Monday, August 24, 2009

AC? kenakan AC Mizal

AC? kenakan AC Mizal

"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan supaya ramai penonton dan tetamu faham dengan program ini serta tidak takut lagi apabila kami panggil untuk turut serta" – AZWIN


AC? menjadi program terbaru dihoskan AC Mizal selepas enam musim bersama program AC Di Sini.


KELAT, masin, terkilan ataupun sedih, semua perasaan berbaur itu sebenarnya sudah jauh daripada fikiran pelakon dan pengacara terkenal AC Mizal.

Demi menciptakan pembaharuan bimbang peminat bosan dengan program AC Di sini yang sudah mencecah enam musim, nama program yang mengangkat kemunculannya sebagai pengacara mulut laser terpaksa ditukar.

Program AC? kini menjadi bayi baru AC Mizal apabila tampil dengan lebih ceria dan kreatif.

Begitupun, AC tidak dapat mengelak perasan terkilan apabila satu karakter yang cukup digemarinya, Che Mat Poi atau CMP terpaksa dilupakannya.

"Sedih memanglah sedih. Watak CMP sangat sinonim dengan saya. Hanya CMP sahaja yang boleh buat gelagat orang tua yang minat hip hop, gila-gila dan punya dialek yang pelik. Saya sangat sayangkan karakter itu tapi demi kelainan, saya bersetuju.

"Lagipun, konsep baru yang dipersembahkan menerusi AC? sangat kena, dekat dan mengikut rentak saya. Ini gaya AC Mizal. Saya boleh katakan, inilah program saya. Segala kata putus diperolehi hasil perbincangan bersama dan saya sangat seronok dengan pasukan AC? Kami serasi dan membesar bersama sejak program AC Di Sini dimulakan," jelas AC Mizal panjang lebar tentang penjenamaan semula AC Di Sini yang ditukar judul menjadi AC?

Sejak memulakan musim baru pada Jumaat, 7 Ogos lalu, tiada lagi tagline 'AC di mana, AC di sini, sempoi!' Sebaliknya, AC Mizal hanya perlu menjerit 'AC!' manakala penonton membalasnya dengan ungkapan, 'sempoi!'.

"AC? Sempoi! Hanya itu yang menjadi tagline kemunculan AC selepas enam musim mengendalikan AC Di Sini. Kami fikir, untuk tujuan kelainan dan pembaharuan, nama program AC? sahaja sudah melengkapi keseluruhan intipati program," kata Penerbit AC?, Azwin Kamarul Zaman.

AC Mizal sendiri melabelkan program terbarunya itu lebih bersifat peribadi apabila team produksi program tersebut memberikan kebebasan kepadanya untuk melakukan apa sahaja mengikut idea dan daya kreativiti sendiri.

"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan dalam program AC? supaya ramai penonton dan tetamu faham dengan program ini. Yang penting mereka tidak takut lagi apabila kami panggil untuk turut serta di pentas.

"Sekarang, saya baru diberi peluang, saya bebas untuk melontarkan idea dan bakat yang terpendam," katanya ketika di temui semasa program AC? di Astro, Bukit Jalil.

Program yang sangat sesuai dengan karakter AC Mizal, Azwin memberitahu AC? bermaksud 'apa cerita' selain ia merupakan nama AC sendiri.

Untuk musim baru ini, AC? turut menyediakan Kaunter AC yang membolehkan sesiapa sahaja terdiri daripada penonton untuk bertanyakan apa sahaja soalan kepada tetamu jemputan.

"Segmen Kaunter AC memberikan sesuatu perkara baru yang orang tak pernah buat," ujar AC mengenai kelainan yang ditonjolkan dalam program barunya.

Garaj lelong barang artis

Selain itu, penonton juga akan dihidangkan dengan segmen Garaj AC yang diletakkan di akhir program.

Yang menariknya, segmen itu akan memberi peluang kepada para artis dan selebriti untuk melelong barang-barang mereka yang mempunyai nilai-nilai sentimental kepada tetamu di luar mahupun di luar studio.


DARI kiri: Tetamu jemputan AC? Kamal Adli, Fizo Omar dan Alyah dalam rakaman program itu di Bukit Jalil baru-baru ini.


"Kami tidak mahu guna galeri sebab tidak mahu ia nampak terlalu formal, jadi garaj lebih sesuai selari dengan tagline sempoi.

"Dalam rakaman yang telah dibuat, Faizal Tahir datang membawa gincu yang digunakan semasa dia menulis huruf 'S' di dadanya sehingga 'diband'. Adibah Noor pula menghadiahkan gigi palsu untuk disimpan dalam Garaj AC. Di hujung musim program, semua barangan itu akan dijual dan hasil kutipannya akan disumbangkan ke badan kebajikan," jelas Azwin lagi.

Ditanya kenapa program AC? kurang panas seperti AC Di Sini yang gemar memilih artis yang dibayangi kontroversi sebagai tetamu di studio, AC dan Azwin ada alasan tersendiri.

Kata Azwin, AC? tidak akan dicorakkan sebagai sebuah program gosip dan isu semasa sebaliknya bersifat matang dan terbuka serta tidak mati ditelan zaman.

"Sesuai dengan strategi di Astro sendiri yang banyak mengulang tayang program-programnya, kami tidak mahu AC? menjadi basi apabila ia diulang tayang pada kemudian hari.

"Walaupun begitu, artis dan isu yang dibawa ke studio juga relevan dengan isu semasa. Mereka bercakap tentang karier serta isu yang pernah dihadapi," tambah Azwin lagi.


BERBEZA dengan program AC Di Sini dahulu, program AC? menampilkan tetamu khas seperti kehadiran penjinak ular ini.


Bagi AC Mizal sendiri, pendekatan baru AC? itu lebih cenderung untuk menampilkan nilai artis yang dibawa ke studio.

"Saya bukan mahu jadi bintang atau apa sahaja dalam program saya. Bintang dalam program itu adalah artis yang datang ke studio.

"Pendekatan itu juga akan membuatkan artis selesa untuk bersedia diundang sebagai tetamu. Sebelum ini, ada artis yang menolak untuk menyertai AC Di Sini kerana tidak mahu menjawab soalan yang bakal diajukan.

"Ada juga artis datang sebagai tetamu tetapi tidak memberikan jawapan yang mahu didengar oleh penonton apabila berdepan soalan panas. Jawapan sekadar ala-ala sahaja, itu yang kami tidak mahu," tegas AC Mizal.

AC Mizal takut ular

Sedia untuk mengenakan tetamu jemputannya dengan soalan-soalan panas namun, menariknya program AC? apabila tetamu jemputan juga boleh mengenakan AC Mizal.


AC MIZAL sanggup mengorbankan judul program kesayangannya AC Di Sini kepada AC? demi menciptakan pembaharuan.


Pada rakaman baru-baru ini ternyata AC Mizal teruk diusik tetamunya yang terdiri daripada Kamal Adli dan Fizo Omar apabila krew terbitan telah menjemput Raja Ular bersama beberapa ekor ular seperti tedung selar dan ular sawa bagi mengisi segmen Wow!

"Saya memang takut ular, ini semua kerja penerbit dan team program ini yang mahu mengenakan saya pula sebab asyik saya sahaja yang mengusik tetamu di studio.

"Mereka ini (Kamal dan Fizo) bukan main lagi bila dapat peluang mengusik saya. Takpa, inilah AC? dalam program ini, tetamu saya bebas buat apa sahaja," kata AC Mizal sambil membuat aksi geli-geleman kerana masih teringatkan ular-ular yang melingkar di depan matanya.

Program AC? disiarkan pada setiap Jumaat, pukul 9 malam di Astro Ria (saluran 104).

No comments: