Saturday, July 18, 2009

Selamat tinggal Neverland

Selamat tinggal Neverland


GAMBAR fail pintu masuk utama ke Neverland ketika zaman kemegahannya, suatu ketika dahulu.


MESKIPUN upacara penghormatan terakhir Raja Pop, Michael Jackson di Staples Center, Los Angeles pada 8 Julai lalu berlangsung penuh gemilang, pemergian ikon muzik dunia itu masih meninggalkan misteri kepada seluruh masyarakat dunia.

Siapa sangka hayat penghibur yang dinobatkan sebagai paling berjaya sepanjang zaman dan cukup gigih menyampaikan mesej keamanan melalui lagu-lagunya mengakhiri riwayatnya dengan seribu 'kekusutan'.

Bukan sahaja punca kematian yang diragui, malah lokasi sebenar persemadian penyanyi yang pernah memenangi 13 anugerah Grammy itu juga masih menjadi tanda tanya sehingga hari ini.

Keadaan itu bertambah 'sulit' berikutan pengurusan jenazah secara tertutup oleh pihak keluarga, ditambah dengan keengganan jurucakap keluarga mengulas laporan media yang mendakwa jenazah dibawa ke satu lokasi rahsia.

Yang jelas pada pandangan umum, penghormatan kepada Jacko telah dilakukan secara besar-besaran dengan persembahan artis yang merupakan teman-teman rapatnya seperti Stevie Wonder, Mariah Carey dan Lionel Richie.

Tidak kurang juga yang membuat kesimpulan bahawa kesulitan hidup yang dialami Jacko mempunyai kaitan dengan segala dakwaan, realiti dan spekulasi yang dilemparkan kepada beliau sebelum ini.

Selepas tragedi 25 Jun lalu, satu-satunya saksi yang menyaksikan penderitaan hidup Jacko mungkin adalah kediaman fantasinya yang terletak di Santa Barbara County.


PANDANGAN bahagian depan rumah utama di ladang ternak Neverland yang pernah menjadi kediaman Michael Jackson.


Lebih dikenali sebagai Neverland Ranch, tanah yang terbentang seluas 1,000 hektar di California, Amerika Syarikat itu juga adalah lokasi yang sepatutnya menjadi tempat 'rehat' Jackson selepas beliau menghembuskan nafas terakhir.

Bagaimanapun, disebabkan peraturan dan undang-undang pemilikan aset yang bertukar milik, tidak mungkin Neverland kekal menjadi tempat simpanan jasad Jacko.

Namun, semua mengetahui bahawa bekas ladang ternak itu menyimpan seribu satu nostalgia Jacko. Ia juga adalah titik permulaan kepada sejarah hitam yang mengaitkannya dengan jenayah seksual kanak-kanak.

Cuma tidak ramai yang mengetahui isi kandungan di dalam rumah agam milik anak ketujuh keluarga Jackson itu kecuali bagi rakan-rakan terdekat dan kumpulan kanak-kanak yang pernah dijemput berhibur di taman permainan Neverland.

Neverland yang dinamakan sempena nama sebuah pulau fantasi di dalam kisah dongeng Peter Pan dihias dengan gaya tudor, lengkap dengan taman permainan serta sebuah zoo yang dihuni haiwan seperti gajah, harimau dan zirafah.

Taman permainan Neverland menempatkan roda ferris, roller coaster, laluan kereta api dan dua gerabak antik, medan kereta langgar dan juga arca kanak-kanak, naga laut dan labah-labah yang diperbuat daripada gangsa.

Keindahan landskap dipenuhi tumbuhan dan pancutan air dari permukaan kolam yang menjadikan kawasan seakan-akan alam fantasi. Sebuah jam flora gergasi yang berfungsi secara mekanikal dan berlantaikan pokok-pokok bunga pelbagai warna antara yang menjadi ikon di Neverland.


TAB mandi tembaga yang terdapat di dalam rumah utama di Neverland.


Benar atau tidak, binaan yang diilhamkan penyanyi itu memakan diri sendiri apabila beliau didakwa menggunakan kekayaan itu sebagai tarikan untuk menganjurkan pesta dan menjemput kanak-kanak meluangkan masa dan bermalam di kediamannya.

Perlakuan itu yang dikatakan menarik Jacko ke kancah pencabulan seks terhadap golongan tersebut.

meninggalkan Neverland

Selepas lebih 17 tahun menghuni dan membeli kawasan itu daripada seorang usahawan padang golf pada 1988, Neverland ditinggalkan sepi dan terabai pada pertengahan 2005.

Semuanya gara-gara sikap sepasukan polis ketika melakukan siasatan yang didakwa Jacko seolah-olah 'mencabul' kehormatan Neverland. Beliau kemudiannya membawa diri ke Bahrain.

Beberapa tahun kemudian, selepas bertungkus-lumus mendapatkan pinjaman untuk mempertahankan asetnya itu, Jackson akhirnya disahkan 'bercerai' dengan harta kesayangannya itu seperti juga perceraiannya dengan isteri, Lisa Marie Presley dan Deborah Jeanne Rowe.

Neverland baru-baru ini dilelong pada harga $20 juta paun (RM114 juta) dan kini dimiliki sepenuhnya oleh Colony Capital.

Kediaman penuh nostalgia itu bagaimanapun terus menjadi ketaksuban peminatnya. Walaupun sudah jatuh ke tangan pemilik baru, ramai yang mahu melihat Neverland diurus mengikut model pengurusan seperti rumah agam, Graceland, peninggalan Raja Rock and Roll, Elvis Presley.


HIASAN di dalam ruang tamu menggunakan kayu berkualiti tinggi.


Bagaimanapun, pemilik hartanah itu sehingga kini masih belum membuat sebarang kenyataan berhubung masa depan Neverland.

Terbaru pula, taikun fesyen Perancis, Christian Audigier menyuarakan hasrat untuk membeli bekas kediaman legenda itu.

Pereka fesyen yang dikenali melalui koleksi Von Dutch dan Ed Hardy itu baru-baru ini bercadang untuk merealisasikan hasrat peminat menjadikan rumah Jacko itu kompleks seperti juga Graceland.

"Saya telah membuat keputusan untuk membeli rumah Jackson," ujar Audigier.

Jika impian itu menjadi realiti, Neverland akan dikunjungi oleh jutaan pengunjung melalui kemudahan lawatan maya seperti yang dirancang Audigier.

Selain itu, sekumpulan pelabur China turut mengumumkan hasrat membina kompleks replika Neverland di Shanghai melibatkan kos AS$14.6 juta (RM51 juta) seperti dilaporkan China Daily.

"Neverland akan dibina pada skala satu pertujuh daripada saiz asalnya bercirikan kebudayaan China," ujar Qiu Xuefan, salah seorang daripada 10 pelabur yang akan terbabit dalam projek berkenaan.

Menurut Pengarah Kamar Perniagaan Shanghai itu, replika Neverland diharap akan menjadi persinggahan peminat-peminat Jacko di China yang juga dibina sebagai tanda penghargaan dari peminat negara itu.

No comments: