Monday, August 31, 2009

Nada patriotik generasi baru

Nada patriotik generasi baru


PIHAK penganjur, penaja dan para finalis pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita pada pelancarannya di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini.


INISIATIF stesen radio Hot FM menganjurkan pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita yang tarikh tutupnya pada 26 Ogos lalu merupakan suatu anjakan baru dalam genre lagu-lagu patriotik di negara ini.

Ini kerana pertandingan anjuran stesen radio yang terletak di bawah naungan Media Prima Berhad (MPB) itu tidak mengehadkan penciptaan lagu berentak march semata-mata, sebaliknya ia juga terbuka untuk genre muzik-muzik lain.

Ketua Rangkaian Radio MPB, Ahmad Izham Omar menyifatkan pertandingan Lagu 1Malaysia Kita itu sebagai salah satu pemangkin dalam usaha membantu kerajaan menyemai semangat patriotik terutamanya di kalangan generasi baru.

“Kalau kita mahu menyematkan semangat patriotik kepada golongan muda, maka kita juga kenalah menyesuaikannya dengan cita rasa muzik mereka. Tidak kiralah genre muzik apa sekalipun, tetapi yang penting ialah mesej di dalamnya.

“Sebab itulah kita buka penyertaan pertandingan ini kepada seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira agama dan bangsa terutamanya golongan muda. Daripada situlah kita akan tahu lagu-lagu patriotik bagaimana yang mereka cenderung hasilkan.

“Apatah lagi undian memilih juara pertandingan ini dilakukan melalui undian SMS (khidmat pesanan ringkas) dan Internet. Terpulanglah kepada mereka untuk memilih lagu patriotik yang mereka minati,” katanya kepada Mega ketika ditemui, baru-baru ini.

Sejak pertandingan itu dimulakan beberapa bulan lalu, lebih 350 lagu diterima oleh Hot FM membabitkan kalangan komposer yang sudah ternama dan juga komposer amatur bagi merebut hadiah wang tunai RM25,000 untuk habuan juaranya.

Menurut Ahmad Izham, kepelbagaian muzik yang dibuka pada pertandingan yang ditaja oleh Celcom X itu sedikit sebanyak mampu memperdengarkan kreativiti para komposer tempatan bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik dalam nada lebih moden dan segar.

“Pada pertandingan ini, ramai komposer yang menghantar pencalonan lagu-lagu mereka merupakan golongan generasi baru. Ada yang menghantar lagu berkonsepkan rock, pop dan indie sesuai dengan usia serta cita rasa mereka.

“Dalam soal konsep atau genre muzik, kami sedikit terbuka kerana muzik memainkan peranan yang amat penting. Sebabnya para pendengar akan lebih tertarik dengan melodi lagu yang dipersembahkan kepada mereka.

“Selepas tertarik dengan irama, maka barulah mereka akan menyanyi dan memberi perhatian kepada lirik lagu. Kalau melodi atau muziknya sedap, secara tidak langsung mereka juga akan menghayati lirik lagu tersebut,” ujarnya.

Katanya, berdasarkan sambutan pada pertandingan itu, Hot FM sedikit sebanyak dapat mengetahui kecenderungan dan kreativiti yang dimiliki oleh sebilangan pesertanya meskipun masih baru dalam bidang tersebut.

Malah, Ahmad Izham juga terkejut kerana terdapat ramai komposer yang menghantar penyertaan mereka menampilkan garapan idea yang mampu memperkayakan lagi khazanah lagu-lagu dalam industri muzik tanah air.


CABARAN Fara Fauzana terhadap Faizal Ismail yang mencetuskan pertandingan itu bagi menghasilkan lagu-lagu patriotik generasi baru mewakili aspirasi rakyat negara ini.


“Kami tidak menyangka banyak lagu yang kami terima merupakan lagu-lagu yang cukup kreatif dan unik. Senario ini membuktikan kita sebenarnya mempunyai ramai komposer yang berbakat tetapi belum diberi peluang yang secukupnya.

“Kami harap pertandingan ini akan mencungkil lebih ramai komposer muda yang berbakat kerana mereka tentunya mempunyai idea bagaimana mahu mempopularkan lagi lagu-lagu patriotik dalam rentak yang lebih moden dan segar pada masa depan.

“Apa yang penting juga ialah, lagu yang akan diangkat sebagai pemenang pada pertandingan ini kelak mampu diminati serta dihayati oleh seluruh lapisan masyarakat Malaysia tanpa mengira usia, bangsa dan agama,” jelasnya penuh optimis.

Mega difahamkan pemenang pertandingan Lagu 1Malaysia Kita akan diumumkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak pada 2 September ini dengan kerjasama daripada Jabatan Perdana Menteri.

Daripada lebih 350 lagu yang menghantar penyertaan, 10 lagu telah dipilih sebagai finalis pada pertandingan yang menyaksikan pertembungan ramai komposer serta penyanyi profesional dan amatur tempatan itu.

Idea pertandingan Lagu 1Malaysia Kita tercetus apabila penyampai radio Hot FM, Fara Fauzana dan Faizal Ismail mencadangkan diadakan pertandingan mencipta lagu patriotik baru.

Katanya, lagu patriotik nada generasi baru itu diharap dapat menyemarakkan lagi sambutan Hari Kemerdekaan negara yang ke-52 pada tahun ini, selain menyahut aspirasi gagasan 1Malaysia yang dianjurkan oleh Perdana Menteri.

“Menerusi Hot FM, Fara pada asalnya mencabar Faizal supaya menghasilkan sebuah lagu patriotik sempena Hari Kebangsaan dalam suatu tempoh waktu yang ditetapkan. Faizal akhirnya berjaya menyahut cabaran Fara itu.

“Cabaran itu kemudiannya diperluaskan kepada para pendengar Hot FM yang akhirnya membuka penyertaan pertandingan itu kepada segenap lapisan masyarakat, tidak kiralah sama ada mereka itu komposer profesional ataupun amatur.

“Akhirnya kita dapati penyertaannya amat membanggakan kerana ternyata lagu-lagu ciptaan komposer amatur juga hampir sama hebatnya dengan komposer profesional yang menghantar pencalonan mereka pada pertandingan ini,” katanya.

Antara komposer terkenal yang berjaya membawa lagu-lagu mereka ke final pertandingan Lagu 1Malaysia Kita ialah Datuk Siti Nurhaliza, Audi Mok, Aubrey Suwito, Taja (Meet Uncle Hussain), Nur Fatima dan Shazzy.

Hala tuju juara Lagu 1Malaysia Kita


FAIZAL ISMAIL


Pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita bukan setakat dicetuskan oleh Hot FM tetapi ia turut mendapat sokongan Jabatan Perdana Menteri yang memberi sokongan padu terhadap usaha murni stesen radio swasta tersebut.

Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio MPB, Seelan Paul pula tidak menyangka usaha mereka mengadakan pertandingan mencipta lagu-lagu patriotik baru itu mendapat sokongan serta perhatian daripada pihak kerajaan.

“Secara tidak langsung inisiatif dan usaha yang kami jalankan itu seiring dengan hasrat kerajaan yang mahu menyemai semangat patriotik terutamanya kepada golongan muda. Salah satu caranya ialah menerusi lirik dan lagu-lagu.

“Sambutan pertandingan ini amat memberangsangkan. Perkara itu dapat dilihat apabila undian memilih juara pertandingan itu bukan setakat melalui SMS dan Internet tetapi ia juga melalui borang yang disiarkan di akhbar.

“Buat masa ini kami sedang membuat pengiraan jumlah undian yang telah ditutup pada 26 Ogos lalu pukul 11.59 malam. Lagu ciptaan komposer yang terpilih sebagai pemenangnya akan diumumkan secara rasmi pada 2 September ini,” katanya.

Ketika ditanya hala tuju lagu yang akan diangkat sebagai juara Lagu 1Malaysia Kita, jelas Seelan, ia bergantung pada budi bicara Jabatan Perdana Menteri sama ada untuk menjadikannya sebagai lagu rasmi ataupun bagi tujuan-tujuan lain.

Malah, menurut Seelan, lagu yang akan muncul sebagai juara itu juga akan dijadikan klip video dan diedarkan kepada pihak-pihak tertentu seperti wakil-wakil media massa antaranya stesen-stesen radio dan televisyen.

“Kita akan siarkan lagu dan klip video lagu yang akan muncul juara pada pertandingan itu kelak. Sebelum ini pun, kami di Hot FM juga telah menyiarkan 10 lagu yang terpilih sebagai finalis pertandingan ini pada setiap hari secara bergilir-gilir.

“Lagu yang muncul juara pertandingan ini pula akan menjadi hak milik komposernya dan terpulanglah kepada pihak Jabatan Perdana Menteri merancang atau menggunakannya untuk tujuan yang mereka rasakan sesuai pada masa depan,” ujarnya.

Sementara itu, tambah Seelan sembilan lagi lagu yang kurang bernasib baik pada pertandingan tersebut pula akan digunakan oleh Hot FM dengan kebenaran penciptanya, misalnya bagi dijadikan nada dering telefon bimbit dan sebagainya.

Seelan juga tidak menolak kemungkinan akan menganjurkan lagi pertandingan mencipta Lagu 1Malaysia Kita selepas ini bagi menghasilkan lebih banyak lagu bertemakan patriotik pada masa depan.

Selain Jabatan Perdana Menteri, pertandingan itu mendapat tajaan daripada Celcom X yang ternyata tidak mengambil masa panjang untuk bekerjasama bagi membantu menjayakan hasrat murni tersebut.

Ketua Pegawai Eksekutif Celcom (M) Berhad, Datuk Seri Shazalli Ramly yang turut hadir memberi sokongan padu pada majlis pelancaran dan pengumuman 10 lagu yang terpilih pada pertandingan itu di Muzium Negara, Kuala Lumpur, baru-baru ini memberitahu:

“Ahmad Izham datang kepada saya mengusulkan ideanya bagi menganjurkan pertandingan itu. Apabila melihatkan cadangan dan idea pertandingan itu yang amat relevan untuk dilaksanakan pada masa sekarang saya terus bersetuju. Kami di Celcom menyokong usaha yang seperti ini,” kata Shazalli penuh semangat.

No comments: