MENJADI anak Singapura yang berjaya meloloskan diri dalam pasaran industri lakonan Malaysia, Ady Putra tidak mempunyai masalah untuk mendapat peluang berlakon dalam pelbagai drama dan filem.
Kredibiliti lelaki berusia 28 tahun ini diyakini. Dengan sosok tubuh dan wajah komersial ditambah kemampuannya membawa karakter yang tidak klise, pemilik nama sebenar Mohamed Hadi Putera Halim selalu mencuri hati khalayak dengan aksinya. Sementelah pengalaman sebagai seorang model sebelum serius menjadi pelakon banyak membantu.
Antara lakonan hebatnya adalah menerusi drama seperti Mya Zara, Haryati 2, Kelahiran Yang Teristimewa dan Aku Cinta Padamu. Ady turut cemerlang di layar lebar dengan lakonan bersahajanya dalam filem seperti Histeria dan Anak Halal.
Biar sepanjang enam tahun terbabit sebagai pelakon dengan moto mementingkan kualiti berbanding kontroversi, Ady tidak terlepas dilanda badai.
Jika beberapa tahun lalu perkahwinannya dengan warga Malaysia bernama Aida dipertikaikan segelintir khalayak sebagai mahu mendapat lebih peluang berlakon di Malaysia, terbaru Ady dihurung sensasi apabila bersetuju melakonkan watak gay dalam filem ‘panas’, ...Dalam Botol.
Berada dalam senarai top 3 untuk watak Ruby, kata Ady: “Saya tidak takut dengan kontroversi kerana kehidupan tanpa kontroversi kadangkala membosankan juga. Apa yang penting adalah mesej yang ingin kita sampaikan kepada masyarakat.”
Bagi Ady juga, sebagai seorang pelakon, seharusnya mereka bersedia untuk membawa apa juga karakter yang dipertanggungjawabkan dengan berkesan.
Terbaru pelakon yang menggemari Kusdawinata dan Johnny Depp ini akan memberi satu lagi lakonan berkesannya menerusi drama khas Merdeka, Hati Yang Merdeka di RTM 2 pada 28 Ogos depan pukul 12.30 tengah hari.
Melakonkan watak lelaki kurang upaya bernama Ris, ia menceritakan tentang ketabahan jiwanya menjadi lelaki OKU sehingga berjaya tanpa menyusahkan orang lain.
No comments:
Post a Comment