Tuesday, August 11, 2009

Bijak sembunyi cinta

Bijak sembunyi cinta


SAAT-SAAT manis buat Norman dan Shireen.


DUA tahun lamanya mereka menganyam buih-buih cinta secara diam-diam, akhirnya, 7 Ogos lalu menjadi detik paling manis buat dua insan ini apabila disatukan dengan ikatan pernikahan.

Berlangsung di Masjib Saidina Omar al-Khattab, Bukit Damansara, Kuala Lumpur, tiada perkataan yang mampu diluahkan mengenai betapa gembiranya wajah mereka selepas sah bergelar suami isteri.

Dan, semestinya pernikahan tersebut menjadi satu detik yang dinanti-nantikan oleh semua pihak terutama ahli keluarga si jejaka berusia 37 tahun itu.

Masakan tidak, tatkala adik beradiknya yang lain sudah merasai alam perkahwinan, dia sebelum ini dilihat lebih selesa mendiamkan diri daripada berbicara tentang kehidupan berumah tangga.

Begitulah empunya diri bernama Norman Abdul Halim yang baru sahaja bergelar suami kepada Ketua Pegawai Eksekutif KRU International, Dr. Shireen Mardziah Hashim, 44.

Status Shireen selaku janda dan jarak usia antaranya dan Norman berbeza tujuh tahun bukanlah penghalang untuk mereka saling cinta mencintai serta mendirikan rumah tangga.

Semuanya itu diketepikan Norman yang juga Ketua Pegawai Eksekutif KRU Berhad kerana kasihnya terhadap wanita yang menjadi tonggak di salah satu cabang usaha perniagaannya.

Sudah tentu, paling gembira dengan pernikahan tersebut adalah Yusry dan Edry kerana abang sulungnya itu akhirnya menemui wanita sebagai peneman serta suri hidupnya.

Tampak bergaya mengenakan baju Melayu berwarna putih, Norman yang ditemui sejurus selepas selesai majlis pernikahan tidak henti memanjatkan kesyukuran ke hadrat Ilahi kerana apa yang dirancang sebelum ini berjalan dengan lancar.

Dinikahkan sendiri oleh bapa pengantin perempuan, Datuk Mohamed Hashim di hadapan Ketua Imam Masjid Saidina Omar al-Khattab, Mohamed Shukeri Yaaccob, dengan sekali lafaz, gelaran bujang yang sekian lama dipegangnya kini sudah mampu dilucutkan.

Berwajah tenang tatkala mengucapkan lafaz nikah, Norman mengakui, dia memilih Shireen atas dasar kematangan yang dimiliki oleh wanita berkenaan.

"Dia juga memahami kerjaya saya. Kematangan Shireen membuatkan saya berasa tenang bersamanya.

"Selama 11 tahun kami berkenalan ketika Shireen dibawa masuk ke dalam KRU, dia amat mengenali diri saya dan menerima saya seadanya.

"Bertahun lalu saya memang sudah buat keputusan untuk mengahwini wanita yang bukan kalangan insan hiburan. Atas pengalaman lalu, memang sukar kalau kita berkahwin sesama artis,'' katanya ketika ditemui sejurus selepas selesai majlis akad nikah.

Ujar Norman, sepanjang 11 tahun perkenalan, dan mula serius bercinta selama dua tahun, pelbagai ujian tidak putus mendatang tetapi dia dan Shireen mampu hadapi segalanya dengan baik.

"Dalam syarikat, saya memang seorang yang tegas tetapi Shireen mampu bertahan dengan cara kerja saya.

"Ketika itu juga keserasian antara kami teruji. Dengan segala kematangan yang Shireen tunjukkan ketika itu, saya mula memikirkan bahawa dialah calon isteri yang saya cari-cari selama ini.'' jelasnya sambil menambah yang dia dan Shireen pernah merancang untuk melangsungkan pernikahan di Australia bagi menutup sebarang fitnah cinta atau spekulasi-spekulasi orang ramai berhubung kisah cintanya sebelum ini.

Ketika ditanya mengenai soal wang hantaran dan majlis resepsi, Norman menjelaskan, dia dan isteri memilih untuk tidak menggembar-gemburkan kedua-dua perkara itu.

"Cukuplah sekadar yang wajib sahaja. Mengenai wang hantaran pula, memang tidak ada. Hanya bersandarkan sekeping hati yang ikhlas,'' kata Norman.

Pada majlis pernikahan yang dihadiri lebih 100 ahli keluarga terdekat tersebut, Shireen menerima lima dulang hantaran dan membalas tujuh dulang termasuk kain songket, jam tangan, baju Melayu, kemeja dan set wangian.

Selain ahli keluarga, majlis diserikan dengan keberangkatan Tengku Muda Pahang, Tengku Abdul Rahman Sultan Ahmad Shah dan isteri, Cik Puan Muda Pahang, Cik Puan Julita Aishah.

Tetamu lain antaranya Menteri Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan, Datuk Ismail Sabri Yaakob; Ketua Pegawai Operasi Media Prima Berhad, Datuk Amrin Awaluddin dan barisan artis seperti Maya Karin, pasangan Mawi serta Ekin.

New Zealand lokasi bulan madu

Sementara itu, sehari selepas majlis akad nikah, Norman dan Shireen berlepas ke New Zealand untuk berbulan madu sehingga 15 Ogos ini.

Lumrah bagi pasangan yang baru bernikah, pastinya mereka tidak terlepas daripada ditanya mengenai cahaya mata.

Dan bagi Norman, jika diberikan rezeki, mereka suami isteri mahu segera memperoleh anak sebagai penyeri kehidupan berumah tangga.

"Jika dapat anak nanti, saya lebih suka Shireen duduk di rumah sahaja. Biarlah saya seorang yang keluar mencari rezeki,'' jelasnya.

Kepada persoalan tentang proses percintaan yang terjalin antara mereka berdua, Norman memberitahu, Shireen merupakan seorang wanita yang bijak menyimpan rahsia cinta.

"Dia bukannya suka bercerita dengan sesiapa tentang hubungan ini. Kalau hendak berjumpa pun, kami akan ke tempat-tempat yang tidak popular dan mengelak daripada tempat-tempat ramai orang,'' ujar Norman sambil ketawa besar.

Projek masa depan KRU

Dalam pada itu, Norman sempat menyambung perbualan mengenai karya berbentuk epik berbahasa Inggeris sepenuhnya iaitu The Chronicle Of Merong Mahawangsa terbitan KRU Studios.

Kata Norman, untuk filem itu, KRU Studios telah menandatangani satu perjanjian bersama Universal Pictures bagi membolehkan filem berkenaan dipasarkan ke luar negara.

"Pihak Universal akan datang menonton filem itu nanti dan jika mereka berpuas hati, ia akan dibawa untuk tayangan luar.

''Insya-Allah, The Chronicle Of Merong Mahawangsa akan mula ditayangkan tahun depan.

"Proses pengambaran juga sedang giat dijalankan,'' tambahnya.

No comments: