Saturday, August 29, 2009

Konsert terakhir Sudir di TV3

Konsert terakhir Sudir di TV3


INILAH konsert terakhir dibuat Sudirman pada 9 Mac 1991 di Melaka sebelum allahyarham jatuh sakit.


ULANG tahun kemerdekaan negara pada tahun ini pastinya memercikkan momen indah di hati rakyat Malaysia apabila konsert penghibur nombor satu negara, Allahyarham Datuk Sudirman Arshad yang belum pernah menjengah di mana-mana kaca televisyen sebelum ini akan bertamu di TV3.

Benar, ia bukan omong kosong, sebaliknya konsert yang menjadikan Melaka Bandaraya Bersejarah sebagai saksi pada 9 Mac 1991 itu bakal ditonton oleh sekalian rakyat Malaysia Isnin ini.

Video asal itu, bukan sengaja diperap lama menjangkau hampir usia dua dekad. Sebaliknya, ia ada cerita tersendiri yang membuatkan konsert berjiwakan kemerdekaan itu lewat menemui khalayak terutama generasi baru.

Sebenarnya, rakaman video konsert kemerdekaan Sudirman itu dibuat oleh seorang peminatnya, Virender Singh yang menjadi penonton pada konsert penuh makna itu.

Virender yang merupakan kenalan rapat Sudirman hakikatnya sengaja menyimpan video asal konsert itu untuk koleksi peribadi sebelum diserahkan kepada syarikat rakaman EMI untuk tindakan selanjutnya.

Kini konsert tersebut sudah dipindahkan ke dalam bentuk DVD dan VCD sekali gus berada di pasaran sejak Julai lalu.

Menurut Pengurus Artis dan Repertoir Warner Music Malaysia, Mokhtaza Ahmad, dia tidak menyangka konsert Sudirman mendapat perhatian TV3 untuk disiarkan di kaca televisyen kerana ketika DVD dan VCD itu dicetak, ia diibaratkan hanya bertahan di rak kedai sahaja.

"Kemudian pihak TV3 melihat DVD dan VCD konsert ini sebagai sebuah produk yang istimewa dan bernilai tinggi.

"Dengan inisiatif TV3 ini, saya percaya sedikit sebanyak ia dapat membantu meningkatkan penjualan DVD dan VCD ini yang sudah dikeluarkan sebanyak 1,500 untuk cetakan pertama.

"Sekiranya permintaan memberangsangkan maka kami berhasrat untuk mengulang cetak konsert tersebut.

"Secara tidak langsung orang ramai dapat menjadikan DVD dan VCD konsert kemerdekaan Sudirman sebagai simpanan peribadi," katanya ketika ditemui pada majlis penyerahan DVD dan VCD Sudirman One Thousand Million Smiles di Theaterette, Sri Pentas, Bandar Utama, Petaling Jaya Selasa lalu.

Majlis penyerahan DVD dan VCD itu dilakukan oleh Pengurus Besar Warner Music Malaysia, Hermond Cheng kepada Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Rangkaian Televisyen Media Prima Berhad, Datuk Seri Farid Ridzuan sambil disaksikan oleh isteri Perdana Menteri, Datin Seri Rosmah Mansor dan Johan.


DARI kiri : Hermond, Johan, Rosmah, kakak Sudirman, Datin Radziah Arshad dan Farid pada sidang media Konsert One Thousand Million Smiles yang bakal disiarkan TV3 pada Hari Merdeka ini.


Cuma sedikit ralat apabila Virender tidak dapat hadir pada majlis penyerahan DVD dan VCD Sudirman One Thousand Million Smiles sekali gus tidak mampu mendasari jiwanya sebagai penyimpan video konsert Sudirman.

Bercerita lanjut tentang susah senang memproses rakaman video lama itu, ujar Mokhtaza, pihaknya terpaksa mengambil masa yang agak lama mencari syarikat produksi yang masih menawarkan perkhidmatan video bagi mengubahnya ke dalam bentuk DVD.

"Dengan kemajuan teknologi masa kini, sudah pastilah kami berasa sukar untuk mencari pihak tertentu yang masih menggunakan video jenis ini. Berkat kesabaran ini akhirnya berbayar apabila kami bertemu dengan syarikat produksi yang terbabit.

"Banyak benda yang perlu dibersihkan dalam video yang berusia belasan tahun ini. Bahkan, ada beberapa rakaman yang tidak jelas sehingga menyukarkan untuk melakukan kerja mengedit.

"Ditambah konsert ini bakal disiarkan di kaca televisyen maka kami terus berusaha untuk memastikan kualiti audio dan visualnya berada dalam keadaan baik sekali gus dapat ditonton tanpa menghadapi masalah.

"Kami tidak boleh buat sambil lewa kerana Virender sudah beri sepenuh kepercayaan kepada kami untuk menjadikan rakaman konsert ini sebagai warisan yang bernilai tinggi agar dapat disaksikan oleh orang lain dan generasi baru.

"Walaupun kita mengedarkan DVD dan VCD konsert ini namun hak miliknya masih menjadi kepunyaan Saudara Usaha Dagang yang merupakan syarikat kawan baik Sudirman," jelasnya yang mengambil masa selama sebulan untuk merealisasikan penukaran video biasa itu kepada DVD.

Dalam pada itu, Farid Ridzuan tidak terkecuali berbicara lebih lanjut tentang konsert yang diangkat namanya sebagai Sudirman One Thousand Million Smiles.

"Sudirman dilihat model paling layak menjadi ikon 1Malaysia kerana sikapnya yang sering memupuk semangat perpaduan sesama kaum lain tanpa ada sebarang batasan.


SUDIRMAN seorang penyanyi yang sarat dengan nilai patriotik dalam persembahannya.


"Bersesuaianlah dengan konsert terakhir Sudirman di Melaka pada tahun 1991 yang melambangkan visi negara mewujudkan gagasan masyarakat yang harmoni dan cintakan negara.

"Konsert kemerdekaan Sudirman ini sungguh unik kerana selain menyanyikan lagu-lagu patriotik, beliau juga mendendangkan lagu pelbagai bahasa dengan dijayakan koreografi dan penarinya yang terdiri daripada pelbagai kaum.

"Situasi ini dapat dilihat sewaktu beliau melagukan karya berbahasa Kantonis, I'm A Singer dan Tamil, Puthiya Vaanam. Saya dapati elemen 1Malaysia sudah diterapkan dengan kuat oleh beliau pada konsert ini.

"Lantaran itu, untuk ulang tahun sambutan kemerdekaan ke-52 pada tahun ini, kami hendak memberi apresiasi kepada beliau yang sarat dengan semangat patriotisme," ungkapnya bersungguh-sungguh.

Konsert One Thousand Million Smiles bakal bersiaran Isnin ini pada pukul 10 pagi di saluran TV3.

Untuk pengetahuan umum, konsert sempena sambutan kemerdekaan Sudirman itu turut dimuatkan dalam bentuk DVD dan VCD yang dijual pada harga RM22.90 dan RM19.90 sejak Julai lalu.

Setiap RM1 daripada hasil penjualan DVD dan VCD konsert itu akan didermakan kepada Tabung Bersamamu TV3.

No comments: