|
|
HITS: Pada ketika ini, apa perasaan Jamal selepas konsert Jamal... Kembara Seniman berjaya menarik perhatian lebih 8,000 penonton?
JAMAL: Paling utama saya bersyukur kepada Allah kerana kesihatan saya berada di tahap yang sangat baik, suara saya juga berada di kedudukan yang terbaik sepanjang enam malam persembahan termasuk malam raptai penuh.
Pada masa yang sama, saya rasa sangat puas dan gembira kerana mampu memikul tanggungjawab beraksi di pentas Istana Budaya (IB).
Sebelum pementasan, ada pihak yang berpendapat, saya sentiasa mengambil mudah usaha mementaskan konsert ini sedangkan tidak ramai yang tahu saya bekerja keras untuk menjadikannya sebagai kenyataan.
Mujur juga ada rakan-rakan rapat yang membantu. Begitu juga dengan pengurusan IB khususnya Ketua Pengarahnya, Abang Joe (Muhammad Juhari Shaarani) yang banyak membantu meringankan beban saya.
Tidak ketinggalan, rakan-rakan saya di Kumpulan Utusan yang muncul sebagai rakan media telah membantu mempromosikan konsert ini.
Begitu juga dengan RTM serta rakan-rakan media lain yang begitu komited membantu saya. Saya harus berterima kasih kepada mereka semua.
Oh ya... ketika ini saya juga mula merindui saat-saat manis beraksi di IB, rindu nak dengar suara sorakan peminat, rindu untuk bertemu wartawan serta melihat wajah rakan-rakan serta ahli keluarga yang datang memberi sokongan buat saya.
Selepas konsert berkenaan sukses, apakah Jamal pernah terfikir yang akhirnya Jamal berjaya menerbitkan sendiri pementasan itu?
SEBAIK berakhir konsert pada malam itu, lama saya termenung dan berfikir bagaimana saya mampu mementaskan konsert yang sudah lama menjadi keinginan dan cita-cita saya.
Mula-mula macam tidak percaya yang saya sudah pun berjaya mengadakan konsert lima malam berturut-turut.
Daripada pengalaman ini, apa yang dapat saya simpulkan ialah konsert ini memberi peluang kepada saya memerah tenaga yang sudah lama tersimpan dalam fikiran saya.
Apa yang menyeronokkan saya juga ialah, idea-idea yang saya curahkan dalam konsert ini tidak pernah difikirkan oleh orang lain. Itu yang menjadi kebanggaan saya.
Pada masa sama, saya juga gembira kerana dapat menggunakan kemudahan-kemudahan yang ada di IB. Ini saya anggap satu rekod baru buat kerjaya seni saya.
Ramai yang ingin tahu apa sebenar cabaran yang Jamal lalui sepanjang konsert itu berlangsung?
CABARAN paling besar yang saya harus harungi sepanjang konsert itu ialah memastikan fokus saya pada persembahan nyanyian dan lakonan tidak tersasar khususnya pada segmen pertama iaitu teater muzikal.
Semua orang tahu, itulah percubaan pertama saya menggabungkan lakonan dan nyanyian dalam satu masa dan ia benar-benar mencabar kewibawaan saya.
Dan pada malam ketiga persembahan pula, saya berhadapan dengan tekanan baru iaitu saya seperti 'kehilangan' suara. Saya dapat rasakan suara saya semakin parau.
Ketika itu, saya mula bimbang. Saya risau peminat akan hampa bila menyaksikan persembahan saya merosot.
Namun begitu, Alhamdulillah, kesemua kebimbangan saya hilang apabila melihat kehadiran audiens yang memberi sokongan luar biasa pada saya.
Mungkin Jamal juga mahu berkongsi dengan pembaca Hits dan peminat Jamal apa agaknya reaksi bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad dan isteri, Tun Dr. Siti Hasmah Mohd Ali selepas menonton konsert Jamal pada malam terakhir?
PERTAMA kali saya ingin merakamkan penghargaan kepada Dr. Mahathir dan Dr. Siti Hasmah kerana sudi hadir memberi sokongan buat saya.
Dr. Mahathir ada bertanya saya bagaimana saya kekalkan stamina beraksi. Saya katakan pada beliau, yang saya begitu mengambil berat aspek pemakanan selain mengamalkan senaman setiap hari.
Dr. Siti Hasmah pula menyatakan rasa terima kasih kepada saya kerana menyampaikan dua buah lagu kegemaran beliau iaitu Kehebatan Cinta dan Tidurlah Permaisuri.
Saya sangat terharu menerima kehadiran mereka berdua. Begitu juga dengan keberangkatan Sultanah Kedah serta kehadiran beberapa menteri kabinet lain dan beberapa tetamu kenamaan.
Apa pula perancangan Jamal selepas ini?
DALAM fikiran saya sudah ada dua idea yang akan saya laksanakan tahun depan. Saya juga masih mahu bekerjasama dengan IB.
Kedua-dua idea itu ialah mengadakan konsert legenda. Konsert legenda yang saya maksudkan ialah menyampaikan lagu-lagu penyanyi legenda tanah air dalam versi saya.
Sementara, satu lagi idea yang mahu saya laksanakan ialah menerbitkan program TV yang dirakamkan di IB menggunakan dewan Lambang Sari.
Saya sudah ada konsepnya dan akan saya kemukakan kepada stesen TV serta pihak IB untuk dipertimbangkan oleh mereka.
Nampaknya Jamal begitu teruja untuk meneruskan kerjasama dengan IB?
SAYA sangat senang bekerjasama dengan pihak IB. Ketua Pengarahnya seorang yang meminati seni, para pegawai dan kakitangan IB juga mahir dengan kerja mereka.
Bahkan, apa yang menggembirakan saya juga ialah IB mendapat sokongan yang sangat luar biasa daripada pihak media. Itu membuatkan saya mahu meneruskan kerjasama pada masa depan.
Harap-harap pihak IB juga mahu bekerjasama dengan saya.
Mungkin dalam masa terdekat ini Jamal mahu mengambil kesempatan berehat seketika selepas penat bekerja?
KALAU mahu berehat pun saya hanya boleh bercuti di sini (Kuala Lumpur) sahaja sebab saya kena beri tumpuan pada kes peribadi saya di mahkamah pula.
No comments:
Post a Comment