|
|
PUAS mengendalikan rancangan bual bicara, kini penghibur tersohor, Anita Sarawak mula mencari kelainan dalam bidang pengacaraan.
Mungkin bagi sesetengah orang, asalkan sudah bergelar pengacara, mengendalikan rancangan yang hampir serupa sudah cukup memadai.
Namun, tidak bagi penghibur yang cukup mesra dengan panggilan Kak Nita ini.
Sentiasa inginkan kelainan, daripada perwatakan lemah lembut penuh kewanitaan dalam rancangan kendaliannya Bersama Anita, kini Anita mula bertukar 'watak' dan sedang mengumpul tenaga mempersiapkan diri untuk 'berperang.'
Dua kumpulan menjadi lawan. Masing-masing mempunyai misi serupa, iaitu merebut kuali emas bagi melayakkan diri ke peringkat seterusnya memenangi hadiah utama, troli emas.
Itu adalah percaturan yang termaktub dalam rancangan terbaru terbitan Astro, Perang Kuali yang mengetengahkan Anita yang juga wajah eksklusif Astro sebagai pengacara.
Bersiaran di Astro Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Jumaat pada pukul 7.30 malam, Perang Kuali disiarkan bagi menggantikan rancangan Warung Kita bermula 17 Julai ini.
Pertama kali mengendalikan rancangan gameshow masakan berkonsepkan realiti TV memberikan cabaran tersendiri buat anak seniman dan seniwati S. Roomai Noor dan Siput Sarawak itu.
"Saya sukakan konsep rancangan ini dan sudah tentu ia merupakan sesuatu yang berlainan yang boleh saya lakukan untuk Astro.
"Ketika pertama kali mengadakan perbincangan dengan Astro, memang saya rasa rancangan ini sesuatu yang menarik. Terfikir juga sama ada boleh buat atau tidak. Bagaimanapun, saya yakin boleh buat dan mencuba yang terbaik untuk rancangan ini.
"Bagi saya rancangan ini cukup mencabar sebab walaupun nampak seronok tetapi ada kesusahan tersendiri terutama apabila terpaksa memilih pemenang.
"Kadang-kadang dalam satu minggu, kedua-dua kumpulan yang bertanding hasilkan masakan yang baik, jadi yang susahnya apabila kena buat keputusan memilih satu daripada mereka," kata Anita yang turut diberi tanggungjawab sebagai penilai.
Memeriahkan lagi suasana di dapur Perang Kuali, seorang selebriti bakal menjadi tetamu jemputan pada setiap minggu.
Antara selebriti yang terlibat termasuklah Mawi dan Ekin, Amber Chia, Anita Baharom, Zarina Zainuddin, Jasmin Hamid, Chef Ismail, Johan dan Zizan Raja Lawak, Isma AF dan suami Anita, Mahathir Abdullah.
Selain dimeriahkan oleh artis dan selebriti jemputan, kata Anita, kehangatan Perang Kuali ditambah dengan elemen-elemen kejutan berbeza pada setiap minggu.
Sekilas mengenai perjalanan rancangan itu, setiap episod diwakili oleh dua pasukan. Setiap pasukan terdiri daripada empat ahli keluarga iaitu ibu, bapa dan dua anak.
Tugasan yang diberikan, si bapa dikehendaki memasak menu yang diberikan manakala si isteri hanya di benarkan untuk membantu.
Kedua-dua anak pula ditugaskan membeli keperluan masakan yang bersesuaian dengan menu yang diberikan.
Di peringkat suku akhir iaitu pada episod sembilan hingga 12, tugasan memasak diberikan kepada suami dan seorang anak sementara tugas membeli keperluan masakan diberikan kepada si ibu.
Pada peringkat separuh akhir (episod 13 dan 14), peserta diberi kebebasan untuk menentukan tugasan masing-masing meliputi memasak, membantu dan membeli barangan keperluan.
Memilih pasar raya Carefour, Ampang sebagai lokasi set Perang Kuali, menurut Pengurus Saluran Astro Prima, Nizam Sani, ia memberikan kemudahan kepada para peserta memilih barangan keperluan bagi melengkapkan menu masakan mereka.
Malah, kata Nizam, selain memudahkan peserta membeli barang, suasana di set Perang Kuali menjadi lebih terbuka, tidak terlalu serius dan lebih menyeronokkan.
Menariknya tentang Perang Kuali, tugasan memilih barangan keperluan diberikan kepada anak-anak sebagai galakan kepada mereka berjimat cermat dengan sejumlah wang yang diperuntukkan dan memilih barangan yang betul-betul bersesuaian dengan masakan.
"Sebanyak enam jenis barangan keperluan di senaraikan, empat lagi barangan sengaja disertakan bersama-sama senarai barangan yang diperlukan.
"Di sini kita dapat melihat sejauh mana pengetahuan anak-anak terhadap sesuatu masakan.
"Jika anak-anak dapat membeli kesemua barangan mengikut keperluan dengan betul, lima markah tambahan akan diberikan kepada kumpulan mereka," katanya.
No comments:
Post a Comment