|
|
DALAM sibuk khalayak memperkatakan tentang kedudukan rating terkini saluran-saluran radio tempatan yang dibuat oleh AC Nielson baru-baru ini, Suria FM antara saluran yang disebut-sebut kerana mengalami peningkatan jumlah hampir 200,000 pendengar.
Memulakan operasi siaran sejak Disember 2005, peningkatan ketara itu tentu sahaja yang tertinggi pernah dicapai oleh stesen berkenaan.
Jumlah tersebut sedikit sebanyak memberi gambaran masa depan cerah stesen berkenaan kerana ketika ini Suria FM merupakan antara saluran yang semakin mendapat perhatian ramai.
40 minit muzik terbaik tanpa henti adalah pembaharuan yang dilakukan oleh Suria FM terhadap kandungan siarannya sejak Oktober tahun lalu.
Di samping sentiasa berusaha memenuhi keinginan pendengar, stesen itu juga tidak pernah lelah menawarkan pelbagai hadiah menarik menerusi pelbagai pertandingan khusus buat para pendengar setianya.
Bagaimanapun, dalam percaturan menjadi yang terbaik, Suria FM sekali lagi melakukan perubahan. Jika dahulu mempertaruhkan 40 minit muzik terbaik tanpa henti, kini, formatnya diubah kepada 50 minit muzik terbaik tanpa henti.
Peningkatan siaran lagu-lagu sebanyak 25 peratus itu merupakan satu lagi agenda utama saluran itu untuk menarik lebih ramai pendengar.
Bagaimanapun, di sebalik perubahan yang dilakukan, rupa-rupanya ada kisah tersendiri.
Format penyiaran lagu-lagu tanpa henti selama 40 minit rupa-rupanya telah menjadi ikutan sebuah stesen radio yang cukup berpengaruh ketika ini.
Siapa tiru siapa? Itu antara persoalan yang bermain di minda.
Pastinya persoalan serupa turut menjadi tanda tanya ramai di kalangan pendengar setia Suria FM apabila mengetahui ada stesen lain cuba meniru format kandungan yang menjadi tagline saluran kesayangan mereka itu.
Ketua Pegawai Operasi Suria FM, Engku Emran Engku Zainal Abidin ketika ditemui pada sidang media Lagu Berduit Suria FM diwangikan oleh Onedrop Perfumes (Lagu Berduit Suria FM) di Studio V, One Utama, Damansara baru-baru ini berkata:
"Kami tukar konsep dan format kandungan siaran kami kepada 50 minit muzik terbaik tanpa henti kerana mendapat tahu ada sebuah stesen radio popular telah meniru format rancangan kami.
"Kami di Suria FM memang terkejut dengan apa yang terjadi. Kalau sayalah seperti radio itu yang mempunyai ramai pengikut, memang saya tak akan tiru.
"Sejujurnya, saya tidak takut malah, berbangga sebab konsep yang kami buat menjadi ikutan saluran lain," katanya.
Bercerita lanjut tentang perubahan format itu, kata Emran, pelbagai seleksi lagu dari dalam dan luar negara , era 80-an hingga kini akan menjadi hiburan pendengar mulai 17 Julai pukul 10 pagi hingga 10 malam.
Antara lain, sejak 13 Julai lalu pendengar Suria FM turut disajikan dengan 105 minit Muzik Maraton setiap Isnin hingga Jumaat bermula pukul 9 pagi.
Lagu berduit di Suria FM
Dalam usaha memenuhi cita rasa pendengar, Suria FM antara saluran yang paling rajin memberikan pelbagai ganjaran kepada pendengar setia mereka.
Baru sahaja tamat Kempen Suria FM Senyum dan Menang RM18,000 bersama Tuah Zoqarnain dan Zizi pada 10 Julai lalu, kini stesen berkenaan terus menyediakan sejumlah wang, RM75,000 untuk direbut menerusi Lagu Berduit Suria FM.
Berlangsung selama lima minggu bermula 20 Julai, setiap hari pukul 8 pagi menerusi breakfast@suria bersama Tuah dan Zizi, sebuah lagu akan dipilih sebagai Lagu Berduit.
Sebaik mendengar lagu tersebut diputarkan, pendengar hanya perlu menghantarkan SMS dengan menaip Suria
Sebaik talian SMS ditutup, pengirim SMS bertuah akan dihubungi. Dalam masa lima saat mereka perlu memberikan tajuk Lagu Berduit yang diputarkan.
"Untuk pertandingan ini, kami telah menyenaraikan sebanyak 25 lagu.
"Setiap hari akan ada sebuah lagu berduit dan lagu tersebut bakal diputarkan sekurang-kurangnya tiga kali.
"Untuk minggu pertama dan kedua RM500 diperuntukkan, bagaimanapun jumlah tersebut bakal meningkat dari masa ke semasa sepanjang lima minggu," kata Engku Emran lagi.
Turut hadir pada sidang media itu ialah Pengarah Urusan One Drop Sdn. Bhd., Josafri Johari.
No comments:
Post a Comment