Wednesday, August 26, 2009

Farawahida temui kunci kebebasan

Farawahida temui kunci kebebasan


FARAWAHIDA kini mengakui menemui kunci kebebasan.


BEBERAPA bulan lalu, kisah perang dingin membabitkan penyanyi Farawahida Razali atau Farawahida dan bekas pengurusnya, Julfekar Ahmad Shah menggemparkan dunia hiburan tanah air.

Mendakwa itu dan ini terhadap permasalahan yang dihadapi, ia berkemungkinan akan dibawa kepada penyelesaian di mahkamah.

Menyedari kemelut yang tidak berkesudahan dan saling berhubungkait Farawahida membuat laporan polis pada awal bulan lalu.

Laporan itu dibuat gara-gara Julfekar yang dikatakan enggan melepaskannya daripada Millenium Art Sdn. Bhd., syarikat rakaman milik komposer berkenaan.

Hal tersebut bertambah serius apabila Farawahida memberi kenyataan bahawa komposer itu telah mengugutnya untuk menyebarkan gambar bogelnya di internet.

Memberi maklum balas terhadap perkara itu, Julfekar pula lebih senang mengambil pendekatan membiarkan segalanya ditentukan di mahkamah nanti.

Kemelut ini semuanya bermula gara-gara Farawahid dikatakan tidak puas hati dalam soal kontrak membabitkannya dengan syarikat rakaman Millenium Art Sdn. Bhd.

Julfekar mendedahkan kononnya penyanyi itu telah melanggar kontrak yang dipersetujui sebagai artis naungan Millenium Art.

Kontrak Farawahida bersama Milenium Art menurut Julfekar ialah 5+1 iaitu lima tahun campur satu tahun pilihan syarikat.

Bagaimanapun, Farawahida enggan meneruskan kontrak itu dan dia dikatakan mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak mahu lagi bersama syarikat rakaman itu.

Melihat apa yang berlaku sebagai pengajaran untuknya berhati-hati pada masa depan kini, dia merasakan nikmat kebebasan tanpa terikat dengan pihak yang akan menentukan itu dan ini terhadapnya.

Enggan untuk dikaitkan dengan Julfekar lagi, Farawahida yang ditemui pada sesi rakaman Aidilfitri Nona dan Wanita Hari Ini (WHI) di Restoran Seri Melayu, Kuala Lumpur baru-baru ini berkata, dia kini bagaikan baru 'dilahirkan semula' sebagai seorang insan bernama Farawahida.

Sementelah, Farawahida kini secara tidak rasminya sudah bergerak sendiri untuk menentukan corak masa depan hidup dan kerjayanya sebagai penyanyi.

"Selepas kes saya dan dia (Julfekar) heboh diperkatakan, saya bersyukur kerana masih diberikan peluang untuk aktif menyanyi.

"Lagipun, saya sekarang ini sedang mengumpul wang untuk menghasilkan single sendiri.

"Kini, saya kena jadi diri saya sendiri dan berdiri di atas kaki sendiri. Saya sudah tidak ada apa-apa dengan dia lagi,'' katanya.

Ujar Farawahida, dalam keadaan yang seakan mencabar kesabaran, keluarga merupakan pihak yang banyak memberikannya semangat untuk terus melalui liku-liku kehidupan.

Tidak tergugat dengan segala dakwaan, jelasnya, selama dilihat tidak sehaluan lagi bersama Julfekar, dia masih memperoleh tawaran mengadakan persembahan.

"Alhamdulillah, tidak ada pula orang yang mencemuh atau mengutuk saya. Banyak juga tawaran persembahan yang saya dapat.

"Apa yang saya boleh simpulkan, kehidupan saya sekarang ini lebih nikmat dengan kata kuncinya ialah kebebasan,'' jelasnya yang mengambil tindakan menyepi seketika sebaik bergelumang dengan permasalahan yang melanda.

Ketika ditanya apakah tidak ada jalan penyelesaian untuknya berbaik semula dengan Julfekar, Farawahida berkata;

"Tidak kira siapa dia, apa pun, dia sudah buat hal dengan saya. Belum masanya untuk kami berbaik semula."

Keyakinan Farawahida

Kata Farawahida yang juga juara Etnik Kreatif untuk lagu Persoalan Cinta di Anugerah Juara Lagu ke-23, Januari lalu, meski dibelenggu dengan kemelut tersebut, dia tetap yakin terhadap kerjayanya di masa hadapan.

"Insya-Allah, saya boleh naik semula. Sekarang ini pun saya sedang memikirkan bagaimana cara untuk memantapkan diri.

"Saya juga akur bahawa akan ada peminat yang larikan diri daripada saya atas apa yang berlaku ini. Insyaallah saya tidak akan putus asa,'' tegasnya yang baru sahaja selesai menjalani rakaman program raya Sinar Lebaran di Singapura.

Ditanya mengenai usahanya untuk menghasilkan single sendiri, Farawahida memberitahu bahawa ada sebahagian peminatnya yang bermurah hati untuk menghantar lagu menerusi Facebook.

"Akan saya teliti lagu-lagu itu. Mungkin juga selepas ini saya akan hasilkan lagu sendiri,'' tambah Farawahida yang merancang untuk pulang ke kampung halamannya di Taiping, Perak pada Aidilfitri nanti.

U-Wei berusaha mencari Nina

U-Wei berusaha mencari Nina


U-WEI (tiga dari kanan) bersama Zalman (dua dari kanan), Sawicki (kiri) dan antara barisan pelakon filem Hanyut di majlis pelancaran Hanyut di Basil Leaf Restaurant, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


BERMULA dengan filem penuh kontroversi Perempuan, Isteri & ... dan seterusnya Kaki Bakar, Jogho serta Buai Laju Laju, hasil karya pengarah filem tersohor, U-Wei Haji Shaari sememangnya dikagumi ramai pemerhati dan pengkritik filem.

Sebagai seorang pengarah yang mempunyai karisma, namun, kekuatan filem-filem U-Wei bukanlah bersandarkan kepada keupayaannya semata-mata.

Ini kerana, kehebatan barisan pelakon juga merupakan salah satu faktor penting bagi memastikan sesebuah filem tersebut 'hidup' atau sebaliknya.

Untuk itu, bagi U-Wei, kebanyakan pelakon-pelakon yang pernah dicorakkannya tidak pernah mengecewakan.

Nasir Bilal Khan (Perempuan, Isteri & ...); Khalid Salleh (Jogho); dan Eman Manan (Buai Laju Laju), masing-masing pernah menggenggam trofi Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Malaysia (FFM) 1994, 1999 serta 2004.

Lebih membanggakan pada 1998, Khalid Salleh memenangi anugerah Pelakon Lelaki Terbaik di Festival Filem Asia Pasifik ke-43 (FFAP43) yang berlangsung di Taipei.

U-Wei sendiri banyak mencipta kemenangan antaranya untuk filem Perempuan, Isteri &... yang menjuarai Filem Terbaik, Pengarah Terbaik, Lakon Layar Terbaik dan Cerita Terbaik pada FFM 1994.

Beliau kemudiannya mengulangi kecemerlangan di FFM 1999 apabila merangkul anugerah Panca Delima untuk Pengarah Terbaik dan Lakon Layar Terbaik menerusi filem Jogho arahannya yang turut terpilih sebagai Filem Terbaik.

Begitulah penangan U-Wei yang begitu dikenali sebagai pengarah yang cukup berhati-hati dalam penghasilan filemnya.

Kini, selepas menyepi buat seketika waktu, U-Wei kembali ke lembah perfileman negara untuk karya terbarunya berjudul Hanyut.

Diterbitkan oleh Tanah Licin Sdn. Bhd., Hanyut merupakan filem yang diadaptasi daripada novel tulisan Joseph Conrad iaitu Almayer's Folly.

Almayer's Folly berkisar kisah Almayer, seorang pedagang Inggeris yang berdepan dengan pelbagai suka duka kehidupan di Borneo sekitar kurun ke-19.

Impiannya untuk mencari gunung emas yang belum pasti wujud dan tercabar dengan kerenah isteri, kuasa penjajah, ketua suku kaum dan pedagang Arab serta cinta anak perempuannya, Nina terhadap seorang putera Melayu, Dain Maroola.

Almayer mengahwini seorang wanita tempatan berketurunan Betawi dan ketika Nina mencapai umur 10 tahun, dia dihantar bersekolah di Singapura.

Menurut U-Wei, penggambaran Hanyut akan dijalankan awal tahun depan di Kuala Lipis, Pahang.

Jelasnya, pihak produksi akan membina tiga penempatan di lokasi penggambaran bagi menghidupkan suasana kurun ke-19.

Setakat ini, ujar U-Wei, antara pelakon yang sah akan membintangi Hanyut ialah Khalid Salleh untuk watak Babalatchi, Sabri Yunus (Mahmat) serta dua pelakon ternama Indonesia, Alex Komang sebagai Sayed Rashid dan El Manik (Lakamba).

"Idea menghasilkan filem ini sudah saya lontarkan sejak 10 tahun lalu. Atas faktor kewangan, ia tidak dapat dilaksanakan.

"Skrip semuanya sudah siap. Ia akan menggunakan bahasa Melayu sepenuhnya. Saya bukannya memfilemkan buku Almayer's Folly tetapi menjadikannya sebagai inspirasi,'' katanya ketika ditemui pada majlis pelancaran Hanyut di ibu negara, baru-baru ini.

Hadir sama, Duta Poland ke Malaysia, Eugeniusz Sawicki dan Naib Presiden Kanan, Pemasaran Celcom (M) Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin.

Jelas U-Wei, watak Almayer merupakan watak utama dan pihak produksi telah pun menjalankan sesi uji bakat di Australia bagi mencari mereka yang menepati kehendaknya.

Tanah Licin juga, katanya, sedang mencari beberapa lagi pelakon untuk memegang watak sebagai Nina, Taminah (orang gaji), Mem (ibu Nina), Dain Maroola.

Dain Maroola merupakan seorang putera yang bijak dan tampan. Pemegang watak ini haruslah berusia antara 25 hingga 35 tahun dan mempunyai sosok tubuh yang tegap serta menarik.

Untuk watak ibu kepada Nina pula, wanita Melayu berusia 30 hingga 45 tahun dicari U-Wei manakala Taminah (wanita Melayu lingkungan usia 17 ke 25 tahun).

Siapa Nina?

Sementara itu, U-Wei memberitahu, bagi menghidupkan watak Nina, Tanah Licin kini mencari seorang wanita berwajah Pan-Asia yang memiliki wajah jelita, tinggi lampai dan mempesona. Berusia awal 20-an, katanya, dia tidak kisah andai Nina dilakonkan oleh pelakon baru asalkan pemegang watak itu menepati kriteria yang ditetapkan selain bijak berlakon. Sesi uji bakat akan dijalankan secara online menerusi laman web www.findingnina.com. Caranya ialah dengan menghantar gambar dan video lakonan ke laman web berkenaan atau www.xpax.com.my/gotx yang dijana oleh Xpax. "Akhirnya nanti, saya dan mungkin bersama Sofea Jane akan memilih mereka yang terpilih untuk watak Nina nanti,'' katanya.Lawatan ke Poland

Kata U-Wei yang pernah dikritik hebat dalam Perempuan, Isteri & ... berkata, sekitar Jun lalu, dengan sokongan dan kerjasama Kedutaan Poland di Kuala Lumpur, beliau berpeluang melawat Poland untuk menjalankan kajian terhadap Joseph Conrad. Menurutnya, dalam lawatan ke negara itu, beliau turut berkesempatan bertemu dengan pengarah filem terkenal Poland yang menjadi idolanya, Andrezj Wadja. "Pada usia 83 tahun, kekuatan Wadja menjadi inspirasi kepada saya untuk maju ke hadapan. "Dia adalah mentor saya. Sepanjang 10 hari di Poland, kami banyak berborak dan berkongsi idea tentang filem,'' tambahnya.

Kisah Natrah 'cermin' buat orang Melayu

Kisah Natrah 'cermin' buat orang Melayu

ISTANA Budaya (IB) yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, tahun ini menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya.

Sejak sedekad lalu, IB telah menjadi pentas persembahan pelbagai naskhah seni dan budaya tempatan ataupun yang diimport dari luar negara.

Daripada seni pementasan teater dan muzikal tradisional hinggalah kontemporari, IB menjadi medan terbaik dan paling berprestij dalam seni persembahan pentas di negara ini.

Sesuai dengan namanya, IB paling molek mengangkat naskhah-naskhah yang ada hubungkaitnya dalam menterjemah nilai-nilai seni dan budaya yang bertunjangkan masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya.

Natrah misalnya, merupakan naskhah teater terbaru yang akan dipentaskan di Panggung Sari, IB, mulai 17 hingga 25 November ini.

Teater yang bakal diarahkan oleh Erma Fatima itu merupakan naskhah yang cukup relevan untuk dipentaskan di IB sesuai dengan nama, peranan dan prestij IB. Juga dalam konteks persekitaran semasa yang berlaku pada ketika ini.

Biarpun barisan pelakon utama teater itu belum diputuskan lagi, tetapi daripada susur galur kisah Natrah itu, yang pasti banyak unsur tersirat yang boleh diselongkar bagi diketengahkan kepada khalayak.

Kita mungkin tidak terlalu teruja untuk mengetahui siapakah pelakon yang akan melakonkan watak Natrah.

Sebaliknya, ramai yang mungkin tertanya-tanya sejauh manakah naskhah Natrah mampu mengeksploitasi di sebalik kisah gadis Belanda itu bagi mencetuskan suatu nilai pemikiran di minda para penonton?

Kisah cinta lara dan rumahtangga Natrah pada tahun 1950-an yang penuh tragis itu secara kasarnya hanya berada di luar kerangka pengisahannya sahaja.

Namun, di sebalik paparan naskhah itu, ia mampu mengundang pelbagai nilai pemikiran yang tersirat untuk diinsafi oleh orang Melayu pada hari ini.

Isu murtad, krisis identiti, pemartabatan bahasa Melayu, agama Islam, semangat patriotik, kesepakatan dan cintakan bangsa sendiri merupakan antara perkara penting yang boleh ditekankan menerusi teater tersebut.

Kita tidak mahu teater Natrah kelak menjadi sebuah pementasan yang lebih membuai kisah asyik percintaan antara Natrah dan Mansor Adabi semata-mata.

Tugas berat Erma ialah bagaimana mahu membentangkan naskhah itu agar ia mampu mengetuk minda orang Melayu supaya sedar dengan realiti sosial dan politik yang sedang menghimpit mereka pada ketika ini.

Difahamkan ketika ini Erma sedang sibuk memilih pelakon yang akan melakonkan watak Natrah. Tidak dinafikan, pelakon watak utama itu amat penting bagi menghidupkan jalan cerita teater terbaru arahan Erma tersebut.

Beberapa nama pelakon yang mempunyai darah kacukan telah pun disebut-sebut sebagai pendokong watak Natrah. Sayangnya, perkara yang kurang penting seperti itu pula yang lebih heboh diperbualkan ketika ini.

Harus diingat bahawa pementasan Natrah jangan disamakan dengan persembahan muzikal yang lazimnya lebih hanyut dibuai oleh alunan iramanya sahaja. Natrah sebenarnya sebuah naskhah teater yang berat.

Ia berat dan penuh dengan tanggungjawab untuk agama Islam dan bangsa Melayu. Ini adalah naskhah terbitan IB yang terletak di bawah naungan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.

Pementasan ini menggunakan duit rakyat, di mana tentunya ia juga dipentaskan untuk rakyat.

Sejauh mana Natrah atau Maria Bertha Hertogh boleh mencetuskan kesedaran kepada orang Melayu? Bebanan itu tentunya terletak di atas bahu Erma.

Sepatutnya, soal mencari pelakon popular mana yang akan melakonkan watak Natrah menjadi perkara kedua.

Bagaimana dengan skrip teater ini? Adakah Erma mampu menyampaikan mesej-mesej itu menerusi Natrah?

Dalam isu pelakon utamanya pula, yang paling penting pelakon itu mestilah mampu menghayati dan melakonkan watak Natrah dengan berkesan.

Apalah gunanya mengambil pelakon muda yang baru setahun jagung berlakon dan hanya popular dengan kisah-kisah sensasi melakonkan watak tersebut? Bimbang nanti, lakonan entah ke mana, mesejnya pun entah ke mana.

Para penonton yang mengetahui latar kisah Natrah tentunya tidak kisah siapakah pelakon utama teater itu.

Sebabnya, Natrah bukanlah sebuah naskhah hiburan berkonsepkan penglipurlara, tetapi ia sebenarnya adalah sebuah pementasan yang boleh dijadikan 'serampang dua mata' untuk menguatkan lagi kesedaran orang Melayu pada hari ini.

Erma yang juga penulis skrip Natrah haruslah lebih berani dan kreatif menekankan intipati maksud tersirat yang terdapat dalam kisah tersebut.

Antara persoalan penting yang harus kita sama-sama fikirkan daripada teater Natrah kelak ialah, berapa ramai lagikah insan seperti Natrah yang akan menjadi mangsa keadaan seperti itu?

Sudahkah kita bersedia dan rela kehilangan lebih ramai Natrah? Watak Natrah secara simbolik menggambarkan kealpaan bangsa Melayu dalam mempertahankan agama mereka.

Kurangnya kesedaran kita terhadap persekitaran yang sedang berlaku termasuklah percaturan politik yang merugikan sesama Melayu, sikap keterbukaan sosial yang melampau-lampau merupakan antara 'penyakit' yang menyebabkan tragedi seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa depan.

Justeru, Natrah merupakan sebuah naskhah yang bukan sahaja berat untuk digalas oleh Erma dan IB.

Malah, ia juga menagih penghayatan yang tinggi buat kalangan audiensnya. Sama ada para penonton 'mendapat sesuatu' daripada Natrah atau tidak, ia adalah penanda aras kejayaan pementasan itu kelak.

Mengenang pahlawan keroncong nusantara

Mengenang pahlawan keroncong nusantara


ALLAHYARHAM Wawang Wijaya


SENIMAN yang mahu diceritakan kisahnya ini barangkali namanya tidak sesohor seniman-seniman lain yang kita kenali. Namun, kekebalan jiwanya terhadap kesenian keroncong membuatkan Wawang Wijaya muncul sebagai satu-satunya pemuzik tersohor yang tiada tolok bandingnya di rantau nusantara.

Percayalah bahawa sebilangan besar rakyat Malaysia kurang kenal siapa itu Wawang Wijaya.

Andai yang mengenali seniman ini sekalipun, mereka barangkali, orang-orang yang pernah rapat dengan beliau, individu yang pernah berguru dengannya atau penonton dan peminat setia beliau.

Sayang sekali, Wawang sudah tiada lagi di muka bumi ini untuk terus mengalunkan muzik keroncong yang sudah menjadi sebahagian daripada kehidupannya.

Bahkan, kerugian besar dapat dirasakan oleh para karyawan muzik muda khususnya serta pengkaji-pengkaji muzik Melayu kerana di dada Wawang sarat dengan ilmu yang boleh mengajak kita untuk sama-sama meningkatkan apresiasi terhadap kesenian muzik serantau umumnya dan tentunya keindahan muzik keroncong.

Justeru, perlu dijelaskan, artikel ini ditulis dengan satu harapan iaitu mengajak khalayak seni untuk mengenang satu-satunya pahlawan keroncong yang ketika hayatnya memilih untuk hidup tanpa cahaya kemilau glamor.

Berdasarkan perbualan penulis dengan beberapa kenalan Allahyarham, beliau lebih banyak memberi tumpuan terhadap kerja-kerja kesenian seperti memenuhi undangan bermain muzik di acara-acara yang melibatkan tokoh-tokoh kenamaan negara.

Wawang juga sangat gemar berkongsi ilmu dan , mengajar dan mengasah bakat anak-anak muda dalam muzik keroncong serta mengajar di pusat-pusat pengajian tinggi selain diundang memberikan ceramah mengenai keroncong adalah keutamaannya.

Sebetulnya, pengaruh lelaki yang dilahirkan di Jogyakarta, Indonesia pada penghujung era penjajahan Jepun sangat besar dalam perkembangan muzik keroncong di rantau ini.

Lalu, bukan sesuatu yang mengejutkan pemergian Wawang ke rahmahtullah pada 25 Jun lalu sehingga kini dan selamanya akan terus dikenang di kalangan rakan-rakan rapat serta sebilangan besar tokoh-tokoh kenamaan negara yang sering dihiburkan oleh seniman yang berasal dari negara jiran itu.

"Saya pasti akan merindui beliau. Allahyarham banyak membantu saya mengasah bakat dalam bidang nyanyian khususnya lagu-lagu keroncong.

"Sebagai seorang guru, banyak ilmu dan nasihat Allahyarham yang akan menjadi bekalan buat saya selama-lamanya," ujar si cilik Jamilah Abu Bakar, 14, salah seorang anak murid yang sangat dikasihi Allahyarham Wawang.

Hubungan Wawang dengan Jamilah bukan sekadar hubungan guru dan anak murid, sebaliknya, Allahyarham yang menghembuskan nafas terakhir pada usia 63 tahun sudah seperti saudara kandung.

Masakan tidak, keluarga Jamilah khususnya ayah dan ibunya, Abu Bakar Ismail serta Kamariah Che' Soh sudah begitu akrab dengan Allahyarham sementelah Wawang sebatang kara di Malaysia.

"Oleh kerana beliau bersendirian di sini, maka kami antara yang mempunyai hubungan rapat dengan Allahyarham.

"Cuma, saya serta isteri dan Jamilah agak sedih dan ralat kerana tidak berada di sisi semasa beliau menghembuskan nafas terakhir," kata Abu Bakar kepada Hits dalam satu pertemuan dengan beliau baru-baru ini.

Kesedihan Abu Bakar ada sebabnya kerana Wawang disedari meninggal dunia sendirian di kediamannya di sebuah apartmen di Apartmen Lestari, Damansara Damai, Petaling Jaya, Selangor oleh polis yang memecah masuk pintu rumahnya.

Beberapa jam sebelum meninggal dunia, Abu Bakar ada menerima panggilan telefon daripada Allahyarham memaklumkan kelas muzik keroncong Jamilah terpaksa dibatalkan memandangkan beliau kurang sihat.

Itulah perbualan terakhir antara Abu Bakar dengan Allahyarham.

Sebetulnya persahabatan antara Abu Bakar sekeluarga dengan Allahyarham Wawang bermula pada 2007 pada acara Festival Pertandingan Akhir Keroncong Remaja Peringkat Negeri Selangor di Shah Alam.

Mengimbas kenangan silam itu, Abu Bakar berkata, pada malam itu Jamilah yang baru berusia 11 tahun dijemput sebagai penyanyi undangan menyampaikan dua buah lagu keroncong, Stambul Baju Biru dan Sate Kajang.

"Kami diperkenalkan kepada Wawang oleh tokoh pemuzik keroncong tanah air, Abdullah Safri. Tertarik dengan persembahan nyanyian Jamilah, Wawang menawarkan diri untuk melatih anak saya," kata Abu Bakar bercerita detik permulaan perkenalan dengan Allahyarham Wawang.

Kasih sayang sebagai seorang guru terhadap anak muridnya terpancar pada peribadi Allahyarham yang begitu mengagumi minat Jamilah kerana jarang sekali Wawang bertemu dengan si kecil yang mempunyai kecenderungan pada muzik keroncong.

Keakraban itu juga membuatkan Wawang menganggap Jamilah seperti anak kandungnya sendiri dan memanggil anak muridnya itu dengan panggilan Puteri.

"Jamilah dan Wawang juga sering bersama-sama memenuhi undangan persembahan di banyak tempat," kata Abu Bakar menyambung perbualan.

Biarpun jasad Wawang sudah tiada lagi, namun dalam diri Abu Bakar dan Jamilah terutamanya, kekentalan semangatnya, ketabahannya menghadapi pancaroba kehidupan seorang diri tetap bersemadi dalam sanubari mereka.

Mengimbas kembali fasa kehidupan Wawang, apa yang perlu khalayak ketahui mengenai seniman ini ialah beliau didedahkan dengan muzik keroncong melalui datuknya.

Ke mana destinasi

Pada tahun 1977, Wawang berhijrah ke Kuala Lumpur dan semenjak itu, Wawang aktif dengan kumpulan keroncong O.K. Malindo (sebuah kumpulan keroncong dari Melaka yang dianggotai oleh pemuzik-pemuzik keroncong Indonesia dan Malaysia).

Selang tujuh tahun, Wawang ditawarkan sebagai pensyarah keroncong Indonesia di Universiti Teknologi Mara dan pada tahun 1995 di Universiti Sains Malaysia.

Allahyarham juga antara pengasas Orkes Keroncong Putra Malaysia yang pernah diundang mengadakan persembahan di Belanda pada tahun 2003 dan 2005.

Ketika di sana juga, Allahyarham bersama rombongan yang lain mengadakan persembahan di Den Haag.

Dalam satu tulisan beliau, Allahyarham pernah menyuarakan kebimbangan terhadap minat dan kecenderungan masyarakat terhadap muzik keroncong yang sudah semakin pudar.

Paling utama, Allahyarham Wawang ada mempersoalkan ke mana destinasi masa depan muzik keroncong seandainya minat dan kecenderungan generasi muda terhadap genre muzik itu sudah berakhir.

Kini, Wawang Wijaya pula sudah tiada lagi untuk membantu memasyhurkan muzik yang begitu sinonim dengan kehidupannya.

Jika berpegang pada kebimbangan yang disuarakan Allahyarham Wawang, apakah ini bermakna satu hari nanti, kita terpaksa mengucapkan salam perpisahan pada muzik keroncong?

Konsert kali ke-4 Pop Shuvit di Jepun

Konsert kali ke-4 Pop Shuvit di Jepun


SAMBUTAN para peminat di Jepun menyebabkan Pop Shuvit sering mengadakan persembahan di sana.


JIKA tiada sambutan daripada para peminat di Jepun, kumpulan rapcore terkenal tempatan, Pop Shuvit tidak mungkin akan mengadakan lagi konsert bergerak terbaru mereka di negara matahari terbit itu mulai 28 Ogos ini.

Kumpulan yang dianggotai oleh Moots! selaku vokalis, DJ Uno (turntable), JD (gitar), AJ (bass) dan Rudy (dram) itu membuktikan mereka kini semakin diterima oleh ramai peminat selepas tiga kali mengadakan konsert bergerak di sana.

Menurut DJ Uno atau nama sebenarnya Syazleey Zalsyam, 28, menerusi konsert Gangima Nite Tour 2009 itu mereka akan mengadakan tiga konsert iaitu masing-masing di Nagoya pada 28 Ogos ini, Osaka (29 Ogos) dan Tokyo (30 Ogos).

"Ini adalah konsert bergerak kali keempat Pop Shuvit di Jepun seleps kali pertama diadakan pada tahun 2005 diikuti 2006 dan 2007. Cuma pada tahun lepas sahaja kami tidak berkunjung ke Jepun kerana ada konsert lain.

"Pada tahun lalu kami sibuk mengikuti kumpulan My Chemical Romance dalam konsert bergerak mereka di Asia. Kami merupakan artis undangan mereka pada konsert di Manila, Filipina dan Hong Kong," katanya kepada Hits.

Melonjakkan nama

Konsert Gangima Nite Tour 2009 itu merupakan kesinambungan atas sambutan para peminat Pop Shuvit dan juga rakan-rakan mereka di Jepun yang banyak membantu melonjakkan nama mereka dalam persada muzik selama ini.

DJ Uno tidak menafikan sambutan yang cukup memberangsangkan itu secara tidak langsung memberi kepercayaan kepada syarikat telekomunikasi Celcom menaja Pop Shuvit bagi menjayakan konsert bergerak tersebut.

"Sebelum ini konsert bergerak kami di Jepun kami usahakan sendiri, tetapi kali ini Celcom telah bersetuju menajanya. Kami telah bekerjasama dengan Celcom menjayakan peraduan Gox, Got Friends di laman web mereka baru-baru ini.

"Seorang pemenang bertuah telah dipilih mendapat dua tiket bagi mengikuti kami pada konsert bergerak yang akan diadakan di Jepun pada minggu ini. Peraduan itu dijalankan selama dua minggu di mana ia ditaja oleh Celcom.

"Konsert ini bukan setakat membuktikan sambutan para peminat kami di Jepun yang semakin bertambah tetapi juga kepercayaan syarikat seperti Celcom terhadap genre muzik yang kami ketengahkan ini selama ini," ujarnya.

Jelas DJ Uno, sambutan para peminat di Jepun katanya dapat dilihat berdasarkan jualan album sulung mereka terbitan EMI berjudul Take It 'N Shuvit yang berjaya dijual hampir 50,000 unit biarpun tanpa promosi meluas di sana.

Sempena dengan konsert Gangima Nite Tour 2009 itu, kumpulan berasal dari Kuala Lumpur itu juga tidak akan melepaskan peluang mempromosikan album single terbaru mereka berjudul Oh Sizuka.

"Sewaktu di Jepun kami akan mengadakan konsert bersama beberapa kumpulan tempatan yang terkenal di sana seperti Uzumaki dan Rize. Kawan-kawan kami di sana banyak membantu memperkenalkan nama kami selama ini.

"Biasanya dalam satu-satu persembahan yang kami adakan di sana ia ditonton sekitar 1,000 hingga 2,000 penonton. Setiap kali mengadakan konsert di sana, persembahan Pop Shuvit akan dirakamkan dalam bentuk video.

"Selepas itu, kami akan mengedarkan hasil rakaman video itu kepada stesen-stesen televisyen seperti Channel V dan 8TV untuk ditayangkan kepada umum," katanya yang akan berada seminggu di Jepun sempena konsert itu.

Tambah DJ Uno, buat masa ini Pop Shuvit bergerak aktif dalam bidang muzik menerusi syarikat mereka sendiri iaitu Shuvit Management, manakala urusan edaran album pula akan dilakukan oleh Universal Music Sdn. Bhd.

Diddy Hirdy : Belum mahu tayang tunang

Belum mahu tayang tunang




SIAPA kata hubungan pertunangan Diddy bersama tunangannya, Ellen Norazah Abdullah, 24, sudah retak menanti belah sebelum sempat mereka ke jenjang pelamin?

Tuan empunya diri, Diddy sendiri membuka mulut bahawa ikatan pertunangannya masih kukuh bahkan semakin matang, cuma hari bahagia mereka sahaja yang belum diputuskan tarikhnya.

"Masih, kami masih bertunang dan dia (Ellen) ada di Kuala Lumpur. Kami selalu berjumpa dan hubungan kami masih berjalan seperti dulu," ucap Diddy ringkas.

Selain menjawab pelbagai spekulasi dilontarkan pada hubungan pertunangannya, sama seperti lirik lagu terbaru penyanyi itu, Biar Diddy Sambung, ia sekaligus menjelaskan sesungguhnya belum ada jawatan kosong untuk hati Diddy mencari pencinta baru.

Bahkan, masih berpegang kepada prinsipnya, Diddy, 24, seboleh-boleh tidak mahu menayangkan gambar tunangnya di media, di dada akhbar, majalah mahupun media elektronik.

Kata Diddy, tunangannya bukan selebriti mahupun artis, biarlah dia berada di belakang tabir sahaja. Janji Diddy kepada media, apabila sah bergelar suami isteri nanti, barulah mereka bersedia untuk merakamkan gambar bersama.

Sudah namanya bergelar artis, Diddy tidak lokek ketika soalan berbaur peribadi dibawa mengisi wawancara biarpun hajat pertemuannya bersama media sebenarnya untuk bercerita perkembangan terbaru tentang karier.


DIDDY menghasilkan album penuh bertajuk Lelaki Atas Awan yang kembali melonjakkan namanya di persada seni.


"Masa bertunang, ikut perancangan asal kami tidak akan ambil masa yang lama untuk berkahwin, tapi masuk tahun ini, sudah tiga tahun kami bertunang dan sampai sekarang belum diputuskan bila kami akan berkahwin.

"Ellen tidak pernah mendesak tetapi sebagai lelaki saya faham perasaannya, dia seorang wanita dan tidak ramai wanita yang sanggup menunggu lebih lama. Bila dah tetap tarikhnya nanti, saya akan beritahu," janji Diddy lagi kepada semua media.

Diddy cuma mengangguk dan tersenyum saat diusik bermacam persoalan tentang perancangan perkahwinannya. Bukan soal jodoh, cinta atau kahwin yang ralit menjadi bahan bicara Diddy, sebaliknya tumpuan pemuda tinggi lampai itu tempoh terdekat ini adalah kepada karier.

Biarpun sukses kariernya di persada seni tidaklah melantun hingga ke bintang, namun tidak mustahil, ada ketika lonjakannya mungkin mencecah awan.

Itu dimensi letaknya jejak penyanyi yang mahu dikenali sebagai Diddy Hirdi ketika ini. Bertahun-tahun program yang melahirkannya, Akademi Fantasia musim keempat ditinggalkan, Diddy kini selesa dengan imej, penerimaan serta kewujudannya di tengah-tengah atmosfera muzik yang banyak ragamnya ketika ini.

"Selepas keluar daripada AF, saya sedar karier nyanyian saya tidaklah terlalu 'meriah' tetapi ada peningkatan dan tidak statik.

"Saya selalu mahu tingkatkan kemampuan. Selain belajar main gitar dengan abang kandung saya, ada juga saya berjinak-jinak dengan lakonan. Jadi dari situ, penonton TV akan sedar bahawa saya masih wujud.

"Lebih penting adalah penghasilan single. Itu produk penting bagi artis seperti saya untuk terus berada dalam industri," getus Diddy yang semakin melonjak dengan single terbarunya, Biar Diddy Sambung yang sedang hangat diputarkan di corong radio.

Ibarat penyambung kepada kemunculannya dengan lagu Hilang yang popular sebelum ini, Biar Diddy Sambung yang menggunakan khidmat Cat sebagai komposer membuktikan percubaan Diddy untuk lebih peka terhadap kemahuan deria dengar peminat dan trend muzik semasa.

"Hasil idea Cat, katanya lagu itu akan lebih manis kalau ada elemen featuring, maka terbentuk Biar Diddy featuring Wangi. Alhamdulillah, penerimaan pendengar memberikan semangat kepada saya," jelas Diddy ketika ditemui dalam satu majlis santai pradengar single ketiganya untuk tahun 2009, Lelaki Atas Awan di ibu negara, baru-baru ini.

Kata Diddy, ada sesuatu yang menarik perhatiannya terhadap lagu Lelaki Atas Awan. Berbeza dengan Hilang, Diddy dan pengurusnya Badrul Hashim menggelarkan konsep balada yang menjadi pilihannya kali ini sebagai balada gembira.

"Kita mahu cuba kelainan berbanding Hilang. Walaupun balada, Lelaki Atas Awan masih sebuah balada yang gembira, bukan balada kecewa, sedih atau pilu," kata Badrul atau lebih mesra dengan panggilan Bard di kalangan media.

Bagi Diddy pula, lagu yang lirik ditulis oleh Abie Abdullah itu seolah-olah membayangkan siapa diri Diddy ketika ini.

"Ia berkisarkan perasaan dan situasi seorang lelaki yang merasakan dirinya sudah dilengkapi dengan semua perkara, cinta dan karier. Dia puas dan sedang bahagia dengan hidupnya," tambah Diddy berterus-terang.


SEJAK dari awal kemunculan sehingga ke hari ini, Diddy kekal dengan imej bersih dan mengelak daripada kontroversi.


Bakal diluncurkan ke stesen-stesen radio selepas Aidilfitri nanti, penghasilan single-single termasuklah Biar Diddy Sambung, Lelaki Atas Awan serta single terdahulu Sudah, merupakan strategi Diddy untuk tampil dengan sebuah lagi album studio keduanya, selewat-lewat hujung tahun nanti.

Memandangkan album agak sukar menjana wang, dari satu segi, kesungguhan serta kesanggupan Diddy dan Bard berdepan risiko kerana sanggup berbelanja lebih untuk penghasilan sebuah album penuh, bukan mini album atau sekadar single wajar dipuji.

"Terus-terang saya katakan, album pertama Diddy bukannya boleh buat duit sangat sebab peminat sekarang lebih gemar lagu yang dimuat turun menerusi Internet.

"Tapi kami masih percaya bahawa album adalah satu rakaman yang boleh disimpan lama dan setiap artis ada cara tersendiri untuk menghargai penerimaan peminat. Bagi saya dan Diddy kami memilih untuk membalas penghargaan peminat dengan album sebagai hadiah, tapi hadiah yang kena keluarkan belanja sendiri," jelas Bard.

Menariknya, demi peminat yang masih menyokong perjalanan karier Diddy, Bard merancang untuk tidak mengambil kira lagu sebaliknya hanya kos percetakan dan pembikinan dalam menetapkan harga jualan kaset atau CD album terbaru Diddy nanti.

Seperkara lagi yang ditekankan Diddy dan Bard, penghasilan album kedua kali ini juga dilakukan secara lebih teliti dan berhati-hati. Tujuannya adalah membaiki segala kelemahan yang dikenalpasti sewaktu album pertama dihasilkan.

"Single pertama, Sudah yang dihasilkan secara kolaborasi oleh Audi Mok, Nurfatimah dan Diddy sendiri ambil dua bulan untuk selesai rakaman.

"Dulu Diddy baru nak naik, jadi artis baru kena cepat-cepat ada produk atau album untuk dipromosikan. Lagu Lelaki Atas juga ambil masa selama dua bulan untuk disiapkan," jelas Bard lagi.

Jessica Simpson : Guna bomoh kenakan kekasih

Guna bomoh kenakan kekasih


JESSICA SIMPSON


TIDAK sangka, wanita moden seperti Jessica Simpson mempercayai bomoh! Bulan lalu, sehari sebelum hari jadi Jessica yang ke-29, Jessica baru sahaja ditinggalkan oleh kekasihnya, pemain bola sepak Amerika Syarikat, Tony Romo. Apa yang lebih mengejutkan apabila penyanyi itu telah menemui seorang wanita yang dikenali melalui Internet, meminta untuk menjampi Tony dan merosakkan hidup lelaki itu agar tidak boleh jatuh cinta lagi.

"Biasanya, Jessica tidak akan melakukan perkara-perkara sedemikian, tetapi dia masih tidak boleh menerima kenyataan yang Tony meninggalkannya.

"Jessica telahpun menemui bomoh wanita itu di sebuah rumah di Beverly Hills di mana mereka seperti menyalakan api lilin serta beberapa benda lain," kata sebuah sumber kepada majalah National Enquirer.

Penyanyi dan pelakon itu turut merancang untuk merosakkan karier Tony yang sedang menanti perlawanan bola sepak pada 13 September ini.

Sementara itu, Jessica turut dilaporkan sedang intim dengan bintang bola sepak, Colt Brennan.

Dos tinggi punca Jacko mati

Dos tinggi punca Jacko mati


Michael Jackson





LOS ANGELES - Dos tinggi ubat bius Propofol membunuh penyanyi terkenal, Michael Jackson, menurut dokumen mahkamah yang diperoleh media kelmarin.

Berikutan itu, polis mengesyaki Dr. Conrad Murray (gambar) iaitu doktor peribadi Michael sebagai suspek utama kematiannya.

Dokumen itu menyatakan kombinasi pelbagai jenis ubat termasuk ubat bius Profopol atau nama pasarannya Diprivan diberikan kepada Michael beberapa jam sebelum kematiannya

Pendedahan itu mungkin menyebabkan kematian Michael dikategorikan sebagai kes bunuh manakala Murray bakal diheret ke mahkamah kerana membunuhnya.

Doktor peribadi Michael itu merupakan individu yang berada di sisi penyanyi itu pada pagi dia meninggal dunia 25 Jun lepas.

Michael yang lebih dikenali dengan panggilan Jacko meninggal dunia semasa berusia 50 tahun selepas denyutan jantungnya terhenti.

Selama beberapa minggu, Murray disiasat polis kerana membunuh tanpa niat tetapi pejabat Koroner Los Angeles kelmarin masih enggan mengesahkan atau menafikan bahawa kematian Michael diklasifikasi sebagai kes bunuh.

"Kami masih belum mendedahkan hasil siasatan kerana kes ini tidak boleh dibocorkan kepada umum," kata Timbalan Koroner di Los Angeles, Ed Winter

Menjawab laporan bahawa koroner telah mengisytiharkan kematian Michael sebagai kes bunuh, Winter menafikan pihak koroner mengeluarkan kenyataan tersebut. - Agensi