Friday, August 14, 2009

Atilia: Konsert duit sendiri

Konsert duit sendiri


ATILIA HARON


BIARPUN industri muzik tempatan semakin matang dengan kelahiran karya-karya muzik berkualiti, namun masih lagi ada genre muzik lain kurang diberi perhatian.

Jazz mungkin antara genre muzik yang menjadi mangsa situasi. Ia dikatakan hanya digemari oleh segolongan kecil peminat sahaja terutamanya pendengar dewasa. Walhal hakikatnya, muzik itu tidak pernah meletakkan sebarang had umur atau kelompok golongan.

Jika mendengar kembali muzik yang semakin digemari ramai hari ini, iaitu jenis easy listening, seperti penyanyi Yuna, Zee Avi dan Jason Mraz sebenarnya ia diinspirasikan daripada jazz sendiri.

Bagaimanapun, jazz masih agak sukar untuk mendapat sokongan sepenuhnya daripada pelbagai pihak lebih-lebih lagi daripada stesen radio tempatan.

Ini membuatkan, penyanyi-penyanyi genre ini terkapai-kapai mencari haluan untuk 'menyertai' kerancakan industri muzik kita.

Namun, dalam usaha penyanyi-penyanyi jazz cuba mendapat tempat dalam industri, Noryn Aziz dan Atilia Haron mungkin boleh dikira bertuah kerana nama mereka masih lagi kuat di persada seni.

Cuma, lagu-lagu mereka kurang dikomersialkan di stesen radio mahupun televisyen.


NORYN memberi persembahan sepenuh jiwa.


Kerana itu, dua penyanyi jelita ini bergabung tenaga untuk memulakan misi mendekati peminat muzik tempatan.

"Bila melihatkan perkembangan muzik sekarang seperti tidak seimbang, kami mencari alternatif lain untuk merealisasikan impian kami.

"Jadi, pentas Lambang Sari, Istana Budaya menjadi titik permulaan untuk saya dan Atilia memulakan siri pertama konsert Malam Nada Biru.

"Dalam konsert ini juga kami telah membawakan lagu sendiri kerana inilah masanya untuk kami mempromosikan lagu-lagu yang ada dalam album memandangkan lagu-lagu kami tidak diputarkan di radio," tutur Noryn.

Tambahnya, sungguhpun pentas Lambang Sari tidaklah sebesar Panggung Sari, mereka berpuas hati kerana masih lagi ada tempat untuk penyanyi jazz seperti mereka menunjukkan bakat.

Bayangkan, sungguhpun mempunyai nama yang besar, mereka masih lagi mempunyai masalah tiada tajaan biarpun sekadar mahu menghasilkan sebuah konsert mini.

Lantas Konsert Malam Nada Biru dianjurkan hasil daripada wang persembahan pentas yang dikumpulkan bersama.

Beritahu Atilia, pada awalnya, dia agak terkilan apabila beberapa pihak yang ditemui enggan menaja konsert itu.

"Walaupun tiada penaja, kami tetap kuat untuk menggerakkan konsert ini. Jadi kami mengeluarkan sebanyak RM40,000.

"Alhamdulillah, pelaburan kami tidak sia-sia. Banyak maklum balas yang kami terima serta jumlah penonton yang hadir juga amat memberangsangkan.

"Tahun depan Malam Nada Biru akan mengumpulkan lebih ramai penyanyi berbakat beraksi di pentas ini," katanya.


KONSERT Malam Nada Biru turut dijayakan oleh pemuzik-pemuzik Mujik Majik.


Menyifatkan konsert Malam Nada Biru sebagai projek kawan-kawan, mereka bersyukur kerana konsert tersebut turut dijayakan oleh pemuzik-pemuzik profesional di bawah Mujik Majik yang menampilkan Eric Lee sebagai pengarah muzik yang turut bermain keyboard. Mujik Majik turut terdiri daripada Sze Wan dan Tok Khon (keyboard), Jamie Wilson (gitar), Lewis Pragasam (dram), Steve Thornton (perkusi), Zailan Razak (bass) serta penyanyi latar, Kumpulan Reetz.

Beritahu Atilia, Malam Nada Biru ternyata berbeza dengan persembahannya di kelab kerana konsert ini memberikan perhatian yang lebih daripada penonton.

"Apa yang saya suka mengenai konsert ini, jika di kelab, penonton akan menyaksikan persembahan kami sambil menjamu selera.

"Tetapi di sini, mereka menghayati lagu yang kami bawakan 100 peratus tanpa gangguan lain,"ujar Atilia.

Selain itu, tambah Noryn pula, mereka lebih bebas beraksi tanpa perlu memikirkan apa yang perlu atau tidak perlu dilakukan.

"Dalam persembahan ini, secara tidak langsung, kami dapat mempamerkan dinamik nyanyian secara tersendiri dan suasana persembahan seperti ini membuatkan kami lebih rapat dengan peminat.

"Sebab itu kami berani membawakan 100 peratus lagu kami sahaja tanpa membabitkan lagu-lagu penyanyi lain. Bahkan, luahan ekspresi muzik juga ternyata berbeza berbanding persembahan-persembahan kami yang lain sebelum ini," katanya yang turut memberitahu konsert itu akan diterbitkan dalam bentuk cakera padat digital (DVD) dan album.


TIARA JACQUELINA turut hadir menyaksikan konsert dua penyanyi jelita ini.


Pada malam konsert tersebut, Atilia tampil pada set pertama dengan membawakan lagu terbarunya seperti Leka, Indah, serta rakaman semula lagu popular ibunya, Salamiah Hassan, Gelombang.

Pada set kedua pula, Noryn membawakan lagu-lagu seperti Cerita Cinta, Alam Maya, Make It On My Own, Kembalikan, Lara, I'm Alright dan Bila-Bila Saja.

Pengacara jelita, Sazzy Falak turut terlibat dalam konsert tersebut sebagai pengacara majlis konsert itu.

No comments: