Sunday, August 23, 2009

Yuna : Belum sedia untuk glamor

Belum sedia untuk glamor




YUNA, pertama kali mendengar nama dan lagu-lagunya, ramai anak muda mengklasifikasikan penyanyi bertudung ini sebagai 'jarang ditemui'. Dia gadis yang bermain gitar dan menyanyi serta punya grup sendiri. Yuna mencipta gelombang perbezaan dan tampil dengan pengenalan yang ada titik hitam dan putih.

Selain single Dan Sebenarnya mendapat puji-pujian, kisah Yuna yang attitude memadai untuk dia meraih perhatian ramai. Membuat temu janji dengan Yuna kadangkala menyukarkan pihak wartawan malah menyebabkan kerja tertangguh.

Pada telahan saya, ia mungkin berpunca daripada pengurusan kerjayanya yang kurang teratur atau Yuna sendiri mengalami kejutan dunia glamor yang menerpanya secara tiba-tiba. Lalu saya tanyakan kepada gadis berusia 22 tahun ini tentang perkara itu.

"Saya akui perkara yang paling mengejutkan adalah perhatian yang luar biasa terhadap saya. Pada mulanya saya tidak faham kerana saya bukan penyanyi power house seperti Jaclyn Victor mahupun bintang Akademi Fantasia.

"Tiba-tiba orang bercakap tentang Yuna, Yuna, Yuna dan saya terkejut dalam syukur," ujarnya yang memakai topeng pada acara MTV World Stage 2009 di Sunway Lagoon, baru-baru ini.

Yuna mengakui dia seorang yang agak serius dan pendiam. "Kalau orang tidak bercakap dengan saya, saya susah mahu menegur. Mungkin orang anggap saya berlagak. Tapi itu sifat semula jadi saya," ucapnya.

Yuna juga membayangkan sukar menjadi anak seni kerana khalayak menyimpan pelbagai persepsi terhadap golongan ini. Namun katanya, dia hanya mahu menjual muzik dan tidak pernah memaksa orang ramai supaya menyukainya.

Dengan satu single yang meletup dan ekspektasi yang menggunung terhadapnya, Yuna berterus-terang dia belum bersedia untuk glamor.

"Orang ramai anggap saya sudah bersedia untuk ini semua tetapi hakikatnya tidak. Saya memang tidak merancang untuk masuk ke dunia hiburan arus perdana. Semuanya datang sendiri. Jujur saya katakan, saya sedikit segan dengan situasi ini," tutur Yuna.

Dibandingkan dengan Norah Jones

Saya sentuh perihal pengurusannya yang lemah. Manakan tidak, mesej pesanan ringkas (SMS) dan panggilan telefon seringkali tidak dijawab oleh pihak Yuna.

Lalu dia menyatakan, Pa'an selaku pengurusnya kini sebenarnya turut sibuk dengan grup dan pembelajarannya di UiTM Shah Alam. Itulah antara punca komunikasi Yuna dengan pihak lain kurang lancar.

"Sekarang saya sudah melantik sepupu saya, Wawa, sebagai pembantu peribadi. Saya tidak percayakan khidmat orang luar," ujarnya mahu menjernihkan suasana.




Gadis bernama Yunalis Zarai ini minat menyanyi sejak berusia enam tahun. Dia yang dihantar ke kelas piano oleh ibunya kemudian berhenti kerana kurang minat.

Yuna membikin lagu pertama pada usianya 15 tahun sebelum bakatnya terhenti seketika. Dia muncul lagi beberapa tahun selepas itu.

Dalam masa yang sama, dia tekun belajar bermain gitar. Itulah asal-usul kenapa Yuna membawa gitar apabila membuat persembahan sekarang.

Maka dengan segala kecintaannya terhadap bidang seni dan berkiblatkan vokalis wanita seperti Feist, Alanis Morrisette, The Cardigans, Lisa Loeb, Fiona Apple, Norah Jones, Tori Amos, Janis Joplin, Lisa Hannigan dan Tegan & Sara, Yuna memasukkan semua unsur tersebut ke dalam pengaruh muzik dan vokalnya.

Sejak album mininya dilancarkan 10 bulan lalu, kelibat wanita bertudung ini juga semakin mudah ditemui di persembahan-persembahan gig.

Di samping menyanyikan single hitnya, lagu yang kerap dibawakan Yuna termasuk Deeper Conversation, Backpacking Around Europe, After Midnight dan Blue Sands.

"Saya tak sangka dibandingkan dengan penyanyi serba boleh Amerika, Norah Jones. Mungkin kerana tona suara yang sama dan cara menyanyi yang relaks, maka kami disamakan.

"Tapi itu menjadi picu untuk saya terus menyanyi. Kalaulah saya boleh menjadi sebagus Norah Jones, saya akan membuat material yang lebih baik untuk pendengar," ujarnya yang turut menamakan Jonny Buckland, gitaris Coldplay sebagai idola.

Berduet dengan Lenka

Yuna yang merupakan anak tunggal ini menjelaskan dia mempunyai perancangan yang sangat serius tentang muzik.

Biarlah dilabelkan klise tapi hasrat hatinya adalah untuk memperjuangkan muziknya hingga ke peringkat antarabangsa.

Kini, langkah disusun satu persatu. Sepanjang bulan Ramadan ini, dia dan grupnya akan bertungkus-lumus di studio Laguna di Ampang untuk menyiapkan album debut yang dibayangkan akan mengandungi 10 buah lagu.

Baru mencapai 30 peratus proses rakaman, Disember kelak, peminatnya dijangka dapat mendengar segala isi hati dan skil pemainan Yuna.

"Pengaruh untuk album ini masih pop rock tapi akan divariasikan. Kalau dalam album mini dulu ada elemen bossa dan sedikit rock, saya akan terapkan elemen yang sama namun dengan lebih berwarna-warni.


YUNA bersedia menukar pengurusnya demi memantapkan kerjaya seninya.


"Saya seorang yang cepat bosan dengan satu stail muzik, jadi saya mahu mencuba banyak perkara," ujarnya yang kini kecanduan mendengar nyanyian penyanyi bernama Lykke Li.

Sempat berbual dan berduet dengan penyanyi Australia, Lenka, sewaktu mereka digandingkan dalam satu rancangan yang bakal keluar di saluran Channel [V], Yuna menghargai pengalaman tersebut.

"Saya dan Lenka ada persamaan. Kami sama-sama penyanyi dan penulis lirik. Kami pelajar seni yang terinspirasi penuh kerana seni. Saya juga sempat bertanyakan perihal klip videonya," ujar Yuna teruja.

Dalam kepayahan mengejar seorang Yuna, akhirnya berbalas panggilan telefon yang berjalan dengan lancar.

Cuma satu pesanan buat Yuna yang dilihat punya masa hadapan seni yang cerah, pihak media sentiasa menyokong produk Malaysia yang bagus.

Dalam masa yang sama, media juga mengharapkan pemuzik mahupun artis menghormati perjalanan kerjaya wartawan yang sama-sama cari makan dalam industri.

No comments: