Dua bulan lepas dia dah lamar saya, tapi bukan dalam acara peminangan yang lazim dilakukan, kami dah bertunang sendiri-sendiri
LELAKI Inggeris asalnya bukan antara kriteria lelaki idaman yang bermain di fikiran Serina. Apa pun, kata anak dara Chef Wan itu, dia lebih tertarik dengan lelaki Melayu untuk dijadikan buah hati.
Bagaimanapun, jika benar lelaki Inggeris sudah tersurat sebagai jodoh buatnya, Serina sepenuh hati menerima kehadiran jejaka berasal dari London, England, Gavin Edward O' Luanaigh sebagai bakal insan bergelar suaminya. Mereka bakal disatukan sebagai suami isteri menjelang 1 Januari 2010.
"Sebelum ini, minat saya lebih kepada lelaki Melayu, sebab itulah bila Salahuddin (nama Islam bakal suaminya) beria-ria ajak bersembang, saya buat biasa-biasa sahaja. Saya tak minat. Lagipun saya baru putus cinta ketika itu, malas nak melayan mana-mana lelaki.
"Dia minta nombor telefon saya tapi enggan berikan sebaliknya saya berdalih, saya minta nombor telefonnya dan berjanji, saya yang akan hubungi dia nanti," luah Serina membuka cerita bagaimana bertautnya cinta terhadap pemuda Inggeris yang telah menukar nama kepada Salahuddin Ghaffar, 34.
Sempat merahsiakan statusnya sebagai artis, Serina hanya memperkenalkan dirinya sebagai pelajar dan menyedari mat salleh di Malaysia bukannya mengambil tahu perkembangan seni tempatan.
Seminggu selepas kad nama pemuda itu tersimpan dalam kocek seluarnya, barulah Serina terniat untuk menelefon Salahuddin, itupun setelah secara tidak sengaja kad nama Salahuddin terjatuh ketika pakaian-pakaian kotornya hendak dicuci.
"Kami keluar minum dan masa itu juga saya berterus-terang tentang karier saya. Dia terkejut tapi awal-awal lagi sudah mengagak bahawa saya bukan pelajar sebalik bekerja sebagai model. Bila saya kata saya pelakon, dia mula buat kajian, cari dalam Intenet dan jumpa banyak benda termasuklah gambar-gambar lama saya bersama kekasih sebelum ini.
"Terpaksalah saya berterus-terang tapi semua itu sudah berlalu dan Salahuddin menerima saya seadanya. Selepas berkawan dengannya, persepsi saya terhadap pemuda Inggeris berubah. Dia sama sahaja macam kita semua, semua bangsa sama sahaja. Cuma mungkin dia terlebih romantik sikit," luah Serina kini sibuk di lokasi penggambaran Akademi Polis musim kelima serta Roda-Roda KL musim ketiga.
Menambahkan keyakinan Serina terhadap Salahuddin, pemuda itu sebenarnya sudah memeluk Islam setahun sebelum mereka berkenalan. Salahuddin sendiri sudah lebih lapan tahun tinggal di Malaysia dan minat mendekati ajaran Islam seperti solat dan membaca al-Quran.
Enam bulan bersahabat, Salahuddin menyuarakan hasrat untuk menjalinkan hubungan yang lebih serius sementelah dalam masa yang sama, Serina memang mengimpikan lelaki yang serius dalam komitmen gara-gara dua kali gagal dalam hubungan sebelum ini.
Di mata Serina, Salahuddin yang berkhidmat sebagai Pengarah Urusan Football Focus Sdn. Bhd. itu juga berjaya mengembalikan sifat kewanitaan yang selama ini terperosok jauh dalam dirinya.
"Orang nampak saya sebagai perempuan yang lasak, boleh berdikari, boleh angkat bagasi sendiri tapi dia buat saya rasa seronok jadi perempuan, dia layan dan hormati saya sebagai seorang wanita.
"Dia juga bukan jenis cepat mengeluh atau merungut jika saya selalu sibuk dengan jadual penggambaran, kadang-kadang sebulan kami tidak bertemu, tapi dia okey dan selalu bagi semangat," jelas Serina tentang sikap Salahuddin yang membuatkan mereka selesa dan sepakat untuk melangkah ke alam perkahwinan.
Berkongsi minat yang sama, Serina gemarkan aktiviti lasak serta bermain futsal manakala Salahuddin pula tidak sah jika tidak ke padang bermain bola sepak. Jarang bersosial juga antara faktor kenapa pemuda itu yang membuatkan Serina mudah ditawan tatkala sebentuk cincin disarungkan ke jarinya.
"Dua bulan lepas dia dah lamar saya, tapi bukan dalam acara peminangan yang lazim dilakukan, kami dah bertunang sendiri-sendiri," getus Serina yang mengimpikan sebuah majlis perkahwinan dalam taman menjelang hari bahagianya kelak.
Mengikut perancangan, sebuah majlis berinai besar akan dilangsungkan pada 31 Disember dan upacara akad nikah akan berlangsung di Masjid Wilayah Persekutuan pada 1 Januari nanti. Majlis resepsi pula dijadualkan pada 2 Januari bertempat di Hotel Royal Chulan, Kuala Lumpur.
Serina ditemui pada sidang akhbar The 3rd Chocolate Cake Championship di Alexis Bistro, Jalan Ampang, baru-baru ini. Hadir sama, bapanya, Chef Wan yang juga ketua juri pada pertandingan itu. Abangnya, Chef Riz pula turut terlibat sebagai chef undangan.
Bercakap tentang restu dan sokongan keluarga terutama Chef Wan sendiri yang terkenal cerewet dalam soal memilih menantu. Kata Serina, itu semua ditanggung beres.
Bahkan untuk majlis resepsi nanti, 80 peratus bajet dan persediaan perkahwinannya ditanggung dan akan diuruskan oleh Chef Wan.
Ditanya perasaan Chef Wan yang akhirnya akan bermenantukan 'mat salleh', tukang masak popular yang baru sahaja diiktiraf sebagai Selebriti Chef Terbaik Dunia di Gourmans Award 2009, ada jawapan tersendiri.
"Sebenarnya saya tak kisah siapapun yang kahwin dengan anak saya, jadi menantu saya asalkan orang itu bukan 'hantu'. Saya cakap dengan Rina (Serina), kahwinlah dengan siapa yang dia suka, dengan pemandu teksipun saya tak kisah asalkan mereka genbira, dapat suami bertanggungjawab dan yang paling penting hormat hak isteri.
"Dengan Salahuddin, saya tiada masalah. Lagipun dia jenis otak bisnes, jadi kami boleh bersembang banyak benda. Dia minat sukan, si Rina pun macam tu juga, satu lagi, bukan Rina puncanya dia masuk Islam. Dari situ saya nampak kecenderungan dia," ujar Chef Wan.
Tidak berhajat untuk meraikan satu-satunya anak perempuannya dalam satu majlis besar-besaran, kata Chef Wan: "Cukuplah buat secara sederhana tapi meriah dengan kehadiran saudara dan kenalan terdekat.
"Bagi saya majlis perkahwinan tidak perlu jadi sarkas. Saya tak nak buat besar-besaran, tak nak membazir. Biarlah orang kata saya kedekut dan berkira walaupun hanya ada seorang anak perempuan. Daripada membazir lebih baik sedekahkan duit kepada orang yang kurang bernasib baik, anak yatim atau saudara-mara yang memerlukan," kata Chef Wan lagi.
Mahukan yang terbaik untuk Serina, Chef Wan prihatin bukan sahaja mengenai juadah yang bakal dihidangkan kepada tetamu menjelang majlis resepsi nanti tetapi begitu juga dengan jumlah wang hantaran yang bakal diberikan oleh pihak pengantin lelaki.
Hasil persetujuan bersama dan saranan Chef Wan, pihak lelaki telah bersetuju akan menyerahkan wang hantaran sebanyak RM30,000 dengan tujuh dulang hantaran berbalas sembilan oleh pihak perempuan pada majlis pernikahan nanti.
Kata Chef Wan: "Saya pula yang terlebih bersemangat dengan majlis itu nanti. Setakat ini, sudah 30 peratus yang dibereskan. Untuk majlis persandingan, Datuk Faridah Hashim dah bersetuju untuk reka konsep persandingan dalam taman seperti yang dimahukan oleh Rina."
No comments:
Post a Comment