AWAL tahun 1990-an nama kumpulan Mega mendaki sehingga ke puncak dek kerana lagu-lagu melankolik yang cukup mendapat tempat di hati peminat waktu itu.
Barisan lagu seperti Sekuntum Bunga Sakura di Gurun Sahara, Takdir & Waktu dan Bayangan Gurauan antara lagu yang menjadi siulan sehingga kini.
|
|
Namun, ke mana hilangnya kumpulan Mega yang cukup megah suatu ketika dulu? Kesempatan bertemu dengan vokalisnya Rahmad Tohak atau lebih popular sebagai Rahmad Mega baru-baru ini terus sahaja ditanya masa depan kumpulannya itu.
Mungkin ramai yang beranggapan kumpulan yang turut dianggotai oleh Sam (gitar utama), Munir (drum) dan Mat Mega (bass) itu sudah pun hilang dan berkubur.
Namun, hakikatnya kumpulan Mega masih lagi wujud namun bezanya mereka bukan lagi muda dan popular seperti dulu.
Menurut Rahmad yang kini berusia 40 tahun, perjuangan seni yang dipikulnya sejak zaman muda masih berkekalan sehingga kini. Tidak sedikit pun ia berubah walaupun nama kumpulan Mega tidak lagi popular.
"Saya masih lagi menyanyi seperti dulu, sama juga dengan anggota Mega yang lain semuanya masih aktif bermain muzik cuma kami tiada album.
"Semangat kami terhadap muzik tetap sama, cuma apabila meningkat usia komitmen semakin banyak, jadi tumpuan lebih diberikan untuk mencari rezeki dan keluarga. Ingin saya tegaskan kumpulan Mega masih lagi wujud, kami tidak berpecah," ujarnya.
Tambahnya, perjalanan seni mereka semakin perlahan kerana Mega kini tidak lagi bernaung di bawah mana-mana syarikat rakaman.
"Kami tidak ada kontrak dengan mana-mana syarikat rakaman, semuanya berjalan sendiri. Memang saya ada niat untuk bergabung semula dengan anggota Mega yang lain dan keluarkan satu album.
"Tetapi masing-masing sibuk dan ada yang duduk di utara dan ada yang di selatan, jadi agar sukar untuk mengumpulkan mereka semua," jelasnya.
Kata bapa kepada lima orang anak yang berusia di antara satu hingga 14 tahun itu lagi, kali terakhir mereka bergabung dalam satu persembahan ialah pada tahun 2006.
"Saya memang teringin untuk bersatu balik, buat persembahan kerana lagu-lagu Mega masih diputarkan di radio sehingga ke hari ini.
"Itu membuktikan lagu-lagu kami masih mendapat tempat di hati peminat. Tetapi untuk membuat satu persembahan bersama agak sukar melainkan ada majlis-majlis besar kerana kami semua terikat dengan kerja," ulasnya.
Rahmad yang kini menceburi bidang perniagaan dan menjadi jurulatih di kem-kem jati diri bakal mengeluarkan lagu single terbarunya tidak lama lagi.
Bicaranya, meskipun jarang muncul pada mana-mana majlis hiburan dan kurang diberi publisiti, jiwa seninya masih lagi utuh. Dalam diam, dia juga sibuk mencipta lagu.
"Saya banyak simpan melodi lagu untuk simpanan sendiri sahaja. Sekarang ini kalau nak keluar satu album penuh memang agak sukar. Sebab itu saya memilih untuk keluarkan lagu single, cuma waktunya belum diketahui lagi," tuturnya.
Dalam pada itu, Rahmad juga sempat memberi pandangannya terhadap trend industri hiburan kini yang lebih menjurus kepada kelahiran band-band indie.
"Saya rasa perkembangan industri muzik kita bagus terutama ramai anak muda yang muncul dengan lagu-lagu yang kreatif cuma lagu-lagu mereka tidak melekat.
"Maksud saya mereka bagus, lagu popular tetapi lagu-lagunya setelah dikeluarkan dalam beberapa bulan orang akan lupa. Apa yang saya lihat perbezaan antara penggiat muzik dulu dan sekarang ialah teknologi.
"Macam pada zaman saya, kami lebih tekankan pada lagu itu sendiri, lirik dan lagu sama-sama penting tetapi orang zaman sekarang pada mereka muzik lebih penting daripada lirik. Sedangkan kedua-dua harus diambil berat untuk menghasilkan sebuah lagu yang mampu diingati sampai bila-bila," katanya yang merujuk pada lagu-lagu evergren kumpulannya.
Rahmad yang ditemui pada majlis anugerah Jaza Global Network turut menyanyikan lagu Suara Cinta dan Bayangan Gurauan.
No comments:
Post a Comment