|
|
RASA kecewa yang tidak boleh dinafikan, itulah luahan kebanyakan penonton yang hadir menyaksikan konsert penutup, Konsert Di Awan Biru kumpulan rock terkenal, Search baru-baru ini.
Melodi Fantasia Bulan Madu sebagai lagu terakhir berlalu begitu sahaja dan sekitar 25,000 penonton melangkah pulang dengan rasa penuh hampa terhadap ambien konsert terutamanya jika menyentuh aspek sistem bunyi yang disediakan pada malam Sabtu lalu.
Lantas ia menimbulkan tanda tanya, apakah ertinya tagline promosi konsert yang menggunakan ayat berbaloi-baloi?
Debaran pada awal konsert dan wang ringgit yang disediakan bagi konsert berkenaan disifatkan tidak berbaloi untuk sebuah pengharapan yang diletakkan setinggi gunung terhadap penampilan Amy, Nasir, Yazit, Din dan Hillary.
Apatah lagi kelewatan yang menjadi ritual tradisi Search masih berlaku pada malam tersebut dan kali ini dikatakan terjadi ekoran kesukaran meloloskan diri memasuki kawasan acara kerana parkir kereta yang berlapis-lapis.
Faktor utama penyumbang rasa tidak puas hati tertumpu kepada sistem bunyi yang dikatakan mencacatkan hampir keseluruhan konsert tersebut. Ditambah pula dengan pemilihan lagu yang tidak 'mesra bunyi' bagi peminat yang rata-rata mengharapkan lagu hit mereka.
Mungkin peminat setia kumpulan ini boleh menyanyikan lagu-lagu seperti Paranoid, Gadis Ayu dan Hello Kawan tetapi mereka mengharapkan sesuatu yang lebih dan boleh dinyanyikan bersama. Lagu-lagu yang dirasakan mempunyai rasa yang lebih menangkap sukma.
Ada segolongan pemuzik yang menghadiri konsert tersebut juga menganggap kemunculan Amy tidak seghairah dan energetik seperti dahulu.
Ini ditambah pula dengan kes lupa lirik dan kebanyakan nada tinggi diserahkan kepada audiens untuk dilagukan. Taktik lama, kata mereka.
Selepas 'gorengan' solo gitaris kedua Search, Din untuk lagu Balada Pemuzik Jalanan 'hancur' dek kerana masalah putus bekalan elektrik, kemunculan Kid selaku gitaris undangan boleh dikatakan antara pengundang seri kepada kesuraman malam tersebut.
Walaupun gorengan Kid pada bahagian awal lagu tidak kedengaran, namun mujur persembahan Kid untuk lapan lagu seterusnya tidak mengecewakan kerana berjaya mencuri perhatian seluruh konsert.
Permainan gitar Hillary masih seperti selalu, bersih walau sedikit gelincir pada intro lagu Gothic Malam Edan. Yazid dan Nasir, seiring usia, mereka membawakan tenaga secara individu.
Satu hal lagi yang mendorong kepada rasa kecewa penonton terutamanya mat-mat rock yang hadir dengan gaya rock mereka adalah imej yang dipertontonkan oleh Search kali ini. Rata-rata merasakan stail mereka tidak segah nama yang dibawa 28 tahun. Mereka boleh bergaya lebih daripada itu.
Cuma kalau boleh diberikan satu anugerah untuk stail rock berjaya malam itu adalah kepada Din yang memenuhi cita rasa mat rock. Kasut dan bandana yang menonjolkan identiti jiwanya masih setia dipakai oleh Din.
Di sudut hati yang dalam, rata-rata peminat fanatik Search mengharap akan ada sebuah konsert lain yang dapat menebus rasa kecewa mereka terhadap grup tersebut.
Tidak perlu promosi yang terlampau, cukup hanya dengan penyediaan konsert yang serba sempurna daripada aspek bunyi dan persembahan jiwa Search yang 100 peratus. Itu sahaja.
No comments:
Post a Comment