Saturday, August 29, 2009

1Malaysia dalam Jalan Merdeka : Astro Warna (saluran 132 ) Khamis 9 malam

1Malaysia dalam Jalan Merdeka


Antara babak menarik yang dipaparkan dalam Jalan Merdeka.


MENGANGKAT perjalanan kisah dalam empat era berbeza, iaitu 60-an, 70-an, 80-an dan 90-an, kisah komedi ringan, Jalan Merdeka membawa pendekatan berbeza dengan menerapkan nilai-nilai 1Malaysia.

Menggabungkan tiga bangsa utama, Melayu, Cina dan India, siri 13 episod arahan Kabir Bhatia bakal memulakan tayangannya setiap Khamis di Astro Warna (saluran 132, Astro), pukul 9 malam bermula 3 September ini bertepatan dengan ulang tahun kemerdekaan negara.

Berlatarkan pekan Kuala Selangor, siri yang memaparkan kisah persahabatan dua generasi, Piramli Bakar, Lee Chow Kit dan Jegathesan turut memaparkan peristiwa-peristiwa penting pencapaian negara termasuk bidang hiburan, sukan, politik, ekonomi dan sosial.

Antara yang dipaparkan ialah pelancaran kereta pertama nasional, Proton Saga, kemenangan pasukan negara dalam pertandingan Piala Thomas pada tahun 1992 dan Konsert Sudirman di Jalan Chow Kit.

Tidak ketinggalan ialah detik-detik kegemilangan Mokhtar Dahari sebagai pemain bola sepak negara, pelancaran satelit MEASAT 1 ke angkasa lepas dan Sukan Komanwel pada tahun 1998.

Segalanya menjadi intipati yang melatari di sebalik kisah persahabatan itu.

Cuba menghidupkan pelbagai gambaran mengenai empat era yang dipaparkan, pelbagai props serta elemen sampingan digunakan sebagai salah satu cara menghidupkan lagi perjalanan kisah Jalan Merdeka.

Ketika ditemui di lokasi penggambaran siri tersebut di pekan Kuala Selangor, ternyata pengarah itu sedang asyik dengan tugasnya.

Diajak berbual seketika, jelas Kabir, siri Jalan Merdeka disaratkan dengan pelbagai elemen komedi.

Malah katanya, barisan pelakon seperti Sathiya, Chew Kin Wah, Mustapha Kamal dan Acappan dianggap sebagai gandingan terbaik menyuntik pelbagai rasa yang mampu mencuit hati penonton.

Pun begitu, menurut Kabir, walaupun Jalan Merdeka merupakan siri komedi namun nilai-nilai sejarah yang cuba diketengahkan turut menjadi faktor kekuatan penceritaannya.

"Jalan Merdeka memaparkan kisah tiga sahabat yang berlainan agama. Ini sangat bersesuaian dengan konsep 1 Malaysia.

"Ketiga-tiga mereka iaitu Piramli, Lee Chow Kit dan Jegathesan Mani adalah anak kelahiran merdeka yang lahir pada tarikh yang sama iaitu 31 Ogos.

"Biarpun ketiga-tiga watak tersebut seringkali menimbulkan kekeliruan, namun peranan mereka dalam siri tersebut tetap kelakar," katanya.

Piramli dinamakan sempena nama tokoh filem negara, P. Ramlee yang memenangi Anugerah Pelakon Lelaki Terbaik pada Festival Filem Asia, Tokyo (1957).

Lee Chow Kit pula mengangkat nama Loke Chow Kit, pelombong bijih timah yang namanya dikenang dengan Jalan Chow Kit, Kuala Lumpur.

Manakala Jegathesan pula mengambil sempena nama Mani Jegathesan, olahragawan negara yang berjaya ke Sukan Olimpik sebanyak tiga kali.

Tambah Kabir, penggunaan nama-nama popular tersebut membantu rakyat di negara ini mengingati tentang peristiwa-peristiwa penting negara termasuk hari kemerdekaan.

"Saya seringkali cuba mencari kelainan dalam setiap karakter yang ada.

"Sathiya misalnya, sangat menjiwai karakternya dan saya lihat sesuai dia dipadankan dengan karakter yang dipegang oleh Kin dan Mustapha," kata Kabir lagi.


Tiga serangkai... Aksi (dari kiri) Kin, Sathiya dan Mustapha Kamal dalam Jalan Merdeka yang bakal ditayangkan 3 September ini menerusi saluran Astro Warna.


Khalayak seringkali disogokkan dengan persepsi bahawa pelakon di kalangan bukan Melayu sukar mendapat perhatian. Kenyataannya Sathiya dan Kin cukup popular di kalangan Melayu.

Malah, ada yang berpendapat kebanyakan pelakon bukan Melayu juga begitu sukar mendapat peluang berlakon dalam sesebuah filem mahupun drama tempatan.

Benar atau tidak, baik Sathiya mahupun Kin, masing-masing menyangkal dakwaan tersebut.

Buktinya, nama seperti Sathiya dan Chew Kin Wah begitu dikenali di kalangan masyarakat Melayu kini. Wajah-wajah mereka juga acapkali kelihatan melatari pelbagai watak dalam drama-drama Melayu.

Biarpun perjalanan untuk mencipta nama sehingga ke tahap dikenali ramai begitu sukar, namun usaha keras mereka membina 'jenama' masing-masing harus diberikan pujian.

Bertemu pada sesi penggambaran Jalan Merdeka, Sathiya yang telah 25 tahun menghambakan diri dalam bidang lakonan mengakui, penerimaan ramai terhadap dirinya tidaklah sesukar yang disangka.

Mula dikenali menerusi slot Pentas Varia dalam siri Kalapadam, nama Sathiya mula melonjak apabila muncul minggu demi minggu mencuit hati penonton dalam rancangan Hiburan Malam Minggu.

"Saya 100 peratus bangga menjadi anak Malaysia. Saya berlakon bukan untuk popular. Sehingga kini saya tidak malu jika menaiki teksi kerana biarpun dikenali, saya tetap orang biasa.

"Mungkin inilah nikmat daripada bekerja memberikan keseronokan kepada orang ramai. Dengan melawak sahaja membuatkan orang suka kepada kita," kata pemilik nama sebenar Sathia a/l Periasamy yang kini berusia 45 tahun itu.

Dalam drama bersiri ini, Sathiya merupakan seorang pengedar rempah di sekitar Kuala Selangor. Menariknya, penduduk di sekitar kawasan tersebut menggelarnya Rajinikath sempena nama hero Tamil yang popular sekitar awal 90-an.

Bagi Kin yang memegang dua watak, iaitu Tauke Lee dan Lee Chow Kit menganggap gabungan tiga bangsa dalam Jalan Merdeka sesuatu yang positif dan perlu diteruskan pada masa hadapan.

"Sebenarnya, cerita-cerita yang menggabungkan tiga bangsa telah dimulakan dari dulu lagi, contohnya dalam filem Gerak Kilat lakonan Senator Tan Sri Jins Shamsudin.

"Bagaimanapun, tidak terlalu banyak filem atau drama yang menggambarkan pelbagai bangsa sedemikian dihasilkan.

"Mungkin juga sebab tidak ramai pelakon bukan Melayu yang boleh berlakon dan berkomunikasi dalam bahasa Melayu dengan baik.

"Sebab itu kita lihat kebanyakan wajah-wajah pelakon bukan Melayu yang sama sahaja berlakon," katanya yang telah berpengalaman lebih 20 tahun dalam bidang lakonan termasuk lakonan teater.

No comments: