Thursday, August 13, 2009

Pengalaman mematangkan Shila

Pengalaman mematangkan Shila


SHILA ternyata berpuas hati dengan penghasilan album ketiganya, Bebaskanlah yang disifatkannya sebagai lambang transformasi dirinya.


KEHADIRANNYA di persada seni tanah air pada tahun 1999 lewat menerusi album pertamanya, Terima Kasih Guru telah mencuri perhatian ramai. Masakan tidak, ketika itu industri tempatan ketandusan penyanyi cilik dan dia mengisi kekosongan itu dengan bakatnya tersendiri seawal usia sembilan tahun.

Dia juga bertuah kerana laluannya dalam bidang seni begitu mudah sementelah bapanya, Amir Amzah Salleh atau lebih dikenali sebagai N.D. Lala merupakan seorang artis yang cukup popular satu ketika dulu.

Lantas, ramai yang berpendapat ia merupakan satu tiket emas buatnya untuk bergelar seorang artis dan mengecapi kemewahan serta populariti dengan cukup mudah.

Namun bagi Shila atau nama sebenarnya Nur Shahila Amir Amzah dia tidak mahu masyarakat melihatnya terlalu bergantung kepada bapanya.

Sebaliknya, dia mahu berdiri atas namanya sendiri dan seboleh-bolehnya dia tidak mahu dibayangi oleh populariti bapanya.

"Hakikatnya, perjalanan seni saya bukanlah semudah yang disangka. Mungkin ada yang berpendapat apabila menjadi anak kepada seorang artis, ia merupakan jaminan untuk menjadi popular dengan sekelip mata.

"Saya tidak nafikan perkara itu tetapi secara peribadi, saya mahu berdikari dan mencipta kejayaan atas usaha saya sendiri. Kalau saya terlalu bergantung kepada bapa, tidak mungkin saya menyertai One In A Million (OIAM) tahun lalu.

"Tetapi ini bukanlah bermakna saya menafikan sokongan dan semangat yang diberikan oleh seluruh ahli keluarga saya. Saya sedar dan akan tetap kenang serta ingat jasa mereka sampai bila-bila. Jika bukan kerana mereka, tidak mungkin untuk saya berdiri di sini seperti hari ini," jelasnya penuh bersungguh dalam satu sesi fotografi baru-baru ini.

Pengalaman

Untuk itu, Shila yang berusia 19 tahun hari ini lebih selesa bersama ibunya, Fauziah Sarman yang setia menemaninya ke mana sahaja dia pergi biarpun berada di bawah pengurusan syarikat rakamannya, Monkey Bone.

Menyambung bicara, gadis manis yang petah berkata-kata ini dia melihat dirinya kini melalui transformasi yang begitu ketara seiring dengan usianya.

Baik dari segi personaliti, tingkah laku mahupun skil nyanyiannya, Shila mengakui dirinya sudah jauh berubah berbanding sedekad yang lalu.

Di awal kemunculannya dia dikenali sebagai Shila Tekno dan menerusi album keduanya pula, namanya bertukar kepada Sha-Hila. Namun kini dia selesa dan mahu digelar Shila sahaja.

Ujarnya, dia banyak belajar daripada pengalaman khususnya menerusi OIAM yang telah membuka mindanya untuk mencari hala tujunya dalam bidang muzik yang begitu diminatinya.

Lebih setahun mencari dan mencuba, akhirnya dia bertemu dengan apa yang diidamkan sekali gus mahu membuktikan kepada masyarakat bahawa dia benar-benar serius dengan dunia seninya.

Bakal muncul dengan album ketiganya, Bebaskanlah yang akan dilancarkan minggu depan, Shila menyifatkan album ini sebagai lambang transformasi sebagai seorang anak seni.

Memuatkan 12 buah lagu, Bebaskanlah menampilkan karya-karya komposer handalan negara antaranya Aubrey Suwito, Audi Mok, Kieran Kuek dan Mode serta komposer dari Australia, Jamie Huber.

Bukan itu sahaja, album Bebaskanlah juga memuatkan dua buah lagu Inggeris dan salah satu daripadanya berentak balada ciptaan Aubrey yang berjudul Whisper My Name.

Teruja

Bicaranya penuh teruja saat diminta untuk memberikan pandangannya tentang album ketiganya yang menampilkan lagu Ada Saja sebagai single pertama itu.

Malah, Ada Saja juga pernah dipersembahkan oleh Shila sewaktu membuat persembahan di malam Shout! Awards 2009 baru-baru ini dan mendapat reaksi yang positif.

"Bebaskanlah buat saya bangga kerana lebih setahun kami berbincang dan mencari material yang terbaik untuk kami tampilkan dalam album ini.

"Bukan itu sahaja, Monkey Bone juga memberi kebebasan kepada saya untuk memilih lagu-lagu yang ingin saya bawakan dalam album ini.

"Saya sedar saya harus bawa muzik yang seiring dengan usia dan tidak boleh terlalu mematangkan diri saya dengan muzik yang terlalu jauh dewasa. Bimbang tidak mampu diterima pula nanti," ujar penyanyi yang cukup popular dengan lagu Memori Tercipta ini penuh optimis.

Muzik rancak, segar dan bertenaga menjadi teras kekuatan album ini selain daripada lagu-lagu balada yang dimuatkan bagi memenuhi permintaan peminatnya yang mendambakan nuansa sedemikian daripadanya.

Berkeyakinan tinggi dalam setiap langkahnya, tiada apa yang diharapkannya selain album ini mendapat perhatian dan diterima dengan baik oleh masyarakat.

Ujar Shila, konsep albumnya itu masih lagi belum diterokai sepenuhnya oleh segelintir artis di negara ini dan dia dengan jujur mengakui telah menjadikan album-album milik Britney Spears, Katy Perry dan Lady Gaga sebagai rujukan.

"Bukan meniru secara total tetapi mengambil semangat muzik mereka kerana ia bersesuaian dengan saya. Dengan usia saya yang masih muda, saya rasa tidak salah untuk saya bereksperimen sementara peluang itu masih ada," ujar anak sulung daripada empat adik-beradik ini lagi.

Rezeki

Berbanding juara OIAM musim kedua, Ayu, populariti yang dikecapi oleh Shila ternyata berjaya memintas Ayu biarpun Shila hanya bergelar naib juara.

Personaliti yang dimilikinya merupakan satu kelebihan buatnya apabila dilamar dan dilantik menjadi duta dan jurucakap untuk Cornetto, Coca Cola dan juga saluran Disney Malaysia untuk mempromosikan Hannah Montana.

Malah impak daripada iklan Cornetto yang dijayakan bersama kumpulan Ran dari Indonesia menjadikannya popular sekelip mata dan cepat dikenali di negara seberang.

Tidak mahu menjadikan perkara berkenaan sebagai satu isu, sebaliknya Shila menjelaskan, semuanya adalah rezeki masing-masing.

Malah, dia juga tidak pernah mencemburui Ayu yang sering kali membolosi tembok kebal senarai pencalonan acara anugerah di negara ini.

"Saya kagum dan bangga dengan apa yang dikecapi oleh Ayu kerana dia bermula dari bawah untuk mencapai kejayaan seperti hari ini. Tidak adil jika ada yang membandingkan kami kerana saya sudah menyanyi sejak kecil," kata Shila jujur.

Namun, dia berbangga dan terharu apabila masyarakat dan peminat muzik tempatan sudah mula menerima dirinya dengan baik dengan imej dan muziknya sekarang.

Bermula dengan kejayaannya merangkul pingat emas menerusi pertandingan Penang Shanghai Asia Music Festival 2008 menerusi kategori Lagu Terbaik untuk lagu Memori Tercipta.

Apatah lagi, dengan pencalonan dalam kategori Persembahan Vokal Wanita Terbaik Di Dalam Lagu pada Anugerah Industri Muzik Ke-16 yang lalu, sudah cukup membuktikan bakatnya mula dipandang.

Walaupun tewas di tangan Datuk Siti Nurhaliza, Shila memandangnya dari sudut positif dan menjadikannya sebagai satu perangsang demi masa depannya.

Masa depan

"Bohong kalau saya kata tidak mahu diiktiraf dengan gelaran terbaik tetapi saya percaya ia akan hadir kalau kita terus bekerja keras dan sering memberikan yang terbaik.

"Itu prinsip hidup saya kerana saya percaya kalau kita sering beri yang terbaik, orang akan sedar dan yakin dengan kemampuan kita," katanya.

Biarpun usianya masih lagi muda, namun anak jati Kuala Lumpur ini sudah mula merencana perjalanan masa depannya.

Sedar bahawa bidang seni tidak selalunya menjamin kemewahan dan keindahan yang berpanjangan, Shila mahu menubuhkan perniagaannya sendiri.

Obses dengan dunia fesyen, tidak mustahil bagi Shila untuk meneroka bidang itu di masa depan.

"Saya mahu mereka rekaan pakaian saya sendiri dan memiliki label sendiri. Malah, saya juga mahu ada aksesori atas nama sendiri.

"Idea ini timbul apabila pemakaian saya menjadi ikutan peminat saya khususnya dari kalangan remaja. Namun, ini semua adalah angan-angan. Siapa tahu kalau ia menjadi satu realiti satu hari nanti kan?" ujarnya tersenyum.

No comments: