Tuesday, August 25, 2009

80,000 di Dataran Dungun

80,000 di Dataran Dungun

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

ANCAMAN virus H1N1 tidak dapat menghalang keinginan warga Dungun, Terengganu untuk berkumpul dan menyaksikan Konsert Gempak Gegar Bersama One Drop Perfumes baru-baru ini.

Mungkin kerana sudah lama tiada penganjuran konsert di daerah tersebut, mendorong lebih 80,000 penonton membanjiri Dataran Dewan Merdeka bagi memeriahkan konsert anjuran stesen radio THR Gegar.

Malah, berbanding persembahan pertama di Kuantan, Pahang pada 8 Ogos lalu, kehadiran penonton pada malam tersebut meningkat dua kali ganda.

Melihat jumlah penonton tersebut, ternyata pengaruh stesen radio No. 1 di Pantai Timur itu dan pengedar wangian tempatan, One Drop Sdn. Bhd. (One Drop), tidak dinafikan cukup besar.

Lagi pula artis yang ditampilkan bukanlah calang-calang. Nama Amy (Search) dan Saleem (Iklim) sudah cukup membuat peminat teruja.

Persembahan malam itu dibuka dengan persembahan artis solo, Fazli Zainal yang mendendangkan lagu popularnya Harapan dan Kalbu. Ia kemudian disusuli dengan persembahan Ezlynn yang menyanyikan lagu hit, Hi Hi Bye Bye dan Jikalau Aku.

Sorakan penonton bertambah hangat apabila Azharina menaiki pentas untuk mendendangkan lagu Elegi Sepi dan Rawan.

Kemunculan kumpulan Khalifah menambah kehangatan apabila penonton turut bersama menyanyikan lagu Khalifah dan Saiba.

Artis kelahiran Terengganu, Saleem membuat kemunculan yang dinantikan peminat apabila berduet dengan vokalis kumpulan, Khalifah mendendangkan lagu popular kumpulan Jinbara, Kasihnya Laila.

Sebaik bekas penyanyi kumpulan Iklim itu meninggalkan pentas, Khalifah meneruskan persembahannya dengan lagu Cintaku Dewi Kamala.

Para penyampai radio THR juga tidak melepaskan peluang menghiburkan penonton dengan persembahan tarian ala Bollywood oleh Nasa, Suzana, Nazrin, Ezlyn, Gina, Nadira dan Azaari.

Habis sudah tarian Bollywood, giliran Ramlah Ram untuk menghiburkan peminat dengan lagu popularnya Ketentuan dan Diam Diam Jatuh Cinta.

Penampilan kumpulan AXL yang mendendangkan tiga lagu iaitu Pesanan Rock N Roll, Andai Dapat Ku Undur Masa dan Akulah Kekasihmu turut mendapat sorakan gemuruh.

Saleem sekali lagi menaiki pentas untuk menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Sweet Charity, Kamelia dan Trilogi Cinta.

Meskipun dihujani dengan pelbagai kontroversi, bekas penyanyi kumpulan Iklim itu masih mendapat sambutan hangat di kalangan peminat.

Sorakan penonton bertambah kuat apabila Amy Search muncul di atas pentas dengan lagu Tiada Lagi dan Kerja Gila.

Ketika mendendangkan lagu hit kumpulan Search, Isabella, Amy membuat kejutan apabila membawa naik dua anaknya ke atas pentas sambil meminta penonton menyanyi bersama.

Tiba di penghujung konsert, kehangatan semakin terasa dengan persembahan rancak daripada kumpulan Kristal dengan lagu Gembira Hidup dan Memburu Impian.

Kumpulan itu kemudiannya meneruskan persembahan mereka dengan lagu medley Zunika dan Keindahan Pantai sebelum konsert berakhir pada pukul 12 tengah malam.

Menurut Penolong Pengurus Program THR Gegar, Azhari Atan, kehadiran penonton yang ramai membuktikan bahawa stesen radio THR Gegar mempunyai ramai peminat di Pantai Timur.

Pengarah Urusan One Drop, Josafri Johari berkata, konsert itu menjadi medan terbaik untuk mempromosikan produk One Drop.

Selain itu, pendengar setia stesen radio itu juga dapat bersua dengan deejay-deejay kesukaan mereka.

No comments: