Monday, August 10, 2009

Ernie Djohan tidak percaya botox

Ernie Djohan tidak percaya botox


WAJAH terbaru Ernie Djohan.


PADA tahun 1965, lagu Teluk Bayur nyanyian Ernie Djohan dari Indonesia begitu masyhur sehingga menarik perhatian peminat seni Malaysia dan Singapura ketika itu.

Kelembutan suara penyanyi itu serta liriknya yang penuh makna membuat lagu itu mudah popular

Lagu yang menguji ketabahan dan kesetiaan hati seorang kekasih itu mencipta kejayaan tersendiri buat Ernie.

Sejak lagu itu sering ke udara dan sekali gus membuatkan Enie dikenali sehingga membawanya ke luar negara.

Ernie bukan sahaja diundang menyanyi di Malaysia dan Indonesia, bahkan Teluk Bayur membawa Ernie belayar jauh hingga ke Eropah.

Sebetulnya, tuan punya badan juga seperti terpana gara-gara Teluk Bayur mencetus fenomena yang bukan kecil.

Teluk Bayur ujar Ernie, bukan lagu cinta yang klise yang mendorong para kekasih merayu kasih atau cinta.

Sebaliknya, lagu berkenaan merupakan teman kepada kekasih yang akan ditinggalkan sepanjang menuntut ilmu jauh dari mata.

"Saya sendiri tidak sangka lagu itu mendapat sambutan. Apabila mengadakan persembahan di Singapura, lagu itu mesti yang pertama diminta.

"Kiranya Teluk Bayur bukan sahaja telah mempopularkan saya malah ia memang satu-satunya lagu yang amat dekat di hati saya.

"Disebabkan lagu itu jugalah saya menjadi artis Indonesia yang pertama merakamkan album di luar negara iaitu Singapura," cerita Ernie, 58, dalam satu pertemuan di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Walaupun Teluk Bayur sudah berusia 44 tahun, tetapi ia masih tetap segar dan sentiasa dirindui ramai.

Teluk Bayur yang menerima anugerah Golden Record kerana populariti dan jualan albumnya yang tinggi bukan sahaja telah mempopularkan ibu kepada dua orang anak, Achyat Iman Zacharias, 37, dan Shanna Danlela, 32, malah ia juga telah memberi peluang merakamkan album di Belanda.

Ernie yang menjelajah Eropah sebanyak lima kali kerana lagu itu, ditawarkan merakamkan album dengan Syarikat Rakaman Philips di Belanda.

Menurut Ernie, sebelum merakamkan lagu tersebut pada tahun 1965, dia sebenarnya telah merakamkan album pada tahun 1962 dengan album pertamanya, Suria Gemilang terbitan Allahyarham Saiful Bahari.

Kini walaupun usianya hampir mencecah 60 tahun, Ernie masih tidak putus daripada menerima undangan menyanyi di luar negara.

Malah pada tahun 2007, ketika Eropah menyambut hari kemerdekaannya , Ernie diundang mengadakan persembahan di Geneva.

Kini selain aktif menerima undangan mengadakan persembahan pentas, nenek kepada lima orang cucu itu juga memenuhi masa lapangnya dengan melukis.

"Sejak Disember tahun lalu, saya mula meminati melukis dan ada beberapa yang saya telah hasilkan.

"Sebagai penyanyi kita menghiburkan peminat dengan lagu-lagu, tetapi sebagai pelukis kanvas menjadi teman saya mencurahkan rasa hati saya di kanvas. Warna menceritakan segala-galanya di samping lukisan yang kita zahirkan," kata Ernie yang baru merakamkan lagu Kuda Hitam dan Panti Asuhan bersama sebuah syarikat rakaman di Singapura.

Menyentuh mengenai kecantikannya yang masih tidak pudar walaupun usia sudah lebih separuh abad, tanpa teragak-agak Ernie memberi petua:

"Syukur Alhamdulillah dalam usia begini saya masih sihat. Rahsia menjaga kesihatan saya amat mudah, kena amalkan minum air kunyit untuk mencuci darah, kurangkan makan daging dan semangat mesti kuat."

Ernie yang juga anak keempat daripada lapan beradik berkata, walaupun kini pelbagai pembedahan kosmetik boleh dijalani dan macam-macam suntikan untuk tampak muda tetapi dia lebih suka pentingkan kesihatan.

"Saya tahu sekarang macam-macam ada, cucuk botox atau segalanya. Tetapi saya tidak mahu itu semua. Saya mahu lalui hari tua dengan tenang, aman dan sihat.

"Saya kadang-kadang hairan, manusia mahu hidup lama tetapi tidak mahu kelihatan tua, kenapa? Bagi saya dulu saya sudah pernah merasai saat muda, kini biarlah saya lalui hari tua seperti yang telah ditetapkan Tuhan," kata Ernie sambil tersenyum.

No comments: