS rancangan Perang Kuali, Anita Sarawak.


PUAS mengendalikan rancangan bual bicara, kini penghibur tersohor, Anita Sarawak mula mencari kelainan dalam bidang pengacaraan.

Mungkin bagi sesetengah orang, asalkan sudah bergelar pengacara, mengendalikan rancangan yang hampir serupa sudah cukup memadai.

Namun, tidak bagi penghibur yang cukup mesra dengan panggilan Kak Nita ini.

Sentiasa inginkan kelainan, daripada perwatakan lemah lembut penuh kewanitaan dalam rancangan kendaliannya Bersama Anita, kini Anita mula bertukar 'watak' dan sedang mengumpul tenaga mempersiapkan diri untuk 'berperang.'

Dua kumpulan menjadi lawan. Masing-masing mempunyai misi serupa, iaitu merebut kuali emas bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya memenangi hadiah utama, troli emas.

Itu adalah percaturan yang termaktub dalam rancangan terbaru terbitan Astro, Perang Kuali yang mengetengahkan Anita yang juga wajah eksklusif Astro sebagai pengacara.

Bersiaran di Astro Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Jumaat pada pukul 7.30 malam, Perang Kuali disiarkan bagi menggantikan rancangan Warung Kita bermula 17 Julai ini.

Pertama kali mengendalikan rancangan gameshow masakan berkonsepkan realiti TV memberikan cabaran tersendiri buat anak seniman dan seniwati S. Roomai Noor dan Siput Sarawak itu.

"Saya sukakan konsep rancangan ini dan sudah tentu ia merupakan sesuatu yang berlainan yang boleh saya lakukan untuk Astro.

"Ketika pertama kali mengadakan perbincangan dengan Astro, memang saya rasa rancangan ini sesuatu yang menarik. Terfikir juga sama ada boleh buat atau tidak. Bagaimanapun, saya yakin boleh buat dan mencuba yang terbaik untuk rancangan ini.

"Bagi saya rancangan ini cukup mencabar sebab walaupun nampak seronok tetapi ada kesusahan tersendiri terutama apabila terpaksa memilih pemenang.

"Kadang-kadang dalam satu minggu, kedua-dua kumpulan yang bertanding hasilkan masakan yang baik, jadi yang susahnya apabila kena buat keputusan memilih satu daripada mereka," kata Anita yang turut diberi tanggungjawab sebagai penilai.

Memeriahkan lagi suasana di dapur Perang Kuali, seorang selebriti bakal menjadi tetamu jemputan pada setiap minggu.

Antara selebriti yang terlibat termasuklah Mawi dan Ekin, Amber Chia, Anita Baharom, Zarina Zainuddin, Jasmin Hamid, Chef Ismail, Johan dan Zizan Raja Lawak, Isma AF dan suami Anita, Mahathir Abdullah.

Selain dimeriahkan oleh artis dan selebriti jemputan, kata Anita, kehangatan Perang Kuali ditambah dengan elemen-elemen kejutan berbeza pada setiap minggu.

Sekilas mengenai perjalanan rancangan itu, setiap episod diwakili oleh dua pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada empat ahli keluarga iaitu ibu, bapa dan dua anak.

Tugasan yang diberikan, si bapa dikehendaki memasak menu yang diberikan manakala si isteri hanya di benarkan untuk membantu.

Kedua-dua anak pula ditugaskan membeli keperluan masakan yang bersesuaian dengan menu yang diberikan.

Di peringkat suku akhir iaitu pada episod sembilan hingga 12, tugasan memasak diberikan kepada suami dan seorang anak sementara tugas membeli keperluan masakan diberikan kepada si ibu.

Pada peringkat separuh akhir (episod 13 dan 14), peserta diberi kebebasan untuk menentukan tugasan masing-masing meliputi memasak, membantu dan membeli barangan keperluan.

Memilih pasar raya Carefour, Ampang sebagai lokasi set Perang Kuali, menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, ia memberikan kemudahan kepada para peserta memilih barangan keperluan bagi melengkapkan menu masakan mereka.

Malah, kata Nizam, selain memudahkan peserta membeli barang, suasana di set Perang Kuali menjadi lebih terbuka, tidak terlalu serius dan lebih menyeronokkan.

Menariknya tentang Perang Kuali, tugasan memilih barangan keperluan diberikan kepada anak-anak sebagai galakan kepada mereka berjimat cermat dengan sejumlah wang yang diperuntukkan dan memilih barangan yang betul-betul bersesuaian dengan masakan.

"Sebanyak enam jenis barangan keperluan di senaraikan, empat lagi barangan sengaja disertakan bersama-sama senarai barangan yang diperlukan.

"Di sini kita dapat melihat sejauh mana pengetahuan anak-anak terhadap sesuatu masakan.

"Jika anak-anak dapat membeli kesemua barangan mengikut keperluan dengan betul, lima markah tambahan akan diberikan kepada kumpulan mereka," katanya.

Rahsia pemilik nama Hamidah Urif

Rahsia pemilik nama Hamidah Urif


WAJAH terbaru Hamidah Urif.


SEKITAR tahun 1970-an, setiap kali mendengar lagu Sayang Bukan Selasih Padi ke udara dendangan Hamidah Urif dan A.Talib, mengingatkan penulis kepada seorang lagi penyanyi bernama Sabariah Urif.

Ketika itu bukan sahaja penulis, malah ramai peminat lagu-lagu asli dan joget, menyangkakan Hamidah Urif dan Sabariah Urif merupakan pasangan adik-beradik.

Ini kerana, tempoh penglibatan mereka dalam gelanggang seni tidak jauh beza, justeru mencetuskan salah sangka di kalangan banyak pihak.

Tahun demi tahun dan sehingga hari ini, begitulah andaian peminat lagu-lagu 70-an dan asli terhadap kedua-dua penyanyi ini.

Bagaimanapun, pada satu pertemuan dengan penyanyi yang juga pesara kerajaan itu baru-baru ini, penyanyi itu membongkar satu rahsia yang selama ini tidak diketahui ramai.

"Sebenarnya antara saya dengan Sabariah Urif, kami tidak ada pertalian saudara. Kami bukan adik-beradik, cuma secara kebetulan nama bapa kami sama dan genre muzik yang kami nyanyikan juga tidak jauh bezanya," itu pendedahan yang dibuat oleh Hamidah.

Mengimbas kenangan silam, Hamidah berkongsi cerita, sejak dari awal penglibatannya sebagai penyanyi, tiada siapa khususnya pihak media yang bertanyakan hal itu padanya.

Biarpun pada hakikatnya, beliau dan Sabariah bukan saudara, namun, Hamidah hairan kerana tidak ada yang bertanyakan mengenai status hubungan mereka.

"Saya berasal dari Singapura dan Sabariah pula dari Hulu Langat, Selangor. Tetapi kalau mahu tahu, Sabariah pernah menjadi penyanyi pancaragam ayah saya," cerita Hamidah panjang lebar mengenai persoalan yang tidak pernah ditanyakan padanya itu.

Biarpun ada yang menganggap mereka adik-beradik tetapi menurut Hamidah, tidak pernah pula peminat ataupun mereka yang bertemunya bertanya mengenai mereka berdua.

Namun begitu, menurut Hamidah, biar apa sekalipun tanggapan orang ramai terhadap persamaan nama ayah mereka, apa yang penting kehadiran mereka dalam dunia seni dengan bakat semula jadi.

Sama ada Hamidah Urif atau Sabariah Urif, kedua-duanya mahir menguasai lagu-lagu melayu asli, ghazal, keroncong dan langgam dengan baik.

Hamidah yang dilahirkan di Geylang Serai, Singapura tetapi dibesarkan di Kuala Lumpur, mula berjinak-jinak dalam bidang seni setelah tamat sekolah dan memenangi tempat kedua dalam pertandingan Bintang Radio bahagian lagu-lagu asli (1965 dan 1966).

Selang beberapa tahun, Hamidah sekali lagi memenangi tempat kedua Bintang Radio Bahagian lagu-lagu Asli seluruh Malaysia.

Bertolak dari kejayaan itulah, Hamidah yang pernah menjadi penyanyi utama band Irama Perwira yang dipimpin oleh Allahyarham ayahnya, Urif Siraj diberi peluang merakamkan 4 EP (piring hitam bersaiz kecil) dan 1 LP (piring hitam bersaiz besar) dengan album pertamanya Berkasih Dalam Ingatan.

Album kedua yang menampilkan lagu duet beliau dengan A.Talib menerusi lagu Sayang Bukan Selasih Padi merupakan puncak kejayaan Hamidah dalam bidang seni.

Sejak album edaran MMI, Hamidah sering mendapat undangan menyanyi kerana gandingan suara mereka yang dianggap menyegarkan jiwa apabila mendengarnya.

Sayangnya, walaupun undangan menyanyi yang dipenuhi setiap hujung minggu bagaikan tidak menang tangan tetapi bayaran yang diterima tidaklah tinggi kerana kebanyakan penyanyi ketika itu lebih utamakan cinta pada seni mengatasi segala-galanya.

"Sebenarnya zaman saya, penyanyi-penyanyi bukan sahaja tidak demand, malah ketika rakaman album kami tidak dibayar berdasarkan unit album yang terjual.

"Sebaliknya syarikat rakaman hanya membayar secara pukal. Biarpun begitu saya tidak pernah menyesal apalagi ketika itu saya juga masih bekerja," kata Hamidah, isteri kepada Sarif Talib yang juga pesara kerajaan.

Hamidah dan Sarif mendirikan rumah tangga pada Oktober 1970. Hasil daripada perkahwinan bahagia itu, mereka dikurniakan empat orang anak iaitu Saiful Haimi, Sharida Hanim, Shahrul Hairi dan Shafizul Haziq dan lapan orang cucu.

Selepas bersara, Hamidah bekas Pembantu Khas di Jabatan Perdana Menteri, mula menumpukan perhatian pada bidang seni.

"Dulu semasa bekerja banyak juga undangan nyanyian yang dibuat pada hari bekerja saya tolak. Tetapi apabila sudah bersara saya bersama-sama kumpulan kawan yang dinamakan Kumpulan Nostalgia sering memenuhi undangan menyanyi di Kuala Lumpur atau di luar Lembah Kelang," cerita Hamidah mengenai Kumpulan Nostalgia yang dianggotainya, Datin Orchid Abdullah, Datin Azizah Mohamad dan Aspalela Abdullah.

Menurut Hamidah, bersama Kumpulan Nostalgia mereka bukan setakat menyanyi lagu-lagu asli, langgam dan pop malah mereka juga sering bermarhaban.

"Walaupun kini bersama kumpulan Nostalgia saya masih mampu memenuhi undangan menyanyikan lagu-lagu asli dan langgam, namun bimbang jika lagu tersebut terkubur begitu sahaja.

"Saya perhatikan tidak ramai penyanyi yang mampu membawakan lagu-lagu asli dengan baik. Menyanyi lagu asli patah suaranya lain.

"Tetapi sekarang penyanyi baru menyanyi lagu asli moden dengan patah suaranya lebih langgam," kata Hamidah.

Bagi Hamidah, ada ketika beliau memenuhi undangan sebagai pengadil pertandingan nyanyian.

Semua itu dilakukannya kerana amat sukar untuk beliau mengucapkan selamat tinggal pada bidang seni suara.

"Menyanyi memberi saya satu semangat apatah lagi apabila pergi mengadakan persembahan bersama rakan-rakan.

"Cuma apa yang menjadi harapan saya ialah pihak penganjur menghargai bakat kami dan bukan menilai kami daripada segi usia," kata Hamidah mengakhiri perbualan.

Artis Malaysia didiskriminasi?

Artis Malaysia didiskriminasi?





SITI masih berterusan menguasai kategori popular.



BUNGA CITRA LESTARI mengalahkan Siti Nurhaliza untuk Anugerah Artis Wanita Terbaik.









AIZAT menang dua daripada tiga pencalonan yang diraihnya.



AFGAN membuktikan kredibilitinya dengan menang Anugerah Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik.



AYU tidak sangka berpeluang menjulang trofi pada APM 2009.



KONTROVERSI. Mesej Kaka Slank buat pihak yang bertanggung jawab dalam tragedi pengeboman Jakarta.


KEPUTUSAN APM 2009 sudah muktamad menyaksikan majoriti pemenang, khususnya bagi kategori terbaik dimonopoli oleh karyawan muzik tuan rumah, Indonesia.

Biarpun menerima dengan terbuka keputusan itu, khususnya apabila harapan utama Malaysia, Hujan, kalah dalam kesemua enam pencalonan yang diraihnya,


harus diakui karyawan muzik Indonesia terbukti kredibiliti mereka.

Namun ada apa di sebalik yang tersurat pada APM kali ini? Benarkah karyawan muzik Malaysia yang hadir pada APM 09 itu telah didiskriminasi?

Apa pula kisah vokalis Slank, Kaka atau nama sebenarnya, Akhad Wira Satriaji yang mencetuskan kontroversi di pentas APM kali ini?

Berikut antara beberapa 'kisah' di sebalik tabir APM kali ini:-

*Wajah penyanyi dan komposer, Faizal Tahir dilihat tidak bermaya disebabkan tidak cukup tidur gara-gara menyelesaikan 'masalah' yang dihadapinya di Kuala Lumpur.

*Ketika naik ke pentas bagi menyempurnakan tanggungjawabnya sebagai penyampai anugerah, vokalis Slank, Kaka membuat kejutan apabila melondehkan seluarnya sebelum membelakangi kamera bagi menunjukkan bahagian punggungnya yang dibaluti seluar dalam jenis boxer yang tertulis perkataan, Bombers kiss my. Perkataan itu merupakan mesej daripada Kaka yang mengutuk tindakan pihak yang tidak bertanggungjawab terhadap siri pengeboman di Jakarta, Jumaat lepas.

*Aizat cukup terharu apabila ada peminat dari Indonesia yang mengenali dan berteriak namanya sewaktu berada pada acara APM 09.

*Semua pengunjung yang ingin memasuki Pusat Konvensyen Jakarta yang menjadi lokasi APM 09 itu dikenakan pemeriksaan imbasan terlebih dahulu bagi mencegah sebarang kejadian yang tidak diingini berlaku.

*Stacy, Ayu dan Dafi tanpa berselindung memberitahu kepada pihak media mereka cukup risau setelah mendengar insiden pengeboman itu.

*Pihak media terpaksa berkejar-kejaran untuk menghantar laporan disebabkan penganjur yang tidak menyediakan pusat mengakses Internet.

*Kumpulan yang semakin popular di Indonesia, Kotak sanggup meminjamkan komputer riba kepunyaan mereka kepada pihak media yang sedang kelam-kabut untuk menghantar laporan ke Kuala Lumpur.

*Seolah-olah terdapat diskriminasi apabila artis Indonesia diberikan bilik bersiap bersendirian, manakala artis Malaysia dan Singapura pula terpaksa berkongsi bilik.

*Bunga Citra Lestari sempat meminta pihak media dari Malaysia dan Indonesia yang sedang menemu ramah mereka agar berdoa supaya dia dan suami, Ashraf Sinclair dikurniakan cahaya mata secepat mungkin.

Artis tumpang simpati - Pengeboman bersiri di Jakarta

Artis tumpang simpati - Pengeboman bersiri di Jakarta


KAWALAN ketat. Pengunjung APM 2009 diperiksa rapi sebelum dibenarkan masuk ke Pusat Konvensyen Jakarta, Senayan, Indonesia, lokasi APM kali ini.


SEHARI sebelum penganjuran APM 09, Jakarta sekali lagi dikejutkan dengan berita menggemparkan apabila dua buah hotel bertaraf lima bintang, JW Marriot dan Ritz-Carlton dibom sehingga mengorbankan seramai sembilan nyawa, manakala lebih 52 mengalami kecederaan.

Kebimbangan dan gundah-gulana sudah tentu menyelubungi seluruh rakyat Indonesia termasuk artis yang turut menjayakan APM 09, baik yang datang dari Malaysia mahupun Singapura.

Siti tidak terkecuali meluahkan perasaan sedih dengan insiden yang mengorbankan nyawa manusia yang tidak berdosa itu.

"Saya ucapkan takziah kepada keluarga mangsa yang terkorban dalam tragedi pengeboman itu dan berharap agar mereka pasrah dengan takdir yang dialami oleh ahli keluarga mereka.

"Kita sebagai manusia biasa bagaimanapun harus akur dengan ketentuan-Nya," jelas Siti ringkas tetapi dalam nada sedikit beremosi.


MESKIPUN bimbang dengan keselamatan mereka, Siti dan Datuk K tetap bertenang dan kelihatan sangat romantis bersama.


Walaupun bimbang dengan keselamatan dirinya, namun Siti tetap menggagahkan diri untuk hadir ke APM 09 demi bertemu dengan peminatnya.

"Saya hanya berserah kepada Allah dan berniat untuk hadir ke APM 9 bagi membuat persembahan yang menghiburkan.

"Lagipun saya cukup rindukan saat untuk menyanyi di sini dan berjumpa dengan peminat di Indonesia. Lantaran itu, saya sanggup tolak ke tepi tentang insiden merbahaya ini," akui Siti bersungguh-sungguh,

Dalam pada itu, Bunga Citra Lestari turut meluahkan pandangan tentang tragedi berkenaan yang disifatkannya sebagai tidak berperikemanusiaan.

"Yang pasti kejadian itu cukup dikesali. Saya percaya kita sedang berdepan dengan masalah kehilangan pelabur yang ingin melabur di negara ini.

"Pelancong dari negara luar takut untuk berkunjung ke Indonesia. Pada waktu sama, pihak pemerintah juga terpaksa mengeluarkan perbelanjaan untuk membiayai bermacam-macam perkara.

"Saya dan rakyat Indonesia lain juga takut untuk keluar rumah dan menyukarkan kami untuk menjalankan urusan seharian dengan sempurna.

"Walaupun ajal dan maut di tangan Tuhan tetapi kita juga harus berwaspada dalam soal keselamatan ini.

"Saya harap orang yang buat jahat itu akan sedar bahawa tindakannya itu menyebabkan masyarakat yang menderita dan hidup dalam keadaan yang tidak menentu.

"Cuma saya berharap agar pihak pemerintah dapat menjadikan tragedi malang itu sebagai pengajaran kepada mereka," luahnya yang sempat menitipkan nasihat agar setiap manusia harus ada sikap saling menjaga keselamatan di antara satu sama lain.


BUNGA CITRA LESTARI menyeru pemerintah Indonesia menjadikan tragedi pengeboman terbaru di Jakarta sebagai suatu pengajaran.


Afgan yang memenangi kategori Artis Lelaki Terbaik dan Album Terbaik menerusi karya Confession No. 1 pula berkata, sebagai tuan rumah sudah pastinya dia was-was untuk membuat kemunculan di tempat terbuka dan dipenuhi orang ramai terutama dalam APM 09

"Saya ingat APM 09 dibatalkan gara-gara kejadian itu. Namun, ia tetap diteruskan seperti biasa. Justeru saya sekadar berhati-hati dan menyerahkan perkara itu kepada Allah.

"Alhamdulillah, semuanya berada dalam keadaan baik ditambah pihak berkuasa terus meningkatkan keselamatan di sekitar Jakarta.

"Kini saya dapat lihat polis sudah berada di merata-rata tempat termasuk pusat beli-belah," jelas Afgan serius.




ARMAND turut prihatin dengan tragedi Jakarta dibom.


Vokalis kumpulan Gigi, Armand Maulana juga sempat meluahkan kesedihan terhadap insiden memilukan itu yang menyebabkan banyak kesulitan berlaku kepada masyarakat dan tanah tumpahnya sendiri.

"Saya dan ahli Gigi lain turut terkesan dengan kejadian ini. Hati siapa saja yang tidak sakit apabila mengetahui ada korban nyawa dan kecederaan kepada orang lain yang tidak bersalah.

"Harapan saya agar ahli keluarga mangsa diberikan sepenuh kekuatan dan kesabaran untuk berdepan dengan peristiwa hitam ini.

"Kita sebagai rakyat Indonesia juga kena saling mengingati sesama sendiri apabila tibanya soal keselamatan. Mudah-mudahan semuanya baik-baik belaka seperti sedia kala selepas ini," beritahu Armand mewakili Gigi yang menerima Anugerah Khas Planet Muzik 2009 berikutan pencapaian mereka selama bergelar anak seni.

Suria FM lancar Lagu Berduit

Suria FM lancar Lagu Berduit


PROGRAM kelolaan Tuah dan Zizi merupakan 'batu loncatan' buat pendengar Suria FM bagi merebut peluang memenangi hadiah wang tunai RM75,000.



ENGKU EMRAN


STESEN radio popular, Suria FM membuat satu lagi pembaharuan dengan melancarkan kempen Lagu Berduit Suria FM. Menurut Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin, kempen tersebut bermula pada hari ini.

"Kempen ini bakal membuka peluang buat pendengar Suria FM membolot ganjaran hadiah wang tunai berjumlah RM75,000! Kempen tersebut 'diwangikan' oleh One Drop Perfumes yang membuka peluang buat semua pendengar Suria FM memenangi sebahagian daripada RM75,000."

"Setiap hari, satu lagu akan dipilih sebagai Lagu Berduit. Bagi meningkatkan perkhidmatan SMS Suria FM, kod ringkas untuk Lagu Berduit telah ditukarkan ke 33080 dan bukan lagi 33511," ujarnya.

Tambahnya, sebaik sahaja mendengar ia diputarkan sepenuhnya di Suria FM, pendengar hanya perlu SMS dengan menaip, Suria LB hantar ke 33080. Talian SMS akan dibuka selama 20 minit sebaik sahaja Lagu Berduit diperdengarkan.

Selepas talian SMS ditutup, penyampai Suria FM akan menghubungi salah seorang pengirim SMS yang perlu menjawab pangilan dalam masa lima saat, sebelum memberikan judul lagu bagi Lagu Berduit yang baru diperdengarkan itu.

Justeru, dengarkan Breakfast@suria bersama Tuah & Zizi, pukul 8 pagi setiap hari untuk mengetahui apakah Lagu Berduit yang telah dipilih untuk hari itu. Keterangan lanjut, layari www.suriafm.com.my.

Manohara kini bintang sinetron

Manohara kini bintang sinetron




JAKARTA - Setelah krisis rumah tangganya dengan Tengku Temenggong Kelantan menjadi topik utama akhbar, model Manohara Odelia Pinot (gambar) kembali menceburi industri hiburan.

Manohara berkata, dia memberikan yang terbaik untuk drama atau sinetron pertamanya berjudul Manohara walaupun mengakui penguasaan bahasa Indonesianya masih lemah.

Drama itu mula ditayangkan di stesen televisyen tempatan, Rajawali Citra Televisi Indonesia (RCTI) semalam.

"Saya giat berlatih menguasai bahasa Indonesia dengan membaca pelbagai jenis buku dan akhbar. Saya juga tidak segan untuk bertanya apabila berdepan masalah bahasa," kata remaja berusia 17 tahun itu baru-baru ini.

Ketika menjawab pertanyaan media sama ada drama sensasi itu menyentuh kisah perkahwinannya dengan Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra, Manohara menyatakan ia semata-mata fiksyen dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak.

Namun, tegas Manohara, pengalaman sebagai mangsa penderaan banyak membantunya menjiwai watak utama dalam drama ini

Gadis kacukan Indonesia-Amerika Syarikat itu melarikan diri ke Indonesia pada Mei lepas. dia mendakwa didera suaminya tetapi semua tuduhan itu dinafikan keluarga diraja Kelantan.

Dalam perkembangan sama, keluarga kesultanan Solo, Sunan Pakubuwono XIII Hangabehi menganugerahi Manohara dengan gelaran Kanjeng Mas Ayu.

Jurucakap istana, Puteri Gusti Raden Ayu Koes Murtiyah berkata, anugerah itu adalah sempena sambutan keempat pertabalan Pakubuwono XIII Hangabehi baru-baru ini.

"Dia diberikan anugerah itu kerana Manohara masih menjadi isteri keluarga diraja yang sah," katanya. - Agensi