Tuesday, August 25, 2009

Salina akui kurang popular

Salina akui kurang popular


SALINA menggenggam Anugerah Pembantu Pelakon Wanita Terbaik pada FFM22.


LAKONAN aktres yang berstatus ibu beranak satu ini tidak harus dipertikaikan sementelah, anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) sudah menjadi miliknya.

Namun, apa yang menjadi persoalan kenapa baru kini bakat pelakon Salina Saibi mula meraih perhatian sedangkan usia penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah lapan tahun. Bahkan sudah lebih 100 buah drama pernah menggunakan khidmatnya.

Salina yang ditemui pada majlis FFM22 baru-baru ini juga tidak mempunyai jawapan kepada persoalan itu. Katanya anugerah yang diterima hasil lakonannya dalam filem Bohsia, merupakan satu kejutan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Saya pun tidak tahu kenapa saya tidak berapa dikenali, apa yang saya tahu saya berlakon kerana minat dan untuk mencari rezeki. Populariti saya tolak ke tepi dan kurangnya publisiti mungkin antara punca diri saya kurang menyerlah berbanding pelakon lain," ujarnya.

Terpilih sebagai pemenang bagi kategori yang disaingi oleh pelakon-pelakon popular dan lebih senior seperti Norkhiriah, Vanidah Imran, Adibah Nor dan Scha, Salina menganggap ia satu hadiah yang tidak terhingga buatnya.

Tambah Salina lagi, saat dia belum lagi bangun daripada kejutan apabila tercalon dalam FFM22 buat pertama kali, dia telah menerima satu lagi kejutan apabila diumum sebagai pemenang.

"Sebenarnya semasa nama saya tercalon dalam FFM22 saya tidak boleh tidur tiga malam dan sememangnya tidak jangka langsung akan menang.

"Saya melihat diri saya antara nama paling tidak popular berbanding nama pelakon yang lain tetapi apabila nama diumumkan saya bagai tidak percaya. Alhamdulillah orang mula nampak bakat saya," katanya.


SALINA di samping suami, Azmir dan anak mereka Farah Syakira semasa temu bual bersama sisipan Pesona Kosmo!.


Rezeki Anak

Selain lakonan mantap sebagai Amy dalam filem arahan Syamsul Datuk Yusof itu, Salina mengakui sejak mendirikan rumah tangga bersama pasangannya Azmir Osman, 46, dan dikurnia cahaya mata Farah Syakira, 4 bulan, rezekinya semakin mencurah-curah.

"Saya anggap ini rezeki anak dan berkat perkahwinan. Sebelum ini orang tidak kenal saya, tetapi sebaik sahaja saya berkahwin, tawaran berlakon filem buat pertama kalinya hadir, meskipun ketika itu saya sudah bergelar status isteri. Menariknya watak yang diberikan kepada saya adalah seorang bohsia.

"Banyak juga yang cakap sudah kahwin nak berlakon lagi watak sebegitu sedangkan sebelum kahwin pun saya sering diberi watak jahat sahaja. Tetapi semuanya berbaloi apabila saya menang anugerah ini," bicaranya lagi.

Meskipun banyak tawaran lakonan yang diterimanya, kerisauan tetap bersarang dalam hati wanita berusia 27 tahun ini tentang mitos tradisonal yang konon pelakon wanita yang berkahwin kurang tawaran lakonan tambahan pula orang yang tidak popular sepertinya.

"Mulanya saya bimbang juga bila kahwin tawaran lakonan semakin kurang, tetapi syukur kemenangan ini telah membuka mata saya sendiri dan pihak lain serta berharap bakat saya lebih dihargai selepas ini.

"Selepas filem Bohsia ada beberapa tawaran filem yang datang tetapi masanya pula tidak kena kerana masa itu masih dalam pantang saya anggap sahaja tidak ada rezeki.

"Saya pun kalau boleh tidak berjauhan dengan anak dalam tempoh yang lama kerana anak masih kecil," ulasnya yang pernah berlakon dalam drama bersiri popular Gerak Khas.

Walaupun telah mencacat sejarah sebagai penerima anugerah dalam FFM 22, Salina menjelaskan dia langsung tidak terbeban dengan anugerah yang diterimanya.

Malahan, anugerah tersebut bukan penyebab untuknya menjadi semakin selektif dalam memilih tawaran drama mahupun filem kelak.

"Saya tidak rasa terbeban sebaliknya seronok dan menjadikan ia sebagai motivasi untuk saya lakukan yang terbaik pada masa akan datang.

"Selain itu, saya juga tidak akan berubah. Mana-mana tawaran yang datang saya akan menerimanya asalkan kena dengan waktu dan jadual saya. Maklumlah saya ada anak kecil," katanya dalam tawa.

Bagaimanapun, dalam nada kegembiraan itu, Salina berharap agar ada perubahan daripada penerimaan masyarakat terhadap bakat dan dirinya.

"Saya harap selepas ini perjalanan saya dalam dunia seni akan berjalan lebih lancar dan saya amat berharap akan memperoleh watak yang berbeza dari apa yang sering lakonan sebelum ini.

"Kiranya, jika pihak penerbit tahu akan bakat saya, mungkin mereka boleh lebih bereksperimen dengan kebolehan lakonan yang saya miliki," luahnya yang semakin bosan dengan watak hitam yang sering dilempar kepadanya.

No comments: