BUKAN adik-beradik, bukan juga teman rapat. Namun, banyak persamaan yang dimiliki oleh Riz dan Chaq yang kini duduk di bawah jagaan syarikat rakaman milik komposer Ajai, Wake The Baby.
Masih baru dalam menjadi anak seni yang tegar, mereka mahu mencipta nama dan mengecapi populariti sepertimana yang diraih artis dan penyanyi popular seperti Datuk Siti Nurhaliza atau Anuar Zain.
Umum tahu, mereka menempa nama melalui pertandingan program realiti iaitu daripada Akademi Fantasia 6 (AF6) serta Mentor yang baru saja selesai pertandingannya.
Masing-masing membawakan muzik berkonsep pop R&B namun persamaan mereka lebih jelas boleh dilihat apabila karier mereka dibayangi wanita lain untuk bertapak dalam industri muzik.
Menggabungkan Riz dan Chaq untuk sesi fotografi kali ini, mereka tersenyum saja tatkala diajukan soalan mengenai bayangan wanita yang mereka miliki.
Tak tumpang populariti
Riz atau nama sebenarnya Mohammed Idris Mohd Zaizizi tidak boleh menafikan karier seni sedikit dingin selepas keluar daripada AF6. Namun, sejak beberapa bulan lalu, nama Riz kembali meniti di bibir peminat, tuah duetnya bersama Alyah dalam lagu Ku Pinjam Satu Bintang yang kerap diputarkan di radio.
Kerana lagu itu juga nama Riz semakin bersinar. Bagaimanapun, Riz seperti dibayangi Alyah ke mana sahaja dia pergi.
Malah, untuk single ketiga, Bermula Semula, Riz juga menggunakan suara Alyah untuk beberapa bahagian lagu tersebut.
|
|
Menurut Riz, dia tidak pernah terlintas untuk menumpang populariti penyanyi jelita itu.
"Saya tak terfikir atau beranggapan untuk tumpang populariti sesiapa. Apa yang ditampilkan oleh saya dan Alyah sekadar mahu mencari kelainan kepada peminat.
"Lagipun saya masih baru dalam bidang ini. Untuk bertahan lama dan menarik perhatian peminat, kita perlu kreatif supaya usaha kita nampak di mata masyarakat.
"Kalau nak dijadikan cerita, masa mula-mula dulu, Alyah juga kurang dikenali. Apa yang saya rasa, nama kami naik bersama dengan lagu itu.
"Sebelum kami rakam lagu itu, saya dengar dulu suara dia, nak dengar sesuai atau tidak dengan suara saya. Bila dah dengar, masing-masing setuju untuk rakam lagu tersebut," katanya.
Tambah Riz, dia berharap agar peminat tidak salah faham mengenai hubungannya bersama Alyah yang dianggap sebagai kakaknya sahaja, tidak lebih daripada itu.
"Saya tahu, ada juga orang yang memanggil saya sebagai Riz-Alyah. Tapi saya tak kisah, janji nama saya disebut. Itu tandanya orang tahu mengenai kewujudan saya dalam industri," ujarnya.
|
|
Kata Chaq, dia tahu, kehadirannya dalam industri selepas adiknya pasti akan menjadi perbualan ramai.
"Suka atau tidak, saya kena terima. Takkan saya tak mahu mengaku dia (Stacy) ialah adik saya. Lagipun Stacy pun sudah mempunyai kelompok peminatnya sendiri.
"Kami mempunyai cita-cita yang sama iaitu, mahu menjadi seorang penyanyi. Sebelum ini saya dan Stacy pernah bersama dalam kumpulan Evoke dalam pertandingan Gangstars dan rezeki berpihak kepadanya dahulu bila menjuarai AF5.
"Bagaimanapun, saya tak kisah apa orang nak kata. Janji tiada yang buruk mengenai kami berdua. Tapi kalau boleh, saya nak orang nampak bakat saya, bukan kerana saya ini abang kepada Stacy," ujarnya yang turut merancang untuk berduet dengan adiknya itu.
Bermula Semula
Bercerita mengenai single ketiga Riz iaitu Bermula Semula yang dihasilkan oleh Ajai dan lirik oleh Abie Abdullah, ia merupakan sebuah lagu yang begitu bermakna buat penyanyi kelahiran Kampung Padang Kunyit, Grik, Perak ini.
Mana taknya, untuk menyiapkan lagu itu sahaja, Riz terpaksa mengumpul wang sehingga mencukupi sebelum merakamkan lagu berkenaan.
"Biasalah kalau guna bajet sendiri, memang lama sikit sebab nak kena kumpul duit sampai cukup. Insya-Allah, single ketiga saya ini akan dilancarkan selepas Hari Raya Puasa," ujarnya.
Berbicara mengenai lagu Bermula Semula, Riz merasakan bait-bait lirik itu begitu kena dengannya.
Apatah lagi ia mengisahkan mengenai kebangkitan seseorang daripada masalah, membuatkan Riz mudah untuk menghayati lagu tersebut ketika dirakamkan.
"Lagu ini mempunyai dua maksud. Satu, ia mengenai kisah cerai antara suami isteri yang kemudiannya mahu berdamai semula. Tapi saya anggap, lagu ini membayangkan seperti saya, di mana, perjalanan karier saya agak perlahan selepas AF6 dan inilah masanya untuk saya bangkit semula," kata Riz yang baru saja tamat rakaman drama raya, Mawi Habibi Raya.
Begitu juga dengan Chaq atau nama sebenarnya, Camellus De'Lelli, dia tidak terkecuali dikatakan menumpang populariti adiknya yang merupakan juara AF5, Stacy, ketika di awal penyertaannya dalam Mentor lagi.
Bagi Chaq pula, biarpun kehidupannya terus berubah dek status seorang selebriti, anak kelahiran Sabah ini masih lagi tidak biasa dengan kehidupan barunya itu.
Apatah lagi bila ada orang yang tidak dikenali mula menyapanya, Chaq terasa pelik kerana sebelum ini, tiada siapa yang kisah mengenainya.
Namun, keadaan itu mula dibiasakan. Cuma, Chaq tidak sangka, menjadi seorang penyanyi bukannya mudah. Banyak cabaran yang perlu dilalui sebelum dapat hidup senang seperti penyanyi-penyanyi berjaya lain.
Ditambah pula dengan lagu singlenya, Penjelasan 1/1, masih belum lekat di hati peminat-peminat muzik, ia membuatkan Chaq takut jika dirinya tidak diterima.
"Bila lagu saya dihantar ke semua stesen radio, saya berharap ia akan terus melonjakkan karier saya.
"Sebaliknya pula berlaku bila tidak semua stesen radio yang memainkan lagu saya. Itu membuatkan saya perlu mencari alternatif lain untuk promosikan single yang diciptakan oleh Ajai ini.
"Baru saya faham, bagaimana sukarnya untuk bergelar seorang penyanyi yang berjaya. Bagaimanapun, saya tak mahu keadaan ini berlarutan. Target saya, dalam setahun, saya akan memberikan pencapaian yang memberangsangkan dan menyumbang sesuatu dalam industri muzik tempatan," tegasnya.
Tambah Chaq, biarpun risau dengan penerimaan orang tentang lagu singlenya, dia tidak sabar untuk menanti kemunculan filem lakonan pertamanya, Dimensi Cinta.
No comments:
Post a Comment