FESTIVAL Filem Malaysia Ke-22 melabuhkan tirai dengan seribu satu cerita di negeri di bawah Bayu Sabah. Dengan rata-rata pembahagian trofi dan anugerah nampak setara apabila Papadom dan Talentime pulang dengan lima kemenangan, beberapa filem lain seperti Setem, Bohsia - Jangan Pilih Jalan Hitam, Cicakman 2 dan Histeria tidak pulang dengan tangan kosong.
Jom ikuti apa kata pemenang selain corat-coret yang sempat dirakamkan wartawan Haryati Karim sepanjang berkampung di Kota Kinabalu.
SALINA SAIBI Pelakon Pembantu Wanita Terbaik (Bohsia)
“Selama lapan tahun bergelumang dalam dunia lakonan dan telah berlakon ratusan drama, ini kali pertama saya berlakon filem, tercalon dan menang anugerah. Mula-mula tercalon pun macam tidak percaya dan memang tidak jangka menang sebab saya bukannya popular.
“Bila menang memang terkejut sangat. Rasa berbaloi apabila semua penat lelah dihargai, saya harap dengan kemenangan saya ini lebih ramai orang sedar akan bakat yang saya miliki,” katanya.
SYED AHMAD FAIZAL Skor Muzik Asal Terbaik (Papadom)
"Sebelum ini saya pernah menang di anugerah Oskar tetapi ini kali pertama saya menang di FFM. Apabila menang pastinya gembira dan terharu kerana hasil kerja dihargai.
"Saya hanya bekerja di belakang tabir tetapi masa majlis anugerah saya buat persembahan bersama Afdlin dan Rashidi dengan lagu tema filem Setem, harap suka dengan hasil kerja saya selepas ini."
ZAHIRIL ADZIM Pelakon Harapan Lelaki (Kami The Movie)
"Saya tidak sangka pertama kali berlakon terus menang anugerah. Saya jangkakan untuk menang sesebuah anugerah selepas dua atau tiga tahun berlakon.
"Alhamdulillah perjalanan seni saya dipermudahkan dan saya gembira serta sedar saya perlu lakukan yang lebih baik kerana anugerah ini umpama motivasi diri saya."
JACYLN VICTOR Pelakon Wanita Harapan (Talentime)
"Walaupun tidak mahu berlakon pada mulanya, tetapi saya mencuba juga yang terbaik. Syukur saya diberi satu anugerah yang saya rasakan cukup besar. Lakonan bidang baru bagi saya, itu satu kejutan apabila menang."
ORKED WAKIL ARWAH YASMIN AHMAD Lakon Layar Terbaik dan Pengarah Terbaik (Talentime)
"Ini yang diimpikan oleh kakak saya. Dia buat filem bukan untuk terima anugerah tetapi untuk menggembirakan hati emak dan abah. Filemnya menonjolkan kehidupan yang sebenar dan menyentuh perasaan.
"Saya berharap semua orang dapat maafkan kesilapan kakak jika dia ada buat silap dan doakan agar rohnya ditempatkan di kalangan orang yang beriman."
GAYATRI SU-LIN PILLAI (PENERBIT EKSEKUTIF TAYANGAN UNGGUL) Papadom/Setem/Histeria
"Kemenangan filem-filem terbitan Tayangan Unggul membuktikan kami memberi kualiti di samping hiburan. Selepas filem Kala Malam Bulan Mengambang, kini tiba giliran Papadom, pastinya saya rasa gembira.
"Harap dengan kejayaan Papadom di FFM22, ia akan meningkatkan keterujaan penonton untuk menonton filem ini yang akan ditayangkan pada 8 Oktober depan."
MARIANI ISMAIL Pelakon Veteran Wanita
"Kalau pun tidak dapat anugerah ini, saya tetap akan berlakon kerana dunia seni sudah menjadi darah daging saya.
"Anugerah ini sepatutnya diberi setiap tahun kepada pelakon lama sebab ia memberi pengiktirafan dan penghormatan atas pengorbanan yang dilakukan oleh penggiat seni."
No comments:
Post a Comment