POPULARITI kumpulan nasyid, Rabbani telah membuka peluang buat mereka membuat persembahan di negara-negara luar. Malah baru-baru ini, semasa dua anggota kumpulan itu, Asri Ibrahim dan Azadan Abdul Aziz mengerjakan umrah di Tanah Suci Mekah, mereka telah dijemput ke satu majlis nasyid.
Majlis itu dianjurkan oleh kumpulan Nibras yang dianggotai oleh 13 remaja keturunan Arab Melayu Patani. Mendapat undangan menerusi rakan mereka yang menetap di Mekah, Asri dan Azadan dijemput bukan sahaja untuk memeriahkan majlis itu tetapi juga untuk bertemu rakan sealiran daripada lain negara.
Nibras yang beroperasi di Azaziah, Mekah mengetengahkan lagu berkonsep tradisional dan moden dengan menggunakan alat muzik duf dan perkusi.
Menurut Azadan, mereka berdua amat terkejut kerana kehadiran dirinya dan Asri disambut meriah. Nibras sebenarnya telah mengikuti perkembangan nasyid di Malaysia terutama kumpulan Rabbani.
"Mereka menjadikan Rabbani sebagai idola dan mereka teruja dapat bertemu kami dan meluahkan hasrat untuk bergandingan dengan Rabbani suatu hari nanti. Diharap impian itu menjadi kenyataan kerana kami juga sangat berbesar hati dengan jemputan itu yang dilayan bagaikan VIP.
"Saya lihat mereka bersungguh-sungguh ingin mengimarahkan nasyid dengan pelbagai aktiviti yang mendatangkan manfaat kepada peminat nasyid di Mekah. Kesungguhan itu dapat dilihat menerusi usaha mereka menubuhkan pejabat dan studio sendiri di Mekah. Paling mengagumkan mereka ada pasukan media sendiri yang sentiasa melaporkan kegiatan mereka," tambah Azadan.
Pada majlis itu juga beberapa buah lagu Arab turut dialunkan. Melihat kepada perkembangan tersebut, tidak mustahil Rabbani dan Nibras bakal bergandingan menerusi sebuah konsert istimewa di Mekah suatu hari nanti.
Sebelum ke Mekah untuk mengerjakan umrah, Azadan melawat Kaherah, sementara Asri pula terlebih dulu singgah di Istanbul bersama kumpulan jemaah lain.
Kedua-dua rombongan umrah itu diuruskan Ar-Raziq Travel & Tours Sdn. Bhd. yang juga merupakan cabang perniagaan baru Rabbani.
Mereka bekerjasama dengan syarikat pelancongan itu dan menganjurkan pakej umrah sepanjang tahun termasuk umrah awal, pertengahan dan akhir Ramadan.
"Biarpun pernah ke Kaherah, saya masih tidak puas menikmati keunikan negara itu yang terkenal dengan Piramid, Sungai Nil dan Universiti Al-Azhar. Saya juga meluangkan masa melawat kubu pertahanan Salahuddin Al Ayubi, Masjid Mohamed Ali Basha, kilang kristal dan ke bandar pelancongan Alexandria (dulunya Iskandariah).
"Di bandar itu, kami melawat Istana Raja Farouk, makam Nabi Daniel dan makam Lokman Hakim," ucap Azadan.
Para jemaah bagaikan kehilangan kata-kata apabila menyaksikan hampir 30,000 penduduk Mesir membina rumah di atas kubur saudara mara masing-masing. Mereka terpaksa membina petempatan di situ disebabkan kemiskinan.
Maka, terlahir perasaan syukur untuk menjadi anak Malaysia yang negaranya aman dan makmur. Benar kata pepatah lama, jauh berjalan luas pandangan. Apabila melihat kedaifan kehidupan masyarakat di negara lain, ia menimbulkan keinsafan dalam diri.
Dalam sesi lawatan itu juga, jemaah ditunjukkan tempat pembunuhan Presiden Mesir ketiga, Mohamed Anwar Al-Shadat, tugu peringatan dan perpustakaan terbesar di Afrika kerana Mesir merupakan satu-satunya negara Arab yang terletak di benua Afrika.
"Namun, apa yang paling mengujakan saya adalah peluang untuk melihat petempatan penduduk miskin dan sederhana di Kaherah serta deretan kedai yang terletak di sebalik premis perniagaan yang tersergam itu.
"Kawasan penempatan itu terletak di seberang Hotel Europa dan kami menaiki kenderaan roda tiga untuk meninjau sebahagian besar petempatan yang dibina berlapis jauh beberapa kilometer ke dalam," jelas Azadan lagi.
Singgah di kedai roti yang terdapat di kawasan itu, Azadan begitu tertarik untuk mengetahui cara membuat roti di situ. Kehadirannya bukan sahaja disambut baik, malah ada yang sudi mengajarnya cara membuat roti.
"Roti adalah makanan ruji masyarakat Arab. Sebenarnya roti mereka lebih ringkas saja dan cara membuatnya pun mudah. Tetapi yang menarik minat saya adalah cara mereka mengadun roti itu menjadi kembung sebaik sahaja dibakar," katanya.
Sebaik sahaja pulang ke tanah air, Rabbani akan bekerjasama dengan Gabungan Mahasiswa Islam Malaysia (Gamis) untuk menganjurkan Konsert Antara Dunia 2009 bertempat di Stadium Malawati Shah Alam, pada 1 Ogos, pukul 8.30 malam.
Antara artis yang terlibat adalah Rabbani, Raihan, Hijjaz dan Shoutul Harokah dari Indonesia.
Tiket-tiket untuk bersama menghayati keindahan bait-bait melodi Rabbani dan rakan-rakan ini kini sudah dibuka untuk tempahan.
Turut diadakan jualan gerai dan untuk tempahan (gerai) hubungi 013-3796023 atau 03-62721225. Penaja utama konsert ialah Permata Hijrah pengeluar produk kesihatan untuk mata berasaskan ekstrak mutiara, air zam zam, air suling dan karangan laut.
Dan bagi mereka yang berminat untuk menyertai pakej percutian, pakej haji dan upah haji Ar-Raziq Travel & Tours Sdn. Bhd., anda boleh menghubungi Ahmad di talian 012-3062291 atau Rashidah di talian 019-6344332.
No comments:
Post a Comment