DALAM diam-diam rupa-rupanya Tam Spider sudah pun menjadi tunangan kepada Aida Mustaffa, 28. Mereka mengadakan majlis pertunangan secara sederhana di Pontian, Johor pada 15 Ogos lalu.
Teman Diva terus menghubungi Tam sebaik saja menerima kiriman e-mel daripada seorang peminat Tam yang bertanyakan kesahihan berita itu.
Ujar Tam: "Bukan tak mahu beritahu pihak wartawan tapi kami mahu mengadakannya secara sederhana. Lagipun baru bertunang. Nanti kalau sudah mahu kahwin, baru boleh beritahu." Gembira saja suara Tam di hujung talian.
Menurut Tam, mereka akan bernikah selepas raya. Namun, tarikhnya belum ditetapkan.
Menurut penyanyi Rela Kupujuk tersebut, majlis persandingan akan diadakan di Pontian diikuti di Melaka iaitu di rumah keluarga sebelah ibu Tam.
Cerita Tam, dia sudah lama mengenali Aida tetapi hanya bertemu dua atau tiga kali dalam setahun. Baru tahun lepas mereka menjalinkan hubungan yang serius.
Kata Tam, sudah sampai masanya untuk dia memikirkan tentang tanggungjawab menjadi suami semula setelah 11 tahun menduda.
"Kalau ada pasangan, sakit pening ada orang jaga," ujarnya.
Ditanya tentang keistimewaan Aida, jawab Tam: "Dia mengikuti perkembangan saya dan memahami keadaan kerja saya.
"Waktu dating memang tak menentu sebab saya banyak terlibat dengan kerja-kerja studio tapi dia faham. Yang penting dia menerima anak dan keluarga saya," ujarnya berkongsi cerita.
Tambah Tam yang baru menubuhkan studio sendiri ini, di samping sibuk membuat persiapan kahwin, dia dan Spider juga sedang dalam proses mengeluarkan single terbaru yang bertajuk Ajaib.
Diva: Bayangkan Tam menyanyikan lagu untuk bakal isterinya dengan menggunakan gitar. Pasti romantis!
No comments:
Post a Comment