JAKARTA - Setelah krisis rumah tangganya dengan Tengku Temenggong Kelantan menjadi topik utama akhbar, model Manohara Odelia Pinot (gambar) kembali menceburi industri hiburan.
Manohara berkata, dia memberikan yang terbaik untuk drama atau sinetron pertamanya berjudul Manohara walaupun mengakui penguasaan bahasa Indonesianya masih lemah.
Drama itu mula ditayangkan di stesen televisyen tempatan, Rajawali Citra Televisi Indonesia (RCTI) semalam.
"Saya giat berlatih menguasai bahasa Indonesia dengan membaca pelbagai jenis buku dan akhbar. Saya juga tidak segan untuk bertanya apabila berdepan masalah bahasa," kata remaja berusia 17 tahun itu baru-baru ini.
Ketika menjawab pertanyaan media sama ada drama sensasi itu menyentuh kisah perkahwinannya dengan Tengku Mohamad Fakhry Sultan Ismail Petra, Manohara menyatakan ia semata-mata fiksyen dan tiada kaitan dengan mana-mana pihak.
Namun, tegas Manohara, pengalaman sebagai mangsa penderaan banyak membantunya menjiwai watak utama dalam drama ini
Gadis kacukan Indonesia-Amerika Syarikat itu melarikan diri ke Indonesia pada Mei lepas. dia mendakwa didera suaminya tetapi semua tuduhan itu dinafikan keluarga diraja Kelantan.
Dalam perkembangan sama, keluarga kesultanan Solo, Sunan Pakubuwono XIII Hangabehi menganugerahi Manohara dengan gelaran Kanjeng Mas Ayu.
Jurucakap istana, Puteri Gusti Raden Ayu Koes Murtiyah berkata, anugerah itu adalah sempena sambutan keempat pertabalan Pakubuwono XIII Hangabehi baru-baru ini.
"Dia diberikan anugerah itu kerana Manohara masih menjadi isteri keluarga diraja yang sah," katanya. - Agensi
No comments:
Post a Comment