|
|
BERPELUANG menyaksikan sedutan teater muzikal, Kaki Blue yang diarahkan oleh pengarah teater tersohor, Joe Hasham di The Kuala Lumpur Performing Arts Centre (KLPac) baru-baru ini, ia memberi satu impresif baru kepada pengarah itu.
Manakan tidak, jika disingkap kembali hasil pengarahannya sebelum ini, hampir kesemua karyanya adalah berat dan bukan semua golongan boleh menerimanya.
Tetapi, menerusi Kaki Blue yang bakal dipentaskan di KLPac bermula 30 Julai ini, Joe mempamerkan kisah yang cukup ringkas, menarik dan padat dengan maksud tersirat yang begitu dekat dengan masyarakat.
Namun, jangan sesekali membuat prasangka buruk atau memberi tafsiran nakal hanya berdasarkan judulnya sahaja tetapi cuba selami mesej tersirat yang terkandung dalam naskhah ini.
Biarpun ia sebuah teater muzikal, namun ia diselitkan dengan elemen humor, kekeluargaan serta persahabatan dan bukan seperti teater muzikal yang sering dipentaskan.
Tidak mustahil untuk teater muzikal ini meraih perhatian serta mendapat sambutan hangat daripada semua golongan masyarakat apabila dipentaskan kelak.
Plot utamanya mengisahkan pelajar-pelajar lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terpilih menyertai Program Latihan Khidmat Negara (PLKN).
Ia juga memuatkan perihal aksi remaja-remaja itu sewaktu dalam kem PLKN.
Dari sisi lain pula, sub plotnya mengupas pergolakan tiga watak utamanya yang berdepan dengan pelbagai masalah dan situasi yang ada kalanya terjadi dalam diri kita mahupun masyarakat sekeliling.
Sungguh menarik apabila kisah PLKN diangkat ke pentas teater kerana sememangnya naskhah sedemikian agak jarang dipentaskan.
Bertemu dengan penggiat seni persembahan tersohor ini sebaik selesai pratonton teater muzikal berkenaan, rona gembira terpancar jelas pada wajahnya tatkala diajak berbicara tentang Kaki Blue.
Jelasnya, dia cukup teruja apabila dapat mengarahkan teater yang diangkat daripada hasil tulisan Mark Beau de Silva yang disifatkannya sarat dengan semangat serta wawasan tinggi anak muda yang terlibat di dalamnya.
Sememangnya dia mahu mencari idea yang baru dan segar untuk teater terbarunya serta memberi kelainan untuk peminat teater tempatan selepas dia terhibur menonton filem High School Musical.
Impak daripada filem berkenaan telah memberikan satu idea untuk mengetengahkan permasalahan dan gejolak jiwa remaja di negara ini yang mungkin tidak ramai menyedarinya.
"Lalu, saya menceritakan kepada Mark tentang idea saya dan sebaik sahaja saya membaca naskhah Mark, saya begitu teruja dan tertarik kerana belum pernah lagi kisah sebegini diangkat ke pentas teater.
"Saya percaya kisah yang berlaku dalam Kaki Blue ini pernah berlaku dalam kehidupan kita terutama sekali sewaktu kita di alam persekolahan. Itulah yang saya cuba tonjolkan dalam teater muzikal ini.
"Lagipun, saya mahu mencari cerita yang lebih ringan tetapi sarat dengan mesej dan mampu memberikan impak kepada penonton yang menontonnya," ujarnya yang juga pengasas The Actors Studio bersama isterinya, Datuk Faridah Merican.
Sebelum ini, semua karya Joe berteraskan genre drama dan menampilkan tema yang agak berat seperti Broken Bridges, Tunku The Musical dan Ismail The Last Days.
Namun, apa yang membanggakan dan membuatkan anak kelahiran Lebanon ini bersemangat dengan produksi terbaru ini ialah jiwa anak muda yang terlibat daripada barisan pelakonnya hinggalah ke pengarah muziknya.
Kata Joe, semangat waja anak-anak muda itu sudah cukup membuktikan bahawa mereka benar-benar mencintai seni biarpun ada sesetengah daripada mereka masih lagi menuntut di bangku sekolah.
Tidak pernah kenal erti penat dan lelah apabila perlu menjalani latihan lebih kurang tiga jam sehari selama enam hari seminggu sejak dua bulan yang lalu membuatkan Joe dan isteri membuat satu kesimpulan.
"Ia telah memberi satu signal kepada saya dan Faridah bahawa kita sudah mempunyai pelapis negara untuk terus memartabatkan serta memperkasakan penerbitan teater tempatan," jelasnya yang bakal menginjak usia 61 tahun pada 4 September ini.
Keseluruhan krew produksi yang terlibat dalam Kaki Blue adalah seramai 70 orang.
Daripada jumlah itu, 11 daripada mereka merupakan pelakon utama yang rata-ratanya memiliki asas serta pengalaman dalam gelanggang teater dan seni persembahan yang lain.
Ini termasuklah juara program realiti, Audition musim pertama pada tahun 2004, Tria Aziz yang memegang watak sebagai Major Sabar.
Sudah pasti, tidak lengkap sebuah teater muzikal itu tanpa lagu-lagu bagi melengkapkan lagi persembahan.
Menariknya, sebahagian daripada 20 buah lagu yang ditampilkan dalam Kaki Blue ini merupakan lagu-lagu malar segar berbahasa Inggeris yang pernah menjadi siulan satu ketika dahulu.
Lantas, ia juga berupaya membawa penonton mengimbas kenangan silam dengan lagu-lagu tersebut biarpun liriknya telah diubah bagi menyesuaikan dengan penceritaan Kaki Blue.
Antaranya lagu-lagunya ialah It's My Party, Girls Just Wanna Have Fun, Silence Is Golden, She Bop dan banyak lagi yang telah digubah dengan muzik yang baru dan segar oleh Nick Davis.
Bagi Mark pula, meskipun secara luarannya tema Kaki Blue agak mudah dan ringkas, namun sebagai penulis, ia merupakan karya yang paling sukar untuk direalisasikannya.
Kerana bagi Mark, dia lebih selesa dan gemar menulis naskhah khususnya untuk genre drama kerana ia mencabar minda serta kreativitinya.
Namun, inspirasi yang terhasil selepas menonton filem Hairspray banyak menggerakkan mindanya untuk mengilhamkan jalan cerita Kaki Blue yang pertama kali seumpamanya dihasilkan oleh Mark.
Bukan itu sahaja, dia juga mahu mengubah stigma dan persepsi negatif terhadap imej PLKN yang sering kali dijaja.
"Agak sukar untuk menolak permintaan Joe dan Faridah. Jadi, apabila Joe mahu sebuah cerita yang berbeza daripada apa yang telah saya lakukan sebelum ini, saya buat sehabis baik.
"Sehinggakan hampir 20 hingga 30 draf saya hasilkan sebelum skrip lengkap dapat disiapkan. Idea saya adalah daripada pengalaman saya sendiri sebagai seorang guru apabila pelajar-pelajar saya sering datang kepada saya untuk meluahkan perasaan mereka.
"Banyak yang diceritakan kepada mereka tentang kegusaran mereka terhadap PLKN dan perancangan selepas tamatnya persekolahan. Maka, dengan itu terhasillah Kaki Blue," jelasnya yang mengajar di salah sebuah sekolah menengah terkemuka di pinggir ibu kota.
Mark sememangnya sudah sebati dengan dunia teater dan kerap bekerjasama dengan Joe dan Faridah sejak usia remaja lagi.
Salah satu karyanya, Stories For Amah yang diarahkan oleh Joe pernah menerima lima pencalonan dalam Anugerah Seni Cameronian 2002 termasuk Skrip Terbaik.
No comments:
Post a Comment