|
|
SELEPAS diumumkan berada di tangga ketiga dalam persaingan merebut jumlah pendengar oleh Nielsen Radio Audience Measurement pada Jun lalu, Hot FM kini menyusun strategi baru untuk mengukuhkan kembali jenamanya.
Melakukan beberapa perubahan membabitkan pengisian program di samping turun padang merapati pendengar, Hot FM bagaimanapun mengakui penurunan rating sedikit sebanyak memberikan hikmah kepada mereka.
Mengenal pasti kelemahan di samping perlu lebih kreatif dan fokus, ia membuatkan stesen radio milik Media Prima Berhad (MPB) ini bersemangat untuk kembali segar dalam trek persaingan.
Menurut Seelan Paul selaku Ketua Pegawai Operasi Rangkaian Radio Media Prima, sebaik pengumuman diuar-uarkan dengan Hot FM berada di belakang Era dan Sinar FM, stesen radio itu pantas menjalankan kaji selidik untuk mencari punca serta kehendak pendengar.
"Pendengar mahukan sesuatu yang menarik. Namun, daripada hasil kajian yang dilaksanakan, kami mendapati bahawa tidak semua pengisian program perlu diubah.
"Rombakan jadual tugas penyampai radio juga tidak perlu. Masing-masing sudah cukup mantap dalam segmen tersendiri.
"Salah satu contoh perubahan jadual segmen yang dilakukan adalah program Fakta Atau Auta. Ia dipercepatkan dari pukul 7 pagi ke 6.50 pagi," katanya ketika ditemui pada malam apresiasi Rangkaian Radio Media Prima di ibu negara, baru-baru ini.
Majlis yang dianjurkan bagi meraikan warga kerja Hot FM, Fly FM dan One FM serta media itu turut dihadiri Ketua Rangkaian Radio Media Prima, Ahmad Izham Omar.
Hot FM sebelum ini dilihat sebagai pencabar utama kepada Era namun kedudukannya agak sedikit goyah dengan peningkatan Sinar FM.
Berada di kedudukan ketiga secara keseluruhannya, Hot FM bagaimanapun mengekalkan kedudukan nombor satu bagi segmen pendengar di bawah usia 35 tahun.
Hot FM juga mampu berbangga kerana slot pagi iaitu Hot FM AM Krew yang dikendalikan oleh Fara Fauzana dan Faizal Ismail masih kekal sebagai program pagi terbaik.
Menyambung kata-kata, Seelan menjelaskan, di sebalik pengumuman kajian oleh Nielsen Radio Audience Measurement itu, pihaknya merasakan kejatuhan jumlah pendengar adakalanya bagus untuk sesebuah organisasi seperti Hot FM.
"Ia membuatkan kami lebih fokus dan kreatif. Tidak semestinya semua akan naik. Dalam soal ini, kami di Hot FM tidak perlu risau tentang apa yang stesen lain buat. Hot FM telah buat yang terbaik dan seharusnya kita perlu risau dan ambil berat tentang apa yang telah dilakukan,'' tegasnya.
Mengenai soal iklan pula, Seelan berkata, sektor pengiklanan Hot FM masih berada pada kedudukan yang baik.
"Jumlah pengiklan di Hot FM cukup bagus dan kami bukan hanya menawarkan segmen iklan semata tetapi mencari satu kaedah bagi membolehkan para pengiklan mencapai objektif masing-masing,'' jelasnya.
Ketika banyak stesen radio swasta beroperasi, Seelan bagaimanapun, gembira persaingan berlangsung dalam keadaan yang sihat.
Katanya, persaingan mampu memberikan keuntungan kepada pendengar apabila mereka dapat menikmati pelbagai variasi daripada kelainan setiap program yang ditawarkan oleh stesen radio.
"Persaingan memanglah sengit tetapi dalam konteks industri penyiaran radio, kami sememangnya saling bekerjasama untuk saling membangunkan antara satu sama lain.
"Dalam pada itu, radio bukan hanya bersaing sesama radio tetapi persaingan dengan teknologi penyiaran yang lain.
"Justeru, Hot FM juga sedang berusaha untuk mengemaskini penggabungan radio dan online. Elemen-elemen radio sudah mengalami revolusi. Sekarang ini adalah platform untuk menggunakan ruang udara, alam maya dan mobile,'' ujarnya.
Prestasi penyampai radio Media Prima
Sementara itu, Seelan ketika ditanya tentang prestasi penyampai radio terutamanya membabitkan penyampai radio Hot FM seperti Fara Fauzana, Faizal Ismail dan Kieran berkata, pihaknya amat berpuas hati dengan prestasi mereka serta warga kerja stesen radio lain.
"Fara dan Faizal nampak lebih agresif. Kieran juga bagus dan kelihatan mantap dengan gandingannya iaitu AG. Secara keseluruhannya saya amat berpuas hati,'' kata Seelan.
Menurutnya, Fly FM juga mencatatkan jumlah pendengar yang membanggakan iaitu peningkatan sebanyak 70 peratus manakala One FM ketika awal kemunculannya sudah mengumpul lebih 300,000 pendengar.
No comments:
Post a Comment