Monday, August 31, 2009

Silat Malaysia di National Geographic

Silat Malaysia di National Geographic


BUAT pertama kalinya, dokumentari khas seni silat disiarkan saluran National Geographic.


SETELAH penerbitan dokumentari Becoming A King dan Smart Tunnel berjaya ditayangkan di 166 buah negara pada tahun lalu menerusi saluran National Geographic Channel International, kini sebuah lagi karya, Fight Masters: Silat bakal menjunjung nama Malaysia ke persada dunia.

Fight Masters: Silat merupakan salah satu daripada dua penerbitan di bawah projek dokumentari Malaysia To The World 2 hasil kerjasama berterusan daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (Finas) dan National Geographic.

Dengan kejayaan Becoming A King dan Smart Tunnel yang bersiaran meliputi 290 juta isi rumah dalam 27 bahasa itu membuatkan dokumentari Fight Masters: Silat bakal mengulangi sejarah sama.

Ditambah subjek seni silat gayong yang dibentangkan dengan indah, maka dokumentari yang diarahkan oleh anak tempatan, Justin Ong itu terlihat sebagai sebuah naskhah istimewa untuk ditonton oleh khalayak terutama bangsa asing.

Menurut Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim, dia menganggap kolaborasi dua hala di antara Finas dan National Geographic itu memberikan banyak kebaikan dalam mengenengahkan dokumentari tempatan kepada pihak luar.

"Dokumentari tidak dinafikan menjadi medium terpenting bagi perkembangan dan pemahaman budaya sesuatu bangsa yang merentasi setiap sempadan dunia.

"Penayangan dokumentari seperti Fight Masters: Silat dan yang lainnya sebelum ini di saluran National Geographic diharap mampu membangunkan industri dokumentari Malaysia," katanya ketika bercakap pada majlis pelancaran dokumentari berkenaan di Finas, Hulu Kelang baru-baru ini.

Turut hadir ialah Timbalan Ketua Setiausaha Kebudayaan, Datuk Mohammed Mohd. Daud, Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong dan Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin.

"Dokumentari Fight Masters: Silat ini berperanan sebagai visual atau gambaran sebenar tentang seni mempertahankan diri yang diamalkan oleh orang Melayu sejak berabad lamanya.

"Dalam waktu sama, dokumentari ini juga dapat memperlihatkan uniknya silat gayong selain kung fu dan taekwando yang sering dipaparkan di kaca televisyen sebelum ini.

"Lantaran itu, saya percaya dokumentari Fight Masters: Silat ini menjadi sebuah karya yang menarik untuk ditonton oleh khalayak yang pelbagai," jelasnya penuh bersemangat.

Dokumentari Fight Masters: Silat yang mengambil waktu selama setahun untuk disudahkan sebelum ditayangkan di kaca televisyen seluruh dunia itu menampilkan jalan cerita tersendiri dan pastinya mampu memukau setiap mata yang menontonnya.

Dokumentari berkenaan menceritakan mengenai seorang tentera Amerika Syarikat, Joel Champ, 32, yang menghabiskan masa selama 14 tahun mengkaji dan mempelajari silat gayong bagi mendapatkan tali pinggang hitam dengan tiga garisan.

Jejaka tinggi lampai itu terpaksa berdepan dengan pelbagai rintangan sebelum dia mencapai impian yang dihajati untuk bergelar pesilat seni gayong yang bertauliah.

Untuk mengetahui lebih lanjut apakah yang bakal terjadi kepada Joel yang memiliki angan-angan tinggi melangit itu, jangan lupa untuk menyaksikan dokumentari Fight Masters: Silat yang pastinya tidak menghampakan anda.

Dokumentari itu bakal ditayangkan secara eksklusif sempena Hari Kemerdekaan ke-52 pada hari ini, pukul 9 malam di saluran National Geographic Asia dan di saluran Astro 553. - FAIZAL SAHARUNI

No comments: