Saturday, August 29, 2009

1Malaysia dalam Jalan Merdeka : Astro Warna (saluran 132 ) Khamis 9 malam

1Malaysia dalam Jalan Merdeka


Antara babak menarik yang dipaparkan dalam Jalan Merdeka.


MENGANGKAT perjalanan kisah dalam empat era berbeza, iaitu 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an, kisah komedi ringan, Jalan Merdeka membawa pendekatan berbeza dengan menerapkan nilai-nilai 1Malaysia.

Menggabungkan tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India, siri 13 episod arahan Kabir Bhatia bakal memulakan tayangannya setiap Khamis di Astro Warna (saluran 132, Astro), pukul 9 malam bermula 3 September ini bertepatan dengan ulang tahun kemerdekaan negara.

Berlatarkan pekan Kuala Selangor, siri yang memaparkan kisah persahabatan dua generasi, Piramli Bakar, Lee Chow Kit dan Jegathesan turut memaparkan peristiwa-peristiwa penting pencapaian negara termasuk bidang hiburan, sukan, politik, ekonomi dan sosial.

Antara yang dipaparkan ialah pelancaran kereta pertama nasional, Proton Saga, kemenangan pasukan negara dalam pertandingan Piala Thomas pada tahun 1992 dan Konsert Sudirman di Jalan Chow Kit.

Tidak ketinggalan ialah detik-detik kegemilangan Mokhtar Dahari sebagai pemain bola sepak negara, pelancaran satelit MEASAT 1 ke angkasa lepas dan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Segalanya menjadi intipati yang melatari di sebalik kisah persahabatan itu.

Cuba menghidupkan pelbagai gambaran mengenai empat era yang dipaparkan, pelbagai props serta elemen sampingan digunakan sebagai salah satu cara menghidupkan lagi perjalanan kisah Jalan Merdeka.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran siri tersebut di pekan Kuala Selangor, ternyata pengarah itu sedang asyik dengan tugasnya.

Diajak berbual seketika, jelas Kabir, siri Jalan Merdeka disaratkan dengan pelbagai elemen komedi.

Malah katanya, barisan pelakon seperti Sathiya, Chew Kin Wah, Mustapha Kamal dan Acappan dianggap sebagai gandingan terbaik menyuntik pelbagai rasa yang mampu mencuit hati penonton.

Pun begitu, menurut Kabir, walaupun Jalan Merdeka merupakan siri komedi namun nilai-nilai sejarah yang cuba diketengahkan turut menjadi faktor kekuatan penceritaannya.

"Jalan Merdeka memaparkan kisah tiga sahabat yang berlainan agama. Ini sangat bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia.

"Ketiga-tiga mereka iaitu Piramli, Lee Chow Kit dan Jegathesan Mani adalah anak kelahiran merdeka yang lahir pada tarikh yang sama iaitu 31 Ogos.

"Biarpun ketiga-tiga watak tersebut seringkali menimbulkan kekeliruan, namun peranan mereka dalam siri tersebut tetap kelakar," katanya.

Piramli dinamakan sempena nama tokoh filem negara, P. Ramlee yang memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia, Tokyo (1957).

Lee Chow Kit pula mengangkat nama Loke Chow Kit, pelombong bijih timah yang namanya dikenang dengan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Manakala Jegathesan pula mengambil sempena nama Mani Jegathesan, olahragawan negara yang berjaya ke Sukan Olimpik sebanyak tiga kali.

Tambah Kabir, penggunaan nama-nama popular tersebut membantu rakyat di negara ini mengingati tentang peristiwa-peristiwa penting negara termasuk hari kemerdekaan.

"Saya seringkali cuba mencari kelainan dalam setiap karakter yang ada.

"Sathiya misalnya, sangat menjiwai karakternya dan saya lihat sesuai dia dipadankan dengan karakter yang dipegang oleh Kin dan Mustapha," kata Kabir lagi.


Tiga serangkai... Aksi (dari kiri) Kin, Sathiya dan Mustapha Kamal dalam Jalan Merdeka yang bakal ditayangkan 3 September ini menerusi saluran Astro Warna.


Khalayak seringkali disogokkan dengan persepsi bahawa pelakon di kalangan bukan Melayu sukar mendapat perhatian. Kenyataannya Sathiya dan Kin cukup popular di kalangan Melayu.

Malah, ada yang berpendapat kebanyakan pelakon bukan Melayu juga begitu sukar mendapat peluang berlakon dalam sesebuah filem mahupun drama tempatan.

Benar atau tidak, baik Sathiya mahupun Kin, masing-masing menyangkal dakwaan tersebut.

Buktinya, nama seperti Sathiya dan Chew Kin Wah begitu dikenali di kalangan masyarakat Melayu kini. Wajah-wajah mereka juga acapkali kelihatan melatari pelbagai watak dalam drama-drama Melayu.

Biarpun perjalanan untuk mencipta nama sehingga ke tahap dikenali ramai begitu sukar, namun usaha keras mereka membina 'jenama' masing-masing harus diberikan pujian.

Bertemu pada sesi penggambaran Jalan Merdeka, Sathiya yang telah 25 tahun menghambakan diri dalam bidang lakonan mengakui, penerimaan ramai terhadap dirinya tidaklah sesukar yang disangka.

Mula dikenali menerusi slot Pentas Varia dalam siri Kalapadam, nama Sathiya mula melonjak apabila muncul minggu demi minggu mencuit hati penonton dalam rancangan Hiburan Malam Minggu.

"Saya 100 peratus bangga menjadi anak Malaysia. Saya berlakon bukan untuk popular. Sehingga kini saya tidak malu jika menaiki teksi kerana biarpun dikenali, saya tetap orang biasa.

"Mungkin inilah nikmat daripada bekerja memberikan keseronokan kepada orang ramai. Dengan melawak sahaja membuatkan orang suka kepada kita," kata pemilik nama sebenar Sathia a/l Periasamy yang kini berusia 45 tahun itu.

Dalam drama bersiri ini, Sathiya merupakan seorang pengedar rempah di sekitar Kuala Selangor. Menariknya, penduduk di sekitar kawasan tersebut menggelarnya Rajinikath sempena nama hero Tamil yang popular sekitar awal 90-an.

Bagi Kin yang memegang dua watak, iaitu Tauke Lee dan Lee Chow Kit menganggap gabungan tiga bangsa dalam Jalan Merdeka sesuatu yang positif dan perlu diteruskan pada masa hadapan.

"Sebenarnya, cerita-cerita yang menggabungkan tiga bangsa telah dimulakan dari dulu lagi, contohnya dalam filem Gerak Kilat lakonan Senator Tan Sri Jins Shamsudin.

"Bagaimanapun, tidak terlalu banyak filem atau drama yang menggambarkan pelbagai bangsa sedemikian dihasilkan.

"Mungkin juga sebab tidak ramai pelakon bukan Melayu yang boleh berlakon dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.

"Sebab itu kita lihat kebanyakan wajah-wajah pelakon bukan Melayu yang sama sahaja berlakon," katanya yang telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang lakonan termasuk lakonan teater.

Persembahan Hi-5 di Genting hari ini

Persembahan Hi-5 di Genting hari ini


ANGGOTA Hi-5 terdiri daripada (dari kiri) Casey, Tim, Lauren, Stevie dan Fely.


KUMPULAN Hi-5 yang telah mencipta nama dan populariti sejak 10 tahun lalu akan menemui para peminat mereka dalam konsert Hi-5 Surprise! Live Tour 2009 di Arena Of Stars, Genting Highlands mulai 29 hingga 31 Ogos ini.

Hi-5 Surprise!Live Tour 2009 diadakan sempena meraikan ulang tahunnya yang ke-10. Selain Malaysia, kumpulan tersebut akan mengadakan persembahan di Singapura dan Filipina.

Persembahan tersebut diadakan sebelum mereka memulakan siri jelajah di daerah dan bandar-bandar di Australia bermula Januari hingga April 2010.

Dengan tiket berharga bermula dari RM50, Fely, Tim, Laurent, Stevie dan Casey pastinya teruja untuk menghiburkan khalayak peminat mereka di negara ini.

Justeru, dalam mewujudkan hubungan erat dengan peminat masing-masing, mereka pada Selasa lalu, melawat Australian International School Malaysia di Seri Kembangan, Selangor.

Menghiburkan secara eksklusif di hadapan 210 orang murid sekolah berkenaan, Hi-5 memberi beberapa tiket percuma kepada murid yang bertuah untuk menyaksikan persembahan mereka di Genting Highlands.

Sambil melayan dan menurunkan autograf, mereka tidak lupa menghiburkan murid di sekolah itu dengan dua buah lagu iaitu Monster Dance dan Zoo Party.

“Saya dan ahli Hi-5 yang lain sebenarnya tidak sabar untuk beraksi di Genting Highlands pada minggu ini,” ujar Stevie yang tidak lekang memberikan senyuman.

Katanya, menjadi anggota Hi-5 adalah satu impiannya sejak dahulu lagi kerana dia sukakan kanak-kanak.

Justeru, Stevie mengharapkan ramai kanak-kanak di negara ini berkunjung ke Genting Highlands untuk menyaksikan persembahan mereka.

“Peluang bekerja dan bersama dengan kanak-kanak melalui Hi-5 merupakan satu penghormatan dan kebanggaan buat diri saya,” tambahnya.

Siri popular Hi-5 ditayangkan di ntv7, setiap Isnin hingga Jumaat, 10 pagi dan di saluran Nickelodeon (saluran 612, Astro) pada setiap hari Isnin hingga Jumaat, pukul 8.30 pagi.

Menariknya, Hi-5 menerapkan pembelajaran dalam suasana santai bagi membolehkan kanak-kanak belajar dengan ceria dan gembira.

Meletakkan sasaran penonton daripada kalangan kanak-kanak prasekolah sehingga usia tujuh tahun, Hi-5 yang telah mencipta pelbagai kejayaan mula bertapak di Australia pada tahun 1999.

Antara anugerah yang pernah dirangkul mereka khususnya di Australia ialah program kanak-kanak paling popular di Logie Awards, album kanak-kanak terbaik (ARIA Awards) serta pencapaian-pencapaian lain di Australian DVD & Video Industry Awards, APRA Awards, AIM IA Awards dan Helpmann Awards.

Hi-5 yang ditayangkan di lebih 220 buah negara termasuk Malaysia, Amerika Syarikat, Kanada, Ireland dan negara-negara Asia lain juga mampu berbangga apabila jumlah mereka yang menonton program itu mencatat angka lebih sejuta orang pada setiap minggu.

Kini, selepas 10 tahun mencipta nama, Hi-5 dengan bangganya memperkenalkan generasi baru dalam kumpulan tersebut yang membariskan Lauren Brant, Tim Maddren dan Fely Irvine.

Lauren, Tim serta Fely menyertai Hi-5 pada awal tahun ini selepas melalui satu sesi uji bakat di Australia.

Kemunculan wajah-wajah baru dalam Hi-5 ditambah dengan pelbagai anugerah yang diraih membuatkan Hi-5 terpaksa melalui proses transformasi bagi membangkitkan elemen segar kepada penonton.

Selain berkonsepkan lagu dan tarian melalui segmen Making Music dan Body-Move!, Hi-5 turut menyelitkan segmen pendidikan yang merangkumi Shapes In Space, Puzzles & Patterns dan Word Play.

Untuk Puzzles & Patterns, ia akan dikendalikan oleh Fely manakala Making Music (Tim), Body-Move! (Lauren), Shapes In Space (Stevie) dan Word Play (Casey).

Kahwin dalam 100 hari?

Kahwin dalam 100 hari?


SELEPAS 24 tahun berahsia, Selesa lalu, Andy tampil di Lapangan Terbang Hong Kong sambil memegang erat tangan Carol.


KISAH peribadi aktor popular, Andy Lau mempunyai banyak persamaan dengan kehidupan pelakon aksi terkenal, Jackie Chan. Berkongsi populariti terutama di negara-negara Asia, kedua-dua aktor Hong Kong itu mencipta spekulasi yang sama.

Jackie telah merahsiakan hubungannya dengan aktres, Lin Fengjiao dan hanya mendedahkan hubungan mereka selepas 15 tahun kemudian iaitu semasa kematian ayah angkat Jackie, Leonard Ho pada tahun 1998. Fengjiao yang bersara daripada dunia hiburan melahirkan anak mereka, Jaycee Chan muncul buat kali pertama sebagai 'isteri' Jackie pada tahun yang sama.

Andy, 48, pula menjadikan bekas Ratu Cantik Malaysia, Carol Zhu Li Qian, 43, sebagai kekasih gelapnya selama 24 tahun. Mereka dikatakan mempunyai dua orang anak tetapi dinafikan oleh Andy.

Jadi adakah hubungan antara Andy dan Carol akan didedahkan selepas upacara pengkebumian ayah Carol, Zhu Jian Chen?

Itu persoalan yang menjadi perhatian media serta peminat semasa upacara pengkebumian Jian Chen, 73 tahun yang meninggal dunia pada 18 Ogos lalu selepas menjalani pembedahan selama lima jam untuk membuang darah beku selepas pendarahan di otak.

Adakah Andy akan memainkan peranan sebagai menantu lelaki atau mereka sebenarnya hanya sekadar pasangan kekasih?

Mengikut tradisi masyarakat Cina, mayat si mati tidak akan dikebumikan terlebih dahulu selama beberapa hari untuk memberi peluang kepada saudara-mara dari jauh memberi penghormatan terakhir kepada jenazah.

Maka, dalam masa lima hari itu, kediaman Carol di Bukit Jalil, Selangor dikelilingi hampir 100 paparazi antarabangsa serta media tempatan kerana yakin Andy berada di kediaman itu.

Namun, disebabkan kawalan ketat dengan menggunakan hampir 50 payung besar, semua jurukamera gagal untuk merakamkan gambar Andy.


CAROL tetap setia di sisi Andy biarpun hidup sebagai kekasih gelap tanpa boleh diketahui orang ramai.


Malah, keluarga terdekat yang hadir juga dihalang untuk membawa bersama telefon bimbit bagi melindungi Andy.

Difahamkan Andy terbang terus ke Malaysia dengan jet peribadi apabila mengetahui berita mengenai kematian ayah Carol. Dia ketika itu baru sahaja menghabiskan acara kutipan amal untuk mangsa taufan Morakot di Hong Kong.

Menurut seorang jiran Carol, "Ada beberapa orang melihat Andy memberikan arahan kepada pegawai keselamatan untuk menghalang wartawan masuk ke kawasan perumahan dengan memberikan mereka RM10. Menariknya wang sedikit itu berjaya membuat kawalan di sekitar perumahan Carol lebih ketat terutamanya daripada pihak media."

Andy tidak kelihatan sepanjang lima hari itu walaupun semasa memberi penghormatan terakhir pada 22 Ogos lalu. Malah, bagi melindungi Andy, namanya telah dikeluarkan daripada senarai obituari untuk cetakan surat khabar. Selain itu, setiap tetamu yang hadir perlu mendaftarkan nama untuk mengesahkan identiti.

Tujuh pengawal peribadi juga ditugaskan untuk menjaga khemah besar serta tandas bergerak bagi mengelakkan orang luar menceroboh. Para media yang berkampung berdekatan dengan kediaman Carol juga dihalau dan kemudian diberi amaran.

Bijak bermain helah supaya tidak dikesan wartawan, ramai yang berpendapat Andy akan pulang sehari awal iaitu pada hari keenam kematian Jian Chen. Namun, Andy sekali lagi 'menguji' kesabaran media apabila dia tidak menaiki kapal terbang Cathay Pacific CX720 pada pukul 9.20 pagi untuk kembali ke Hong Kong pada 23 Ogos lalu.

Media dari Hong Kong, Malaysia dan Singapura telah berkumpul di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) seawal pukul 7 pagi pada hari itu. Tidak mahu melepaskan sebarang peluang, para wartawan dipecahkan kepada tiga kumpulan untuk menunggu di tiga pintu masuk tetapi Andy tidak kelihatan sehingga pukul 9.30 pagi.

Memandangkan terdapat satu lagi penerbangan ke Hong Kong, MH072, mereka tetap setia menunggu bagi mengelakkan Andy 'melarikan diri'. Akan tetapi, Andy tetap tidak mendaftar diri untuk penerbangan Cathay Pacific (1.30 petang dan 5.40 petang) ke Hong Kong.

Kehampaan pihak media akhirnya terjawab apabila mereka berdua dikesan berada di tanah perkuburan 'bapa mertuanya' di Fujian Pacific Hill, Sepang, keesokan harinya.

Andy ditemani Carol dan adik Corol bersama suaminya ke tanah perkuburan itu untuk upacara sembahyang pada hari ketujuh kematian. Hadir bersama ialah tiga pegawai peribadi tetapi tiada kanak-kanak atau saudara-mara lain berada di sana.

Ini membuktikan Andy mempunyai kedudukan penting dalam keluarga tersebut. Dia yang berpakaian kemeja-T putih dan seluar jean kelihatan sedih tetapi masih mengambil langkah bijak berdiri berjauhan dengan Carol. Wajah Andy yang sedih jelas membuktikan betapa eratnya hubungan Andy dengan Jian Chen.

Apabila Andy sedar kelibat wartawan di situ, dia dengan sengaja menyembunyikan diri tetapi ketika gilirannya untuk memberi penghormatan, Andy tampil dengan berani di depan pusara ayah Carol. Seperti biasa, para wartawan turut dihalau daripada tanah perkuburan itu.

Upacara sembahyang itu dilaksanakan dalam masa 10 minit dan mereka berempat kemudian menaiki kereta hitam bercermin gelap.


DALAM masa 100 hari, jika mereka berkahwin Carol akan bergelar Mrs. Lau.


Tidak diketahui sama ada Andy membuat sebarang perjanjian di hadapan pusara ayah Carol, namun, mengikut istiadat masyarakat Cina di Malaysia, Andy diperlukan untuk berkahwin dengan Carol dalam masa 100 hari jika mereka mempunyai niat itu. Jika tidak, pasangan itu terpaksa menunggu selama tiga tahun.

Sementara itu, Andy meninggalkan mesej pada forum AWC Internet kepada peminat, "Saya amat baik! Semua orang tidak perlu bimbang pasal saya. Ayah Carol kini boleh berehat dengan aman dan ini adalah apa yang saya harapkan."

Mesej itu telah menyebabkan kesesakkan pada laman web itu kerana terlalu ramai peminat cuba untuk menghubungi Andy.

Tambah seorang peminat Andy, penyanyi itu telah berjanji untuk mengumumkan berita jika dia ingin berkahwin. "Dalam laman Andy World Club, Andy telah berjanji bahawa dia akan memberitahu peminatnya terlebih dahulu sebelum memberitahu media jika dia mahu berkahwin atau mengumumkan hubungannya. Tapi buat masa ini, kami belum menerima sebarang berita gembira lagi."

"Malah dalam mesej yang ditinggalkan oleh peminat, ramai di antara mereka memberikan nota sokongan dan meminta Andy supaya tidak bersedih. Kami semua boleh menerima Andy walaupun dia mahu mengumumkan hubungannya."

Menurut seorang pekerja Focus Film, "Andy akan memberikan prihatin yang sama terhadap semua kawannya (apabila keluarga terdekat mereka meninggal dunia). Mengenai semua tekaan atau tuduhan yang dibuat oleh media, kami tidak mempunyai sebarang komen."

Bagaimanapun sehari selepas itu, industri hiburan Asia dikejutkan dengan foto yang dirakamkan apabila Andy akhirnya memecah tabu selama 24 tahun dengan muncul di khalayak bersama Carol. Lebih manis dia memegang dengan erat tangan kekasih gelapnya itu.


ANDY dalam bulatan membuat penghormatan terakhir kepada ayah Carol, Jian Chen di Tanah Perkuburan Fujian Pacific Hill, Sepang.


Andy, tahu ramai wartawan akan menunggunya di lapangan terbang Kuala Lumpur serta Hong Kong tetapi dia masih memegang tangan Carol. Mereka dilihat bersama di KLIA sekitar 5 petang untuk pulang ke Hong Kong. Namun, perjalanan mereka ke bilik menunggu hanya mengambil masa tiga minit dan Andy tidak menjawab sebarang soalan wartawan.

"Akhirnya Andy melakukan sesuatu untuk Carol yang sudah dinantikannya sejak 24 tahun lalu. Namun, agak menyedihkan hanya selepas kematian bapa Carol sahaja akhirnya Andy membuat pengakuan mengenai hubungan mereka," tulis seorang peminat dalam laman web Andy.

Andy dan Carol pernah dikhabarkan sudah berkahwin di Kanada pada tahun 1992 dan mempunyai sepasang anak lelaki dan perempuan. Seorang bekas menteri pernah mendedahkan bahawa mereka telah mendaftarkan perkahwinan di Malaysia.

Tetapi dengan 'pengakuan' yang dibuat Andy pada 25 Ogos lalu, nampaknya Carol semakin mendekati impiannya untuk bergelar Mrs. Lau. Adakah ia akan terlaksana dalam masa 100 hari ini? Kita cuma hanya boleh tunggu dan lihat.

Konsert terakhir Sudir di TV3

Konsert terakhir Sudir di TV3


INILAH konsert terakhir dibuat Sudirman pada 9 Mac 1991 di Melaka sebelum allahyarham jatuh sakit.


ULANG tahun kemerdekaan negara pada tahun ini pastinya memercikkan momen indah di hati rakyat Malaysia apabila konsert penghibur nombor satu negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang belum pernah menjengah di mana-mana kaca televisyen sebelum ini akan bertamu di TV3.

Benar, ia bukan omong kosong, sebaliknya konsert yang menjadikan Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai saksi pada 9 Mac 1991 itu bakal ditonton oleh sekalian rakyat Malaysia Isnin ini.

Video asal itu, bukan sengaja diperap lama menjangkau hampir usia dua dekad. Sebaliknya, ia ada cerita tersendiri yang membuatkan konsert berjiwakan kemerdekaan itu lewat menemui khalayak terutama generasi baru.

Sebenarnya, rakaman video konsert kemerdekaan Sudirman itu dibuat oleh seorang peminatnya, Virender Singh yang menjadi penonton pada konsert penuh makna itu.

Virender yang merupakan kenalan rapat Sudirman hakikatnya sengaja menyimpan video asal konsert itu untuk koleksi peribadi sebelum diserahkan kepada syarikat rakaman EMI untuk tindakan selanjutnya.

Kini konsert tersebut sudah dipindahkan ke dalam bentuk DVD dan VCD sekali gus berada di pasaran sejak Julai lalu.

Menurut Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad, dia tidak menyangka konsert Sudirman mendapat perhatian TV3 untuk disiarkan di kaca televisyen kerana ketika DVD dan VCD itu dicetak, ia diibaratkan hanya bertahan di rak kedai sahaja.

"Kemudian pihak TV3 melihat DVD dan VCD konsert ini sebagai sebuah produk yang istimewa dan bernilai tinggi.

"Dengan inisiatif TV3 ini, saya percaya sedikit sebanyak ia dapat membantu meningkatkan penjualan DVD dan VCD ini yang sudah dikeluarkan sebanyak 1,500 untuk cetakan pertama.

"Sekiranya permintaan memberangsangkan maka kami berhasrat untuk mengulang cetak konsert tersebut.

"Secara tidak langsung orang ramai dapat menjadikan DVD dan VCD konsert kemerdekaan Sudirman sebagai simpanan peribadi," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan DVD dan VCD Sudirman One Thousand Million Smiles di Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya Selasa lalu.

Majlis penyerahan DVD dan VCD itu dilakukan oleh Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Hermond Cheng kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan sambil disaksikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Johan.


DARI kiri : Hermond, Johan, Rosmah, kakak Sudirman, Datin Radziah Arshad dan Farid pada sidang media Konsert One Thousand Million Smiles yang bakal disiarkan TV3 pada Hari Merdeka ini.


Cuma sedikit ralat apabila Virender tidak dapat hadir pada majlis penyerahan DVD dan VCD Sudirman One Thousand Million Smiles sekali gus tidak mampu mendasari jiwanya sebagai penyimpan video konsert Sudirman.

Bercerita lanjut tentang susah senang memproses rakaman video lama itu, ujar Mokhtaza, pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama mencari syarikat produksi yang masih menawarkan perkhidmatan video bagi mengubahnya ke dalam bentuk DVD.

"Dengan kemajuan teknologi masa kini, sudah pastilah kami berasa sukar untuk mencari pihak tertentu yang masih menggunakan video jenis ini. Berkat kesabaran ini akhirnya berbayar apabila kami bertemu dengan syarikat produksi yang terbabit.

"Banyak benda yang perlu dibersihkan dalam video yang berusia belasan tahun ini. Bahkan, ada beberapa rakaman yang tidak jelas sehingga menyukarkan untuk melakukan kerja mengedit.

"Ditambah konsert ini bakal disiarkan di kaca televisyen maka kami terus berusaha untuk memastikan kualiti audio dan visualnya berada dalam keadaan baik sekali gus dapat ditonton tanpa menghadapi masalah.

"Kami tidak boleh buat sambil lewa kerana Virender sudah beri sepenuh kepercayaan kepada kami untuk menjadikan rakaman konsert ini sebagai warisan yang bernilai tinggi agar dapat disaksikan oleh orang lain dan generasi baru.

"Walaupun kita mengedarkan DVD dan VCD konsert ini namun hak miliknya masih menjadi kepunyaan Saudara Usaha Dagang yang merupakan syarikat kawan baik Sudirman," jelasnya yang mengambil masa selama sebulan untuk merealisasikan penukaran video biasa itu kepada DVD.

Dalam pada itu, Farid Ridzuan tidak terkecuali berbicara lebih lanjut tentang konsert yang diangkat namanya sebagai Sudirman One Thousand Million Smiles.

"Sudirman dilihat model paling layak menjadi ikon 1Malaysia kerana sikapnya yang sering memupuk semangat perpaduan sesama kaum lain tanpa ada sebarang batasan.


SUDIRMAN seorang penyanyi yang sarat dengan nilai patriotik dalam persembahannya.


"Bersesuaianlah dengan konsert terakhir Sudirman di Melaka pada tahun 1991 yang melambangkan visi negara mewujudkan gagasan masyarakat yang harmoni dan cintakan negara.

"Konsert kemerdekaan Sudirman ini sungguh unik kerana selain menyanyikan lagu-lagu patriotik, beliau juga mendendangkan lagu pelbagai bahasa dengan dijayakan koreografi dan penarinya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Situasi ini dapat dilihat sewaktu beliau melagukan karya berbahasa Kantonis, I'm A Singer dan Tamil, Puthiya Vaanam. Saya dapati elemen 1Malaysia sudah diterapkan dengan kuat oleh beliau pada konsert ini.

"Lantaran itu, untuk ulang tahun sambutan kemerdekaan ke-52 pada tahun ini, kami hendak memberi apresiasi kepada beliau yang sarat dengan semangat patriotisme," ungkapnya bersungguh-sungguh.

Konsert One Thousand Million Smiles bakal bersiaran Isnin ini pada pukul 10 pagi di saluran TV3.

Untuk pengetahuan umum, konsert sempena sambutan kemerdekaan Sudirman itu turut dimuatkan dalam bentuk DVD dan VCD yang dijual pada harga RM22.90 dan RM19.90 sejak Julai lalu.

Setiap RM1 daripada hasil penjualan DVD dan VCD konsert itu akan didermakan kepada Tabung Bersamamu TV3.

Dua hari Saluran SITI

Dua hari Saluran SITI


SITI dan Khairul Anwar pada sidang media pengumuman Saluran SITI di Bukit Jalil baru-baru ini.


MENJADI salah seorang ikon negara, tidak hairan jika Datuk Siti Nurhaliza diberi satu saluran khas oleh Astro sempena sambutan kemerdekaan 31 Ogos ini. Siti yang telah mengharumkan nama negara serta berjaya di persada seni antarabangsa menjadi aspek utama mengapa dia dipilih.

Diberi nama SITI yang boleh ditonton menerusi saluran Astro 188, ia akan disiarkan dua hari tanpa henti bermula pukul 8 malam 30 Ogos sehingga pukul 11.59 malam 31 Ogos. Menurut Naib Presiden Perniagaan Melayu Astro, Khairul Anwar Salleh, idea saluran itu timbul kerena pihaknya mahu meneruskan kempen NegaraKu dan The Best of 1Malaysia yang turut dianjurkan oleh Astro.

"Selain program-program khas kemerdekaan, kami juga mahu memaparkan program yang menceritakan kejayaan individu dalam mengharumkan nama negara. Maka, selepas mengambil kira banyak aspek, kami memilih Siti untuk saluran khas kami.

"Lagipun disebabkan Hari Merdeka turut disambut pada bulan Ramadan, kami tidak boleh menyiarkan program-program yang keterlaluan. Jadi Siti adalah sesuai dengan dua acara itu," kata nya pada sidang media mengumumkan saluran SITI.

Saluran khas untuk Siti itu juga dilihat lebih relevan kerana penonton dapat menyaksikan kesemua program yang disediakan termasuk Konsert Siti Nurhaliza Fantasia Tour, beberapa klip video Siti yang disertakan dengan temu bual eksklusif Siti.

Namun, inti pati utama saluran percuma itu ialah Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza. Konsert itu yang diadakan di Istana Budaya pada 26 hingga 28 Jun lalu hanya dapat dikongsi dengan lebih kurang 4,200 audiens.

"Siti terharu kerana dalam ramai-ramai orang, mereka pilih Siti menjadi wajah salah satu saluran khas sempena Merdeka. Walaupun hanya dua hari, konsert Satu Siti itu tidak pernah ditayangkan di mana-mana TV.

"Ia adalah hadiah Siti kepada peminat Siti. Lagipun konsert Satu Siti itu amat bersesuaian dengan tema kemerdekaan, 1Malaysia," kata Siti yang turut menghadiri sidang media itu.

Berbincang dengan pihak Astro sebelum membuat perancangan isi kandungan saluran, Konsert Eksklusif Satu Datuk Siti Nurhaliza selama dua jam setengah itu akan ditayang sebanyak enam kali selama dua hari itu.

"Rasanya dengan ada saluran khas ini, penonton lebih fleksibel untuk menonton mengikut kesesuaian masa masing-masing. Jika program-program itu disiarkan di saluran lain, waktu penyiarannya amat terhad. Maka, pada bulan Ramadan ini, penonton boleh menonton walaupun pada awal pagi," tambah Khairul lagi.

Berasa seronok dengan saluran khas itu, Siti merasakan dua hari tayangan sudah cukup sebagai satu penghargaan kepadanya. Namun, jika saluran itu boleh diteruskan, Siti sudah bersedia dengan pelbagai idea.

"Kalau ada saluran sendiri setiap masa, nanti orang cakap Siti syok sendiri. Tapi jika ada, Siti ada banyak idea seperti game show. Itu adalah salah satu cara untuk mendekati hati penonton. Cuma, itu adalah angan-angan Siti sekarang. Dua hari sebenarnya satu permulaan yang baik untuk karier Siti sekarang," jelas penyanyi nombor satu negara itu.