Monday, August 24, 2009

Dulu juruhebah, kini jurunikah

Dulu juruhebah, kini jurunikah


HELAN Abu (kanan) ketika menikahkan pengantin, Asri Dahalan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor minggu lalu.


TATKALA mata penulis liar mencari personaliti yang ingin ditemui, tiba-tiba pandangan terpaku kepada seorang lelaki yang sedang khusyuk menunaikan solat sunat masjid berhadapan mimbar di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor.

Selesai memberikan salam, dengan pakaian hitam sedondon - bersongkok, berbaju Melayu hitam dan songket hitam, lelaki berusia lebih setengah abad itu bangun dengan tenang mencapai briefcase hitamnya.

Satu demi satu, borang dan buku dikeluarkan daripada begnya dan diatur di atas rehal.

Kemudian dengan tenang dan berhati-hati memeriksa mikrofon, sambil menunggu pasangan pengantin yang akan dinikahkah petang itu.

Walaupun lelaki berusia itu kelihatan berbeza berbanding zaman mudanya dulu, tetapi bagi mereka yang pernah mengikuti rancangan Bakat TV 1971 pasti mengenalinya.

Jika dulu, dia popular sebagai juruhebah, pembaca berita, pengacara rancangan, pengarah drama dan hiburan, dan kelihatan gah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998, namun kewibawaannya masih terserlah.

Tepat pada pukul 3.30 petang, suara 'lelakinya' memecah sepi ruang masjid tatkala membacakan lafaz nikah untuk pasangan pengantin, Asri Dahalan, 28, dan Amirah Che Zakaria, 27.

Bagaimanapun, tatkala pengantin lelaki melafazkan penyerahan mas kahwin dan lafaz penerimaan mas kahwin oleh pengantin perempuan, tiba-tiba seorang tetamu yang hadir menyedari jurunikah berkenaan sambil bertanya kepada penulis.

"Jurunikah itu dulu orang RTM kan,?" tanya tetamu pengantin lelaki.

Setelah penulis mengiakan teka-teki itu, sambil ketawa kecil si tetamu wanita itu berkata:

"Patutlah lafaz penyerahan dan penerimaan mas kahwin macam skrip drama TV. Rupa-rupanya orang RTM. Cantik dan menarik sungguh bait-bait ayatnya," kata wanita berkenaan sebaik sahaja selesai majlis tersebut.

Jurunikah yang dimaksudkan itu ialah Mohd. Helan Abu, 66, atau lebih dikenali Helan Abu, iaitu satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang penyiaran terutama dalam menerbitkan rancangan hiburan dan drama di RTM sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Tetapi itu adalah cerita 38 tahun dahulu, ketika Helan Abu menjadi salah seorang kakitangan RTM dengan jawatan akhirnya Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998.

Bagaimanapun, sejak 2003, Helan yang juga suami kepada Khatijah Churaimi, 63, lebih selesa duduk di rumah selain menjadi Penolong Pendaftar Nikah setelah ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Ayah kepada Mohd. Helme, 39, Mohd. Herie, 35, Mohd. Hezle, 34, Mohd. Hefze, 27, Siti Herne, 21, dan datuk kepada tujuh orang cucu ini ketika ditanya mengenai tugas barunya itu, berkata:

"Walaupun sebelum ini saya pernah memegang pelbagai jawatan, tetapi tugas sebagai jurunikah ini begitu mulia. Sebabnya melalui tugas ini saya dapat menghalalkan yang haram."

Sepanjang lima tahun diamanahkan dengan tugas itu, Helan sehingga kini telah menikahkan lebih daripada 100 pasangan termasuklah dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada, Pakistan, Somalia dan India.

"Keseronokan menjalankan tugas ini berbeza daripada keseronokan ketika di RTM. Selalunya selepas menikahkan pasangan pengantin, saya dapat rasakan seolah-olah beban di kepala saya hilang tiba-tiba.

"Bayangkan, mereka yang kita nikahkah sebelum ini melalui pelbagai fasa sebelum mengambil keputusan bernikah.

"Selepas ijab kabul, tiada apa yang merunsingkan pasangan dan Alhamdulillah kebanyakan pasangan yang saya jumpa sudahpun beranak pinak," cerita Helan ketika ditemui selepas majlis pernikahan Asri Dahalan dan Amirah Che Zakaria baru-baru ini.

Sebelum dilantik sebagai Penolong Pendaftar Nikah, Helan yang merupakan seorang daripada lima calon terpaksa melalui peperiksaan untuk melayakkan diri.

Antaranya ujian bertulis di samping membaca ayat-ayat suci al-Quran yang dinilai bacaannya daripada segi tajwid, balaghah, harakat dan fasaha.

Kini walaupun sudah ditauliahkan, dan telah mengikuti lebih daripada 30 kursus agama yang dikendalikan JAIS, Helan masih mengikuti kursus yang diadakan dari semasa ke semasa.

Saat kegemilangannya

Bercakap mengenai saat kegemilangannya di RTM, Helan Abu yang pernah dianugerahkan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang DiPertuan Agong mengakui, banyak kenangan manis yang pernah diraihnya.

"Sepanjang menceburi bidang penyiaran, tahun 1977 mencatatkan kenangan manis dalam hidup saya kerana tiga buah drama arahan saya Pincang, Condong dan Hujan dicalonkan pada Anugerah Seri Angkasa '77 (ASA 77)," katanya mengimbas kenangan silam.

Pincang benar-benar meninggalkan kenangan manis kepada Helan apabila ia memenangi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Menara Condong pula memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sidek Hussin dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Nuri Angkasa.

Drama Hujan memenangi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Iskandar Dzulkarnain dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Noraini Hashim.

Selain itu, Helan juga bertindak sebagai penerbit drama PJ yang mana konsepnya seperti soap opera popular pada tahun 1980-an iaitu Dallas dan Dynasty.

"Drama 10 episod itu diarahkan oleh Yassin Salleh dan memang mendapat sambutan kerana ia memaparkan realiti kehidupan golongan korporat dan elit. Bagaimanapun, selepas 10 episod ia dihentikan," cerita Helan.

Bagaimanapun, ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, sesuatu yang tidak boleh dilupakan apabila RTM diheret ke mahkamah kerana sebuah soap opera yang ditayangkan di stesen itu.

"Drama itu memang sudah dibeli oleh RTM tetapi bayaran hanya akan dibuat setelah ditayangkan. Namun kerana arahan seseorang, pihak RTM tidak menayangkan siri tersebut.

"Namun, apabila mendapat tahu pihak pembekal akan mengambil tindakan undang-undang, RTM menayangkan siri itu.

Titik hitam

"Sayangnya baru episod ke-66 daripada 200 episod ditayangkan, kami mendapat perintah dihentikan kerana pembekal mengambil tindakan mahkamah. Akhirnya apabila tamat perbicaraan mereka menang dan mendapat ganti rugi," cerita Helan tatkala menyingkap titik hitam yang tidak boleh dilupakan.

Selain drama, Helan juga pernah menerbitkan Hiburan Minggu Ini (HMI), yang memang diminati kerana hiburan yang ditampilkan bukan setakat nyanyian sahaja.

Sebaliknya, Helan menampilkan sisi lain seseorang penyanyi itu - bukan setakat boleh menyanyi, malah berlakon, menari dan berlawak.

"Saya masih ingat, HMI yang saya terbitkan sekembalinya saya dari Sarawak setelah dua bulan ditugaskan di sana, ialah Sarena Hashim pada tahun 1976.

"Dalam program yang disiarkan setiap malam minggu itu, Sarena dengan suara manjanya bukan setakat menyanyi malah dia turut berlawak, berlakon dan juga menari.

"Enam minggu berturut-turut Sarena menjadi hos HMI itu dengan artis undangan istimewanya, allahyarham Biduan Negara, Puan Sri Saloma dan Seniwati Datin Saadiah.

"Memang HMI ketika itu menjadi satu rancangan yang dinantikan peminat hiburan. Lagipun ketika itu saluran TV tidak banyak begitu juga artis. Jadi kemunculan mereka memang sentiasa dinanti-nantikan," kata Helan yang bertindak sebagai penulis skrip, pengarah dan penerbit HMI berkenaan.

Menyingkap penglibatan awalnya di RTM, Helan memulakan kerjayanya sebagai juruhebah radio pada awal 1970an.

Selain itu beliau juga mengendalikan program era pop yeh yeh seperti Gelanggang, Irama Rancak, Muzik Muda Mudi dan Temasya Muda Mudi.

Selain tugas rutinnya, Helan juga ditugaskan membaca berita, penyampai rancangan dan berlakon drama.

Bakat dan kebolehannya dalam bidang penerbitan membuatkan beliau berpeluang mengikuti pelbagai kursus penyiaran antaranya kursus penerbitan TV di BBC, London, kursus penyiaran di Amerika Syarikat, kursus penyiar kanan di Kanada.

Selepas bersara kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang penyiaran, Helan dilantik menjadi jururunding kepada syarikat penerbitan Jutaria Sdn. Bhd., pada tahun 1999 yang menerbitkan rancangan-rancangan animasi seperti Sang Wira, Badang, Rimba dan Jurnal Perubatan.

Selepas empat tahun bersama Jutaria, Helan bekerja dengan Konsortium Telemal Sdn. Bhd., yang dianggotai oleh lapan buah syarikat penerbitan dengan mengeluarkan 300 jam program TV setahun sehingga 2007.

No comments: