|
|
Hakikatnya, kumpulan Seventeen sudah lama ditubuhkan iaitu pada tahun 1999 dan selama itu juga mereka dikenali di negara asal.
Single hits mereka Selalu Mengalah dan Untuk Mencintaimu dari album Lelaki Hebat juga telah lama dipasarkan di Indonesia iaitu pada awal tahun 2008 dan baru popular di sini.
Enggan mengalah dengan rakan seangkatan mereka yang sudah lama menembusi pasaran Malaysia, Seventeen yang terdiri daripada Ifan (vokal), Yudi (gitaris), Herman (gitaris), Bani (pemain bass) dan Andi (pemain drum) hadir ke Malaysia mempromosikan album ketiga mereka, Lelaki Hebat.
Setelah lebih sedekad dan selepas menghasilkan tiga buah album, baru kini Seventeen berpeluang memasarkan album di Malaysia.
Persoalannya tidakkah mereka rasa terlalu lambat untuk mengembangkan sayap di negara ini?
Menurut Ifan atau nama sebenar Riefian Fajarsyah selaku vokalis, niat untuk menembusi pasaran Malaysia memang sudah lama ada cuma baru sahaja berkesempatan untuk terbang ke sini untuk mempromosikan album ketiga mereka.
“Kami tidak pernah rasa terlewat. Yang pentingnya kami diterima dan berharap rakyat Malaysia menyokong muzik yang kami bawa.
“Saya mewakili kumpulan Seventeen mengharapkan agar kami dapat diterima dengan hati terbuka oleh peminat di negara ini," ujarnya ketika ditemui pada majlis pelancaran album dan MTV Karaoke Lelaki Hebat baru-baru ini.
Album Lelaki Hebat yang dipasarkan oleh Life Records turut dipasarkan dalam format MTV/ Karaoke yang memuatkan klip video anggota kumpulan itu sendiri.
Album Lelaki Hebat yang menampilkan lagu-lagu seperti Untuk Mencintaimu, Jalan Terbaik dan Cinta Tak Bertuan mula dipasarkan sejak 3 Mac lalu.
Revolusi Seventeen
Seventeen ditubuhkan pada 17 Januari 1999 dan mula dikenali dengan album pertama mereka, Bintang Terpilih.
Mereka kemudian lahir dengan album kedua mereka pada tahun 2005, Sweet Seventeen
Tahun lalu, Seventeen melakukan perubahan pada aspek muzik yang lebih segar dan matang. Seventeen juga menukar vokalisnya yang baru iaitu Ifan yang menggantikan Doni.
Menurut Yudi, vokal Ifan mempunyai lenggok melayu tetapi turut memiliki unsur rock menawarkan sesuatu yang lebih segar.
“Dari segi muzik, Seventeen tampil dengan lebih matang. Ini terbukti dari bunyi gitar, drum dan bass yang dilihat lebih tersusun berbanding sebelum mereka memasuki muzik arus perdana.
“Perubahan lainnya adalah sentuhan piano dan bunyian baru yang lebih berani di beberapa lagu yang membawa lagu Seventeen pada atmosfera yang baru,” ujar Yudi mewakili kumpulannya.
No comments:
Post a Comment