Friday, August 14, 2009

Amanda berjiwa besar

Amanda berjiwa besar


AMANDA IMANI


MELIHAT kepada pendatang baru ini, mungkin ada yang bertanya sejauh mana Amanda Imani ini boleh bertahan dalam industri hiburan tempatan.

Mungkinkah dia akan menerima nasib seperti kebanyakan artis baru yang malap walaupun baru sahaja hadir dengan dua tiga buah lagu?

Jangan sesekali anda memandang sebelah mata kepada si cantik ini kerana semangatnya lain daripada yang lain.

Sejak kecil, Amanda Imani sentiasa berusaha yang terbaik dalam apa sahaja yang dilakukannya. Tiada istilah berputus asa jauh sekali kerja separuh jalan dalam kamus hidupnya.

Bakat Amanda besar, sebesar semangat kentalnya. Selain boleh menyanyi dengan baik, Amanda juga menulis lirik dan menghasilkan sendiri kebanyakan lagu dalam albumnya, Amanda Imani, yang bakal dipasarkan oleh Universal Music Malaysia pada hari Raya Aidilfitri nanti.

Dia boleh menyanyi dengan baik, mencipta lagu dan menulis lirik, mahir bermain piano dan gitar, menguasai tarian ballet, tarian moden dan tarian tap. Dia juga memiliki tali pinggang hitam dalam taekwando dan beberapa aktiviti lasak di peringkat antarabangsa.

Amanda yang berusia 18 tahun juga memiliki syarikat produksinya sendiri, Amanda Imani Productions!

Mendengar kepada dua singlenya, Selamilah Cinta dan I'm Free, ternyata gadis serba boleh dari Kuala Lumpur ini boleh pergi jauh.

Dengan suaranya yang lunak dan konsep muziknya yang menggabungkan unsur pop, jazz dan soul mirip konsep muzik di Barat , Amanda lain daripada artis lain.

Yang menariknya, meskipun baru saja diputarkan stesen radio, Selamilah Cinta mula tersenarai dalam carta popular beberapa stesen radio.

Berani untuk menjadi lain, Amanda bukannya kosong ketika dalam proses merakamkan albumnya.

Dia mempunyai ideanya sendiri, dibantu oleh mentornya, Ajai, dalam penghasilan album sulungnya itu.

"Saya mempunyai idea yang berbeza. Untuk album ini, saya menggabungkan konsep muzik Christina Aguilera, Joss Stone dan Alicia Keys.

"Saya juga menggemari muzik country seperti yang dibawa oleh Taylor Swift. Tak ramai artis kita yang membawa konsep begini," ujar penyanyi muda ini dalam satu pertemuan dengannya baru-baru ini.

Tambahnya, album yang mengambil namanya sendiri sebagai judul menampilkan 12 lagu. Apa yang menariknya, enam lirik dalam album ini ditulisnya sendiri.

Album ini katanya, menampilkan enam buah lagu dalam bahasa Inggeris manakala enam buah lagi dalam bahasa Melayu.

Selain itu, dia juga menulis lirik untuk enam buah lagu bahasa Inggeris dan Melayu. Selain cuba mengetengahkan bakat dalam nyanyian, saya juga mahu mencuba bidang penulisan lirik.

"Bagi saya, tidak salah jika kita mencuba mencari pengalaman. Saya harap, percubaan pertama dapat diterima pendengar.

"Klip video I'm Free dan Selamilah Cinta telah dihasilkan. Malah, Ajai turut muncul dalam klip video I'm Free manakala menerusi lagu Selamilah Cinta, Samuel Rizal menjadi pelakonnya," katanya.

Walaupun album pertamanya masih belum dipasarkan, Amanda kini sibuk dalam menghasilkan lagu untuk album keduanya pula yang sepenuhnya berbahasa Inggeris pula.

"Saya tahu pasaran album bahasa Inggeris agak susah untuk dipasarkan di sini, tetapi saya ingin fokus kepada penggemar muzik yang urban, pasaran luar negara seperti Singapura dan juga muat turun secara digital," tambahnya.

Pelajar semester ketiga Ijazah Sarjana Muda Psikologi dan Komunikasi dari Kolej SEGi ini juga mempunyai aspirasi yang besar dalam muzik yang dibawanya.

Amanda tidak mahu sekadar menjadi artis yang sekadar menyanyi dan mengutamakan kewangan sahaja, dia mahu dikenali sebagai artis yang mengambil berat tentang alam sekitar, keamanan dunia dan kebajikan masyarakat.

Dia kini dalam perancangan untuk mengadakan konsert amal untuk mencari dana untuk diserahkan kepada rumah kebajikan.

"Buat masa ini semuanya masih dalam perancangan dan saya sedang mencari pihak penaja dan rumah kebajikan yang sesuai," tambah gadis tinggi lampai ini lagi.

No comments: