Monday, August 24, 2009

Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra

Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra


NOR Aliah Lee (kiri) dan Amy Mastura dalam satu babak filem Puteri Impian.


SEJAK beroperasi bermula 1 Jun lalu, saluran Citra (saluran 131, Astro) yang ditawarkan dalam pakej Mustika semakin mendapat perhatian.

Ternyata, pembaharuan serta perbezaan yang ditampilkan dari segi kandungan yang ditawarkan menerusi Astro Citra sememangnya menarik perhatian ramai untuk melanggannya.

Tidak mahu kandungannya sama seperti saluran Astro yang lain, Astro Citra cuba mengorak langkah dengan menayangkan drama-drama yang mempunyai pendekatan berbeza daripada apa yang ditawarkan di saluran lain.

Sebagai contoh, Astro Citra menerusi slot Suatu Ketika... misalnya cuba membawa penonton menyelami kisah yang berlaku di sebalik sejarah silam, mitos mahupun personaliti atau tokoh yang terlibat dalam kisah-kisah berkenaan.

Drama pertama yang ditayangkan menerusi slot tersebut iaitu Warkah Terakhir yang mengisahkan perjuangan dan pengorbanan tokoh sejarah bernama Rosli Dhobi telah mendapat respons yang cukup positif.

Rata-rata memuji kualiti dan pengisian drama tersebut sekali gus menjadikan Astro Citra sebagai pemangkin kepada karya yang penuh dengan informasi menerusi drama yang ditayangkan.

Setidak-tidaknya, kandungan drama di Astro Citra tidaklah hanya menampilkan kisah cinta dan konflik keluarga yang klise.

Malah, dengan slot Suatu Ketika... ini juga ia memberikan satu cabaran baru kepada pembikin dan pengkarya tempatan untuk menghasilkan karya yang di luar norma kehidupan biasa.

Untuk itu juga, sempena menyambut kedatangan Hari Kemerdekaan yang ke-52 pada 31 Ogos ini, Astro Citra sekali lagi akan menayangkan Warkah Terakhir.

Mungkin ada yang akan bertanya mengapa perlu ditayangkan semula Warkah Terakhir dan tidak dengan drama baru yang menepati tema kemerdekaan.

Sewaktu bertemu dengan Pengurus Saluran Astro Citra, Sharlyza Alis Sharkawi di Wisma Penyayang, Seri Kembangan, Selangor baru-baru ini, beliau memberitahu, pengisian Warkah Terakhir dilihat bertepatan bagi meraikan sambutan kemerdekaan tahun ini.

"Kami mengambil keputusan untuk menayangkan semula Warkah Terakhir kerana ia adalah tentang kisah perjuangan dan pengorbanan seorang pejuang bangsa untuk negaranya.

"Sekali gus, kami di saluran ini mahu memberi pendedahan kepada penonton yang selama ini mungkin tidak tahu atau lupa akan pengorbanan Rosli Dhobi.

"Ini adalah salah satu cara kami untuk sama-sama memeriahkan serta merancakkan lagi sambutan kemerdekaan tahun ini," ujarnya yang sudah dua tahun berkhidmat bersama Astro.

Warkah Terakhir mengambil kisah daripada kandungan surat terakhir yang ditulis oleh pejuang kelahiran Sarawak itu kepada keluarganya sebelum dihukum gantung.

Diterbitkan sebanyak lapan episod, drama mini tersebut menampilkan Beto Kushairy sebagai Rosli Dhobi dalam drama yang diarahkan olehWan Hasliza Wan Zainuddin itu.

Ia turut dikuatkan lagi dengan barisan pelakon lain seperti Sazzy Falak, Nam Ron, Ramli Hassan, Melissa Maureen Rizal, Sherie Merlis dan Juliana Evans.

Untuk sambutan merdeka ini, Warkah Terakhir akan ditayangkan secara maraton pada 30 dan 31 Ogos ini secara berperingkat.

Pada 30 Ogos, sebanyak empat episod akan ditayangkan secara berturut-turut bermula pukul 12 tengah hari hingga 4 petang.

Lebihan empat episod lagi, akan ditayangkan pada hari keesokannya pada waktu yang sama.

Menyambung bicara, Sharlyza ternyata teruja dan gembira dengan sambutan yang diberikan terhadap slot berkenaan apabila ramai penerbit yang mahu menyumbang idea serta karya masing-masing.

Selepas Warkah Terakhir, dua drama yang mengisi slot berkenaan ialah Ibu Ampunkan Aku dan Darah Putih Darah Suci yang kisah Si Tanggang dan Mahsuri.

"Kami sebenarnya mengalu-alukan dan membuka peluang kepada semua penerbit untuk tampil dan bekerjasama dengan kami.

"Soal favouritisme langsung tidak wujud. Tetapi apa yang kami utamakan adalah kualiti baik dari segi skrip dan mutu penerbitan.

"Sudah pasti, sebagai penyiar ia merupakan perkara yang tidak boleh langsung dikompromi," ujarnya lagi.

Selain untuk sambutan hari merdeka, Astro Citra turut meraikan bulan Ramadan dengan memperkenalkan slot Cinema Sahur yang akan menayangkan filem-filem tempatan pada pukul 4.30 pagi.

Menariknya, sepanjang 30 hari di bulan Ramadan penonton saluran Astro Citra akan berpeluang menonton filem-filem tempatan yang berbeza setiap hari.

Selain filem terbaru, filem-filem terbitan awal dan pertengahan 90-an juga akan ditayangkan.

Antaranya ialah Selubung, Hati Bukan Kristal, Puteri Impian, Baginda, Penghujung Malam dan yang terbaru seperti Susuk, Antoo Fighter, Wayang, Anak Halal, Pensil, Tipu Kanan Tipu Kiri dan Cicak-Man 2: Planet Hitam.

Ditanya mengenai pandangan masyarakat yang mengkritik penayangan filem-filem yang sama setiap masa, Sharlyza memberikan jawapannya dengan penuh optimis.

Terangnya, buat masa ini apa sahaja filem yang ditayangkan di Astro Citra adalah berdasarkan koleksi yang ada dalam simpanan Astro.

Bukan itu sahaja, penerbitan 12 hingga 25 buah filem tempatan setahun juga sedikit sebanyak menjadi halangan untuk pihaknya mendapatkan hak penyiaran di televisyen.

"Masyarakat harus faham bahawa industri perfileman kita bukan seperti di Hollywood mahupun India yang menerbitkan beratus-ratus filem setahun.

"Disebabkan itu juga, untuk slot Cinema Sahur kami tidak mampu untuk menayangkan filem-filem bercorak kerohanian dan keagamaan kerana tidak banyak filem-filem berkenaan," katanya.

No comments: