Kisah Natrah 'cermin' buat orang Melayu
ISTANA Budaya (IB) yang terletak di Jalan Tun Razak, Kuala Lumpur, tahun ini menyambut ulang tahun ke-10 penubuhannya.
Sejak sedekad lalu, IB telah menjadi pentas persembahan pelbagai naskhah seni dan budaya tempatan ataupun yang diimport dari luar negara.
Daripada seni pementasan teater dan muzikal tradisional hinggalah kontemporari, IB menjadi medan terbaik dan paling berprestij dalam seni persembahan pentas di negara ini.
Sesuai dengan namanya, IB paling molek mengangkat naskhah-naskhah yang ada hubungkaitnya dalam menterjemah nilai-nilai seni dan budaya yang bertunjangkan masyarakat Malaysia amnya dan Melayu khususnya.
Natrah misalnya, merupakan naskhah teater terbaru yang akan dipentaskan di Panggung Sari, IB, mulai 17 hingga 25 November ini.
Teater yang bakal diarahkan oleh Erma Fatima itu merupakan naskhah yang cukup relevan untuk dipentaskan di IB sesuai dengan nama, peranan dan prestij IB. Juga dalam konteks persekitaran semasa yang berlaku pada ketika ini.
Biarpun barisan pelakon utama teater itu belum diputuskan lagi, tetapi daripada susur galur kisah Natrah itu, yang pasti banyak unsur tersirat yang boleh diselongkar bagi diketengahkan kepada khalayak.
Kita mungkin tidak terlalu teruja untuk mengetahui siapakah pelakon yang akan melakonkan watak Natrah.
Sebaliknya, ramai yang mungkin tertanya-tanya sejauh manakah naskhah Natrah mampu mengeksploitasi di sebalik kisah gadis Belanda itu bagi mencetuskan suatu nilai pemikiran di minda para penonton?
Kisah cinta lara dan rumahtangga Natrah pada tahun 1950-an yang penuh tragis itu secara kasarnya hanya berada di luar kerangka pengisahannya sahaja.
Namun, di sebalik paparan naskhah itu, ia mampu mengundang pelbagai nilai pemikiran yang tersirat untuk diinsafi oleh orang Melayu pada hari ini.
Isu murtad, krisis identiti, pemartabatan bahasa Melayu, agama Islam, semangat patriotik, kesepakatan dan cintakan bangsa sendiri merupakan antara perkara penting yang boleh ditekankan menerusi teater tersebut.
Kita tidak mahu teater Natrah kelak menjadi sebuah pementasan yang lebih membuai kisah asyik percintaan antara Natrah dan Mansor Adabi semata-mata.
Tugas berat Erma ialah bagaimana mahu membentangkan naskhah itu agar ia mampu mengetuk minda orang Melayu supaya sedar dengan realiti sosial dan politik yang sedang menghimpit mereka pada ketika ini.
Difahamkan ketika ini Erma sedang sibuk memilih pelakon yang akan melakonkan watak Natrah. Tidak dinafikan, pelakon watak utama itu amat penting bagi menghidupkan jalan cerita teater terbaru arahan Erma tersebut.
Beberapa nama pelakon yang mempunyai darah kacukan telah pun disebut-sebut sebagai pendokong watak Natrah. Sayangnya, perkara yang kurang penting seperti itu pula yang lebih heboh diperbualkan ketika ini.
Harus diingat bahawa pementasan Natrah jangan disamakan dengan persembahan muzikal yang lazimnya lebih hanyut dibuai oleh alunan iramanya sahaja. Natrah sebenarnya sebuah naskhah teater yang berat.
Ia berat dan penuh dengan tanggungjawab untuk agama Islam dan bangsa Melayu. Ini adalah naskhah terbitan IB yang terletak di bawah naungan Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan.
Pementasan ini menggunakan duit rakyat, di mana tentunya ia juga dipentaskan untuk rakyat.
Sejauh mana Natrah atau Maria Bertha Hertogh boleh mencetuskan kesedaran kepada orang Melayu? Bebanan itu tentunya terletak di atas bahu Erma.
Sepatutnya, soal mencari pelakon popular mana yang akan melakonkan watak Natrah menjadi perkara kedua.
Bagaimana dengan skrip teater ini? Adakah Erma mampu menyampaikan mesej-mesej itu menerusi Natrah?
Dalam isu pelakon utamanya pula, yang paling penting pelakon itu mestilah mampu menghayati dan melakonkan watak Natrah dengan berkesan.
Apalah gunanya mengambil pelakon muda yang baru setahun jagung berlakon dan hanya popular dengan kisah-kisah sensasi melakonkan watak tersebut? Bimbang nanti, lakonan entah ke mana, mesejnya pun entah ke mana.
Para penonton yang mengetahui latar kisah Natrah tentunya tidak kisah siapakah pelakon utama teater itu.
Sebabnya, Natrah bukanlah sebuah naskhah hiburan berkonsepkan penglipurlara, tetapi ia sebenarnya adalah sebuah pementasan yang boleh dijadikan 'serampang dua mata' untuk menguatkan lagi kesedaran orang Melayu pada hari ini.
Erma yang juga penulis skrip Natrah haruslah lebih berani dan kreatif menekankan intipati maksud tersirat yang terdapat dalam kisah tersebut.
Antara persoalan penting yang harus kita sama-sama fikirkan daripada teater Natrah kelak ialah, berapa ramai lagikah insan seperti Natrah yang akan menjadi mangsa keadaan seperti itu?
Sudahkah kita bersedia dan rela kehilangan lebih ramai Natrah? Watak Natrah secara simbolik menggambarkan kealpaan bangsa Melayu dalam mempertahankan agama mereka.
Kurangnya kesedaran kita terhadap persekitaran yang sedang berlaku termasuklah percaturan politik yang merugikan sesama Melayu, sikap keterbukaan sosial yang melampau-lampau merupakan antara 'penyakit' yang menyebabkan tragedi seperti itu tidak mustahil akan berlaku lagi pada masa depan.
Justeru, Natrah merupakan sebuah naskhah yang bukan sahaja berat untuk digalas oleh Erma dan IB.
Malah, ia juga menagih penghayatan yang tinggi buat kalangan audiensnya. Sama ada para penonton 'mendapat sesuatu' daripada Natrah atau tidak, ia adalah penanda aras kejayaan pementasan itu kelak.
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment