Friday, August 28, 2009

Khazanah berharga di RTM

Khazanah berharga di RTM


chuari Selamat menunjukkan fail senarai koleksi lagu melayu yang berada dalam simpanan Klasik Nasional.


KITA sering mendengar frasa muzik merupakan bahasa sejagat yang membawa maksud muzik akan difahami oleh semua tanpa mengira lingkungan fahaman, budaya, geografi dan juga kaum.

Ada benarnya maksud frasa berkenaan. Namun sebelum sampai ke tahap menjadi bahasa sejagat, muzik perlu menjadi suara jiwa pendukung dalam masyarakatnya.

Dalam budaya orang Melayu misalnya, muzik pula disifatkan sebagai susur jiwa.

Lantaran itu, khazanah berharga muzik Melayu wajar dipelihara dan semua ini menuntut rasa kasih dan cinta yang menebal selain minat yang mendalam.

Mujur, negara ini yang majoriti penduduknya berbangsa Melayu memiliki stesen televisyen dan radio gergasi, RTM.

Khazanah berharga khususnya koleksi lagu Melayu yang ada dalam simpanan RTM bukan kecil jumlahnya.

Di Rakam Khanah P. Ramlee misalnya, anda boleh senaraikan apa saja judul lagu Melayu terutamanya, semuanya tersimpan molek dalam perpustakaan yang mula diwujudkan sejak siaran radio pertama di Malaya pada tahun 1946.

Bayangkan lebih 100,000 judul lagu tersimpan rapi dalam Rakam Khanah P. Ramlee.

Justeru, Rakam Khanah P. Ramlee menjadi manifestasi terhadap kesungguhan kerajaan menerusi RTM memelihara khazanah lagu-lagu Melayu.

Usaha meningkatkan apresiasi terhadap lagu-lagu Melayu juga diperluaskan lagi dengan pengenalan stesen radio Klasik Nasional pada tahun 2006.

Sebetulnya Klasik Nasional merupakan penjenamaan baru stesen berkenaan oleh RTM bermula dengan Radio Irama Melayu Asli atau RIMA yang dilancarkan pada April 1998.

Hampir tujuh tahun bersiaran, RIMA kemudiannya dikenali pula Klasik FM pada 1 April 2005.

Dan hanya pada tahun 2006, stesen berkenaan diubah semula namanya menjadi Klasik Nasional.

Biar apa sekalipun perubahan yang berlaku, hakikatnya, tanggungjawab stesen berkenaan ialah untuk memelihara karya berharga karyawan muzik tanah air.

"Kita semua bernasib baik kerana Klasik Nasional diwujudkan. Ia sebagai badan yang melindungi lagu-lagu klasik yang begitu terhad jumlahnya.

"Bayangkan, jika tiada usaha mewujudkan stesen berkenaan, saya tidak tahu apa akan jadi pada lagu-lagu klasik kita," luah Pengawal Klasik Nasional, Chuari Selamat pada satu pertemuan dengan Hits baru-baru ini.

Ada kebenaran kata-kata Chuari itu. Masakan tidak, 'perlindungan' yang diberikan oleh Klasik Nasional kepada lagu-lagu Melayu klasik yang jumlahnya berpuluh ribu mempunyai nilai yang cukup berharga.

Bagi generasi masa kini, andai diajak berbicara mengenai lagu-lagu Melayu klasik, kita barangkali hanya akan terkenang penyanyi-penyanyi seperti Allahyarham Abdullah Chik, Allahyarham Rosiah Chik, Aspalela Abdullah dan Andre Goh yang kita anggap sebagai pejuang lagu-lagu Melayu.

Namun, di Klasik Nasional, kita sebetulnya mampu berkongsi kegemilangan lagu Melayu seawal tahun 1930-an.

Ketika itu, pejuang-pejuang lagu Melayu adalah terdiri daripada nama-nama hebat seperti Miss Julia, Miss Tijah dan ramai lagi.

"Inilah kelebihan yang ada pada Klasik Nasional yang orang jarang mahu ambil tahu. Lagu paling lama dalam simpanan kita ialah lagu yang diterbitkan pada tahun 1930-an," Chuari mendedahkan kelebihan yang ada pada stesen yang diterajuinya itu.

Apa yang menariknya, ketika stesen radio swasta lain menjalankan operasi berorientasikan perniagaan, Klasik Nasional wajar dihargai lantaran mengekalkan konsep penyiaran memuatkan muzik atau lagu berteraskan budaya Melayu.

Dalam erti kata yang mudah, penyiaran lagu-lagu di Klasik Nasional bukan berteraskan aspek komersial.

Lantaran sasaran dan objektif penyiarannya yang berbeza dengan stesen-stesen lain, Klasik Nasional dihormati sebagai stesen radio yang memiliki identiti sendiri.

Klasik Nasional bukan seperti stesen radio lain yang memilih pendekatan popular, sebaliknya, ia diwujudkan sebagai khidmat sosial kepada masyarakat sekali gus menanam penghayatan budaya menerusi muzik.

Justeru, Chuari berharap Klasik Nasional sewajarnya dilihat dari perspektif yang lebih besar berbanding daripada apa yang dada sekarang.

"Klasik Nasional merupakan stesen radio yang berteraskan budaya nasional," tegasnya berkali-kali.

Tinjauan Hits ke stesen berkenaan selain Rakam Khanah P. Ramlee mendapati kekayaan khazanah yang ada di Angkasapuri, RTM sungguh luar biasa.

Masakan tidak, stesen radio berkenaan menghimpunkan lagu-lagu yang mewakili warna sosiobudaya era pramerdeka, pascamerdeka dan masa kini.

Bahkan, terpaku dan ralit sejenak apabila Chuari menyenaraikan genre-genre lagu-lagu yang berkumandang di stesen itu terdiri daripada pelbagai genre dan menyimpan mesej dalam bentuk langgam, joget dan keroncong.

"Kalau mereka yang mendengar Klasik Nasional, ia saling tidak ubah membawa pendengar melayari zaman-zaman yang berbeza.

"Seperti mendengar lagu keroncong dengan sendirinya tersingkap zaman silam. Inilah stesen yang mendekatkan mereka dengan persekitaran yang kini sekadar menjadi nostalgia.

"Ada ketika saya sendiri terkenang kisah silam apabila mendengar lagu-lagu yang pernah popular di zaman kanak-kanak saya diputarkan di stesen Klasik Nasional," ujar Chuari yang juga personaliti radio yang sangat masyhur suatu ketika dulu.

Mendengar Klasik Nasional juga, membawa pendengar yang terdiri daripada warga emas menyelusuri jalan-jalan kenangan.

Sementara bagi generasi muda pula, mereka dengan mudah terbuai dengan irama zaman itu.

Sehingga kini, stesen yang didengari oleh lebih 1.2 juta pendengar menyenaraikan banyak segmen menarik.

Antara segmen yang cukup popular di Klasik Nasional ialah segmen Nostalgia yang menemui pendengar pada pukul 11 pagi hingga 12 tengah hari.

Segmen Nostalgia lebih banyak menyiarkan lagu-lagu yang cukup popular di sekitar tahun 1950-an.

Manakala segmen Masihkah Kau Ingat atau MKI yang disiarkan pada pukul 2 hingga 4 petang pula tentunya akan membawa ingatan para pendengar kepada lagu-lagu yang pernah masyhur di sekitar tahun 1960-an, 1970-an hingga 1980-an.

Buat peminat-peminat lagu antarabangsa pula, Klasik Nasional memilih hari Sabtu selama 45 minit bermula pukul 9.15 malam untuk menyiarkan segmen Klasik Antarabangsa.

Menurut Chuari, biarpun Klasik Nasional lebih fokus kepada penyiaran lagu-lagu lama, namun apa yang membanggakan beliau ialah, para juruhebah yang bertugas sebilangan besarnya terdiri daripada orang muda.

Ada juga beberapa juruhebah senior yang disifatkan oleh Chuari sebagai 'perpustakaan bergerak' lantaran ilmu dan pengalaman mereka yang begitu mantap.

Gabungan penyiar muda dan senior di Klasik Nasional juga sejajar dengan hasrat stesen berkenaan untuk menarik perhatian pendengar yang berusia 25 tahun ke atas.

"Sudah pasti kami juga mengundang semua lapisan pendengar untuk sama-sama menghayati lagu irama Melayu," katanya mengakhiri perbualan.

No comments: