Raihan gabung Hujan
Oleh FIRDAUS SAHAT
firdaussahat@hmetro.com.my
BARANGKALI bukan mudah untuk muzik nasyid bertahan masa ini. Kebangkitan pelbagai jalur muzik baru turut menenggelamkan elemen seni yang banyak membantu menaikkan taraf muzik tanah air satu masa dulu.
Raihan sedar perkembangan itu sehingga ruang mengadakan persembahan di bumi sendiri kian berkurang. Pun begitu, rezeki Raihan tetap besar dengan tawaran dari negara luar. Pendek kata, negara luar lebih menghargai karya nasyid ini.
Jelas Che Amran Idris selaku anggota kumpulan ini, rata-rata karyawan tanah air memandang muzik nasyid sebagai satu cabang dakwah dan tidak melihatnya sebagai satu seni di pentas seni suara.
“Jika di negara luar, mereka tidak memandang muzik nasyid ini sebagai satu dakwah tetapi menganggapnya sebagai seni yang perlu dipelihara. Jika mereka beranggapan sebegitu, mengapa tidak kita sendiri?
“Hakikatnya saya dan anggota serta penggiat muzik nasyid lain amat menyayangi dunia nasyid ini. Namun jika tiada sokongan, bagaimana muzik yang kami perjuangkan mahu bertahan?
“Muzik nasyid hari ini seakan-akan diketepikan. Mengapa elemen nasyid dan ketuhanan ini dianaktirikan di negara sendiri walhal negara luar begitu mengagunginya?“ katanya yang kecewa terhadap kesukaran mendapatkan penaja untuk mengadakan persembahan nasyid kebelakangan ini.
Tambah Che Amran, Raihan yang kini berusia 13 tahun sering kali menerima jemputan mengadakan persembahan di luar negara kerana di sana penganjur lebih menghargai muzik nasyid.
“Tidak dinafikan kami ada menerima jemputan dalam negara, tetapi dalam soal penajaan, terutama untuk memenuhi jemputan luar, agak sukar umpama lagu nasyid ini dipandang sebelah mata.
“Mungkin mereka (penaja) menganggap lagu nasyid hanya berkaitan agama seperti solat dan zikir tetapi sebenarnya ia lebih daripada itu, lagu nasyid meliputi motivasi serta teguran, apatah lagi berkaitan gejala sosial remaja sekarang,” katanya.
Lebih mengecewakan, stesen radio tempatan juga gemar memainkan lagu berkonsepkan komersial berbanding nasyid. Malah, lagu nasyid hanya diputar pada waktu tertentu saja.
“Lagu nasyid mungkin hanya dimainkan pada waktu tertentu seperti Ramadan dan Aidilfitri. Namun ingin saya katakan di sini, kami bukan berceramah, sebaliknya menyampaikan dakwah menerusi lagu serta muzik yang turut menjadi hiburan kepada pendengarnya.
“Lagu nasyid mempunyai peminat tersendiri, malah ada lagu yang malar segar dan sokongan mereka tidak pernah putus walaupun suasana sekarang menyukarkan kami untuk mendapat peluang memperkembangkan industri nasyid,” katanya.
Dek kerana suasana ekonomi dan peralihan minat remaja masa ini, Raihan cuba menampilkan sesuatu yang baru supaya muzik nasyid masih dipandang setaraf dengan elemen komersial.
Menurut Che Amran, untuk mengembalikan kelainan dalam muzik Raihan, mereka kini dalam proses merakam single Aidilfitri bersama kumpulan indie tempatan, Hujan.
“Selain lagu Doa Niat Puasa sempena yang dirakam sempena Ramadan, Raihan bakal mengeluarkan single untuk Aidilfitri nanti berjudul Aidilfitri Ayah Bonda yang turut mendapat sentuhan Hujan. Insya-Allah, dengan gabungan dua kumpulan ini ia dapat menarik perhatian pendengar.
“Lagipun, Hujan dan Raihan masing-masing mempunyai kelompok pengikut berbeza. Selain itu muzik Hujan juga lebih tertumpu kepada golongan muda dan ia menjadi faktor untuk kami berkolaborasi dengan mereka.
“Sekurang-kurangnya Raihan dapat meluas dan memperdengarkan jalur muzik kepada golongan muda ini. Dalam masa sama kami juga boleh menyampaikan pelbagai mesej positif kepada mereka.
Bagi yang tidak mahu ketinggalan mendengarkan single terbaru Raihan, ia boleh didapati menerusi laman web www.metamobile.com.my,” katanya sambil menerangkan, lagu duet berkenaan ciptaan dan lirik daripada Abu Bakar Mat Yatim manakala Noh dan Hujan bertanggungjawab menyusun muzik.
Tambah Che Amran, meskipun tirai Ramadan baru saja menyingkap tabir, keberkatan bulan mulia ini mula terasa, lebih-lebih lagi mereka berpeluang menyerikan malam pengunjung yang menjamu selera di Restoran Kelana Central, Kelana Jaya.
“Setiap kali waktu berbuka, kami ada di sana untuk menyambutnya bersama. Selepas itu kami akan menyerikan majlis dengan iringan muzik nasyid dan ia turut diselang dengan persembahan kumpulan nasyid lain.
“Jadi, bagi yang tidak mahu melepaskan detik istimewa berbuka puasa itu, sila hadir ke restoran berkenaan untuk menjamu selera,” katanya.
Sunday, August 30, 2009
Subscribe to:
Post Comments (Atom)
No comments:
Post a Comment