MINATNYA terhadap lakonan sudah berputik pada usia lima tahun lagi, namun Daniel Radcliffe amat bertuah kerana mampu merealisasikan impiannya seawal usia 11 tahun lagi.
Dipilih sendiri oleh penulis Harry Potter, J.K. Rowling untuk memegang watak Harry Potter, karakter itu telah mengubah hidup Daniel sama sekali.
Kini pada usia 19 tahun, pemilik nama Daniel Jacob Radcliffe atau lebih dikenali oleh dunia sebagai Harry Potter masih belum mahu meninggalkan watak itu.
Meneruskan magis dalam siri keenam Harry Potter iaitu, Harry Potter and the Half-Blood Prince, Daniel bakal dilihat dalam dua siri terakhir filem itu, Harry Potter and the Deathly Hallows bahagian I dan II masing-masing pada 2010 dan 2011.
Populariti Daniel telah menjadikan dirinya individu termuda yang bukan dari keluarga diraja untuk memiliki potret di galeri National Portrait Britian. Dia hanya berusia 14 tahun semasa potret dia dilukis oleh Stuart Pearson Wright yang mula dipamerkan pada 13 April 2006.
Turut terlibat dalam produksi lain selain daripada Harry Potter, Daniel pernah berlakon dalam filem December Boys dan pementasan Equus yang telah mendedahkan dirinya diterjah pelbagai kritikan positif.
Kejayaan siri filem Harry Potter menjadikan Daniel antara pemuda terkaya di Britian dengan kekayaan mencecah £14 juta (RM99 juta). Namun, Daniel memberitahu dia tidak mempunyai gaya hidup yang 'mahal' walaupun memiliki kekayaan. Menghabiskan banyak duit untuk membeli buku, Daniel juga seorang yang pemurah.
Menyokong pelbagai badan amal termasuk Demelza House Children Hospice di Sittingbourne, Kent, dia juga meminta peminatnya memberikan derma sebagai hadiah hari jadinya. Ikuti petikan temu bual yang disediakan oleh 20th Century Fox mengenai perkembangan terkini Daniel Radcliffe.
Anda terkenal dengan watak Harry Potter tetapi juga pernah serius dalam menjayakan watak di atas pentas seperti Equus. Adakah anda seronok untuk terlibat dalam projek lain?
DANIEL: Memang diakui Harry Potter adalah watak yang menarik dan saya berasa seronok melakonkan watak itu. Namun, saya juga mahu menguatkan lagi sisi lakonan dalam diri saya dengan watak lain selain daripada Harry Potter.
Watak dalam pementasan Equus menampakkan perubahan dalam diri saya walaupun ada orang yang beranggapan bahawa saya mungkin akan gagal. Maka, apabila saya berjaya dalam memegang watak itu, ia amat menyeronokkan.
Harry Potter and the Half-Blood Prince merupakan edisi keenam Harry Potter. Apakah perasaan anda selepas menghabiskan penggambaran untuk dua filem seterusnya, yang merupakan siri terakhir Harry Potter?
Ia akan menjadi sesuatu yang ganjil untuk tidak kembali kepada set penggambaran Harry Potter. Mungkin saya gembira kerana berpeluang untuk 'keluar' dan melakukan benda-benda lain tetapi untuk mengetahui bahawa ia sudah sampai ke penghujung merupakan satu perasaan yang amat menyedihkan. Saya bukan sahaja terpaksa meninggalkan watak itu tetapi juga tidak akan berjumpa dengan kawan-kawan saya seperti dulu.
Siri filem Harry Potter telah menyuntik sebahagian besar elemen ke dalam kehidupan peribadi anda. Pernahkah anda menyaksikan semula filem-filem sebelumnya dan melihat bagaimana anda telah berkembang terutama dari segi lakonan?
Tidak. Ini kerana saya rasa lakonan saya tidak begitu bagus. Jadi saya tidak akan melihat lakonan saya sebelumnya. Saya mungkin sepatutnya menyaksikan filem-filem itu untuk mengambil benda-benda positif terutama dari segi lakonan yang semakin berkembang. Tapi saya agak malu untuk melihat diri sendiri pada usia itu.
|
|
Pengalaman dan perasaan bekerja dengan Emma Watson dan Rupert Grint untuk sekian lama?
Saya dan Emma amat serasi kerana kami banyak menghabiskan masa bersama. Satu-satunya sebab mengapa saya dan Rupert tidak pernah bergaduh adalah kerana dia seorang yang rendah diri dan rileks. Cakap apa sahaja kepada dia tetapi dia tidak kisah. Kami amat bertuah kerana mampu bertahan dan kekal mesra untuk sekian lama.
Rupert memberitahu kami bahawa kemahiran anda bermain ping pong telah bertambah baik. Namun, dia turut memberitahu bahawa Emma telah mengalahkan semua orang?
Ya, dan ia amat menjengkelkan untuk mengetahui Emma dapat bermain ping pong dengan baik sekali. Rupert dan saya telah bermain untuk lapan bulan dan sentiasa berlatih. Kemudian Emma menyertai permainan kami dan dia amat cemerlang. Kami berdua tidak dapat mengalahkan dia. Memang teknik permainan saya telah bertambah baik tetapi saya tidak mahu bermain dengan Emma lagi (ketawa).
Anda merupakan peminat muzik indie. Ada meminati mana-mana pemuzik baru tahun ini?
Satu kumpulan bernama Vampire Weekend serta dua penyanyi wanita bernama Laura Marley dan Adel. Album kegemaran saya tahun lalu adalah The Wombats - Love, Lost And Desperation. Satu lagi kumpulan yang mungkin tidak dikenali orang adalah Beirut. Mereka mempunyai dua buah album dan kedua-duanya amat menarik. Saya juga suka Mars Volta dan album terakhir My Chemical Romance walaupun tidak pernah menyukai muzik mereka sebelum ini.
Anda pernah terfikir untuk menjadi penyanyi? Khabarnya, anda selalu pergi menyanyi karaoke.
Tidak, saya tidak mempunyai bakat secukupnya. Namun, saya amat cemerlang menyanyi karaoke. Lagu Rock and Roll Suicide oleh Bowie adalah kepakaran saya.
Adakah Harry Potter and the Half-Blood Prince akan menunjukkan sisi lain Harry Potter?
Terdapat lebih banyak perselisihan antara Ron dan Hermione berbanding dengan Harry. Namun, Harry tidak gembira dalam filem itu kerana ramai orang sentiasa cuba untuk membunuhnya. Ditambah dengan kehidupan cintanya yang teruk, hidup dia memang kelam. Itu adalah kepakaran penulis, JK Rowling dalam menggabungkan masalah yang dihadapi setiap hari walaupun di dalam dunia magis.
Siapa pelakon kegemaran anda yang memberikan inspirasi kepada lakonan anda?
Gary Oldman ialah pelakon paling hebat. Imelda Staunton dan David Yates juga bagus. Mereka semua memberikan inspirasi kepada saya tetapi saya lebih menyukai Gary kerana minat dan keterujaan dia dalam lakonan menarik perhatian saya. Rasanya dia dan Daniel Day-Lewis merupakan pelakon paling hebat untuk generasi mereka
No comments:
Post a Comment