Monday, August 31, 2009

Nada patriotik generasi baru

Nada patriotik generasi baru


PIHAK penganjur, penaja dan para finalis pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita pada pelancarannya di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


INISIATIF stesen radio Hot FM menganjurkan pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita yang tarikh tutupnya pada 26 Ogos lalu merupakan suatu anjakan baru dalam genre lagu-lagu patriotik di negara ini.

Ini kerana pertandingan anjuran stesen radio yang terletak di bawah naungan Media Prima Berhad (MPB) itu tidak mengehadkan penciptaan lagu berentak march semata-mata, sebaliknya ia juga terbuka untuk genre muzik-muzik lain.

Ketua Rangkaian Radio MPB, Ahmad Izham Omar menyifatkan pertandingan Lagu 1Malaysia Kita itu sebagai salah satu pemangkin dalam usaha membantu kerajaan menyemai semangat patriotik terutamanya di kalangan generasi baru.

“Kalau kita mahu menyematkan semangat patriotik kepada golongan muda, maka kita juga kenalah menyesuaikannya dengan cita rasa muzik mereka. Tidak kiralah genre muzik apa sekalipun, tetapi yang penting ialah mesej di dalamnya.

“Sebab itulah kita buka penyertaan pertandingan ini kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa terutamanya golongan muda. Daripada situlah kita akan tahu lagu-lagu patriotik bagaimana yang mereka cenderung hasilkan.

“Apatah lagi undian memilih juara pertandingan ini dilakukan melalui undian SMS (khidmat pesanan ringkas) dan Internet. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih lagu patriotik yang mereka minati,” katanya kepada Mega ketika ditemui, baru-baru ini.

Sejak pertandingan itu dimulakan beberapa bulan lalu, lebih 350 lagu diterima oleh Hot FM membabitkan kalangan komposer yang sudah ternama dan juga komposer amatur bagi merebut hadiah wang tunai RM25,000 untuk habuan juaranya.

Menurut Ahmad Izham, kepelbagaian muzik yang dibuka pada pertandingan yang ditaja oleh Celcom X itu sedikit sebanyak mampu memperdengarkan kreativiti para komposer tempatan bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik dalam nada lebih moden dan segar.

“Pada pertandingan ini, ramai komposer yang menghantar pencalonan lagu-lagu mereka merupakan golongan generasi baru. Ada yang menghantar lagu berkonsepkan rock, pop dan indie sesuai dengan usia serta cita rasa mereka.

“Dalam soal konsep atau genre muzik, kami sedikit terbuka kerana muzik memainkan peranan yang amat penting. Sebabnya para pendengar akan lebih tertarik dengan melodi lagu yang dipersembahkan kepada mereka.

“Selepas tertarik dengan irama, maka barulah mereka akan menyanyi dan memberi perhatian kepada lirik lagu. Kalau melodi atau muziknya sedap, secara tidak langsung mereka juga akan menghayati lirik lagu tersebut,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan sambutan pada pertandingan itu, Hot FM sedikit sebanyak dapat mengetahui kecenderungan dan kreativiti yang dimiliki oleh sebilangan pesertanya meskipun masih baru dalam bidang tersebut.

Malah, Ahmad Izham juga terkejut kerana terdapat ramai komposer yang menghantar penyertaan mereka menampilkan garapan idea yang mampu memperkayakan lagi khazanah lagu-lagu dalam industri muzik tanah air.


CABARAN Fara Fauzana terhadap Faizal Ismail yang mencetuskan pertandingan itu bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik generasi baru mewakili aspirasi rakyat negara ini.


“Kami tidak menyangka banyak lagu yang kami terima merupakan lagu-lagu yang cukup kreatif dan unik. Senario ini membuktikan kita sebenarnya mempunyai ramai komposer yang berbakat tetapi belum diberi peluang yang secukupnya.

“Kami harap pertandingan ini akan mencungkil lebih ramai komposer muda yang berbakat kerana mereka tentunya mempunyai idea bagaimana mahu mempopularkan lagi lagu-lagu patriotik dalam rentak yang lebih moden dan segar pada masa depan.

“Apa yang penting juga ialah, lagu yang akan diangkat sebagai pemenang pada pertandingan ini kelak mampu diminati serta dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa dan agama,” jelasnya penuh optimis.

Mega difahamkan pemenang pertandingan Lagu 1Malaysia Kita akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 2 September ini dengan kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri.

Daripada lebih 350 lagu yang menghantar penyertaan, 10 lagu telah dipilih sebagai finalis pada pertandingan yang menyaksikan pertembungan ramai komposer serta penyanyi profesional dan amatur tempatan itu.

Idea pertandingan Lagu 1Malaysia Kita tercetus apabila penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dan Faizal Ismail mencadangkan diadakan pertandingan mencipta lagu patriotik baru.

Katanya, lagu patriotik nada generasi baru itu diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-52 pada tahun ini, selain menyahut aspirasi gagasan 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri.

“Menerusi Hot FM, Fara pada asalnya mencabar Faizal supaya menghasilkan sebuah lagu patriotik sempena Hari Kebangsaan dalam suatu tempoh waktu yang ditetapkan. Faizal akhirnya berjaya menyahut cabaran Fara itu.

“Cabaran itu kemudiannya diperluaskan kepada para pendengar Hot FM yang akhirnya membuka penyertaan pertandingan itu kepada segenap lapisan masyarakat, tidak kiralah sama ada mereka itu komposer profesional ataupun amatur.

“Akhirnya kita dapati penyertaannya amat membanggakan kerana ternyata lagu-lagu ciptaan komposer amatur juga hampir sama hebatnya dengan komposer profesional yang menghantar pencalonan mereka pada pertandingan ini,” katanya.

Antara komposer terkenal yang berjaya membawa lagu-lagu mereka ke final pertandingan Lagu 1Malaysia Kita ialah Datuk Siti Nurhaliza, Audi Mok, Aubrey Suwito, Taja (Meet Uncle Hussain), Nur Fatima dan Shazzy.

Hala tuju juara Lagu 1Malaysia Kita


FAIZAL ISMAIL


Pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita bukan setakat dicetuskan oleh Hot FM tetapi ia turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri yang memberi sokongan padu terhadap usaha murni stesen radio swasta tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul pula tidak menyangka usaha mereka mengadakan pertandingan mencipta lagu-lagu patriotik baru itu mendapat sokongan serta perhatian daripada pihak kerajaan.

“Secara tidak langsung inisiatif dan usaha yang kami jalankan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu menyemai semangat patriotik terutamanya kepada golongan muda. Salah satu caranya ialah menerusi lirik dan lagu-lagu.

“Sambutan pertandingan ini amat memberangsangkan. Perkara itu dapat dilihat apabila undian memilih juara pertandingan itu bukan setakat melalui SMS dan Internet tetapi ia juga melalui borang yang disiarkan di akhbar.

“Buat masa ini kami sedang membuat pengiraan jumlah undian yang telah ditutup pada 26 Ogos lalu pukul 11.59 malam. Lagu ciptaan komposer yang terpilih sebagai pemenangnya akan diumumkan secara rasmi pada 2 September ini,” katanya.

Ketika ditanya hala tuju lagu yang akan diangkat sebagai juara Lagu 1Malaysia Kita, jelas Seelan, ia bergantung pada budi bicara Jabatan Perdana Menteri sama ada untuk menjadikannya sebagai lagu rasmi ataupun bagi tujuan-tujuan lain.

Malah, menurut Seelan, lagu yang akan muncul sebagai juara itu juga akan dijadikan klip video dan diedarkan kepada pihak-pihak tertentu seperti wakil-wakil media massa antaranya stesen-stesen radio dan televisyen.

“Kita akan siarkan lagu dan klip video lagu yang akan muncul juara pada pertandingan itu kelak. Sebelum ini pun, kami di Hot FM juga telah menyiarkan 10 lagu yang terpilih sebagai finalis pertandingan ini pada setiap hari secara bergilir-gilir.

“Lagu yang muncul juara pertandingan ini pula akan menjadi hak milik komposernya dan terpulanglah kepada pihak Jabatan Perdana Menteri merancang atau menggunakannya untuk tujuan yang mereka rasakan sesuai pada masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Seelan sembilan lagi lagu yang kurang bernasib baik pada pertandingan tersebut pula akan digunakan oleh Hot FM dengan kebenaran penciptanya, misalnya bagi dijadikan nada dering telefon bimbit dan sebagainya.

Seelan juga tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan lagi pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita selepas ini bagi menghasilkan lebih banyak lagu bertemakan patriotik pada masa depan.

Selain Jabatan Perdana Menteri, pertandingan itu mendapat tajaan daripada Celcom X yang ternyata tidak mengambil masa panjang untuk bekerjasama bagi membantu menjayakan hasrat murni tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly yang turut hadir memberi sokongan padu pada majlis pelancaran dan pengumuman 10 lagu yang terpilih pada pertandingan itu di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini memberitahu:

“Ahmad Izham datang kepada saya mengusulkan ideanya bagi menganjurkan pertandingan itu. Apabila melihatkan cadangan dan idea pertandingan itu yang amat relevan untuk dilaksanakan pada masa sekarang saya terus bersetuju. Kami di Celcom menyokong usaha yang seperti ini,” kata Shazalli penuh semangat.

Karya indah pelbagai kaum

Karya indah pelbagai kaum


AUDI Mok (kiri) bergandingan dengan Nur Fatima menghasilkan lagu 1Malaysia Kita.


PERTANDINGAN mencipta Lagu 1Malaysia Kita secara tidak langsung menggambarkan aspirasi masyarakat berbilang bangsa dalam menghasilkan lagu-lagu patriotik untuk dihayati oleh segenap rakyat di negara ini.

Senario itu dapat dilihat apabila komposer yang terpilih sebagai finalis pertandingan itu terdiri daripada pelbagai kaum seperti Melayu, Cina, India dan Serani bagi sama-sama menjayakan hasrat murni tersebut.

Komposer muda, Lead yang baru berusia 21 tahun memperlihatkan bakatnya mencipta lagu berjudul Keranamu Hatiku Malaysia yang menampilkan elemen muzik global supaya ia lebih mudah dihayati oleh semua pendengar.

Lead atau nama sebenarnya, Mohd. Khalid Abu Takdir berpendapat, lagu-lagu patriotik yang hendak diketengahkan kepada rakyat Malaysia genre muziknya seharusnya tidak tertumpu kepada sesuatu kaum sahaja.

Sebaliknya, kata pelajar jurusan perfileman Universiti Teknologi Mara (UiTM) ini, lagu-lagu patriotik akan lebih mudah dihayati oleh semua pihak apabila ia mampu disesuaikan dengan selera pendengar segenap lapisan masyarakat pada hari ini.

"Sebab itulah dalam lagu ciptaan saya itu, saya ketengahkan konsep muzik yang lebih moden dan bersifat global. Saya ketengahkan adunan antara muzik pop dan punk rock dalam lagu itu supaya ia kedengaran sedikit berbeza.

"Saya yakin lagu yang saya cipta itu bukan sahaja boleh dihayati oleh pendengar Melayu tetapi kaum-kaum lain juga tiada masalah untuk menghayatinya. Sementara lirik lagunya pula saya tulis seringkas yang mungkin tetapi tetap ada mesej di sebaliknya.

"Ia adalah kombinasi rasa penghargaan saya terhadap Perdana Menteri kita yang dulu seperti Tun Dr. Mahathir, Tun Abdullah Ahmad Badawi dan Perdana Menteri kita sekarang, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak," katanya kepada Mega.

Sebagai komposer berbangsa Cina, Ng Ching Ching tiada masalah untuk menghasilkan lagu patriotik berdasarkan pengalaman serta pengamatannya menerusi lirik lagu hasil nukilannya bersama Wong Seng Jinn itu.

Ching Ching melahirkan rasa syukur kerana dilahirkan serta menjadi rakyat Malaysia dan luahan rasanya itu dimuatkan melalui lirik lagu berjudul Nyanyikan Lagumu pada pertandingan tersebut.

"Sebelum ini saya pernah melawat Australia, China dan Singapura dan saya rasa berbangga menjadi rakyat Malaysia kerana kehidupan di negara kita lebih aman walaupun ia didiami oleh pelbagai kaum.

Dihayati


Ng Ching Ching


"Sedikit sebanyak pengalaman dan rasa kesyukuran itu saya luahkan dalam lagu tersebut. Saya harap lagu itu juga akan dihayati oleh semua rakyat Malaysia tidak kiralah mereka itu bangsa apa sekali pun," ujarnya.

Tambah Ching Ching, lagu Nyanyikan Lagumu meninggalkan kenangan manis buatnya kerana lagu itu bukan setakat dipilih sebagai finalis pertandingan Lagu 1Malaysia Kita tetapi ia juga sering disiarkan menerusi radio Hot FM.

"Ini merupakan pertama kali saya menghantar lagu dalam pertandingan mencipta lagu dan terpilih pula sebagai finalis Lagu 1Malaysia Kita. Malah, saya paling seronok dan bangga apabila lagu saya itu disiarkan dalam radio Hot FM.

"Sebelum ini saya ada mencipta lagu sebagai hobi dan saya hanya menyanyikannya dalam rumah atau dalam bilik air sahaja," katanya yang mengambil masa sekitar tiga hari bagi mencipta lagu serta lirik Nyanyikan Lagumu bersama rakannya itu.

Paling membanggakan kata gadis Tionghua yang suka bergurau ini, lagu ciptaannya itu telah dinyanyikan oleh artis popular tanah air iaitu Maya Karin dan tentunya sedikit sebanyak akan melonjakkan populariti lagu tersebut.

Selain pencipta muda pelbagai bangsa, komposer amatur yang baru hendak menggilap bakat turut mencuba nasib dalam pertandingan anjuran radio Hot FM itu yang menawarkan hadiah wang tunai buat juaranya.

Norm Aidid merupakan salah seorang komposer dan finalis Lagu 1Malaysia Kita yang mempertaruhkan lagu ciptaannya berjudul Lagu Rakyat Satu Malaysia yang dinyanyikan oleh penyanyi baru hasil didikannya, Rida.

Jelas Norm Aidid atau nama sebenarnya Syed Atilla Aidid, 35, dia berharap pemilihannya sebagai finalis dalam pertandingan tersebut akan menjadi batu loncatan buatnya untuk terbabit dalam industri muzik tempatan selepas ini nanti.

"Kalau lagu-lagu patriotik yang saya cipta ini pun sudah boleh diterima oleh semua lapisan masyarakat, saya yakin lagu-lagu genre lain yang akan saya cipta kelak juga mungkin lebih mudah diterima oleh kalangan pendengar.

"Apa yang penting ialah lagu-lagu saya kalau boleh biarlah bukan sahaja diminati oleh pendengar Melayu sahaja tetapi juga kaum-kaum yang lain. Lagu Rakyat Satu Malaysia itu saya hasilkan untuk dihayati oleh rakyat Malaysia," ujarnya dalam nada ceria.

Sebagai sebuah lagu pop moden, Norm Aidid yang merupakan seorang pegawai undang-undang di sebuah firma memuatkan banyak elemen patriotik dalam lagu serta lirik ciptaannya itu sebagai memenuhi tema pertandingan tersebut.

Beliau antaranya menyelitkan elemen dan falsafah yang terdapat dalam Rukun Negara yang secara umumnya diketahui oleh rakyat Malaysia dalam lirik lagu tersebut yang mengambil masa selama dua hari untuk disiapkannya.

"Selain itu, saya juga memuatkan elemen rentak lagu Negaraku pada tengah-tengah lagu ciptaan saya itu. Tetapi temponya saya rancakkan sedikit supaya ia kedengaran lebih moden dan sesuai dengan muzik yang saya tampilkan," jelasnya.

Tidak setakat komposer berbilang bangsa dan komposer amatur, kalangan komposer profesional dan penyanyi terkenal juga tidak mahu ketinggalan menghantar pencalonan serta bersaing sama pada pertandingan tersebut.

Penyanyi Nur Fatima contohnya, bukan sahaja penyanyi tetapi juga komposer baru yang terpilih sebagai finalis Lagu 1Malaysia Kita menerusi lagu berjudul Malaysia Satu hasil ciptaan Audi Mok yang dinyanyikan oleh Faizal Tahir.

Meskipun Faizal menyanyikan lagu itu dalam gaya muzik rock tetapi Nur Fatima atau lebih mesra dengan panggilan Nur tidak menjadikannya sebagai halangan untuk mengkategorikannya sebagai sebuah lagu patriotik.

"Lagu patriotik yang paling utama ialah daripada segi liriknya. Bagi saya, muzik apa sekalipun ia menjadi perkara kedua, yang penting mesejnya haruslah sampai. Sebagai komposer, saya tidak mencipta lagu-lagu cinta sahaja.

"Sebelum ini saya juga pernah mencipta lirik lagu berkonsepkan patriotik berjudul Satu Harapan nyanyian Jaclyn Victor dalam gubahan genre rock. Ternyata lagu itu diminati ramai," katanya yang mengambil masa tiga hari menulis lirik lagu hasil gubahan Audi Mok itu.

Untung kahwin orang senegeri

Untung kahwin orang senegeri


MAWI dan Ekin


BANYAK kemanisan yang dilalui oleh pasangan suami isteri, Mawi dan Ekin sepanjang lapan bulan melalui kehidupan sebagai suami isteri.

Kemanisan tambah berganda, apabila berpeluang meraikan kehadiran bulan penuh berkat Ramadan bersama-sama.

Berbeza dengan kehidupan semasa solo, dahulunya Mawi khususnya semuanya dilakukannya bersendirian.

Dan kini kemeriahannya lebih terasa apabila melakukannya berdua.

Mana tidaknya, sekarang hendak bersahur dan berbuka pun kena fikir sajian yang sesuai untuk berdua, kemudian menunaikan terawih bersama.

"Seronok dapat bersahur dan berbuka sambil ditemani isteri tercinta daripada berbuka seorang diri atau bersama kawan," ujarnya ketika ditemui di Majlis Berbuka Puasa Bersama Anak-Anak Yatim di Rumah Anak Yatim Darul Iman, Kuang, Selangor bersama Modenas, baru-baru ini.

Mawi dan Ekin dibawa ke sana untuk pengambaran program Uniknya Ramadan yang ditaja oleh Modenas dan akan disiarkan di Astro pada bulan Ramadan ini di samping untuk beramah mesra dengan penghuni rumah anak yatim tersebut.

Mawi turut menyampaikan sumbangan kepada penghuni rumah anak yatim itu di samping menunaikan solat sunat terawih bersama-sama.

Tambahnya, sepanjang minggu pertama puasa, hanya pada 27 Ogos lalu, baru pertama kali dia dapat bersahur di rumah bersama Ekin.

Dia berada di Sri Lanka selama seminggu mulai 19 Ogos lalu bagi menyelesaikan pengambaran Langkah Mawi dan mereka berdua melalui tiga hari pertama bulan Ramadan di sana.

"Selama tiga hari di sana kami bersahur dan berbuka dengan masakan tempatan penduduk Sri Lanka," tambah Mawi atau nama sebenarnya Asmawi Ani.

Ekin masak untuk suami

Bagi Ekin, puasa kali ini banyak bezanya berbanding tahun-tahun lalu walaupun sebelum ini dia bersahur dan berbuka dengan seseorang juga.

"Sebelum ini saya akan bersahur dan berbuka bersama kembar saya, Aein. Sebagai pasangan kembar, kami sentiasa bersama tidak kira waktu.

"Kalau dulu, Saya dan Aein akan ke bazar Ramadan bersama-sama dan membeli makanan berbuka dan bersahur siap-siap.

"Tetapi sekarang saya ada suami dan saya akan memasak untuknya jika tiada jemputan untuk berbuka puasa di mana-mana.

"Tetapi dalam minggu pertama puasa ini, kami belum lagi berkesempatan untuk ke bazar Ramadan bersama-sama atau menyediakan hidangan berbuka untuk Mawi memandangkan jadual Mawi yang sentiasa sibuk.

"Mungkin dalam minggu ini, kalau ada masa terluang, kami akan ke bazar Ramadan bersama-sama, barulah seronok," ujar Ekin atau nama sebenarnya Nora'Ashikin Rahmat yang menggemari hidangan Lontong Kering sebagai juadah berbuka puasa.

Air tangan Ekin yang paling disukai suaminya pula tidak kira waktu malah di sepanjang bulan Ramadan ini ialah sambal sardin dan masakan berkicap.

"Mawi bukanlah seorang yang banyak kerenah dalam soal makanan. Ada salah satu lauk sudah cukup untuk buat Mawi berselera," tambah Ekin.

Ujarnya lagi bagi persiapan raya pula, dia tidak bercadang untuk membuat kuih raya pada tahun ini dan sekadar membelinya di kedai.

Terang Ekin, kesibukannya menjalankan perniagaan menyediakan hamper raya yang ditempah orang ramai membataskan Ekin untuk berbuat demikian.

Mawi sibuk di bulan Ramadan

Sepanjang bulan puasa ini, rezeki Mawi tidak putus-putus kerana dia sibuk memenuhi undangan persembahan, rakaman program televisyen dan bazar Ramadan yang diusahakan di Danga Bay, Johor.


MAWI dan Ekin yang sedondon berpakaian hitam bermesra dengan penghuni Rumah Anak Yatim Darul Iman, Kuang, Selangor baru-baru ini.


Selain pengambaran Uniknya Ramadan dan Langkah Mawi, Mawi yang baru sahaja tampil dengan filem lakonannya, Jin Notti, bakal muncul pula dalam sebuah program muzikal untuk Astro Ria bertajuk Habibi Raya Mawi.

Program ini mengisahkan Ahmad (lakonan Mawi) yang meninggalkan kampung untuk merealisasikan cita-citanya menjadi seorang pemuzik.

Dalam mengejar impiannya, sudah tiga tahun dia tidak pulang ke kampung.

Untuk Astro Prima pula, Mawi bergandingan dengan Ekin untuk menyajikan program Rumah Baru, Bini Baru, Baru Raya.

Dalam program itu, Bob Kuman memainkan peranan sebagai orang gaji mereka yang menghuru-harakan keadaan.

Mengenai bazar Ramadan yang diuruskan oleh Mawi di Danga Bay pula, sebanyak 30 tapak telah disewa dan permintaan penyewa tapak mungkin akan bertambah minggu ini.

Setiap hujung minggu sepanjang Ramadan ini, pelbagai aktiviti yang akan dilakukan di bazar Ramadan tersebut seperti pertandingan kompang, nasyid dan azan.

"Setiap hujung minggu jugalah saya dan Ekin akan ke sana kerana saya akan menjadi juri bagi pertandingan-pertandingan tersebut di samping memeriahkan bazar Ramadan itu.

"Kami juga ada menjual pakaian dari butik Ekin iaitu ME World Collection. Kepada yang sedang mencari pakaian raya, bolehlah singgah di bazar kami," ujar Mawi yang kali pertama mengusahakan bazar Ramadan.

Namun, gerai mereka itu bukanlah akan dijaga oleh Mawi dan Ekin, cuma pekerjanya sahaja ada di sana dan mereka akan menjenguknya pada setiap hujung minggu.

Tak berebut kampung

Menurut pasangan yang melangsungkan pernikahan pada 20 Disember tahun lalu, mereka tidak menghadapi masalah untuk membuat keputusan beraya di mana.

Ini kerana kedua-duanya berpeluang menyambut hari raya pertama di kampung masing-masing memandangkan kampung Mawi dan Ekin di negeri yang sama.

"Itulah untungnya berkahwin dengan orang senegeri! Jarak dari Johor Bharu dan Kulai cuma setengah jam sahaja, jadi kami berdua dapat beraya di kedua-dua buah kampung pada hari raya pertama.

"Untuk warna tema baju raya kami pula, Ekin telah tetapkan warna merah jambu dan biru tapi kami belum berkesempatan untuk mencari baju raya lagi.

"Persiapan yang kami buat secara sederhana sahaja mengikut tuntutan Islam. Namun masih meriah dalam kesederhanaan kami," tambah Mawi mengakhiri perbualan.

Kerajaan bantu pentaskan Gamat

Kerajaan bantu pentaskan Gamat


PARA pelakon Muzikal Gamat yang kebanyakannya terdiri daripada kanak-kanak begitu ceria dan bersemangat biarpun teater itu belum dipentaskan lagi di panggung tersebut.


ANTARA masalah yang sering dihadapi oleh para penerbit dan pengarah teater di negara ini ialah kekurangan bajet atau ketiadaan penaja bagi mementaskan teater mereka.

Teater Muzikal Gamat anjuran Ctra Production misalnya, turut tidak terkecuali menghadapi masalah bagi mementaskan teater itu di Panggung Sari, Istana Budaya (IB), Kuala Lumpur, pada 4 hingga 8 Oktober ini pukul 8.30 malam.

Sementara 11 hingga 12 Oktober ini pukul 8.30 malam, manakala 9 hingga 10 Oktober ini pula tiada pementasan.

Bagaimanapun, Muzikal Gamat bernasib baik kerana Kementerian Kesihatan berusaha membantu meringankan beban dengan cara menghulurkan dana bagi menjayakan pementasan tersebut.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Rosnah Abdul Rashid Shirlin berkata, kementeriannya menerusi Lembaga Promosi Kesihatan Malaysia (LPKM) kini sedang menimbang bantuan yang akan diberikan untuk pementasan itu kelak.

"LPKM yang terletak di bawah Kementerian Kesihatan ditubuhkan bagi mempromosikan gaya hidup sihat di kalangan masyarakat negara ini. Kita akan bantu teater ini dengan cara memberikan dana yang diputuskan oleh sebuah jawatankuasa penilaian.

"Bantuan itu akan diberikan dalam bentuk geran dan ia bergantung kepada jenis program yang akan dilaksanakan. Ia sedang diperincikan. Permohonan untuk mendapatkan dana itu sudahpun diserahkan kepada kami.

"Mesyuarat akan diadakan pada minggu depan (minggu ini) dan keputusan itu akan diperincikan oleh ahli-ahli jawatankuasa tersebut," katanya pada majlis pelancaran Muzikal Gamat di IB, baru-baru ini.

Difahamkan Muzikal Gamat layak memohon dana daripada LPKM kerana mesej teater berkenaan mengenai kesedaran penjagaan kesihatan dan pemuliharaan alam sekitar yang semakin tercemar sejak kebelakangan ini.

Kesediaan Kementerian Kesihatan membantu mengyumbangkan dana bagi mementaskan Muzikal Gamat amat melegakan penerbitnya, Siti Rohayah Attan yang sebelum ini sukar mendapatkan penaja untuk pementasan tersebut.

"Sejak setahun yang lalu, kami telah pun berjumpa dengan banyak penaja tetapi hasilnya amat mengecewakan. Kini kami hanya berharap kepada simpati Kementerian Kesihatan. Selain bersifat hiburan teater muzikal ini juga membawa kempen kesihatan.

"Ia merupakan program dua dalam satu. Selain pementasan teater muzikal kami juga akan mengadakan program lain seperti kempen menderma darah sewaktu pementasan itu diadakan kelak," ujarnya yang juga mewakili Persatuan Penulis Wanita Malaysia (PPWM).

Kerjasama

Selain PPWM, Muzikal Gamat juga mendapat kerjasama daripada Jabatan Kebudayaan & Kesenian Negara, Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (Aswara) dan De' Media & Event Entertainment.

Muzikal Gamat yang akan diarahkan oleh Zaifri Husin itu merupakan naskhah hasil cetusan idea dan kolaborasi para pelajar teater tahun dua Aswara 2006. Naskhah yang sama pernah dipentaskan di akademi itu pada 2008.

Menurut Zaifri, Muzikal Gamat dipentaskan semula selepas Siti Rohayah hadir menonton teater itu di Aswara pada tahun lalu dan menyatakan minat untuk mementaskannya di Panggung Sari, IB.

"Muzikal Gamat masih relevan untuk dipentaskan semula kerana ia banyak memaparkan tentang kesepakatan dalam kehidupan laut yang menjadi simbolik dalam menjaga kesihatan.

"Sebagai contohnya, dalam teater muzikal ini kami akan paparkan watak Sotong yang membasuh tangan sebelum makan dan tidak boleh merokok dalam laut. Ia secara tidak langsung mendidik para penonton supaya jangan membuat pencemaran," katanya penuh makna.

Difahamkan seramai 80 pelakon berusia dari tiga tahun hingga 40-an akan berganding bahu mementaskan Muzikal Gamat yang mengenakan tiket berharga RM30, RM50, RM80, RM100 dan RM150.

Sebarang pertanyaan bagi menyaksikan teater muzikal yang diadun muziknya oleh komposer Hafiz Askiak ini sila layari laman sesawang www.muzikalgamat.blogspot.com, atau hubungi 03-6186 6592

Single percuma Sami buat peminat

Single percuma Sami buat peminat


Sami Yusuf


SELURUH dunia mengenali Sami Yusuf, seorang penyanyi British yang terkenal kerana muziknya yang beraliran Islam.

Ahli muzik keturunan Azeri ini terkenal kerana kreativitinya menggubah dan menyanyikan lagu yang menggabungkan sentimen Islam selain mengetengahkan pelbagai isu sosial dan kemanusiaan sejagat.

Lirik Sami lazimnya menceritakan tentang cintanya kepada Islam dan ajarannya yang penuh toleransi dengan tujuan mengetengahkan gambaran sebenar dan tanpa prejudis mengenai Islam ke seluruh dunia.

Sementara lagunya pula memuji nilai tradisional seperti kasih sayang ibu bapa dan belas kasihan kepada yang lebih orang tua.

Dan videonya pula dihasilkan dalam pendekatan yang lebih moden dan kosmopolitan berlatar belakang jalan-jalan di London, Istanbul, New Delhi dan Kaherah.

Sambil menyanyi Sami dengan mudah bertukar bahasa daripada Inggeris kepada Farsi, Turki, Arab, Bosnia dan Urdu, menjadikan muzik dan mesejnya lebih mudah diterima oleh generasi muda Muslim, dan mereka yang mengabdikan diri kepada keamanan di seluruh dunia.

Berpandukan kejayaannya sehingga kini, muzik Sami telah berjaya mempersonakan peminatnya.

Justeru, tidak hairanlah sejak tahun 2003, dua buah album pertama Sami telah mencatat jualan lebih lima juta salinan di seluruh dunia.

Kita juga mungkin tidak tahu yang Sami pernah mengadakan persembahan di hadapan penonton di merata dunia, termasuk konsert yang telah dihadiri 250,000 peminat di Istanbul, Turki.

Terbaru, beliau melancarkan single You Came to Me menerusi laman web bersempena dengan kehadiran bulan Ramadan.

Istimewanya, sempena Ramadan ini, Sami menawarkan para peminat beliau untuk memuat turun single terbaru ini secara percuma.

Untuk mendapatkannya, para peminat boleh mengunjungi laman web rasmi Sami www.samiyusufofficial.com.

Lagu-lagu berkenaan dikeluarkan dalam empat versi iaitu versi bahasa Inggeris (utama), Inggeris-Arab, Inggeris-Parsi dan Inggeris-Turki.

Turun sekolah sambut merdeka

Turun sekolah sambut merdeka

'Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum" – AZNIL




MUDAH sekali menyatukan empat artis popular tanah air ini dalam sesi fotografi khas sempena merdeka yang dilakukan sehari sebelum tibanya bulan Ramadan lalu.

Kalau melihat jadual Aznil Nawawi, Rozita Che Wan, Liyana Jasmay dan Pierre Nazarul Andre, sememangnya masing-masing sangat padat dengan pelbagai aktiviti seni. Namun, demi memenuhi permintaan Kosmo! dan memeriah majlis sambutan hari kemerdekaan Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur mereka terus menyatakan persetujuan tanpa berfikir panjang saat diajak untuk fotografi istimewa ini.

Sepanjang majlis berjalan, kesemua artis dikerumuni peminat berpakaian seragam sekolah yang setia dengan kamera di tangan masing-masing. Malah, ada yang tanpa segan silu berteriak, I love you kepada artis pujaan mereka.

Memang hiruk-pikuk jadinya apabila membawa artis ke sekolah. Namun, tujuan asal tetap tidak dilupakan iaitu sambutan dan fotografi merdeka.

Merdeka cara Aznil

Aznil yang ternyata mempunyai pengaruh besar turut menyampaikan kata-kata semangat dan nasihat kepada para pelajar sekolah sempena kemerdekaan.


AZNIL mahu menjadi teladan kepada remaja yang bakal mewarisi kemerdekaan negara.


Menurut pengacara, penyampai radio, penyanyi dan pelakon popular itu, sudah menjadi tanggungjawabnya untuk memberikan teladan yang baik kepada kanak-kanak dan remaja.

"Semasa saya kecil, saya menjadikan Allahyarham Sudirman sebagai idola dan saya tidak kisah sekiranya pelajar yang saya jumpa menjadikan saya idola mereka pula.

"Saya tahu menjadi idola bukan satu kerja yang mudah kerana tanggungjawabnya amat berat. Jadi, sebagai tanggungjawab sosial bagi saya penting untuk memberi motivasi kepada mereka bukan sahaja bila tiba Hari Merdeka kalau boleh setiap hari," ujar Aznil yang sudah biasa melawat peminatnya di sekolah.

Dalam pada itu, Aznil yang biasa dijemput pada konsert-konsert kemerdekaan saban tahun menjelaskan, hanya pada tanggal 31 Ogos sahaja dia akan berpakaian lengkap empat warna jalur gemilang.

"Saya akan ambil kesempatan jika dijemput ke konsert dengan memakai baju dengan empat warna seperti warna Jalur Gemilang. Saya rasa hanya satu hari itulah orang tidak akan kisah kalau saya pakai baju sebegitu," tuturnya dalam tawa.


ROZITA gembira meraihkan Hari Merdeka tahun ini dengan pelajar sekolah.


Luahnya lagi, sambutan merdeka bukan terletak pada hiburan, meletakkan bendera penuh di kenderaan masing-masing atau berkumpul beramai-ramai sambil menunggu detik 12 malam, sebaliknya lebih kepada pengisian kemerdekaan itu sendiri.

"Orang muda sekarang kalau merdeka, mereka hanya akan ingat konsert, hari cuti dan berkumpul bersama rakan-rakan sedangkan apa yang penting adalah penghayatan dan erti merdeka dalam diri mereka.

"Apa yang datuk nenek kita perjuangkan dulu harus dipertahankan seperti contoh keamanan yang dapat hari ini hasil kata sepakat yang dicapai antara kaum.

"Kita bukan sahaja berkongsi kuasa tetapi hampir semuanya. Itu yang harus dididik pada anak-anak kita supaya mereka mempunyai prinsip sayangkan negara. Pada saya tidak salah kalau setahun sekali kita 'sekolahkan' mereka dengan pengisian merdeka selain hiburan," katanya.


AZNIL menyuntik semangat merdeka di kalangan pelajar sekolah dengan memberikan ceramah mengenai kemerdekaan kepada mereka.


Walaupun negara sudah merdeka selama 52 tahun, Aznil mempunyai satu impian yang cukup besar iaitu melihat seluruh rakyat Malaysia mampu bertutur dalam bahasa kebangsaan yang betul.

"Kalau boleh cakap pun akan ada pelat-pelat yang melambangkan kaum masing-masing. Saya suka mendengar orang Cina berketurunan Nyonya Melaka dan orang India berketurunan ceti Melaka bercakap bahasa kebangsaan. Mereka bercakap dengan baik tanpa pelat.

"Kadangkala saya malu dengan orang asing seperti Nepal dan Bangladesh yang fasih bertutur bahasa kebangsaan daripada rakyat Malaysia sendiri.

Lebih teruk anak-anak Malaysia yang baru balik luar negara bertutur dalam pelat orang Inggeris, sedarlah diri kita orang Malaysia. Apa salahnya cakap dengan betul, baru kita rasa tidak ada perbezaan antara kaum," bicaranya.

Merdeka setiap hari - Rozita

Bagi pelakon jelita, Rozita Che Wan pula, selalunya jika tiba Hari Merdeka dia lebih senang untuk berehat di rumah bersama dua anaknya. Namun, kali ini Rozita berdepan pengalaman baru sebelum menyambut Hari Merdeka kerana turun padang ke sekolah untuk berkongsi kemeriahan hari bersejarah itu.

"Saya seronok kerana ini kali pertama saya dapat sambut merdeka bersama pelajar sekolah walaupun sambutannya lebih awal. Selalunya kalau tidak di rumah saya akan berada di lokasi penggambaran pada Hari Merdeka," katanya.


ROZITA, Aznil, Liyana dan Pierre menyanyikan lagu kemerdekaan bersama guru dan pelajar sekolah.


Walaupun telah biasa beraksi di hadapan kamera, lain pula situasinya apabila berhadapan dengan peminat remaja yang tidak berhenti-henti memanggil namanya.

"Terkejut juga tengok ramai peminat di kalangan remaja yang sebaya dengan umur anak saya sendiri dan saya akui sedikit gementar kerana diminta untuk memberi ucapan sempena merdeka.

"Saya anggap mereka semua seperti anak-anak saya sendiri jadi dan mengambil peluang di sini untuk berkongsi erti merdeka serta memberi sedikit nasihat kepada mereka," tuturnya.

Tambah Rozita, semangat merdeka harus kekal sampai bila-bila bukan sahaja pada bulan kemerdekaan dan kempen 1Malaysia.

"Semangat merdeka harus ada dalam diri setiap rakyat Malaysia bukan sahaja pada hari kemerdekaan tetapi pada bila-bila masa kerana setiap hari kita berpijak dan bernafas atas bumi bernama Malaysia.

"Kita kena ingat meskipun sudah merdeka tetapi untuk kekalkan kemerdekaan itu agak sukar. Penjajah zaman moden bukan datang secara peperangan tetapi secara halus yang kita tidak nampak seperti budaya, hiburan dan pelbagai lagi," terangnya.

Kenangan merdeka Liyana

Buat pelakon remaja Liyana Jasmay, meskipun baru berusia 21 tahun dan tidak pernah berada dalam zaman penjajahan tetapi dia tetap merasai keperitan orang dulu mendapatkan kemerdekaan melalui sejarah.

"Bagi saya merdeka adalah negara kita bebas daripada penjajahan, rakyat bebas berfikir dan kita boleh lakukan apa sahaja yang diingini selagi tidak melanggar undang-undang negara. Walaupun pelbagai kaum kita semua rakyat Malaysia.

"Merdeka bukan terletak hanya pada negara tetapi juga rakyatnya. Jadi kita harus berbangga dengan apa yang Malaysia miliki kini dan jangan rosakkannya," ujarnya.


PIERRE dan Liyana segak bergaya dengan baju Melayu dan baju kurung merah sewaktu fotografi di Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Ditanya apa perasaannya menyambut kemerdekaan di sekolah setelah menjadi artis terkenal, Liyana yang membeli baju kurung merah khas untuk sesi fotografi itu hanya tersenyum sambil mengakui keterujaannya.

"Rasa macam sekolah balik, dulu masa sekolah macam inilah sambut merdeka. Kami nyanyi lagu 31 Ogos ramai-ramai. Seronok sangat sambut merdeka walaupun ini bukan sekolah saya.

"Pelajar sekolah ini semuanya bersemangat termasuk guru-gurunya dan saya rasa itu satu perkara yang bagus kerana sambutan di sekolah memang sangat berbeza di luar. Bezanya adalah semangat sambutan itu sendiri," tutur Liyana yang terkejut dengan sambutan yang diterima sejurus tiba di sekolah tersebut.

Pelakon yang juga bergelar penyanyi ini turut berkongsi pendapatnya tentang kemerdekaan di kalangan generasi muda sepertinya.

"Setiap remaja mempunyai pendapat yang berbeza. Macam saya rasanya ketika di sekolah memang ada rasa merdeka itu tetapi apabila tamat persekolahan ia bertukar menjadi perkara yang subjektif.

"Ada yang masih menghayati kemerdekaan, ada yang anggap merdeka hanya sebuah acara untuk bergembira sahaja dan menyaksikan konsert hiburan.

"Saya rasa semangat merdeka itu masih ada cuma pengertian merdeka itu berbeza-beza. Kalau tidak ada semangat merdeka susahlah negara kita, macam mana mahu lahirkan pelapis?" luahnya penuh semangat.

Pierre jejak kasih cikgu lama

Pierre jejak kasih cikgu lama

"Kalau tiap-tiap tahun sambut merdeka tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat" – PIERRE ANDRE




JIKA tiga selebriti popular Aznil, Rozita dan Liyana kali pertama menjejakkan kaki ke Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, lain pula ceritanya bagi Pierre Nazarul Andre atau Pierre Andre. Menjayakan fotografi di sekolah itu sangat bermakna buat dirinya kerana dia pernah menuntut di sekolah tersebut.

Bertemu kembali dengan guru-guru yang pernah mendidiknya sehingga menjadi seorang yang terkenal seperti hari ini adalah satu perasaan yang tidak boleh digambarkan dengan kata-kata.

Terlihat di wajahnya, perasaan gugup bercampur gembira saat tiba di pekarangan sekolah. Senyumannya meleret sehingga ke telinga begitu juga dengan pelajar dan guru-guru di sekolah itu yang pasti berbangga dengan pencapaian bekas pelajarnya.

"Saya terkejut sangat bila sampai sahaja di sekolah ini. Saya lihat sampir separuh guru yang ada di sana adalah guru yang pernah mengajar saya.

"Malah, sejak sekolah lagi mereka tahu yang saya akan jadi pengarah dan penulis sebab semasa sekolah saya banyak buat persembahan. Namakan apa sahaja majlis sekolah mesti ada saya dan rakan-rakan," ungkap pemuda berusia 24 tahun itu.

Jelasnya, kembali ke sekolah lamanya telah membuka kembali memori manis ketika bergelar seorang pelajar apatah lagi Pierre merupakan antara pelajar terkenal di kalangan guru-guru.

"Saya nakal juga masa sekolah, macam-macam perkara yang saya lakukan tetapi minat saya tetap terarah pada penulisan dan pengarahan sehingga ke hari ini. Sebab itu guru-guru saya tidak terkejut dengan bidang pilihan saya.

"Terubat juga rindu pada sekolah tetapi ada sedikit rasa kekok. saya faham perasaan pelajar hari ini kerana dulu saya pun macam mereka juga.

"Saya ingat lagi dulu masa sekolah, penyanyi, Zainal Abidin pernah datang ke sekolah saya bagi ucapan macam saya buat hari ini. Masa itu rasa seronok bila dapat tengok dia. Lepas itu tiap-tiap hari gembira nak ke sekolah," cerita Pierre tentang kenangan semasa menjadi pelajar sekolah.


PIERRE tidak ketinggalan mendeklamasikan sajak kemerdekaan kepada pelajar Sekolah Menengah Taman Setiawangsa, Kuala Lumpur.


Bercakap tentang kemerdekaan pula bagi Pierre, selain bebas daripada penjajah, kemerdekaan juga membawa maksud memerdekakan diri daripada kegagalan dan itu perlu ada pada setiap manusia.

"Kalau sambut tiap-tiap tahun tetapi tidak menghayati dan menghargai nilai kemerdekaan itu sendiri, tidak ada maknanya sambutan itu dibuat," katanya.

Namun, bagi Pierre terdapat jurang perbezaan yang cukup besar antara pelajar sekolah dulu dan sekarang dalam memahami erti kemerdekaan negara.

"Saya rasa tidak semua faham erti merdeka. Kebanyakan mereka pergi sambutan merdeka di mana-mana lokasi untuk tengok artis sahaja. Suku daripada mereka faham erti merdeka. Mereka semua seakan-akan tidak kisah kerana terlalu dimanjakan," ujarnya.

Beritahunya lagi, semua itu jelas kelihatan apabila dibandingkan dengan penerimaan rakyat terhadap filem bercorak patriotisme dan genre yang lain.

"Filem pun macam itu juga, kalau negara Iran filem tentang negara yang memaparkan kesusahan dan kesengsaraan pasti berjaya, tetapi tidak di negara kita yang lebih suka dengan filem hiburan semata-mata.

"Kalau mereka tidak suka melihat kesusahan dan kepayahan yang digambarkan dalam filem, maknanya mereka tidak kenal erti pengorbanan orang terdahulu. Saya rasa orang faham dengan apa yang saya rasa," bicaranya.


AZNIL, Rozita dan Pierre membuktikan selebriti juga punya tanggungjawab sendiri pada Hari Merdeka.


Benar kemerdekaan bukan sahaja terletak pada negara tetapi semuanya yang menggerakkan negara itu ke satu tahap yang lebih baik.

Ditanya pula apa erti kemerdekaan dalam kerjayanya sebagai seorang anak seni, lama Pierre terdiam lalu menjawab: "Saya rasa merdeka dengan apa yang saya rasa nak lakukan.

"Saya bebas memilih kerjaya yang disukai dan diminati serta merdekakan diri daripada satu kegagalan. Macam saya sendiri, setiap kali tiba 31 Ogos, saya tidak pernah pergi KLCC tengok bunga api kerana itu bukan cara saya.

"Bagi saya sambut merdeka adalah dengan keluarga. Makan bersama keluarga. Merdeka tidak akan terasa tanpa keluarga. Apa yang ada di luar sana lebih kepada hiburan," tuturnya.

Silat Malaysia di National Geographic

Silat Malaysia di National Geographic


BUAT pertama kalinya, dokumentari khas seni silat disiarkan saluran National Geographic.


SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.

Fight Masters: Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.

Dengan kejayaan Becoming A King dan Smart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama.

Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar.

"Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia.

"Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya ketika bercakap pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin.

"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya.

"Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini.

"Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.

Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.

Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan.

Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah yang bakal terjadi kepada Joel yang memiliki angan-angan tinggi melangit itu, jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari Fight Masters: Silat yang pastinya tidak menghampakan anda.

Dokumentari itu bakal ditayangkan secara eksklusif sempena Hari Kemerdekaan ke-52 pada hari ini, pukul 9 malam di saluran National Geographic Asia dan di saluran Astro 553. - FAIZAL SAHARUNI