Tuesday, August 25, 2009

Dokumentari Finas ditonton 290 juta penonton

Dokumentari Finas ditonton 290 juta penonton


Dari kiri: Wong Kam Hoong, Mohd. Mahyidin Mustakim, Mok Choy Lin dan Basil Chua pada majlis pelancaran dokumentari terbaru terbitan Finas dan NGCI, Fight Masters: Silat di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.


USAHA Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerbitkan dua filem dokumentari berjudul Becoming A King dan Smart Tunnel pada tahun lalu merupakan langkah jangka panjang yang bijak serta menguntungkan negara.

Dua dokumentari yang diterbitkan dengan kerjasama saluran televisyen (TV) National Geographic Channels International (NGCI) itu misalnya, telah memperkenalkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong berkata, filem dokumentari itu juga mempunyai aset intelektual yang tinggi nilai komersialnya di mana ia mampu merentasi sempadan dunia dan boleh dikongsi oleh pelbagai bangsa.

"Melalui penerbitan dokumentari Smart Tunnel dan Becoming A King yang telah disiarkan menerusi saluran National Geographic itu, jangkauan siarannya meliputi 290 juta isi rumah dan dialih kepada 27 bahasa.

"Secara total, perkongsian pintar ini memberi faedah besar kepada negara dan rakyat daripada segi pasaran serta pendedahan. Dengan cara ini, budaya dan cara hidup masyarakat kita dapat didedahkan kepada para penonton di seluruh dunia.

"Ia sekali gus membuka ruang kepada filem-filem lain untuk ke pasaran antarabangsa," katanya pada majlis pelancaran dokumentari terbaru terbitan Finas dan NGCI berjudul Fight Masters: Silat di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Kam Hoong, usaha sama Finas dan NGCI itu juga secara tidak langsung mampu menjana kepada peningkatan imej dan tahap profesionalisme di kalangan karyawan filem tempatan daripada sudut amalan kerja, pengetahuan serta kemahiran.

Dokumentari Becoming A King memaparkan upacara di sebalik pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, manakala Smart Tunnel pula mengisahkan pembinaan terowong untuk laluan jalanraya dan alternatif ketika banjir di Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah National Geographic Asia, Basil Chua, Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin serta Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.

Sementara itu, Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis itu turut mengumumkan Finas akan terus bekerjasama dengan NGCI bagi menerbitkan dokumentari keempatnya berjudul Great Apes of Asia yang akan ditayangkan sama ada pada hujung tahun ini atau tahun depan.

Selain berkongsi pengalaman dan kepakaran penerbitan dokumentari bersama NGCI, Finas juga katanya, berharap usaha itu akan membantu mengembangkan lagi budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Justeru sokongan yang diberikan oleh kerajaan melalui Finas adalah manifestasi kepada Dasar Perfileman Negara yang memfokuskan kepada pembangunan industri filem Malaysia secara holistik dan kolektif.

"Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-52, tayangan dokumentari Fight Masters: Silat ini merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana penerbitannya melibatkan karyawan-karyawan tempatan yang secara tidak langsung menjana kualiti bertaraf dunia," ujarnya.

Dokumentari Fight Masters: Silat arahan Justin Ong itu akan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran National Geographic di Astro saluran 553 pada 31 Ogos ini pukul 9 malam di mana ia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Ia mengisahkan seorang warga Amerika Syarikat, Joel yang berkunjung ke Malaysia bagi mempelajari seni silat Melayu seperti Gayung selain memaparkan tentang teknik-teknik serta kesan daripada pertarungan yang membabitkan seni mempertahankan diri tersebut.

No comments: