Monday, August 10, 2009

Celcom ketengah pemuzik indie

Celcom ketengah pemuzik indie


Zalman Aefendy (berdiri, tengah) bersama 13 wakil kumpulan indie yang tercalon untuk membuat persembahan pada MTV World Stage Live In Malaysia 2009 yang bakal berlangsung di Sunway Lagoon Surf Beach, Petaling Jaya, Selangor pada 15 Ogos ini.


PENGARUH muzik yang di bawa oleh pemuzik mahupun penyanyi yang bergerak secara indie ternyata membawa perubahan besar terhadap perkembangan industri muzik tempatan.

Kehadiran mereka ternyata berjaya mengubah landskap dunia muzik tempatan hari demi hari.

Buktinya, kemasukan pemuzik dan artis luar bertali arus sebelum ini yang dicanang sebagai 'perampas' keistimewaan pemuzik mahupun penyanyi tempatan seakan memberi gambaran cerah arus muzik tempatan di masa depan.

Berpijak di bumi nyata, nama-nama seperti Hujan, Meet Uncle Hussain, Estranged, Yuna dan Bunkface antara pemuzik dan penyanyi indie yang berjaya diketengahkan.

Malah, ada di antara mereka mencipta kejayaan dan sejarah tersendiri apabila berjaya memahat nama memenangi beberapa anugerah muzik tempatan.

Hakikatnya, masih ramai di kalangan mereka yang perlu diketengahkan sebagai pencipta dan pemuzik pelapis bagi memulihara senario muzik tempatan yang di lihat seakan kusam.

Membuka peluang dengan meluas, syarikat komunikasi terkemuka Celcom (Malaysia) Berhad menerusi jenama prabayarnya, Xpax mengambil pendekatan memperkenalkan 13 pemuzik indie yang bakal bersaing menerusi undian muat turun (download).

Saingan tersebut bagi merebut tiga tempat teratas melayakkan diri membuat persembahan pada MTV World Stage Live In Malaysia 2009 yang bakal berlangsung di Sunway Lagoon Surf Beach pada 15 Ogos ini bermula pukul 6 petang.

Mereka terdiri daripada Pesawat, Silver Gum Superman, O-Two, Rock Star, Yakamashii, Sugar Love Cookies, Diary, The Closed, Abstrak Hingga Ke Bulan, Bite Me Butterfly, Roti Band, Static dan Angelica.

Biarpun ramai di antara mereka yang kurang dikenali, Celcom tidak menjadikan faktor populariti sebagai kekangan.

Naib Presiden Kanan Celcom Berhad, Zalman Aefendy Zainal Abidin berkata, 13 kumpulan berkenaan adalah antara 550 pemuzik indie yang bergerak secara bebas di negara ini.

"Mereka ini disenaraikan oleh MTV bagi menyertai program ini. Kebanyakan daripada mereka boleh dikatakan masih mencari-cari peluang ditonjolkan dan bertapak dalam industri hiburan.

"Daripada jumlah tersebut, tiga kumpulan yang mendapat undian muat turun tertinggi bakal beraksi pada MTV World Stage Live In Malaysia 2009 nanti.

populariti

"Bagi kami, populariti bukan keutamaan. Sesiapa sahaja yang dirasakan layak, kami beri peluang untuk diketengahkan," katanya ketika ditemui pada sidang media kempen undian muat turun Call Me Tone (CMT) di Menara Celcom, Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kempen yang berlangsung selama sebulan bermula 10 Julai lalu membuka peluang kepada pelanggan CMT memilih kumpulan indie pilihan mereka menerusi laman sesawang www.channelx.com.my sehingga 10 Ogos ini.

MTV World Stage Live In Malaysia 2009 menampilkan bintang-bintang terkemuka antarabangsa antaranya Hoobastank, Boys Like Girls, Pixie Lott, Raygun, Kasabian dan The All-American Rejects.

Menariknya, persembahan bakal dimeriahkan lagi oleh kumpulan indie popular, Estranged.

"Sebagai penyiar rasmi MTV World Stage 2009, Xpax merupakan inisiatif kami dalam mengetengahkan bakat pemuzik dan penyanyi indie menerusi Channel X. Menerusi peluang sebegini, muzik indie tempatan mampu bersinar di persada antarabangsa.

"Muzik dan generasi muda adalah sinonim. Menjadi jenama eksklusif di kalangan remaja, Xpax sentiasa melihat pelbagai platform hiburan dalam mengeratkan lagi hubungan kami dengan pelanggan yang terdiri di kalangan generasi muda.

"Menerusi inisiatif sebegini, pelanggan kami boleh memutuskan siapakah di kalangan 13 pemuzik indie yang berpeluang membuat persembahan pada acara antarabangsa itu," kata Ketua Pegawai Eksekutif Celcom, Datuk Seri Shazalli Ramly pula.

Pelanggan Xpax boleh menebus dua pas percuma menyaksikan persembahan tersebut di mana-mana cawangan Axcess. Caranya mudah sahaja, hantarkan khidmat pesanan ringkas (SMS) dengan menaip REGMTV ke 28881.

Sebaik menerima SMS pengesahan, pelanggan hanya perlu membeli isian semula (reload) RM50 untuk mendapatkan pas percuma.

Sebarang maklumat lanjut, sila layari laman sesawang www.channelx.com.my atau www.celcom.com.my/broadband.

No comments: