Friday, July 17, 2009

Perancangan seni Hunny Madu

Perancangan seni Hunny Madu


HUNNY bersama tunangnya, Khairul Azhar.


MULA mencipta populariti menerusi Hitz FM, Xfresh dan kini Fly FM sebagai penyampai radio, Hani Farhana Mohd. Hatim atau popular dengan panggilan Hunny Madu semakin mengukuhkan kedudukannya di persada seni tanah air.

Menceburi dunia lakonan, nyanyian, pengacaraan serta penulisan lirik, dalam diam, Hunny secara berdikit-dikit telah berjaya mengumpulkan kelompok peminatnya tersendiri.

Masih mencari-cari peluang untuk mengembangkan lagi bakat, wanita berusia 25 tahun ini bagaimanapun mahukan perjalanan seninya teratur dan enggan menjadi 'yang dikejar tak dapat, yang dikendong keciciran.'

Oleh sebab itu, biarpun ditawarkan berlakon di layar perak, Hunny masih belum bersedia ekoran kesibukannya mengendalikan program radio dan televisyen.

Sementelah, Hunny baru sahaja muncul dengan album pengenalannya berjudul Hunny Madu-Bila Dunia yang memuatkan empat buah lagu iaitu Bila Dunia, That Way, Suara dan Don't You Play.

Berkonsepkan hiphop jazz, album itu yang mula dipasarkan sejak bulan lepas menjadi kayu pengukur kepada Hunny untuk terus bertapak sebagai penyanyi versatil.

Menariknya, keempat-empat lagu tersebut, lagu dan liriknya adalah ciptaan Hunny sendiri.

Meski selesa dengan konsep hip hop jazz, lagu berjudul Suara menampilkan sedikit kelainan apabila Hunny memasukkan unsur-unsur Jawa dalam lagu tersebut.

"Hunny Madu-Bila Dunia adalah album pengenalan tentang muzik dan lagu Hunny sebelum album penuh memuatkan 14 lagu dipasarkan tahun depan.

"Untuk album berkenaan, kesemua liriknya adalah ciptaan Hunny. Semua sudah sedia dan sedang tunggu untuk proses rakaman,'' kata Hunny pada sesi fotografi bersama Hits di studio Utusan, baru-baru ini.

Menyambung bicara, Hunny yang merupakan anak kedua daripada empat adik-beradik berkata, dalam proses menghasilkan lagu dan album, dia lebih selesa menggunakan buah fikiran sendiri.

Bukan mahu menafikan atau menidakkan kemampuan komposer lain, Hunny merasakan lagunya akan lebih bermakna andai terhasil daripada pemikiran serta pengalaman hidupnya.

Amat menyanjung tinggi kehebatan vokal Allahyarham Puan Sri Saloma dan Allahyarham Datin Rafeah Buang, Hunny tidak menolak serta tidak mempunyai masalah andai ada pihak yang mahu menyumbang lagu kepadanya.

Cuma, ujar Hunny, lirik yang dihasilkan perlu kepada perkongsian pendapatnya juga.

"Ini adalah cara Hunny kerana jika orang lain buat lagu, Hunny tidak dapat merasakan 'jiwa' lagu berkenaan.

"Hunny lebih selesa dengan hasil sendiri. Kebanyakan lagu-lagu Hunny adalah terbit daripada pengalaman atau pemerhatian Hunny,'' jelasnya yang sering mendapat idea penulisan lirik menerusi mimpi.

Menurut Hunny yang pernah muncul dalam drama bersiri 5 Jingga di 8TV, dalam kesibukan mencuri peluang bergelar penyanyi, dia sebaik mungkin akan menjaga kerja hakikinya sebagai pengacara dan penyampai radio.

Justeru, walaupun terpaksa menyusun segala jadual kerjanya sendiri, ia membuatkan Hunny lebih bertanggungjawab terhadap diri sendiri.

"Buat masa ini, Hunny terikat dengan komitmen sebagai penyampai radio Fly FM dan pengacara 8TV Quickie.

"Untuk 8TV Quickie, Hunny memulakan tugas sejak Januari lalu selepas tiga kali menjalani sesi uji bakat.

"Ia lebih kepada santai dan Hunny berbangga kerana dapat menjadi sebahagian daripada personaliti 8TV, " jelas Hani yang baru mengikat tali pertunangan dengan Khairul Azhar Abd. Wahid, 34 tahun pada 13 Jun lalu.

Ditanya mengenai beza lenggok bicara antara Fly FM dan 8TV Quickie, Hunny menjelaskan bahawa dia perlu pandai mengubah situasi ruang kerja agar tidak terikut-ikut dengan suasana Fly FM.

Harapan dalam Shout! Awards

Sementara itu, Hunny yang diajak berkongsi rasa gembira kerana tercalon dalam dua pencalonan melalui Shout! Awards berkata, ia merupakan detik bersejarah sepanjang hidupnya.

Kata Hunny, ini adalah kali pertama dia bersaing mengejar anugerah berprestij seumpama itu.

Dalam senarai finalis Shout! Awards, Hunny tercalon untuk penyampai radio terbaik dengan ditentang hebat oleh Fara Fauzana, JJ, Phat Fabes dan Rudy.

Hunny turut tercalon untuk kategori program radio terbaik yang mempertaruhkan Fly FM Must Have Music.

Saingan Hunny bagi kategori terbabit adalah Fly FM Night Flight (Basil & Hafiz), Fly FM Pagi Show (Ben, Nadia & Phat Fabes), Hot FM AM Show (Fara Fauzana & Faizal Ismail) dan Indie X (Smek & Mat).

"Saingan Hunny cukup hebat dan berpengalaman,'' ujarnya ringkas.

Shout! Awards anjuran 8TV akan berlangsung malam ini di Stadium Putra, Bukit Jalil.

Pemenang bagi setiap kategori akan ditentukan oleh undian orang ramai iaitu secara online dan khidmat pesanan ringkas (SMS).

Shout! Awards merupakan anugerah yang mengiktiraf kalangan penggiat seni daripada empat kategori iaitu televisyen, radio, muzik dan filem.

No comments: