Tuesday, August 25, 2009

Era baru Istana Budaya

Era baru Istana Budaya


PEMENTASAN Muzikal Tun Abdul Razak turut diminati ramai.


ISTANA Budaya (IB) yang ditubuhkan pada tahun 1999 menjadi medan buat karyawan seni tempatan dan antarabangsa mementaskan karya masing-masing.

Dalam tempoh sedekad itu, IB telah memperlihatkan peranannya dalam usaha menganjak seni persembahan seperti teater dan muzikal ke suatu tahap yang membanggakan di negara ini.

Di bawah pentadbiran Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani, IB pantas mengorak langkah sehingga hampir setiap bulan ada saja pementasan besar memenuhi kalendar pusat kesenian negara itu.

Pada satu pertemuan dengan wartawan ABD. AZIZ ITAR, Mohamed Juhari berkongsi perancangan beliau untuk meletakkan IB ke peta dunia dan sekali gus membantu karyawan seni tanah air berkongsi aspirasi seni mereka dengan masyarakat.

HITS: Bagaimana dengan pencapaian program setengah tahun musim 2009 IB sehingga kini?

MOHAMED JUHARI: Alhamdullillah IB telah mencapai sasaran untuk setengah tahun musim 2009. IB amat berterima kasih kepada khalayak yang telah memberi sambutan yang amat baik untuk enam bulan program musim 2009.

Pencapaian ini sangat membanggakan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama musim 2008.

Sehingga Jun 2009 IB berjaya menarik 84,119 penonton. Sasaran penonton untuk Musim 2009 ialah 110,000.

Manakala kutipan tiket yang dicatat sehingga 31 Jun 2009 berjumlah RM4,789,173.25.

IB menjangkakan akan mencapai sasaran Prestasi Indeks Utama (KPI) jika dilihat daripada kutipan tiket dan sasaran jumlah penonton akan berterusan bagi program bulan Julai hingga Disember 2009.

Kenyataan di atas tidak termasuk program-program IB yang lain seperti persembahan konsert orkestra di negeri-negeri, program Istana Budaya di luar panggung Istana Budaya dan juga program Laman Santai yang menjadi sangat popular di kalangan warga kota yang boleh mengumpulkan pengunjung seramai 300 - 500 orang setiap hari Sabtu malam minggu.

Apakah perubahan yang dibawa oleh IB dalam memberikan tema-tema kepada program-program sepanjang Januari hingga Jun musim 2009?

MOHAMED JUHARI: Ternyata perubahan yang dilakukan membawa kepada suatu era baru daripada segi sambutan khalayak kepada program-program di IB.

Program bertema seperti Muzikal Puteri Gunung Ledang sempena Hari Kekasih, Sirah Junjungan sempena Maulidur Rasul, Muzikal Mahsuri sempena Hari Wanita, Konsert Black Dog Bone Bersama Jay Jay dan Rahim Othman Sempena Hari Ibu, Mana Setangginya yang mengisi slot Naskah Sasterawan Negara serta Konsert Satu sempena Hari Bapa Datuk Siti Nurhaliza mendapat sambutan luar biasa.

Konsert Alam Muzik M. Nasir dan Muzikal Prince Siddharta juga mendapat sambutan yang amat membanggakan.

Kebanyakan persembahan di atas kehabisan tiket sebelum hari persembahan dan ini merupakan suatu fenomena baru kepada IB.

Ini memperlihatkan perubahan khalayak yang bersedia membeli tiket lebih awal sebelum hari pementasan.

Perkembangan memberangsangkan itu bukan sahaja kepada pementasan di Panggung Sari, malah pementasan di Lambang Sari juga memberi kejutan dengan kehabisan tiket sebelum hari persembahan untuk persembahan Kumpulan Butterfingers dan teater Mimpi.

Suatu yang amat membanggakan Istana Budaya ialah kehabisan tiket produksi teater tradisional Mak Yong Raja Senyanya.

Ini memperlihatkan teater tradisional mempunyai khalayak tersendiri.

Suatu pendekatan baru yang disarankan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar menjual tiket-tiket di sekolah-sekolah dalam usaha membangun khalayak remaja ke IB telah memberikan impak yang sangat baik.

Terdapat 110 buah sekolah dari seluruh Malaysia datang menonton produksi IB iaitu teater Mahsuri dan teater Mana Setangginya dengan menggunakan kaedah ini.

Ini memberi petanda baik bagi pembangunan khalayak terutama di kalangan golongan remaja untuk meminati persembahan teater pada masa hadapan.

IB juga mengadakan penjenamaan semula program-program muzik dalam usaha memperkenalkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang memberi hasil positif terutama kepada golongan khalayak remaja.

Apakah program-program di IB selepas Jun bagi musim 2009?

MOHAMED JUHARI: Muzikal The Merchants of Bollywood baru sahaja selesai dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Begitu juga Konsert Nada Biru yang menampilkan Noryn Aziz dan Atilia pada 30 hingga 31 Julai 2009 juga mendapat sambutan.

Konsert Jamal……..Kembara Seniman juga telah menemui khalayak pada 5 hingga 9 Ogos lalu. Ini diikuti teater sempena Hari Kemerdekaan iaitu Muzikal Tun Razak juga telah dipentaskan pada 16 hingga 20 Ogos lalu lakonan Rashidi Ishak dan Fauziah Latif di bawah arahan Datuk Rahim Razali.

IB akan menjalankan penyenggaraan pentas sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan pentas berada dalam keadaan baik untuk program-program di masa akan datang.

Teater Gamat di bawah arahan Zaifri Husin akan menemui khalayak bermula 2 hingga 8 Oktober ini yang akan memperlihatkan persembahan yang berlainan kerana jalan ceritanya berkisar kepada kehidupan laut.

Muzikal Cuci yang akan berlangsung pada 23 Oktober hingga 8 November ini pula akan menjanjikan sebuah persembahan yang mantap.

Bagi mengisi program musim cuti persekolahan, pementasan teater muzikal Natrah akan diadakan dari 17 hingga 24 November ini.

Sebagai program penutup tahun 2009, Yayasan Warisan Johor akan membawa Gema Zapana pada 25 hingga 29 Disember ini.

IB dilihat gemar menampilkan bintang-bintang besar dan popular dalam kebanyakan pementasan. Kenapa hal ini berlaku?

MOHAMED JUHARI: Hal ini tidak dapat dinafikan tetapi sudah menjadi lumrah di mana-mana pementasan di seluruh dunia termasuk di West London dan Broadway New York.

Dalam lawatan kerja ke New York dan London baru-baru ini, saya dapat dilihat nama-nama besar seperti Jean Fonda, Rowand Atkinson dan Richard Dreyfuss beraksi dalam pementasan teater.

Bintang-bintang popular menjadi faktor penarik kepada penonton remaja untuk menonton pementasan di IB.

Secara tidak langsung ini dapat menanamkan sifat suka menonton kepada golongan remaja yang penonton remaja yang akan mengisi panggung IB pada masa hadapan.

Lazimnya khalayak akan bertanya siapa pelakon utama sebuah pementasan. Ini menjadi salah satu sebab mengapa hal ini dititikberatkan dalam usaha menarik khalayak ke IB.

Difahamkan Muzikal Cicak-Man menarik diri disebabkan tiada penaja. Adakah ini amemberi tekanan kepada pihak IB?

MOHAMED JUHARI: IB faham situasi yang dihadapi oleh pihak KRU Productions dalam mendapatkan penajaan. Namun penarikan diri dalam jangka waktu yang agak panjang memudahkan IB untuk mendapat program gantian yang bertemakan musim cuti sekolah.

Ini kerana terdapat program-program yang menunggu giliran sekiranya terdapat kekosongan ruang di Panggung Sari IB.

Jika segalanya berjalan lancar, masyarakat Malaysia akan dapat menonton sebuah muzikal antarabangsa yang sangat popular di kalangan remaja dunia bertandang ke IB.

Kami masih menanti kelulusan. Ia juga masih dalam peringkat perbincangan.

Ini kerana muzikal ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Sekiranya pementasan ini berjaya dibawa, IB akan kembali meriah sepanjang bulan Disember depan dan mengulangi kemeriahan pementasan Mamma Mia! pada musim 2008 lalu.

IB juga memberi penekanan kepada persembahan antarabangsa. Apa pentingnya persembahan antarabangsa sebagai pengisian program di IB?

MOHAMED JUHARI: Memang benar IB memperuntukkan 30 peratus persembahan tahunan kepada persembahan antarabangsa.

Kepentingan persembahan antarabangsa kerana dapat menarik khalayak dan sentiasa mendapat permintaan yang sangat baik.

Impak untuk melihat gagasan 1Malaysia dengan penglibatan khalayak berbagai kaum menonton bersama amat jelas dapat dilihat dalam pementasan antarabangsa.

Agak sukar pementasan tempatan dapat mengumpul penonton berbilang kaum.

Persembahan antarabangsa juga memberi peluang kepada perpindahan teknologi kerana banyak persembahan yang dibawa oleh syarikat produksi luar dapat memberi latihan serta memberi pendedahan baru kepada Bahagian Teknikal dan Artistik IB.

Di samping itu ia juga memberi pendedahan kepada warga kerja IB dan memberi pendedahan baru kepada masyarakat Malaysia. Persembahan antarabangsa juga dapat meletakkan IB dalam peta pementasan persembahan-persembahan bermutu tinggi dan ini memberi imej yang sangat baik kepada IB dan juga Malaysia kerana mempunyai pentas yang bertaraf dunia.

Apa manfaat yang diperolehi oleh IB sebagai dewan persembahan dengan gabungan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan?

MOHAMED JUHARI: Penggabungan ini memberi banyak manfaat kepada program-program IB terutamanya dari segi memasarkan program dalam media elektronik terutama sekali dalam siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Di samping itu juga, program Laman Santai yang sangat popular di kalangan warga Lembah Klang pada setiap malam Sabtu telah menemui khalayak di RTM1 pada siaran langsung setiap dua minggu.

Sejak penggabungan ini juga, banyak program bukan saja dikendalikan oleh pihak IB tetapi oleh agensi-agensi lain di kementerian ini lebih mudah mendapat siaran langsung.

Ini memberi peluang kepada pendedahan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian kepada masyarakat dengan lebih meluas.

Apakah peranan IB dalam menyahut gagasan 1Malaysia?

MOHAMED JUHARI: Dalam menyahut gagasan Pedana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam masa terdekat akan dilancarkan Orkestra Tradisional Malaysia.

Penubuhan orkestra ini amat menepati dengan gagasan 1Malaysia kerana ia menggabungkan muzik pelbagai kaum dengan pendekatan menyamai penubuhan sebuah orkestra moden.

Pementasan-pementasan lain di IB selepas Jun 2009 juga akan mengangkat isu-isu serta mementingkan pendokong watak pelbagai kaum dalam usaha mencapai gagasan 1Malaysia.

Bagi pengisian program Musim 2010, syarikat-syarikat yang berminat dipelawa membawa program yang boleh mencapai hasrat gagasan ini.

Apakah kekecewaan yang dapat dikongsi oleh IB sebagai organisasi pementasan yang terulung di Malaysia?

MOHAMED JUHARI: Perkara pertama yang memberi kekecewaan yang amat sangat kepada IB mungkin agak klise tetapi itulah masalah utama bagi memperkembangkan pementasan bermutu tinggi iaitu kekurangan penajaan dari syarikat-syarikat korporat.

IB sedar berlakunya krisis kewangan masa kini namun apa yang menyedihkan pementasan antarabangsa masih lagi mendapat penajaan.

Amat menyedihkan pementasan tempatan tidak mendapat layanan daripada syarikat-syarikat gergasi. Yang sedihnya, ada syarikat yang lebih berminat menaja pementasan antarabangsa dan tidak tempatan.

Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain. Syarikat-syarikat korporat di luar negara membantu pementasan tempatan dan antarabangsa.

Satu lagi kekecewaan ialah kurangnya pementasan antarabangsa mengisi program Musim 2009. IB sedia maklum ini mungkin berlaku kerana berlakunya kegawatan ekonomi. IB belum mencapai sasaran 30 peratus pengisian antarabangsa bagi musim ini.

IB juga amat kecewa dengan khalayak yang tidak menghormati peraturan. Hal ini amat memalukan dan memperlihatkan masyarakat Malaysia yang masih lagi amat kurang berdisiplin dalam mematuhi peraturan.

Ini termasuk pengambilan gambar dan membuat rakaman dari telefon bimbit kepada program-program di IB meskipun telah dimaklumkan sebelum setiap persembahan berlangsung.

Ini memperlihatkan ada penonton yang tidak menghormati hak cipta karyawan. Baru-baru ini IB terjumpa alat rakaman yang sangat kecil tercicir dari kerusi penonton dan hasil dari perjumpaan itu terdapat rakaman yang dibuat kepada persembahan yang berlangsung.

Perkara ini tidak pernah berlaku sekiranya kita menonton di Broadway New York atau West End London.

Peraturan lain seperti membawa kanak-kanak bawah umur dan etika pakaian sering menjadi pertelagahan antara khalayak dan penyambut tetamu IB.

Apakah persiapan Istana Budaya untuk program-program musim 2010?

MOHAMED JUHARI: Dalam kesempatan ini, IB masih lagi mengalu-alukan permohonan daripada syarikat-syarikat produksi yang berminat untuk menghantar proposal (kertas cadangan) program dalam semua bidang kesenian untuk disaring oleh Panel Penilai Kementerian.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Ogos ini. Istana Budaya memberi keutamaan program-program yang menjurus kepada gagasan 1Malaysia sebagai sokongan kita kepada pimpinan Perdana Menteri kita.

No comments: