Tuesday, August 25, 2009

HIBURAN : SELASA 25 OGOS 2009

Sarjan Lim bela diri 1 Oktober
KUALA LUMPUR 24 Ogos - Pelakon drama bersiri Gerak Khas , Mohd. FaridAmirul Hisham atau 'Sarjan Lim' diperintahkan oleh Mahkamah Majistretdi sini membela diri atas tuduhan mencuri dua buah buku dari kedai bukuMPH, lima bulan lalu.

Pelakon Gerak Khas diperintah bela diri
KUALALUMPUR: Mahkamah Majistret di sini, semalam memerintahkan pelakon yangpopular menerusi drama bersiri Gerak Khas membela diri atas tuduhanmencuri buku bertajuk Decoding The Heaven dan The Sistine Secretsberharga RM194.90, di kedai MPH Bookstore, Mid Valley di sini, jam 7.15malam, 27 Mac lalu.



Kasih Shake pada Malaysia
SETIAP kali mendengar lagu Umi diputarkan di radio, terbayang di matakita seraut wajah penyanyi yang kaya dengan senyuman, Datuk Shake .


Era baru Istana Budaya
ISTANABudaya (IB) yang ditubuhkan pada tahun 1999 menjadi medan buat karyawanseni tempatan dan antarabangsa mementaskan karya masing-masing.


Fiksyen sains dengan kritikan sosial
IKAbukan kerana nama Peter Jackson yang terkenal dengan filem Lord of theRings barangkali filem ini kurang mendapat perhatian. Apatah lagi namapengarah dan barisan pelakon utama filem ini bukanlah nama-nama yanglazim di kalangan pengemar filem.


Dokumentari Finas ditonton 290 juta penonton
USAHAPerbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerbitkan duafilem dokumentari berjudul Becoming A King dan Smart Tunnel pada tahunlalu merupakan langkah jangka panjang yang bijak serta menguntungkannegara.







Salina akui kurang popular
LAKONAN aktres yang berstatus ibu beranak satu ini tidak harusdipertikaikan sementelah, anugerah Pelakon Pembantu Terbaik padaFestival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) sudah menjadi miliknya.

80,000 di Dataran Dungun
ANCAMAN virus H1N1 tidak dapat menghalang keinginan warga Dungun,Terengganu untuk berkumpul dan menyaksikan Konsert Gempak Gegar BersamaOne Drop Perfumes baru-baru ini.


Bintang legenda tunjuk taring
WALAUPUN era kegemilangan mereka telah berlalu, tetapi gemerlapanpopulariti seniman dan seniwati legenda tanah air ini tidak pernahluput di mata peminat.

Salman masih dipukul ibu
SALMANKHAN sememangnya antara aktor yang cukup terkenal dengan bentuk badanyang sasa dan menggoda. Bahkan, dia selalu menjadi tajuk muka depanakhbar kerana sering bergaduh dengan ramai orang baik bergaduh mulutatau bertumbuk.

Saif, Kareena enggan berenggang
ENGGANberada jauh daripada cinta, pasangan pelakon, Saif Ali Khan dan KareenaKapoor seboleh-bolehnya mahu berlakon bersama dalam kebanyakan filemmereka.


Hadiah lampu chandelier
SIAPA yang tidak gembira bila buah hati menghadiahkan sesuatu yang begitu diinginkan sebelum ini.


Priyanka setuju berehat
SETELAHmenerima pelbagai kritikan mengenai jadual kerja yang terlalu padat,akhirnya pelakon seksi, Priyanka Chopra terpaksa akur dengan nasihatteman serta peminat-peminatnya untuk berehat buat sementara waktu.


Rumah Lohan dipecah masuk
LOS ANGELES - Rumah pelakon terkenal, Lindsay Lohan di Hollywood Hillsdipecah masuk, kata seorang pegawai publisitinya, Leslie Sloane-Zelnikkelmarin.


Bintang realiti TV ditemui mati bunuh diri
VANCOUVER- Seorang bintang siri realiti televisyen, Ryan Jenkins yangdikehendaki polis berhubung pembunuhan kejam bekas isterinya, JasmineFiore, ditemui mati tergantung di sebuah motel terpencil di sinikelmarin.








Bakat saja tak cukup
PERTEMUANNYA dengan penerbit filem, David Teo sewaktu menyertai pertandingan Road ToHollywood pada Mei lalu membuka ruang buat bakat baru, Putri MardianaZainal Abidin mencapai impian sebagai anak wayang.

Kabir mohon status penduduk tetap
PENGARAHfilem dan drama tempatan kelahiran Mumbai, India, Kabir Bhatia akanmembuat permohonan mendapatkan status penduduk tetap (PR) rakyatMalaysia kerana menyedari aktiviti seninya banyak dicurahkan di negaraini.

Siapa pelakon teater Natrah?
TEKA-TEKImengenai pelakon mana yang bakal terbabit dengan teater Natrah masihbelum terjawab. Ini sedikit sebanyak menambahkan kehangatan teater yangakan dipentaskan di Panggung Sari, Istana Budaya (IB) pada 17 hingga 25November depan.

Dokumentari istimewa Malaysia
DISCOVERYNetworks Asia-Pacific berasakan masih banyak sejarah, warisan danbudaya negara ini boleh dipaparkan kepada penonton antarabangsasebagaimana yang pernah dilakukan menerusi program usaha sama FirstTime Filemmakers (FTFM) dan Eye On Malaysia.

Jaclyn tidak mahu menjerit
ALBUMGemilang dan Inilah Cinta yang dihasilkan sebelum ini menyaksikankehebatan vokal penyanyi ini terutama dalam menyanyikan lagu bernadatinggi.

Cinta, benci dan dendam
BAGImeneruskan kesinambungan tayangan drama bersiri popular di saluranmereka seperti Mertua Vs Menantu dan Awan Dania, Astro Prima membawakanpula kepada penonton siri arahan Rashid Sibir, Kasih Tercipta.

Dengarnya... Belajarlah hormati bulan puasa
SEBOLEH-bolehnyaCik Normah tak mahu 'laser' sangat pada bulan yang mulia ini. Silaphari bulan, sia-sia saja ibadat puasa Cik Normah. Pada kesempatan inijuga Cik Normah nak ucapkan salam Ramadan.

Dengarnya... Fahrin dapat pasangan baru dalam Sehati Berdansa?
SEHARIsebelum menyambut ketibaan puasa, Cik Normah sempat menghabiskan masadi sebuah restoran bersama dua kawan, Lara Kirana Manja dan DonnaMarcella. Mereka ini boleh Cik Normah katakan antara penyumbang ceritabagi ruangan ini.

Dengarnya... Ashraf tunai umrah
NAMPAKNYAselain Rozita Che Wan, Cik Normah diberitahu rakan sepejabat, AshrafMuslim juga akan mengerjakan umrah bulan depan. Kalau tak silap CikNormah, umrah ini kali pertama bagi mereka. Cik Normah saja nakberkongsi perkara yang baik, ambil berkat bulan ini.

Panel TV: Dua telefilem sempena Hari Kebangsaan di TV2
BULANKemerdekaan diraikan seluruh masyarakat tanpa mengira kaum mahupun usiadengan masing-masing menunjukkan pelbagai cara untuk memperlihatkansemangat juang dan rasa kecintaan terhadap negara





Faralyana insaf
KARAKTERNYA sebagai Hana dalam Kisah Kaisara memberi peluang kepadagadis manis ini untuk terus bergiat aktif di persada seni tanah airapabila drama bersiri popular itu berjaya melonjakkan namanya di matapeminat hiburan tanah air.

Single papar kembara Lan
KEBEBASAN menentukan lagu, lirik dan melodi mengikut kreativitisendiri menjadi alasan Azlan mengambil keputusan menjadi vokalis solo.

Sejagat muzik jazz
SEJAK kedatangan pemuzik jazz tersohor Harry Connick Jr ke Malaysiatahun lalu, peminat tempatan seperti dahagakan rangkaian lagu jazz yangboleh memuaskan halwa telinga mereka.

Wadi Unung usik perasaan
KAWAN karib, rakan baik dan sebagainya adalah gelaran diberikan kepada orang yang paling kita senangi dan percayai.

1...2...Jus! Raya
MERIAH dan ceria. Begitu kesimpulan yang dapat dibuat apabila limabekas peserta program realiti One In A Million iaitu Faizal Tahir,Muhammad Alif Mohd Satar (Alif), Norayu Damit (Ayu), Nur Shahila AmirAmzah (Shila) dan Muhammad Ridzuan Sharifuddin (Rizu) bersama JaclynVictor (Jac) bertemu dalam program 1...2...Jus! Raya. Menariknya,episod ini dirakam sempena sambutan Aidilfitri dan dijangka disiarkanpada 20 September nanti.

SOSEH SOSEH: Artis jelita buka cerita
BARU-baru ini, seorang teman ada mengirimkan e-mel kepada SSmengenai pengakuan berani seorang artis jelita. Siapa geranganorangnya, sama ada pelakon, penyanyi atau pengacara, biarlah menjadirahsia SS kerana ia lebih baik pada Ramadan yang mulia ini.

SOSEH SOSEH: Program lawak sakitkan hati
PELBAGAI program menarik disajikan untuk mendorong penonton dinegara ini memilih stesen tv mereka sebagai pilihan utama ketikabersama keluarga ataupun bersantai pada hari minggu.

Dokumentari kisah Malaysia
PELBAGAI cara diguna pakai untuk memperkenalkan budaya dan khazanah seni masyarakat timur.

Kasih Shake pada Malaysia

Kasih Shake pada Malaysia


Shake mengabadikan pemandangan di kota paris untuk tatapan para peminatnya.


SETIAP kali mendengar lagu Umi diputarkan di radio, terbayang di mata kita seraut wajah penyanyi yang kaya dengan senyuman, Datuk Shake.

Walaupun lagu berkenaan sudah berusia 25 tahun, namun bait-bait lirik luahan kasih sayang seorang anak terhadap ibunya bukan sahaja mencuri hati para pendengar malah ia menggambarkan betapa rapatnya penyanyi itu dengan ibunya.

Lagu ciptaan komposer tidak asing lagi, Datuk Dr. Ahmad Nawab yang diterbitkan pada tahun 1984 bukan sahaja telah menaikkan nama Shake malah ia juga kenangan manis Shake buat uminya.

Lalu tidak hairanlah pertama kali bertemu dengan Shake ketika pelancaran albumnya, bibirnya tidak lepas bercerita tentang isterinya, Datin Melina yang memberi sinar kebahagiaan dalam hidup dan kariernya.

Tidak ketinggalan, beliau juga tidak meminggirkan ibunya, Allahyarham Sharifah Zaleha yang menjadi sumber inspirasi dan kekuatan untuknya berjuang dalam seni.

Kini walaupun Sharifah Zaleha telah 23 tahun meninggal dunia, namun sebagai anak yang begitu rapat dengan ibunya, Shake tidak pernah lupa menziarahi pusaranya setiap kali balik ke Johor.

"Saya sampai di Malaysia sudah lebih seminggu. Tetapi sebelum datang ke Kuala Lumpur, saya singgah di Johor menziarah pusara arwah umi," cerita Shake pada satu pertemuan di hotel penginapannya di Kuala Lumpur awal minggu lalu.

Meskipun sudah lebih sedekad tidak bertemu dengan Shake yang kini menetap di Los Angeles (LA), Amerika Syarikat, namun sesuatu yang membanggakan ingatan ayah kepada empat orang anak dan datuk kepada lima orang cucu ini terhadap penulis masih tidak padam, sambil berkata;

"Masakan saya tidak kenal walaupun dah lama tak jumpa. Itulah indahnya orang Melayu, walaupun jauh di mata tetapi dekat di hati."

Gulai asam pedas

Begitulah Shake. Biarpun sudah merantau 36 tahun ke luar negara, namun kasih sayangnya pada adab sopan Melayu dan bahasa Melayu tidak pernah luntur di hatinya.

Bagi Shake, walau ke mana dia pergi, biar setinggi mana namanya disanjung dalam dunia seni di luar negara, namun akar umbinya tetapi di bumi Malaysia yang sentiasa dekat di hatinya.

"Saya tidak pernah malu mengaku saya orang Melayu. Setiap kali mengadakan persembahan saya akan memperkenalkan diri saya dan negara saya Malaysia.

"Malah, saya tidak pernah lupa adab sopan orang Melayu. Setiap kali berjumpa dengan mereka di luar negara, saya tidak bercakap dalam bahasa Inggeris atau Perancis, tapi berbahasa Melayu.

"Bagi saya, bahasa Melayu adalah bahasa paling indah di dunia. Kini berpegang kepada perjuangan Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak, setiap kali show saya akan menekankan 1Malaysia yang diimpikan," cerita Shake penuh bangga.

Mengenali Shake dan berbicara dengannya nyatalah, 36 tahun 'memisahkannya' dari bumi Malaysia namun bahasa Melayunya tetap indah.

Berbual bersamanya, tidak kira sejam, dua jam atau tiga jam sekalipun, penyanyi yang mendapat jolokan The Singing Ambassador ini tetap fasih dan indah bahasa Melayunya.

"Saya orang Melayu dan gulai asam pedas sentiasa menjadi pembuka selera saya walaupun saya di Perancis ataupun di LA.

"Kalau terlalu rindu dengan masakan itu, saya masak sendiri," katanya sambil memberi petua kepada penulis (yang ketika itu mengidap batuk) bagaimana mahu meredakannya iaitu baca tiga kali selawat sebelum meminum air suam bercampur madu.

Bersandarkan rasa cintanya pada Malaysia dan jati dirinya yang tidak pernah lekang, Shake kembali ke Malaysia untuk menghiburkan para peminatnya yang pernah dan sentiasa menyokongnya.

"Sebenarnya sepanjang minggu ini (minggu lalu), sudah beberapa kali saya bermesyuarat dengan pihak Istana Budaya (IB). Jika semuanya selesai saya akan kembali semula ke LA.

"Insya-Allah jika tiada aral melintang, saya akan mengadakan konsert solo saya di IB tahun depan. Sebenarnya sudah empat tahun saya merancang tentang konsert ini, tapi ketika itu terlalu banyak 'undang-undangnya'.

"Namun tahun depan, apabila album Melayu saya telah siap dan buku mengenai saya lengkap, saya akan melancarkannya di IB dan mengumumkan mengenai konsert itu," kata Shake mengenai perancangannya pada tahun 2010.

Album lagu-lagu Melayu Shake yang kini dalam proses rakaman di LA selain menampilkan lagu-lagu baru turut mengabadikan Umi dan Gadisku.

Dua buah lagu tersebut yang diberi nafas baru diharap dapat mengembalikan nostalgia para peminat Shake.

Apabila ditanya apakah konsertnya itu dapat menarik perhatian dan minat, orang ramai menontonnya, Shake penuh optimis ramai yang akan memberi sokongan padanya.

Bahkan, sebagai penghibur yang berpengalaman luas, seniman itu tidak gemar untuk mengambil kira pandangan negatif sedemikian rupa.

Apa lagi, pandangan itu juga disifatkannya sebagai suatu yang lumrah di peringkat antarabangsa.

Shake yang penuh yakin, persembahannya kelak akan berjaya memberitahu, apa yang membuatkan dia yakin juga adalah kerana beliau sering mendapat sokongan daripada penggemar setianya yang berpusat di Paris atau LA.

"Mereka melahirkan rasa gembira dan bangga dan menyatakan tindakan saya mengadakan konsert di IB adalah satu idea yang bagus dan pentas bertaraf dunia itu adalah tempat yang sesuai untuk saya mengembalikan nostalgia mereka," katanya lagi.

Dalam konsert yang dijangka akan berlangsung selama beberapa hari itu, Shake dijangka akan menghiburkan para peminatnya dengan 25 buah lagu dalam pelbagai bahasa iaitu Melayu, Perancis dan Inggeris.

Shake juga merancang konsertnya itu nanti akan diiringi dengan orkestra yang menggabungkan para muzik Malaysia dan luar negara.

"Bukan saya tidak menghargai pemuzik tempatan, bagi saya mereka tetap bagus. Cuma saya mahu tampilkan kelainan dalam konsert itu nanti," akui Shake tatkala ditanya apa relevannya mengundang para pemuzik luar negara.

Shake yang jarang-jarang pulang ke Malaysia bagaimanapun tidak pernah terlepas daripada mengikuti perkembangan semasa industri hiburan tanah air.

Paling dikaguminya ialah bakat seni dan perjuangan Jamal Abdillah.

Meskipun tidak berpeluang menyaksikan konsertnya baru-baru ini, menerusi laporan media, Shake mendapat tahu konsert berkenaan begitu sukses.

"Bagi saya, Jamal adalah seorang penyanyi yang hebat dan suara lelakinya mampu memukau bukan sahaja peminat perempuan malah saya juga meminati suaranya. Susah kita nak dapat penyanyi sehebatnya.

"Bukan itu sahaja, malah saya turut mengagumi perjuangan dan kejayaan tiga beradik dalam dunia seni iaitu kumpulan KRU yang diterajui oleh Norman, Yusry dan Edry.

"Bakat dan suara Zainal Abidin juga jangan diketepikan kerana penyanyi itu mempunyai perjuangan seninya yang tersendiri melalui lagu-lagunya," luah Shake berkongsi rasa bangga mengenai kejayaan rakan-rakan artis tanah air.

Mengenai senario industri seni hari ini yang banyak melahirkan ramai penyanyi dari program realiti, Shake yang turut mengagumi Datuk Siti Nurhaliza dan Datuk Khadijah Ibrahim menyifatkan, era masa kini merupakan masa terbaik untuk golongan remaja mencipta nama dalam bidang seni.

"Bagi saya ini adalah zaman yang sesuai untuk remaja hari ini mencipta nama dalam bidang seni. Saya yakin mereka mempunyai bakat tersendiri cuma kehadiran mereka dengan gaya dan stail masa kini.

"Sebagai orang lama dalam dunia seni, bagi saya kejayaan seseorang dalam bidang seni semuanya terletak pada tuah. Umur atau apa juga cara penampilan mereka tidak penting, insya-Allah jika sudah tuah mereka, mereka akan tetap berjaya," ujar beliau lagi.

Menyentuh mengenai kehidupannya bersama keluarga di LA, Shake yang baru muncul dengan album terbarunya Yesterday And Today berkata, melalui kehidupan di negara Uncle Sam itu sangat membahagiakannya.

"Isteri saya Melina, anak-anak Amiir, Amaro, Natacha dan Mina begitu bahagia di LA. Namun walaupun hidup di sana saya tetap menerapkan nilai budaya Melayu di hati mereka.

"Bagi saya itu amat penting kerana walau di mana saya berada mereka perlu tahu asal usul ayah mereka," katanya rancak menyambung cerita.

Menurut Shake, anak kembarnya yang kini berusia 27 tahun begitu berjaya dalam karier yang mereka minati.

"Amaro menjadi pengarah filem dan akan menerbitkan klip video lagu-lagu daripada album terbaru saya. Sementara Amiir berjaya sebagai pelakon dan penyanyi di LA," jelas Shake ralit berkongsi kisah pewaris seninya itu.

Sebelum perbualan berakhir, sengaja rasa hati Shake saya cuit.

Saya bertanya padanya antara Perancis dan Malaysia mana satu pilihan hatinya.

Jawapan Shake ialah: "Saya sayang Paris, tetapi saya tetap orang Melayu dan Malaysia adalah negara yang saya cintai."

Era baru Istana Budaya

Era baru Istana Budaya


PEMENTASAN Muzikal Tun Abdul Razak turut diminati ramai.


ISTANA Budaya (IB) yang ditubuhkan pada tahun 1999 menjadi medan buat karyawan seni tempatan dan antarabangsa mementaskan karya masing-masing.

Dalam tempoh sedekad itu, IB telah memperlihatkan peranannya dalam usaha menganjak seni persembahan seperti teater dan muzikal ke suatu tahap yang membanggakan di negara ini.

Di bawah pentadbiran Ketua Pengarahnya, Mohamed Juhari Shaarani, IB pantas mengorak langkah sehingga hampir setiap bulan ada saja pementasan besar memenuhi kalendar pusat kesenian negara itu.

Pada satu pertemuan dengan wartawan ABD. AZIZ ITAR, Mohamed Juhari berkongsi perancangan beliau untuk meletakkan IB ke peta dunia dan sekali gus membantu karyawan seni tanah air berkongsi aspirasi seni mereka dengan masyarakat.

HITS: Bagaimana dengan pencapaian program setengah tahun musim 2009 IB sehingga kini?

MOHAMED JUHARI: Alhamdullillah IB telah mencapai sasaran untuk setengah tahun musim 2009. IB amat berterima kasih kepada khalayak yang telah memberi sambutan yang amat baik untuk enam bulan program musim 2009.

Pencapaian ini sangat membanggakan jika dibandingkan dengan tempoh yang sama musim 2008.

Sehingga Jun 2009 IB berjaya menarik 84,119 penonton. Sasaran penonton untuk Musim 2009 ialah 110,000.

Manakala kutipan tiket yang dicatat sehingga 31 Jun 2009 berjumlah RM4,789,173.25.

IB menjangkakan akan mencapai sasaran Prestasi Indeks Utama (KPI) jika dilihat daripada kutipan tiket dan sasaran jumlah penonton akan berterusan bagi program bulan Julai hingga Disember 2009.

Kenyataan di atas tidak termasuk program-program IB yang lain seperti persembahan konsert orkestra di negeri-negeri, program Istana Budaya di luar panggung Istana Budaya dan juga program Laman Santai yang menjadi sangat popular di kalangan warga kota yang boleh mengumpulkan pengunjung seramai 300 - 500 orang setiap hari Sabtu malam minggu.

Apakah perubahan yang dibawa oleh IB dalam memberikan tema-tema kepada program-program sepanjang Januari hingga Jun musim 2009?

MOHAMED JUHARI: Ternyata perubahan yang dilakukan membawa kepada suatu era baru daripada segi sambutan khalayak kepada program-program di IB.

Program bertema seperti Muzikal Puteri Gunung Ledang sempena Hari Kekasih, Sirah Junjungan sempena Maulidur Rasul, Muzikal Mahsuri sempena Hari Wanita, Konsert Black Dog Bone Bersama Jay Jay dan Rahim Othman Sempena Hari Ibu, Mana Setangginya yang mengisi slot Naskah Sasterawan Negara serta Konsert Satu sempena Hari Bapa Datuk Siti Nurhaliza mendapat sambutan luar biasa.

Konsert Alam Muzik M. Nasir dan Muzikal Prince Siddharta juga mendapat sambutan yang amat membanggakan.

Kebanyakan persembahan di atas kehabisan tiket sebelum hari persembahan dan ini merupakan suatu fenomena baru kepada IB.

Ini memperlihatkan perubahan khalayak yang bersedia membeli tiket lebih awal sebelum hari pementasan.

Perkembangan memberangsangkan itu bukan sahaja kepada pementasan di Panggung Sari, malah pementasan di Lambang Sari juga memberi kejutan dengan kehabisan tiket sebelum hari persembahan untuk persembahan Kumpulan Butterfingers dan teater Mimpi.

Suatu yang amat membanggakan Istana Budaya ialah kehabisan tiket produksi teater tradisional Mak Yong Raja Senyanya.

Ini memperlihatkan teater tradisional mempunyai khalayak tersendiri.

Suatu pendekatan baru yang disarankan oleh Menteri Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan agar menjual tiket-tiket di sekolah-sekolah dalam usaha membangun khalayak remaja ke IB telah memberikan impak yang sangat baik.

Terdapat 110 buah sekolah dari seluruh Malaysia datang menonton produksi IB iaitu teater Mahsuri dan teater Mana Setangginya dengan menggunakan kaedah ini.

Ini memberi petanda baik bagi pembangunan khalayak terutama di kalangan golongan remaja untuk meminati persembahan teater pada masa hadapan.

IB juga mengadakan penjenamaan semula program-program muzik dalam usaha memperkenalkan Orkestra Simfoni Kebangsaan (OSK) yang memberi hasil positif terutama kepada golongan khalayak remaja.

Apakah program-program di IB selepas Jun bagi musim 2009?

MOHAMED JUHARI: Muzikal The Merchants of Bollywood baru sahaja selesai dan mendapat sambutan yang menggalakkan.

Begitu juga Konsert Nada Biru yang menampilkan Noryn Aziz dan Atilia pada 30 hingga 31 Julai 2009 juga mendapat sambutan.

Konsert Jamal……..Kembara Seniman juga telah menemui khalayak pada 5 hingga 9 Ogos lalu. Ini diikuti teater sempena Hari Kemerdekaan iaitu Muzikal Tun Razak juga telah dipentaskan pada 16 hingga 20 Ogos lalu lakonan Rashidi Ishak dan Fauziah Latif di bawah arahan Datuk Rahim Razali.

IB akan menjalankan penyenggaraan pentas sepanjang bulan Ramadan bagi memastikan pentas berada dalam keadaan baik untuk program-program di masa akan datang.

Teater Gamat di bawah arahan Zaifri Husin akan menemui khalayak bermula 2 hingga 8 Oktober ini yang akan memperlihatkan persembahan yang berlainan kerana jalan ceritanya berkisar kepada kehidupan laut.

Muzikal Cuci yang akan berlangsung pada 23 Oktober hingga 8 November ini pula akan menjanjikan sebuah persembahan yang mantap.

Bagi mengisi program musim cuti persekolahan, pementasan teater muzikal Natrah akan diadakan dari 17 hingga 24 November ini.

Sebagai program penutup tahun 2009, Yayasan Warisan Johor akan membawa Gema Zapana pada 25 hingga 29 Disember ini.

IB dilihat gemar menampilkan bintang-bintang besar dan popular dalam kebanyakan pementasan. Kenapa hal ini berlaku?

MOHAMED JUHARI: Hal ini tidak dapat dinafikan tetapi sudah menjadi lumrah di mana-mana pementasan di seluruh dunia termasuk di West London dan Broadway New York.

Dalam lawatan kerja ke New York dan London baru-baru ini, saya dapat dilihat nama-nama besar seperti Jean Fonda, Rowand Atkinson dan Richard Dreyfuss beraksi dalam pementasan teater.

Bintang-bintang popular menjadi faktor penarik kepada penonton remaja untuk menonton pementasan di IB.

Secara tidak langsung ini dapat menanamkan sifat suka menonton kepada golongan remaja yang penonton remaja yang akan mengisi panggung IB pada masa hadapan.

Lazimnya khalayak akan bertanya siapa pelakon utama sebuah pementasan. Ini menjadi salah satu sebab mengapa hal ini dititikberatkan dalam usaha menarik khalayak ke IB.

Difahamkan Muzikal Cicak-Man menarik diri disebabkan tiada penaja. Adakah ini amemberi tekanan kepada pihak IB?

MOHAMED JUHARI: IB faham situasi yang dihadapi oleh pihak KRU Productions dalam mendapatkan penajaan. Namun penarikan diri dalam jangka waktu yang agak panjang memudahkan IB untuk mendapat program gantian yang bertemakan musim cuti sekolah.

Ini kerana terdapat program-program yang menunggu giliran sekiranya terdapat kekosongan ruang di Panggung Sari IB.

Jika segalanya berjalan lancar, masyarakat Malaysia akan dapat menonton sebuah muzikal antarabangsa yang sangat popular di kalangan remaja dunia bertandang ke IB.

Kami masih menanti kelulusan. Ia juga masih dalam peringkat perbincangan.

Ini kerana muzikal ini memerlukan perbelanjaan yang sangat besar. Sekiranya pementasan ini berjaya dibawa, IB akan kembali meriah sepanjang bulan Disember depan dan mengulangi kemeriahan pementasan Mamma Mia! pada musim 2008 lalu.

IB juga memberi penekanan kepada persembahan antarabangsa. Apa pentingnya persembahan antarabangsa sebagai pengisian program di IB?

MOHAMED JUHARI: Memang benar IB memperuntukkan 30 peratus persembahan tahunan kepada persembahan antarabangsa.

Kepentingan persembahan antarabangsa kerana dapat menarik khalayak dan sentiasa mendapat permintaan yang sangat baik.

Impak untuk melihat gagasan 1Malaysia dengan penglibatan khalayak berbagai kaum menonton bersama amat jelas dapat dilihat dalam pementasan antarabangsa.

Agak sukar pementasan tempatan dapat mengumpul penonton berbilang kaum.

Persembahan antarabangsa juga memberi peluang kepada perpindahan teknologi kerana banyak persembahan yang dibawa oleh syarikat produksi luar dapat memberi latihan serta memberi pendedahan baru kepada Bahagian Teknikal dan Artistik IB.

Di samping itu ia juga memberi pendedahan kepada warga kerja IB dan memberi pendedahan baru kepada masyarakat Malaysia. Persembahan antarabangsa juga dapat meletakkan IB dalam peta pementasan persembahan-persembahan bermutu tinggi dan ini memberi imej yang sangat baik kepada IB dan juga Malaysia kerana mempunyai pentas yang bertaraf dunia.

Apa manfaat yang diperolehi oleh IB sebagai dewan persembahan dengan gabungan di bawah Kementerian Penerangan, Komunikasi dan Kebudayaan?

MOHAMED JUHARI: Penggabungan ini memberi banyak manfaat kepada program-program IB terutamanya dari segi memasarkan program dalam media elektronik terutama sekali dalam siaran Radio Televisyen Malaysia (RTM).

Di samping itu juga, program Laman Santai yang sangat popular di kalangan warga Lembah Klang pada setiap malam Sabtu telah menemui khalayak di RTM1 pada siaran langsung setiap dua minggu.

Sejak penggabungan ini juga, banyak program bukan saja dikendalikan oleh pihak IB tetapi oleh agensi-agensi lain di kementerian ini lebih mudah mendapat siaran langsung.

Ini memberi peluang kepada pendedahan aktiviti-aktiviti kebudayaan dan kesenian kepada masyarakat dengan lebih meluas.

Apakah peranan IB dalam menyahut gagasan 1Malaysia?

MOHAMED JUHARI: Dalam menyahut gagasan Pedana Menteri, Datuk Seri Mohd. Najib Tun Razak dalam masa terdekat akan dilancarkan Orkestra Tradisional Malaysia.

Penubuhan orkestra ini amat menepati dengan gagasan 1Malaysia kerana ia menggabungkan muzik pelbagai kaum dengan pendekatan menyamai penubuhan sebuah orkestra moden.

Pementasan-pementasan lain di IB selepas Jun 2009 juga akan mengangkat isu-isu serta mementingkan pendokong watak pelbagai kaum dalam usaha mencapai gagasan 1Malaysia.

Bagi pengisian program Musim 2010, syarikat-syarikat yang berminat dipelawa membawa program yang boleh mencapai hasrat gagasan ini.

Apakah kekecewaan yang dapat dikongsi oleh IB sebagai organisasi pementasan yang terulung di Malaysia?

MOHAMED JUHARI: Perkara pertama yang memberi kekecewaan yang amat sangat kepada IB mungkin agak klise tetapi itulah masalah utama bagi memperkembangkan pementasan bermutu tinggi iaitu kekurangan penajaan dari syarikat-syarikat korporat.

IB sedar berlakunya krisis kewangan masa kini namun apa yang menyedihkan pementasan antarabangsa masih lagi mendapat penajaan.

Amat menyedihkan pementasan tempatan tidak mendapat layanan daripada syarikat-syarikat gergasi. Yang sedihnya, ada syarikat yang lebih berminat menaja pementasan antarabangsa dan tidak tempatan.

Keadaan ini berbeza dengan negara-negara lain. Syarikat-syarikat korporat di luar negara membantu pementasan tempatan dan antarabangsa.

Satu lagi kekecewaan ialah kurangnya pementasan antarabangsa mengisi program Musim 2009. IB sedia maklum ini mungkin berlaku kerana berlakunya kegawatan ekonomi. IB belum mencapai sasaran 30 peratus pengisian antarabangsa bagi musim ini.

IB juga amat kecewa dengan khalayak yang tidak menghormati peraturan. Hal ini amat memalukan dan memperlihatkan masyarakat Malaysia yang masih lagi amat kurang berdisiplin dalam mematuhi peraturan.

Ini termasuk pengambilan gambar dan membuat rakaman dari telefon bimbit kepada program-program di IB meskipun telah dimaklumkan sebelum setiap persembahan berlangsung.

Ini memperlihatkan ada penonton yang tidak menghormati hak cipta karyawan. Baru-baru ini IB terjumpa alat rakaman yang sangat kecil tercicir dari kerusi penonton dan hasil dari perjumpaan itu terdapat rakaman yang dibuat kepada persembahan yang berlangsung.

Perkara ini tidak pernah berlaku sekiranya kita menonton di Broadway New York atau West End London.

Peraturan lain seperti membawa kanak-kanak bawah umur dan etika pakaian sering menjadi pertelagahan antara khalayak dan penyambut tetamu IB.

Apakah persiapan Istana Budaya untuk program-program musim 2010?

MOHAMED JUHARI: Dalam kesempatan ini, IB masih lagi mengalu-alukan permohonan daripada syarikat-syarikat produksi yang berminat untuk menghantar proposal (kertas cadangan) program dalam semua bidang kesenian untuk disaring oleh Panel Penilai Kementerian.

Tarikh tutup permohonan ialah pada 31 Ogos ini. Istana Budaya memberi keutamaan program-program yang menjurus kepada gagasan 1Malaysia sebagai sokongan kita kepada pimpinan Perdana Menteri kita.

Fiksyen sains dengan kritikan sosial

Fiksyen sains dengan kritikan sosial


Salah satu adegan cemas dalam filem District 9 yang kini sedang
ditayangkan di pawagam tempatan.


JIKA bukan kerana nama Peter Jackson yang terkenal dengan filem Lord of the Rings barangkali filem ini kurang mendapat perhatian. Apatah lagi nama pengarah dan barisan pelakon utama filem ini bukanlah nama-nama yang lazim di kalangan pengemar filem.

Dalam perkembangan industri filem hari ini filem-filem genre fiksyen sains yang mengangkat kisah ancaman daripada makhluk asing sebenarnya tidak banyak yang berjaya menarik perhatian khalayak. Hal ini kerana sedemikian banyak filem fiksyen sains yang stereotaip, yang mengulang-ngulang keagongan dan kehebatan Amerika Syarikat dalam menyelamatkan dunia daripada ancaman makhluk asing. Atau cuba memaparkan kehebatan teknologi mereka untuk menyaingi kehebatan teknologi makhluk asing. Membosankan. Tetapi kemunculan filem ini dengan nama Peter Jackson di belakangnya sudah cukup untuk menarik perhatian kita. Filem District 9 terkeluar daripada kelaziman ini. Biarpun filem ini masih mengenai kemunculan makhluk asing tetapi latar filem ini sudah berubah. Filem ini mengambil kota Johannesburg, Afrika Selatan sebagai latar. Apa yang lebih menarik filem ini melihat satu bentuk hubungan di antara manusia dan makhluk asing yang kelihatan seperti udang bersesungut tetapi mempunyai keupayaan pemikiran dan tindakan fizikal seperti manusia. Makhluk asing yang mendarat di Johannesburg 20 tahun dahulu dan kemudian tinggal di bumi Afrika itu akibat daripada terkandasnya kapal induk mereka telah membiak hingga mewujudkan koloni makhluk asing yang besar. Mereka tinggal di District 9 sebuah kawasan perumahan yang diwujudkan untuk mereka. Populasi yang pantas bertambah hingga menyebabkan kawasan itu menjadi kawasan setinggan yang padat, kumuh dan kotor. Kawasan yang sedia sesak itu menjadi bertambah kacau dan berbahaya apabila wujudnya perniagaan haram dan penyeludupan senjata yang dilakukan oleh sekumpulan orang-orang Nigeria. Pihak berkuasa telah melantik sepasukan pengawal keselamatan persendirian yang dikenali sebagai Multinational United (MNU) yang mengkhusus dalam penyelidikan senjata untuk membuat pengawasan dan keselamatan. Disebabkan penambahan populasi yang pantas hingga mencapai jumlah 1.8 juta penempatan, mereka perlu dipindahkan ke daeran baru yang dikenali sebagai District 10 yang terletak 240 km dari Johannesburg. Pegawai yang bertanggungjawab untuk mengetuai operasi pemindahan ini adalah Wikus van der Merwe (Sharlto Copley). Tetapi proses pemindahan ini tidak mudah dan cukup berbahaya.Sebenarnya yang mengacau dan menakutkan apabila Wikus sendiri berhadapan perubahan dirinya yang mengalami transformasi sedikit demi sedikit menjadi makhluk asing kesan daripada cantuman DNA dia dengan makhluk asing tersebut akibat terkena sejenis cecair yang dicipta oleh Christopher, nama panggilan makhluk asing oleh MNU, yang sebenarnya membuat penyelidikan untuk kembali ke planet mereka. Proses metamorfosis ini adalah antara adegan yang menakutkan dan sekali gus tragedi yang memilukan dalam filem ini. Wikus mengalami kesan transformasi seperti yang dilalui oleh Gregor Samsa dalam Metamorphosis karya Kafka dan Prof. Brundle (Jeff Goldblum) yang berubah menjadi lalat dalam The Fly (David Cronenberg). Filem District 9 yang diarahkan oleh pengarah kelahiran Afrika Selatan, Neill Blomkamp sebenarnya bertitik tolak daripada filem pendek Alive In Joburg karya Blomkamp sendiri yang dipanjangkan. Blomkamp cuba membawa pendekatan dokumentari untuk memberikan elemen realiti kepada filem genre fiskyen sains ini apabila adegan pembukaan dan penutup yang mewawancara beberapa orang saksi yang mempunyai pendapat dan persepsi sendiri tentang apa yang berlaku. Pendekatan seperti yang dilakukan oleh filem Blair Witch Project membuatkan ancaman makhluk asing, kesan sesak dan kotor itu kelihatan lebih real dan lebih menakutkan.District 9 adalah sebuah fiskyen sains yang mempunyai lapisan politik yang mengingatkan kita kepada tindakan apartheid di Afrika Selatan. Sepertimana masyarakat kulit hitam yang menerima layanan kelas kedua, ditindas dan dipaksa tinggal dalam keadaan yang tidak selesa, hal yang sama dilalui oleh makhluk-makhluk asing tersebut. Mereka diburu dan dizalimi. Apabila Wikus mengalami transformasi, dia menjadi mangsa buruan atas sebab penyelidikan dan nilai perubatan.Walaupun District 9 membawa sebuah genre yang selalunya mengulang formula dan pendekatan yang sama, tetapi filem arahan Neill Blomkamp terkeluar daripada jalur kebiasaan itu. Hasilnya sebuah filem fiksyen sains yang mempunyai jalur politik dan kritikan sosial yang sangat menarik.

Dokumentari Finas ditonton 290 juta penonton

Dokumentari Finas ditonton 290 juta penonton


Dari kiri: Wong Kam Hoong, Mohd. Mahyidin Mustakim, Mok Choy Lin dan Basil Chua pada majlis pelancaran dokumentari terbaru terbitan Finas dan NGCI, Fight Masters: Silat di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.


USAHA Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (Finas) menerbitkan dua filem dokumentari berjudul Becoming A King dan Smart Tunnel pada tahun lalu merupakan langkah jangka panjang yang bijak serta menguntungkan negara.

Dua dokumentari yang diterbitkan dengan kerjasama saluran televisyen (TV) National Geographic Channels International (NGCI) itu misalnya, telah memperkenalkan nama Malaysia di peringkat antarabangsa.

Pengerusi Finas, Datuk Wong Kam Hoong berkata, filem dokumentari itu juga mempunyai aset intelektual yang tinggi nilai komersialnya di mana ia mampu merentasi sempadan dunia dan boleh dikongsi oleh pelbagai bangsa.

"Melalui penerbitan dokumentari Smart Tunnel dan Becoming A King yang telah disiarkan menerusi saluran National Geographic itu, jangkauan siarannya meliputi 290 juta isi rumah dan dialih kepada 27 bahasa.

"Secara total, perkongsian pintar ini memberi faedah besar kepada negara dan rakyat daripada segi pasaran serta pendedahan. Dengan cara ini, budaya dan cara hidup masyarakat kita dapat didedahkan kepada para penonton di seluruh dunia.

"Ia sekali gus membuka ruang kepada filem-filem lain untuk ke pasaran antarabangsa," katanya pada majlis pelancaran dokumentari terbaru terbitan Finas dan NGCI berjudul Fight Masters: Silat di Finas, Hulu Klang, Selangor, baru-baru ini.

Menurut Kam Hoong, usaha sama Finas dan NGCI itu juga secara tidak langsung mampu menjana kepada peningkatan imej dan tahap profesionalisme di kalangan karyawan filem tempatan daripada sudut amalan kerja, pengetahuan serta kemahiran.

Dokumentari Becoming A King memaparkan upacara di sebalik pertabalan Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin, manakala Smart Tunnel pula mengisahkan pembinaan terowong untuk laluan jalanraya dan alternatif ketika banjir di Kuala Lumpur.

Hadir sama pada majlis pelancaran itu ialah Pengarah National Geographic Asia, Basil Chua, Pengarah Produksi National Geographic International, Mok Choy Lin serta Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim.

Sementara itu, Mohd. Mahyidin Mustakim pada majlis itu turut mengumumkan Finas akan terus bekerjasama dengan NGCI bagi menerbitkan dokumentari keempatnya berjudul Great Apes of Asia yang akan ditayangkan sama ada pada hujung tahun ini atau tahun depan.

Selain berkongsi pengalaman dan kepakaran penerbitan dokumentari bersama NGCI, Finas juga katanya, berharap usaha itu akan membantu mengembangkan lagi budaya tempatan ke peringkat antarabangsa.

"Justeru sokongan yang diberikan oleh kerajaan melalui Finas adalah manifestasi kepada Dasar Perfileman Negara yang memfokuskan kepada pembangunan industri filem Malaysia secara holistik dan kolektif.

"Sempena Hari Kemerdekaan negara yang ke-52, tayangan dokumentari Fight Masters: Silat ini merupakan pencapaian yang boleh dibanggakan oleh seluruh rakyat Malaysia kerana penerbitannya melibatkan karyawan-karyawan tempatan yang secara tidak langsung menjana kualiti bertaraf dunia," ujarnya.

Dokumentari Fight Masters: Silat arahan Justin Ong itu akan disiarkan secara eksklusif menerusi saluran National Geographic di Astro saluran 553 pada 31 Ogos ini pukul 9 malam di mana ia sempena sambutan Hari Kemerdekaan negara.

Ia mengisahkan seorang warga Amerika Syarikat, Joel yang berkunjung ke Malaysia bagi mempelajari seni silat Melayu seperti Gayung selain memaparkan tentang teknik-teknik serta kesan daripada pertarungan yang membabitkan seni mempertahankan diri tersebut.

Salina akui kurang popular

Salina akui kurang popular


SALINA menggenggam Anugerah Pembantu Pelakon Wanita Terbaik pada FFM22.


LAKONAN aktres yang berstatus ibu beranak satu ini tidak harus dipertikaikan sementelah, anugerah Pelakon Pembantu Terbaik pada Festival Filem Malaysia ke-22 (FFM22) sudah menjadi miliknya.

Namun, apa yang menjadi persoalan kenapa baru kini bakat pelakon Salina Saibi mula meraih perhatian sedangkan usia penglibatannya dalam dunia lakonan sudah mencecah lapan tahun. Bahkan sudah lebih 100 buah drama pernah menggunakan khidmatnya.

Salina yang ditemui pada majlis FFM22 baru-baru ini juga tidak mempunyai jawapan kepada persoalan itu. Katanya anugerah yang diterima hasil lakonannya dalam filem Bohsia, merupakan satu kejutan yang tidak pernah terlintas di fikirannya.

"Saya pun tidak tahu kenapa saya tidak berapa dikenali, apa yang saya tahu saya berlakon kerana minat dan untuk mencari rezeki. Populariti saya tolak ke tepi dan kurangnya publisiti mungkin antara punca diri saya kurang menyerlah berbanding pelakon lain," ujarnya.

Terpilih sebagai pemenang bagi kategori yang disaingi oleh pelakon-pelakon popular dan lebih senior seperti Norkhiriah, Vanidah Imran, Adibah Nor dan Scha, Salina menganggap ia satu hadiah yang tidak terhingga buatnya.

Tambah Salina lagi, saat dia belum lagi bangun daripada kejutan apabila tercalon dalam FFM22 buat pertama kali, dia telah menerima satu lagi kejutan apabila diumum sebagai pemenang.

"Sebenarnya semasa nama saya tercalon dalam FFM22 saya tidak boleh tidur tiga malam dan sememangnya tidak jangka langsung akan menang.

"Saya melihat diri saya antara nama paling tidak popular berbanding nama pelakon yang lain tetapi apabila nama diumumkan saya bagai tidak percaya. Alhamdulillah orang mula nampak bakat saya," katanya.


SALINA di samping suami, Azmir dan anak mereka Farah Syakira semasa temu bual bersama sisipan Pesona Kosmo!.


Rezeki Anak

Selain lakonan mantap sebagai Amy dalam filem arahan Syamsul Datuk Yusof itu, Salina mengakui sejak mendirikan rumah tangga bersama pasangannya Azmir Osman, 46, dan dikurnia cahaya mata Farah Syakira, 4 bulan, rezekinya semakin mencurah-curah.

"Saya anggap ini rezeki anak dan berkat perkahwinan. Sebelum ini orang tidak kenal saya, tetapi sebaik sahaja saya berkahwin, tawaran berlakon filem buat pertama kalinya hadir, meskipun ketika itu saya sudah bergelar status isteri. Menariknya watak yang diberikan kepada saya adalah seorang bohsia.

"Banyak juga yang cakap sudah kahwin nak berlakon lagi watak sebegitu sedangkan sebelum kahwin pun saya sering diberi watak jahat sahaja. Tetapi semuanya berbaloi apabila saya menang anugerah ini," bicaranya lagi.

Meskipun banyak tawaran lakonan yang diterimanya, kerisauan tetap bersarang dalam hati wanita berusia 27 tahun ini tentang mitos tradisonal yang konon pelakon wanita yang berkahwin kurang tawaran lakonan tambahan pula orang yang tidak popular sepertinya.

"Mulanya saya bimbang juga bila kahwin tawaran lakonan semakin kurang, tetapi syukur kemenangan ini telah membuka mata saya sendiri dan pihak lain serta berharap bakat saya lebih dihargai selepas ini.

"Selepas filem Bohsia ada beberapa tawaran filem yang datang tetapi masanya pula tidak kena kerana masa itu masih dalam pantang saya anggap sahaja tidak ada rezeki.

"Saya pun kalau boleh tidak berjauhan dengan anak dalam tempoh yang lama kerana anak masih kecil," ulasnya yang pernah berlakon dalam drama bersiri popular Gerak Khas.

Walaupun telah mencacat sejarah sebagai penerima anugerah dalam FFM 22, Salina menjelaskan dia langsung tidak terbeban dengan anugerah yang diterimanya.

Malahan, anugerah tersebut bukan penyebab untuknya menjadi semakin selektif dalam memilih tawaran drama mahupun filem kelak.

"Saya tidak rasa terbeban sebaliknya seronok dan menjadikan ia sebagai motivasi untuk saya lakukan yang terbaik pada masa akan datang.

"Selain itu, saya juga tidak akan berubah. Mana-mana tawaran yang datang saya akan menerimanya asalkan kena dengan waktu dan jadual saya. Maklumlah saya ada anak kecil," katanya dalam tawa.

Bagaimanapun, dalam nada kegembiraan itu, Salina berharap agar ada perubahan daripada penerimaan masyarakat terhadap bakat dan dirinya.

"Saya harap selepas ini perjalanan saya dalam dunia seni akan berjalan lebih lancar dan saya amat berharap akan memperoleh watak yang berbeza dari apa yang sering lakonan sebelum ini.

"Kiranya, jika pihak penerbit tahu akan bakat saya, mungkin mereka boleh lebih bereksperimen dengan kebolehan lakonan yang saya miliki," luahnya yang semakin bosan dengan watak hitam yang sering dilempar kepadanya.

80,000 di Dataran Dungun

80,000 di Dataran Dungun

Oleh NORZASRUDIN MOHAMED NOR
norzasrudin@kosmo.com.my

ANCAMAN virus H1N1 tidak dapat menghalang keinginan warga Dungun, Terengganu untuk berkumpul dan menyaksikan Konsert Gempak Gegar Bersama One Drop Perfumes baru-baru ini.

Mungkin kerana sudah lama tiada penganjuran konsert di daerah tersebut, mendorong lebih 80,000 penonton membanjiri Dataran Dewan Merdeka bagi memeriahkan konsert anjuran stesen radio THR Gegar.

Malah, berbanding persembahan pertama di Kuantan, Pahang pada 8 Ogos lalu, kehadiran penonton pada malam tersebut meningkat dua kali ganda.

Melihat jumlah penonton tersebut, ternyata pengaruh stesen radio No. 1 di Pantai Timur itu dan pengedar wangian tempatan, One Drop Sdn. Bhd. (One Drop), tidak dinafikan cukup besar.

Lagi pula artis yang ditampilkan bukanlah calang-calang. Nama Amy (Search) dan Saleem (Iklim) sudah cukup membuat peminat teruja.

Persembahan malam itu dibuka dengan persembahan artis solo, Fazli Zainal yang mendendangkan lagu popularnya Harapan dan Kalbu. Ia kemudian disusuli dengan persembahan Ezlynn yang menyanyikan lagu hit, Hi Hi Bye Bye dan Jikalau Aku.

Sorakan penonton bertambah hangat apabila Azharina menaiki pentas untuk mendendangkan lagu Elegi Sepi dan Rawan.

Kemunculan kumpulan Khalifah menambah kehangatan apabila penonton turut bersama menyanyikan lagu Khalifah dan Saiba.

Artis kelahiran Terengganu, Saleem membuat kemunculan yang dinantikan peminat apabila berduet dengan vokalis kumpulan, Khalifah mendendangkan lagu popular kumpulan Jinbara, Kasihnya Laila.

Sebaik bekas penyanyi kumpulan Iklim itu meninggalkan pentas, Khalifah meneruskan persembahannya dengan lagu Cintaku Dewi Kamala.

Para penyampai radio THR juga tidak melepaskan peluang menghiburkan penonton dengan persembahan tarian ala Bollywood oleh Nasa, Suzana, Nazrin, Ezlyn, Gina, Nadira dan Azaari.

Habis sudah tarian Bollywood, giliran Ramlah Ram untuk menghiburkan peminat dengan lagu popularnya Ketentuan dan Diam Diam Jatuh Cinta.

Penampilan kumpulan AXL yang mendendangkan tiga lagu iaitu Pesanan Rock N Roll, Andai Dapat Ku Undur Masa dan Akulah Kekasihmu turut mendapat sorakan gemuruh.

Saleem sekali lagi menaiki pentas untuk menyampaikan lagu yang dipopularkan oleh kumpulan Sweet Charity, Kamelia dan Trilogi Cinta.

Meskipun dihujani dengan pelbagai kontroversi, bekas penyanyi kumpulan Iklim itu masih mendapat sambutan hangat di kalangan peminat.

Sorakan penonton bertambah kuat apabila Amy Search muncul di atas pentas dengan lagu Tiada Lagi dan Kerja Gila.

Ketika mendendangkan lagu hit kumpulan Search, Isabella, Amy membuat kejutan apabila membawa naik dua anaknya ke atas pentas sambil meminta penonton menyanyi bersama.

Tiba di penghujung konsert, kehangatan semakin terasa dengan persembahan rancak daripada kumpulan Kristal dengan lagu Gembira Hidup dan Memburu Impian.

Kumpulan itu kemudiannya meneruskan persembahan mereka dengan lagu medley Zunika dan Keindahan Pantai sebelum konsert berakhir pada pukul 12 tengah malam.

Menurut Penolong Pengurus Program THR Gegar, Azhari Atan, kehadiran penonton yang ramai membuktikan bahawa stesen radio THR Gegar mempunyai ramai peminat di Pantai Timur.

Pengarah Urusan One Drop, Josafri Johari berkata, konsert itu menjadi medan terbaik untuk mempromosikan produk One Drop.

Selain itu, pendengar setia stesen radio itu juga dapat bersua dengan deejay-deejay kesukaan mereka.

Bintang legenda tunjuk taring

Bintang legenda tunjuk taring


ABDUL RAHMAN (empat dari kiri) memusingkan piring hitam sebagai tanda pelancaran Festival Filem Klasik Paradise 2009 sambil diperhatikan oleh (dari kiri) Jins Shamsudin, Jeff De Zilva dan Mustapha baru-baru ini.


WALAUPUN era kegemilangan mereka telah berlalu, tetapi gemerlapan populariti seniman dan seniwati legenda tanah air ini tidak pernah luput di mata peminat.

Buktinya, kehadiran nama-nama popular seperti Senator Tan Sri Jins Shamsudin, Datuk Mustapha Ma'arof, Datuk Maria Menado, menghangatkan Festival Filem Klasik Paradise Kelima (FFKP5) yang diadakan di Pulau Pinang baru-baru ini.

Mereka antara 15 artis legenda yang hadir memeriahkan acara tahunan anjuran Hotel Paradise Sandy Beach Resort (Paradise) Batu Feringghi pada pertengahan Ogos lalu.

Diadakan sebagai menghargai jasa dan sumbangan anak-anak seni era terdahulu kepada negara penganjurannya boleh dikatakan bersifat cukup nostalgik biarpun tiada filem-filem klasik yang dipertandingkan.

Ini kerana barisan artis-artis 'lama' yang hadir bukanlah nama-nama kecil antaranya ialah Datuk Aziz Satar, Kuswadinata, Mariani Ismail, Salmah Ahmad, R. Ismail, Sofiah Ibrahim, Aimi Jarr, Kassim Masdor dan tidak ketinggalan artis-artis era 70-an dan 80-an seperti Uji Rashid, Hail Amir serta Imuda.

Rosyam Nor yang sepatutnya mengacarakan majlis makan malam itu bagaimanapun tidak dapat menyempurnakan tugasan itu kerana kecederaan di tangan kanan. Tetapi Rosyam tetap hadir memeriahkan majlis.

Seperti penganjuran sebelum ini, untuk tahun kelima, FFKP turut menayangkan filem-filem klasik terpilih di sekitar pantai berdekatan dengan resort sepanjang tiga hari penganjurannya.

Kali ini tiga filem klasik Melayu dipilih iaitu Sumpah Puntianak, Pendekar Bujang Lapuk dan Panca Delima ditontonkan kepada pengunjung hotel diikuti senimar filem Melayu. Seminar itu turut disertai penuntut universiti dan kolej tempatan khususnya mereka yang mendalami pengajian seni persembahan.

"Penganjuran FFKP adalah untuk mendedahkan khalayak dengan nilai seni yang boleh dimanfaatkan daripada karya-karya klasik yang tiada tolok bandingnya ini," ujar Pengurus Paradise, Jeff De Zilva.

Semasa menyampaikan ucapan pembukaan pada majlis makan malam FFKP5 itu, beliau memberitahu majlis itu diadakan bagi mengajak rakyat Malaysia khususnya menghargai karya seni tinggalan seniman seniwati handalan tanah air.

Hadir sama memeriahkan majlis tersebut ialah Yang Dipertua Negeri Pulau Pinang, Tun Abdul Rahman Abbas, Ketua Pengarah Finas, Mohd. Mahyidin Mustakim dan Pengerusi Jawatankuasa Pelancongan Negeri, Law Heng Kiang.

Majlis yang dihadiri kira-kira 500 jemputan itu diserikan dengan persembahan nyanyian artis-artis legenda yang ternyata masih bertenaga dengan iringan muzik diketuai komposer legenda, Kassim Masador.


MEMORI 70-an, Uji Rashid dan Hail Amir berduet bersama mendendangkan lagu Antara Matamu Dan Mataku.


Ternyata, bintang-bintang legenda ini masih tebal bisanya. Malah tidak keterlaluan jika dikatakan mutu nyanyian mereka lebih berkualiti daripada bintang-bintang segera program realiti TV tanah air.

Buktinya, pelakon Sofia Ibrahim yang memulakan persembahan dengan mendendangkan lagu Unchained Melody mendapat tepukan gemuruh hadirin. Kelunakan suara bintang filem Merdeka Studio ini yang bertenaga cukup memukau.

Bagi generasi muda, nama penyanyi R.Ismail mungkin kedengaran asing, tetapi dalam filem Melayu lama, bintang legenda ini cukup besar pengaruhnya.

Suara nyayiannya banyak digunakan dalam filem-filem lakonan hero Melayu legenda, seniman Allahyarham Nordin Ahmad. Kemunculan R. Ismail berduet dengan Sofia Ibrahim mendendangkan lagu Gurindam Jiwa yang dipetik dari filem Seri Mersing cukup menyentuh jiwa.

Kemuculan primadona filem Melayu era 70-an, Uji Rashid bersama pasangan duetnya, pelakon dan penyanyi Hail Amir dengan lagu Antara Matamu Dan Mataku turut mengembalikan kenangan hadirin ke zaman kegemilangan mereka.

Legenda lawak, Datuk Aziz Satar kemudian berduet bersama heroin filem Melayu, Salmah Ahmad menyanyikan lagu Aci-aci Buka Pintu yang dipetik daripada filem Nasib Si Labu-labi cukup menghiburkan. Aksi bersahaja Aziz Satar membayangkan penonton seolah-olah melihat lakonannya dalam filem Bujang Lapuk.

Sementara itu, Mustapha yang juga Pengerusi Seniman ketika ditemui memuji kesungguhan Paradise menganjurkan festival filem itu sejak lima tahun lalu sebagai pengiktirafan kepada karyawan filem Melayu lama.

Katanya, tahun hadapam FFKP akan diperluaskan dengan menganjurkan Malam Anugerah Klasik yang mempertandingkan filem-filem Melayu era 50-an sepertimana Festival Filem Malaysia.

Salman masih dipukul ibu

Salman masih dipukul ibu

SALMAN KHAN sememangnya antara aktor yang cukup terkenal dengan bentuk badan yang sasa dan menggoda. Bahkan, dia selalu menjadi tajuk muka depan akhbar kerana sering bergaduh dengan ramai orang baik bergaduh mulut atau bertumbuk.

Bagaimanapun ramai yang tidak tahu yang Salman sebenarnya sehingga kini walaupun sudah berusia 43 tahun masih dipukul oleh ibunya, Salma.

"Semasa zaman kanak-kanak, Salman seorang yang sangat nakal. Dia yang paling banyak menerima pukulan daripada saya berbanding adik-beradiknya yang lain...sehingga sekarang saya masih memukul dia," beritahu Salma dalam satu temu bual dalam program Tere Mere Beach Mein bersama pengarah, Farah Khan.

Apabila Farah bertanya, "Adakah ia seperti satu tepukan perlahan? Salman kemudian membalas, "Kamu gila? Ia satu pukulan atau tamparan yang kuat. Saya terhoyong-hayang kerana pukulan kuat itu dan tertanya daripada mana ibu mendapat kekuatan itu. Saya beritahu dia bagaimana mama boleh pukul saya lagi, saya sudah besar sekarang"

Salma menjadi tetamu pertama program yang akan disiarkan di STAR Plus itu.

Sesetengah aktor merahsiakan kehidupan keluarga mereka, bagaimanapun ramai yang memuji keterbukaan Salman. Suatu lagi perkara yang menarik mengenai perhubungan dua beranak itu, sehingga sekarang Salma akan menunggu Salman pulang daripada penggambaran biarpun sampai lewat malam.

Salma memberitahu semua anaknya sering memarahinya kerana menjadikan ia satu tabiat biarpun mereka sudah dewasa.

Saif, Kareena enggan berenggang

Saif, Kareena enggan berenggang

ENGGAN berada jauh daripada cinta, pasangan pelakon, Saif Ali Khan dan Kareena Kapoor seboleh-bolehnya mahu berlakon bersama dalam kebanyakan filem mereka.

Seperti yang diketahui, Kareena begitu gemar berlakon di bawah pengarah Imtiaz Ali, lebih-lebih lagi bersama produksi Saif sendiri.

Bagaimanapun, Imtiaz buntu kerana enggan menggandingkan Kareena dengan Saif, sebaliknya mahu Saif digandingkan dengan Deepika Padukone.

Setakat ini, pasangan tersebut telah pun digandingkan bersama dalam filem Love Aaj Kal, Agent Vinod dan Qurbaan.

Setelah beberapa lama, mereka terpaksa akur bahawa mereka perlu bekerja secara profesional bersama dengan pelakon-pelakon lain.

"Seboleh-bolehnya kami mahu berlakon bersama. Cuba bayangkan jika masing-masing mempunyai penggambaran sendiri, ia akan membuatkan kami sukar untuk bersama.

"Tetapi bila sudah melakonkan beberapa filem, kami memutuskan untuk berlakon berasingan sekali sekala agar peminat tidak bosan," kata Kareena.

Bipasha Basu : Hadiah lampu chandelier

Hadiah lampu chandelier


BIPASHA BASU


SIAPA yang tidak gembira bila buah hati menghadiahkan sesuatu yang begitu diinginkan sebelum ini.

Sama seperti pelakon jelita, Bipasha Basu yang mengadakan majlis meraikan rumah baru, apabila kekasihnya, John Abraham telah mengejutkan pelakon itu dengan hadiah lampu chandelier antara yang terbaik di dunia.

Sebelum ini, ketika sedang mencari perabot serta beberapa barangan rumah bersama John, Bipasha pernah menyatakan hasratnya untuk mendapatkan lampu idamannya yang hanya ada di London itu setelah wangnya mencukupi.

Kebetulan pula, John yang sibuk menjalani penggambaran di kota tersebut, membelikan lampu tersebut demi kekasih hatinya itu.

"Saya tak sangka yang dia sanggup membeli lampu itu. Saya harap, lampu itu kekal seperti cinta kami sehingga akhir hayat," katanya yang enggan memberitahu harga lampu chandelier tersebut.

Priyanka setuju berehat

Priyanka setuju berehat


PRIYANKA CHOPRA


SETELAH menerima pelbagai kritikan mengenai jadual kerja yang terlalu padat, akhirnya pelakon seksi, Priyanka Chopra terpaksa akur dengan nasihat teman serta peminat-peminatnya untuk berehat buat sementara waktu.

Priyanka begitu terkenal dengan jadual kerja yang agak melampau sehinggakan pelakon tersebut pernah dikatakan antara pelakon yang paling sibuk di Bollywood.

Malah, dia kerap menerima tawaran tiga filem yang memerlukan masa penggambaran yang sama sehinggakan dia terpaksa bekerja 20 jam sehari.

Kesibukannya itu membuatkan Priyanka kerap pengsan. Bagaimanapun, doktor yang merawatnya menasihatkan agar dia perlu merehatkan badan.

Oleh kerana sukar untuk meluangkan masa bersama Priyanka, keluarganya merancang untuk bercuti bersama di sebuah pusat peranginan di India.

"Saya harap, dia akan lebih tenang bila bersama kami nanti," kata salah seorang keluarga pelakon tersebut yang enggan namanya didedahkan.

Rumah Lohan dipecah masuk

Rumah Lohan dipecah masuk


GAMBAR menunjukkan rumah Lohan di Los Angeles.


LOS ANGELES - Rumah pelakon terkenal, Lindsay Lohan di Hollywood Hills dipecah masuk, kata seorang pegawai publisitinya, Leslie Sloane-Zelnik kelmarin.

Menurut Sloane-Zelnik, kejadian itu berlaku semasa pelakon filem Mean Girls itu bersama adiknya, Ali, tidak berada di rumah.

Sejumlah barang-barang peribadi milik Lohan diambil pencuri berkenaan tanpa rasa belah kasihan, kata Sloane-Zelnik.

Jurucakap polis Los Angeles, Norma Eisenman berkata, pihaknya sedang menyiasat mengenai sejumlah barang yang dilaporkan hilang itu.

Sloane-Zelnik berkata, polis diberikan rakaman video kamera litar tertutup (CCTV) yang dipasang di rumah Lohan. - AP

Ryan Jenkins : Bintang realiti TV ditemui mati bunuh diri

Bintang realiti TV ditemui mati bunuh diri


GAMBAR fail menunjukkan Jenkins dengan Fiore.


VANCOUVER - Seorang bintang siri realiti televisyen, Ryan Jenkins yang dikehendaki polis berhubung pembunuhan kejam bekas isterinya, Jasmine Fiore, ditemui mati tergantung di sebuah motel terpencil di sini kelmarin.

Pihak berkuasa melaporkan, Jenkins dikehendaki polis Orange County, California, di Amerika Syarikat (AS) kerana membunuh dengan niat Fiore.

Mayat Fiore yang merupakan bekas model Playboy ditemui di dalam sebuah bagasi di sebuah tong sampah dalam keadaan bogel di Los Angeles pada 16 Ogos lalu.

"Mayat Jenkins ditemui tergantung di dalam bilik hotelnya oleh seorang pekerja hotel," kata jurucakap pejabat Pendakwa Raya Orange County, California.

Seorang anggota polis Kanada, Sarjan Duncan Pound berkata, mayat Jenkins dijumpai oleh pengurus Motel The Thunderbird, Ahad kelmarin iaitu 160 kilometer ke timur Vancouver.

Mayat Jenkins dikenali melalui cap jari dan keluarganya telah dimaklumkan mengenai kejadian itu sebelum polis mendedahkannya kepada pihak media.

Pengurus Motel Thunderbird, Kevin Walker berkata, Jenkins dilihat tiba di motel itu dengan menaiki sebuah kereta bersama seorang wanita sebelum mendaftar di motel tersebut. - Agensi

Monday, August 24, 2009

HIBURAN : ISNIN 24 OGOS 2009


Fasa hidup Eja kini berbeza
BARANGKALI berita kehamilan dramatis popular ini bukan lagi saturahsia. Begitu juga dengan cerita perkahwinannya yang pada satu ketikamerupakan berita yang cukup hangat diperdebatkan.


Dulu juruhebah, kini jurunikah
TATKALAmata penulis liar mencari personaliti yang ingin ditemui, tiba-tibapandangan terpaku kepada seorang lelaki yang sedang khusyuk menunaikansolat sunat masjid berhadapan mimbar di Masjid Tengku Kelana JayaPetra, Kelana Jaya, Selangor.


Ramadan, Merdeka bersama Astro Citra
SEJAKberoperasi bermula 1 Jun lalu, saluran Citra (saluran 131, Astro) yangditawarkan dalam pakej Mustika semakin mendapat perhatian.







Mohon cahaya mata Ramadan
Tanggal 21 Ogos hadir lagi. Tarikh keramat dalam hidup seorang divanegara. Tiga tahun lalu, ia menjadi detik penamat segala spekulasipaling hangat dalam sejarah industri hiburan tanah air apabila DatukSiti Nurhaliza Tarudin sah memilih Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwasebagai lelaki yang bertakhta dalam hatinya.


AC? kenakan AC Mizal
"Saya cuba mencipta pelbagai keseronokan supaya ramai penonton dantetamu faham dengan program ini serta tidak takut lagi apabila kamipanggil untuk turut serta" – AZWIN


Renee mahu lelaki bijak
AKTRES Renee Zellweger hanya akan bercinta dengan lelaki bijak. Diayang baru-baru ini dikatakan menjalin hubungan romantis dengan BradleyCooper mengaku bahawa lelaki itu mempunyai senarai kualiti yangdiperlukan sebagai lelaki idamannya.


Penyanyi minta maaf kerana kokain
LONDON - Penyanyi yang pernah popular semasa menjadi anggota AtomicKitten, Kerry Katona meminta maaf dan malu dengan perbuatannya yangmenagih kokain, lapor sebuah akhbar semalam.


Stewart nyanyi lagu untuk anak
LOSANGELES - Penyanyi terkenal, Rod Stewart mungkin telah membatalkanpersembahannya dalam satu konsert kerana jatuh sakit baru-baru ini.











Sudah berpunya!
RAMADANbertandang lagi tahun ini memberi 1,001 pengertian tersendiri buat kitasemua. Begitu juga kisahnya dengan fasa kehidupan yang sedang dilaluiArtis Baru Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular Berita Harian 2006,Farawahida Razali, 24, ketika ini.

Singgah Sabah bukan noktah
FESTIVALFilem Malaysia Ke-22 (FFM22) yang - melabuhkan tirainya di DewanCanselor, Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini seharusnyamenjadi penanda aras untuk membawa filem tempatan melangkah ke persadamembanggakan tanpa perlu dibelenggu isu kecil yang menghalang semuausaha itu.

Sempena keberkatan Ramadan
RUMAHagam yang terletak di Bukit Antarabangsa di Hulu Klang, pada Jumaatlalu agak meriah berbanding hari biasa. Malah dari jauh lagi sudahkedengaran bacaan ayat-ayat suci memuji kebesaran Ilahi menandakan adaacara sedang berlangsung malam itu.

Zul Eda bakal muncul dengan album baru
NAMANYApernah meniti bibir peminat pada lewat 80-an dan awal 90-an hasilkemasyhuran yang dicipta lagu Pelitaku, Lama Tak Jumpa dan Kelmarin.Lagu dan irama malar hijau itu menempatkan nama penyanyi Zur Eda antarapenyanyi paling dikenali di Malaysia.

Oasis semarakkan Ramadan
MEMASUKItahun kedua, Astro Oasis di saluran 106 kini gah dengan konsepkeagamaan dan kerohanian yang popular ketika ini. Program kerohaniannyayang pelbagai merangkumi bual bicara, drama, kuiz dan menepati citarasa pelbagai usia membuatkan Oasis unggul di kalangan penonton sebagaipilihan kepada apa yang sudah disajikan oleh kebanyakan stesentelevisyen ketika ini.

Dengarnya... Lembing Awang masuk panggung Oktober depan
BARU-BARUini Cik Normah dikejutkan dengan jemputan berbuka puasa daripada sebuahsyarikat filem yang menerbitkan Lembing Awang Pulang Ke Dayang.Terkejut sebab selama ini Cik Normah tidak pernah dihubungi ataudimaklumkan mengenai apa-apa berita berkaitan dengan filem itu.

Dengarnya... Juruhebah radio tak kreatif pada bulan puasa
SYUKURalhamdulillah, masuk hari ini sudah tiga hari kita berpuasa padaRamadan. Daripada cerita rakan setugas Cik Normah, kerja penerbitanuntuk program TV, drama dan filem, khabarnya tetap berjalan sepertibiasa. Cuma rentaknya mungkin diperlahankan. Semuanya terpulanglahkepada penerbit dan pengarah untuk menentukan rentak kerjamasing-masing.

Dengarnya... Apa maksud salam 1Malaysia?
SLOGAN1Malaysia adalah gagasan yang cukup bagus daripada Perdana Menterikita, Datuk Seri Najib Razak. Ringkas, padat, mudah disebut dandiingat, tetapi besar pengertiannya. Cik Normah perasan, iklan slogan1Malaysia boleh ditemui di mana-mana dengan mudah. Kanak-kanak keciljuga sudah hafal dan lancar menyebut 1Malaysia.

Panel TV: Jaafar Onn, Haiza ligat sambut puasa
SETIAPkali tiba Ramadan, hotel terkemuka di seluruh negara tidak melepaskanpeluang mempromosikan juadah berbuka istimewa sepanjang 30 hari penuhkeberkatan.







Doa Siti
KATA nista mahupun gosip liar, nyata Datuk Siti Nurhaliza Taruddin,30, bukanlah orang yang sesuai untuk diuji kerana dia sudah cukup kebaldengan kerenah dunia seni yang penuh ranjau dan duri.

'Sekarang mudah bergelar artis'
FESTIVAL Filem Malaysia ke-22 (FFM22) di Kota Kinabalu, Sabah sudah pun melabuhkan tirai dengan jayanya pada 9 Ogos lalu.

Prema mahu tempa nama
VOKAL yang lantang dan genre muzik pop rock pilihan, nyata taruhantepat bintang baru Prema Yin. Berusia 23 tahun, gadis jelita ini jugabukan sekadar berbakat dalam nyanyian tetapi waktu sama dia bolehmencipta lagu. Ia terbukti dalam mini albumnya, Eyo Eyo.

Saya bukan gadis liar
APABILA menyebut nama wanita ini, pasti peminat hiburan tanah air tertanya-tanya siapa gerangan di sebalik nama Ramona Zamzam.

THR riuhkan Dungun
KETIKA negeri jiran berdepan ancaman penularan wabak Influenza Aatau selesema babi (H1N1) sehingga menyebabkan penduduk 'takut' keluarrumah, situasi demikian tidak sedikitpun menghalang warga Dungun,Terengganu berkumpul beramai-ramai menyaksikan Konsert Gempak GegarBersama One Drop Perfumes, minggu lalu.

Ramai keliru antara Alif dan Aliff
BERKONGSI pangkal nama yang sama, usia mereka pun hampir sebaya.Malah, kedua-dua pemuda comel yang diperkenalkan menerusi programrealiti serta digilai ramai gadis ini menjadikan nyanyian sebagaikarier pilihan.

DEPAN MATA: Antara aura Siti dan Mawi
TANGGAL 21 Ogos lalu, genap tiga tahun Datuk Siti Nurhaliza, 30,bergelar isteri kepada usahawan Datuk Seri Khalid Mohd Jiwa atau DatukK. Tentu ramai yang masih ingat detik bersejarah pernikahan Siti diMasjid Wilayah Persekutuan diikuti persandingannya di Pusat KonvensyenKuala Lumpur (KLCC).

Rubiah tidak lokek ilmu
LAKUKAN seikhlas hati, itulah pegangan pelakon veteran, RubiahSuparman, 62, ketika mengambil keputusan berkongsi pelbagai petuamakanan dalam buku resipinya.

SOSEH SOSEH: Sopanlah ketika berbuka puasa
RASA nyaman dan seronok sungguh apabila tiba Ramadan, bulan yangpaling ditunggu seluruh umat Islam di merata dunia. Ramadan, bukan sajabulan di mana kita diberi peluang untuk melipat-gandakan ibadah denganganjaran pahala, malah ia juga dinantikan anak-anak yatim kerana masainilah layanan banyak tertumpu kepada mereka.

SOSEH SOSEH: Lebih sudu dari kuah
BILA artis jelek perangainya, bolehlah kita tegur. Namun bagaimanapula yang berperangai jelek atau memakai pakaian menjolok mata ituadalah emak si artis?

Bercerita sambil mendidik
RAMADAN datang lagi, pelbagai aktiviti dan program disusun sepanjangmenyambut kedatangan bulan penuh keberkatan. Tidak terkecuali programtelevisyen yang cukup sinonim dengan bulan Ramadan seperti HaiwanTeladan yang disiarkan setiap Isnin hingga Jumaat di TV3 bermula hariini, jam 9 pagi (24 Ogos).

Fasa hidup Eja kini berbeza

Fasa hidup Eja kini berbeza


EJA tetap mempertahankan prinsipnya yang dipegang selama 12 tahun menjadi pelakon.


BARANGKALI berita kehamilan dramatis popular ini bukan lagi satu rahsia. Begitu juga dengan cerita perkahwinannya yang pada satu ketika merupakan berita yang cukup hangat diperdebatkan.

Masyarakat dengan cukup mudah melemparkan tuduhan negatif terhadapnya. Pelbagai label dilekatkan kepada dirinya.

Hipokrit dan penipu - itulah antara dua istilah yang diberikan kepadanya. Kata mereka lagi, apabila sudah mengandung, baru hendak beritahu satu dunia bahawa dirinya sudah menjadi seorang isteri.

Memang benar. Orang di luar sana boleh berkata apa sahaja sedangkan tuan empunya diri mempunyai 1001 alasan untuk mendiamkan diri daripada terus melatah mahupun melenting.

Bagi Siti Shahrizah Saifuddin atau lebih dikenali sebagai Eja, 37, sebagai manusia biasa, dia mempunyai hak untuk tidak menceritakan kepada umum dan masyarakat tentang status dirinya mahupun kehidupan peribadinya.

Tegasnya, itulah prinsip hidupnya sejak mula menceburkan diri dalam dunia seni sejak 12 tahun lalu dan dia sendiri merupakan seorang yang cukup perahsia biarpun kepada ahli keluarganya sendiri.

"Saya bukan seorang yang mudah bercerita dan berkongsi rahsia dengan sesiapa. Malah, bukan mudah juga untuk saya mempercayai sesiapa.

"Selama ini pun, pihak media tahu bahawa saya sudah berkahwin namun atas permintaan saya sendiri, saya meminta dan tidak mahu kisah peribadi saya yang lebih ditonjolkan daripada kisah kerjaya.

"Bagi saya, kerjaya dan peribadi tidak harus dicampuradukkan. Selama ini pun, saya tidak pernah menafikan mahupun mengiyakan tentang status diri saya," demikian luahan Eja sewaktu menjalani sesi fotografi di Hotel Shangri-La, Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur minggu lalu.

Selama ini pun jelasnya, peminat mahupun masyarakat sudah berkali-kali sedar akan kehadiran lelaki yang bernama Mohd. Silahuddin Jamaluddin, 49, yang sering kali menemaninya di majlis-majlis korporat.

Katanya, apabila ada yang menegurnya di luar dan bertanyakan tentang Silahuddin, Eja tanpa segan-silu memberitahu bahawa lelaki itu adalah suaminya.

Saya juga bertanyakan kepada Eja, seandainya dia tidak mengandung, adakah dia akan terus bersikap mendiamkan diri untuk tidak menghebahkan status dan kisah perkahwinannya.

Sambil tersenyum manis, jawapan yang diberikan adalah dengan menganggukkan kepalanya sahaja.

"Macam saya beritahu tadi. Ia adalah pegangan hidup saya sebaik sahaja saya menjejakkan kaki ke dunia seni. Saya berikrar saya mahu kisah kerjaya ditonjolkan berbanding peribadi.

"Pada masa yang sama, saya harus menjaga nama baik suami serta menghormati imejnya sebagai seorang ahli korporat. Dia juga tidak mahu menonjolkan dirinya kerana baginya, biarlah saya seorang sahaja yang dalam dunia seni.

"Kami mengamalkan sikap toleransi dan menghormati dunia serta karier masing-masing. Dia tidak pernah langsung menghalang karier saya. Disebabkan itu, saya tekad untuk tidak memperdagangkan kisah peribadi," ujarnya dalam nada penuh diplomasi.

Kata Eja lagi, keputusannya untuk tidak bercerita tentang dunia perkahwinannya juga bukan bermakna dia menyembunyikan sesuatu yang negatif.

Apatah lagi, dia mendirikan rumah tangga dengan Silahuddin selepas perkahwinan pertama suaminya itu bersama wanita berbangsa asing menemui titik noktah.

Menerusi perkahwinan pertama, Silahuddin dikurniakan sepasang cahaya mata bernama Khatijah Jamaluddin, 17, dan Shane Jacob Jamaluddin, 13, yang kini menetap di Sydney, Australia.

"Maaf, saya bukan wanita seperti itu dan buangkan jauh-jauh pandangan skeptikal itu jika ada yang berfikiran demikian," tuturnya sambil memberitahu dia mempunyai hubungan yang sangat baik bersama dua anak tirinya itu.

Rona bahagia dan gembira jelas terpancar di wajah Eja dan sudah cukup membuktikan bahawa dia sedang melalui serta meniti satu fasa baru dalam hidupnya kini.

mangsa fitnah

Jelas pelakon yang mula dikenali menerusi drama bersiri Rahsia Demi Rahsia ini lagi, bukan dia mahu tampil menjernihkan keadaan tetapi dia tidak mahu anak perempuan yang dikandungnya itu menjadi mangsa fitnah di masa hadapan.

Ini kerana baginya, anak merupakan anugerah teragung yang dikurniakan Allah SWT kepada setiap pasangan yang berkahwin.

Namun, Eja mengakui cabaran mengandungkan anak pertama menjelang usia 40 tahun sememangnya memberikan satu pengalaman yang cukup hebat buatnya.

Apatah lagi, dia sering kali jatuh sakit dan ditambah pula dengan penyakit lelah yang dihidapinya membuatkan pergerakan Eja terbatas.

Malah, untuk mengadakan sesi fotografi bersamanya juga perlu memakan masa yang agak lama memandangkan kesihatannya yang kurang baik sepanjang mengandung.

Dengan penuh jujur Eja mengakui, dia tidak pernah bersedia untuk memiliki anak kerana memikirkan tanggungjawab yang begitu besar yang harus dipikulnya.

"Dulu dan sekarang adalah berbeza. Untuk memiliki anak, bukan satu tugas yang mudah dan ia merupakan tanggungjawab yang diamanahkan kepada kita untuk menjaganya.

"Saya akui pada usia muda, saya tidak bersedia dan takut apabila memikirkan tentang tugas menjadi seorang ibu.

"Tetapi, semakin usia meningkat dan perlahan-lahan barulah hati ini terbuka untuk bergelar seorang ibu. Saya juga mengalami satu kehidupan yang cukup berbeza. Barulah saya tahu bagaimana menjadi seorang ibu," katanya penuh perasaan.

Semuanya bermula apabila dia menjalani penggambaran drama bersiri, Tasbih Cinta arahan Erma Fatima di Jeddah, Madinah dan Mekah sekitar bulan Oktober dan November tahun lalu.

Dalam masa yang sama, dia sempat menunaikan umrah sebanyak dua kali dan ketika di Tanah Suci, hatinya tiba-tiba menjadi sayu, sunyi dan terasa begitu kosong sekali.

Lantas, dia memohon dan berdoa kepada Allah agar diberi petunjuk dan menjawab suara hatinya tentang kekosongan hati yang dialaminya.

Dengan kuasa Allah, hatinya terdetik dan terbuka untuk memiliki anak bagi mengisi kekosongan hatinya.

"Sebaik pulang, saya beritahu suami bahawa saya sudah bersedia untuk memiliki anak dan dia gembira serta menerimanya dengan positif.

"Kemudian kami pergi bercuti ke Amerika Syarikat. Entah mengapa, sejak pulang dari sana saya masih lagi mengidam dan mahu menikmati makanan Barat.

"Saya juga mengalami simptom-simptom ibu mengandung dan apabila membuat pemeriksaan, saya disahkan mengandung. Saya tergamam dan terkejut dan suami pula terus memeluk saya kegembiraan," ceritanya yang membuat keputusan untuk memotong rambutnya ke paras bahu selepas mendapat khabar gembira itu.

Ditanya tentang pemilihan nama anaknya, anak sulung dari lima adik-beradik ini memberitahu, dia dan suaminya sudah memikirkan beberapa nama.

"Percayalah, nama anak kami itu nanti tidak akan ada nama Siti di pangkalnya. Kami mahu kelainan. Cukuplah ibunya sahaja yang ada nama Siti," kata Eja sambil ketawa dan memberitahu berat badannya bertambah sebanyak 10 kilogram sejak mengandung.

Satu yang pasti, kata Eja, Ramadan dan Syawal kali ini memberi makna yang mendalam dan berbeza berbanding sebelumnya.

Untuk pertama kalinya juga, dia akan menyambut puasa dan Aidilfitri di rumah barunya yang terletak di pinggir ibu kota yang kini mengalami pengubahsuaian di peringkat akhir.

Bukan itu sahaja, dia juga cukup seronok sewaktu membeli-belah untuk keperluan anak sulungnya.

Kata Eja lagi, buat pertama kalinya juga apabila berkunjung ke luar negara, tiada satu pun barang yang dibeli untuk dirinya tetapi untuk keperluan anaknya.

"Saya juga bangga kerana sepanjang bulan Ramadan ini, Insya-Allah, saya akan menunaikan solat tarawih dengan penuh biarpun saya tidak mampu untuk berpuasa penuh atas faktor kesihatan.

"Saya juga mahu memiliki anak lagi selepas ini dan kalau dapat sepasang pun, sudah memadai. Namun, itu semua rezeki dan kerja Tuhan. Saya reda dengan apa sahaja ketentuan-Nya," kata pelakon drama bersiri Mya Zara itu yang akan melahirkan bayi sulungnya awal bulan Syawal.

Bagi peminat yang merindui menonton lakonannya di kaca televisyen, pastikan anda tidak ketinggalan menyaksikan drama bersiri Wadi Unung yang kini sedang ditayangkan di saluran Prima (saluran 105, Astro) pada setiap hari Isnin hingga Khamis pukul 6 petang.

Dulu juruhebah, kini jurunikah

Dulu juruhebah, kini jurunikah


HELAN Abu (kanan) ketika menikahkan pengantin, Asri Dahalan di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor minggu lalu.


TATKALA mata penulis liar mencari personaliti yang ingin ditemui, tiba-tiba pandangan terpaku kepada seorang lelaki yang sedang khusyuk menunaikan solat sunat masjid berhadapan mimbar di Masjid Tengku Kelana Jaya Petra, Kelana Jaya, Selangor.

Selesai memberikan salam, dengan pakaian hitam sedondon - bersongkok, berbaju Melayu hitam dan songket hitam, lelaki berusia lebih setengah abad itu bangun dengan tenang mencapai briefcase hitamnya.

Satu demi satu, borang dan buku dikeluarkan daripada begnya dan diatur di atas rehal.

Kemudian dengan tenang dan berhati-hati memeriksa mikrofon, sambil menunggu pasangan pengantin yang akan dinikahkah petang itu.

Walaupun lelaki berusia itu kelihatan berbeza berbanding zaman mudanya dulu, tetapi bagi mereka yang pernah mengikuti rancangan Bakat TV 1971 pasti mengenalinya.

Jika dulu, dia popular sebagai juruhebah, pembaca berita, pengacara rancangan, pengarah drama dan hiburan, dan kelihatan gah sebagai Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998, namun kewibawaannya masih terserlah.

Tepat pada pukul 3.30 petang, suara 'lelakinya' memecah sepi ruang masjid tatkala membacakan lafaz nikah untuk pasangan pengantin, Asri Dahalan, 28, dan Amirah Che Zakaria, 27.

Bagaimanapun, tatkala pengantin lelaki melafazkan penyerahan mas kahwin dan lafaz penerimaan mas kahwin oleh pengantin perempuan, tiba-tiba seorang tetamu yang hadir menyedari jurunikah berkenaan sambil bertanya kepada penulis.

"Jurunikah itu dulu orang RTM kan,?" tanya tetamu pengantin lelaki.

Setelah penulis mengiakan teka-teki itu, sambil ketawa kecil si tetamu wanita itu berkata:

"Patutlah lafaz penyerahan dan penerimaan mas kahwin macam skrip drama TV. Rupa-rupanya orang RTM. Cantik dan menarik sungguh bait-bait ayatnya," kata wanita berkenaan sebaik sahaja selesai majlis tersebut.

Jurunikah yang dimaksudkan itu ialah Mohd. Helan Abu, 66, atau lebih dikenali Helan Abu, iaitu satu nama yang tidak perlu diperkenalkan lagi dalam bidang penyiaran terutama dalam menerbitkan rancangan hiburan dan drama di RTM sekitar tahun 1970-an dan 1980-an.

Tetapi itu adalah cerita 38 tahun dahulu, ketika Helan Abu menjadi salah seorang kakitangan RTM dengan jawatan akhirnya Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran sebelum bersara pada 1998.

Bagaimanapun, sejak 2003, Helan yang juga suami kepada Khatijah Churaimi, 63, lebih selesa duduk di rumah selain menjadi Penolong Pendaftar Nikah setelah ditauliahkan oleh Jabatan Agama Islam Selangor.

Ayah kepada Mohd. Helme, 39, Mohd. Herie, 35, Mohd. Hezle, 34, Mohd. Hefze, 27, Siti Herne, 21, dan datuk kepada tujuh orang cucu ini ketika ditanya mengenai tugas barunya itu, berkata:

"Walaupun sebelum ini saya pernah memegang pelbagai jawatan, tetapi tugas sebagai jurunikah ini begitu mulia. Sebabnya melalui tugas ini saya dapat menghalalkan yang haram."

Sepanjang lima tahun diamanahkan dengan tugas itu, Helan sehingga kini telah menikahkan lebih daripada 100 pasangan termasuklah dari Amerika Syarikat, Britain, Australia, Kanada, Pakistan, Somalia dan India.

"Keseronokan menjalankan tugas ini berbeza daripada keseronokan ketika di RTM. Selalunya selepas menikahkan pasangan pengantin, saya dapat rasakan seolah-olah beban di kepala saya hilang tiba-tiba.

"Bayangkan, mereka yang kita nikahkah sebelum ini melalui pelbagai fasa sebelum mengambil keputusan bernikah.

"Selepas ijab kabul, tiada apa yang merunsingkan pasangan dan Alhamdulillah kebanyakan pasangan yang saya jumpa sudahpun beranak pinak," cerita Helan ketika ditemui selepas majlis pernikahan Asri Dahalan dan Amirah Che Zakaria baru-baru ini.

Sebelum dilantik sebagai Penolong Pendaftar Nikah, Helan yang merupakan seorang daripada lima calon terpaksa melalui peperiksaan untuk melayakkan diri.

Antaranya ujian bertulis di samping membaca ayat-ayat suci al-Quran yang dinilai bacaannya daripada segi tajwid, balaghah, harakat dan fasaha.

Kini walaupun sudah ditauliahkan, dan telah mengikuti lebih daripada 30 kursus agama yang dikendalikan JAIS, Helan masih mengikuti kursus yang diadakan dari semasa ke semasa.

Saat kegemilangannya

Bercakap mengenai saat kegemilangannya di RTM, Helan Abu yang pernah dianugerahkan Bintang Kesatria Mangku Negara (KMN) oleh Yang DiPertuan Agong mengakui, banyak kenangan manis yang pernah diraihnya.

"Sepanjang menceburi bidang penyiaran, tahun 1977 mencatatkan kenangan manis dalam hidup saya kerana tiga buah drama arahan saya Pincang, Condong dan Hujan dicalonkan pada Anugerah Seri Angkasa '77 (ASA 77)," katanya mengimbas kenangan silam.

Pincang benar-benar meninggalkan kenangan manis kepada Helan apabila ia memenangi kategori Drama Terbaik dan Pengarah Terbaik.

Menara Condong pula memenangi kategori Pelakon Lelaki Terbaik, Sidek Hussin dan Pelakon Pembantu Lelaki Terbaik, Nuri Angkasa.

Drama Hujan memenangi kategori Pelakon Kanak-Kanak Terbaik, Iskandar Dzulkarnain dan Pelakon Pembantu Wanita Terbaik, Noraini Hashim.

Selain itu, Helan juga bertindak sebagai penerbit drama PJ yang mana konsepnya seperti soap opera popular pada tahun 1980-an iaitu Dallas dan Dynasty.

"Drama 10 episod itu diarahkan oleh Yassin Salleh dan memang mendapat sambutan kerana ia memaparkan realiti kehidupan golongan korporat dan elit. Bagaimanapun, selepas 10 episod ia dihentikan," cerita Helan.

Bagaimanapun, ketika beliau menjadi Timbalan Ketua Pengarah Penyiaran, sesuatu yang tidak boleh dilupakan apabila RTM diheret ke mahkamah kerana sebuah soap opera yang ditayangkan di stesen itu.

"Drama itu memang sudah dibeli oleh RTM tetapi bayaran hanya akan dibuat setelah ditayangkan. Namun kerana arahan seseorang, pihak RTM tidak menayangkan siri tersebut.

"Namun, apabila mendapat tahu pihak pembekal akan mengambil tindakan undang-undang, RTM menayangkan siri itu.

Titik hitam

"Sayangnya baru episod ke-66 daripada 200 episod ditayangkan, kami mendapat perintah dihentikan kerana pembekal mengambil tindakan mahkamah. Akhirnya apabila tamat perbicaraan mereka menang dan mendapat ganti rugi," cerita Helan tatkala menyingkap titik hitam yang tidak boleh dilupakan.

Selain drama, Helan juga pernah menerbitkan Hiburan Minggu Ini (HMI), yang memang diminati kerana hiburan yang ditampilkan bukan setakat nyanyian sahaja.

Sebaliknya, Helan menampilkan sisi lain seseorang penyanyi itu - bukan setakat boleh menyanyi, malah berlakon, menari dan berlawak.

"Saya masih ingat, HMI yang saya terbitkan sekembalinya saya dari Sarawak setelah dua bulan ditugaskan di sana, ialah Sarena Hashim pada tahun 1976.

"Dalam program yang disiarkan setiap malam minggu itu, Sarena dengan suara manjanya bukan setakat menyanyi malah dia turut berlawak, berlakon dan juga menari.

"Enam minggu berturut-turut Sarena menjadi hos HMI itu dengan artis undangan istimewanya, allahyarham Biduan Negara, Puan Sri Saloma dan Seniwati Datin Saadiah.

"Memang HMI ketika itu menjadi satu rancangan yang dinantikan peminat hiburan. Lagipun ketika itu saluran TV tidak banyak begitu juga artis. Jadi kemunculan mereka memang sentiasa dinanti-nantikan," kata Helan yang bertindak sebagai penulis skrip, pengarah dan penerbit HMI berkenaan.

Menyingkap penglibatan awalnya di RTM, Helan memulakan kerjayanya sebagai juruhebah radio pada awal 1970an.

Selain itu beliau juga mengendalikan program era pop yeh yeh seperti Gelanggang, Irama Rancak, Muzik Muda Mudi dan Temasya Muda Mudi.

Selain tugas rutinnya, Helan juga ditugaskan membaca berita, penyampai rancangan dan berlakon drama.

Bakat dan kebolehannya dalam bidang penerbitan membuatkan beliau berpeluang mengikuti pelbagai kursus penyiaran antaranya kursus penerbitan TV di BBC, London, kursus penyiaran di Amerika Syarikat, kursus penyiar kanan di Kanada.

Selepas bersara kerana minatnya yang begitu mendalam dalam bidang penyiaran, Helan dilantik menjadi jururunding kepada syarikat penerbitan Jutaria Sdn. Bhd., pada tahun 1999 yang menerbitkan rancangan-rancangan animasi seperti Sang Wira, Badang, Rimba dan Jurnal Perubatan.

Selepas empat tahun bersama Jutaria, Helan bekerja dengan Konsortium Telemal Sdn. Bhd., yang dianggotai oleh lapan buah syarikat penerbitan dengan mengeluarkan 300 jam program TV setahun sehingga 2007.