Sunday, July 19, 2009

Xandria ajak jalan-jalan

Xandria ajak jalan-jalan




PEMEGANG Ijazah Kewangan dan Pengurusan dari Universiti Melbourne, Australia ini mula meneroka dan menikmati isi bidang seni sejak berusia 16 tahun.

Malah biar sedang menuntut di universiti, pemilik nama Xandria Ooi ini tetap menulis dalam sebuah kolum, Tale of Two Cities di akhbar The Star yang membandingkan antara Kuala Lumpur dan bandar di Australia.

Bakat tersebut tidak pernah terhenti sekembalinya ke Malaysia apabila dia menjadi VJ bagi Astro Hitz.TV sebelum menjadi hos di stesen 8TV. Kini kembara seninya menyelusur lebih jauh apabila memiliki program yang dikendali sendiri, Xandria Weekend Discovery di bawah syarikat XO Productions.

Program dokumentari 13 episod itu memberi panduan kepada khalayak tentang destinasi menarik serta makanan masyarakat tempatan. Dokumentari ini ditayangkan di ntv7 pada setiap Khamis pukul 7.30.

Menurut wanita yang juga seorang model ini, walaupun ini bukan program pertama yang menjelajah seluruh Malaysia, dia cuba menampilkan sebuah dokumentari yang realistik serta mencungkil rahsia di sebalik penyediaan sesuatu makanan dan itu tidak pernah dilakukan sebelum ini.

“Ia realistik kerana ini bukan percutian bajet ataupun mewah. Ia sederhana dan semua orang mampu mendapatkannya. Ia amat berbaloi terutama untuk mereka yang ingin pergi bercuti bersama keluarga,” ujar Xandria, 26.

Lebih menarik, dokumentari ini telah meninggalkan sejarah manis buat dirinya apabila babak dia dilamar kekasihnya, Yuri Wong, turut disiarkan dalam salah satu episod pada Mei lalu.

Perkahwinan mereka sekali gus memecah persoalan Xandria tentang misteri cinta dan perkahwinan yang pernah ditulisnya dalam rencana di kolum miliknya, Sights & Sounds dalam seksyen Metro, The Star pada Mei lalu.

Malah di dalam rencana tersebut, Xandria dan suami sempat berdialog tentang sebuah perhubungan dan perasaan cinta.

“Saya mencintai anda walaupun pada hari yang saya rasa tidak begitu mencintai anda,” begitu suaminya pernah berkata sebelum Xandria membalas: “Maksudnya apa? Anda hanya mencintai saya mengikut situasi?”

“Tidak, saya amat mencintai anda. Ada masa yang saya rasa saya sangat cintakan anda pada waktu kita gembira. Tapi kadang-kadang waktu kita berselisih faham, rasa cinta itu kurang sedikit. Tapi saya tetap cinta anda,” jawab si suami lagi menyimpulkan definisi cintanya.

No comments: