Tuesday, August 11, 2009

Nama Reo hadir dalam mimpi

Nama Reo hadir dalam mimpi


KASIH BAPA... Rusdi Ramli memangku Reo Ridza sambil diperhatikan Sharon Paul.


RONA bahagia dan gembira terpancar pada wajah manis Rusdi Ramli saat bertemu dengannya di rumah ibu mertuanya yang terletak di Taman Melawati, Ulu Kelang, Selangor minggu lalu.

Kedatangan kami juga disambut mesra oleh Rusdi bersama isterinya, Sharon Paul yang ketika itu baru selesai menjalani sesi mengurut.

Kali ini, bukan kisah karier mereka yang ingin dicoretkan tetapi berita gembira yang melengkapkan hidup pasangan merpati dua sejoli ini.

Kelahiran Reo Ridza pada 4 Ogos lalu membawa sinar kebahagiaan yang tidak mampu diungkap menerusi kata-kata kepada pasangan ini.

Reo Ridza yang seberat tiga kilogram itu dilahirkan secara normal tepat pukul 5.05 pagi di Hospital Assunta, Petaling Jaya, Selangor.

Ketika ralit berbual, sesekali Rusdi memandang Reo yang sedang nyenyak tidurnya dengan penuh kasih.

"Saya sendiri macam tidak percaya menjadi bapa sekali lagi. Sudah pasti saya gembira dengan kelahiran Reo.

"Saya hanya mampu bersyukur apabila Reo dilahirkan sempurna dan cukup sifatnya selain daripada Sharon yang selamat melahirkan Reo dengan normal," kata Rusdi yang kebetulan bercuti daripada menjalani penggambaran pada hari tersebut.

Reo Ridza merupakan cahaya mata pertama buat Rusdi dan Sharon selepas mendirikan rumah tangga pada 16 November tahun lalu.

Sebelum ini, Rusdi memiliki seorang cahaya mata, Efiezal Ridza menerusi perkahwinan pertamanya yang kini sudah pun berusia 19 tahun.

Dan bagaimana pula penerimaan Efiezal atau Efie selepas sekian lama menyimpan hasrat untuk memiliki seorang adik?

"Dia memang gembira dan pada hari kelahiran adiknya, dia sudah melawat kami. Dia pun macam tak percaya yang dia sudah mendapat seorang adik," kata aktor berusia 38 tahun ini ringkas.

Ditanya mengenai ilham dan maksud di sebalik nama anaknya itu, aktor berusia 38 tahun ini menjelaskan, nama Reo itu hadir dalam mimpi Sharon sebelum mereka mendirikan rumah tangga lagi.

Jelasnya, setelah diteliti Reo membawa maksud sungai dan Rusdi bersetuju untuk menggunakan nama itu selepas memikirkan sungai juga merupakan antara ciptaan Allah yang sudah disediakan di syurga.

"Nama Ridza itu pula saya mahu kekalkan memandangkan abangnya juga memiliki nama itu," ujar Rusdi yang mahu Reo memanggilnya dengan panggilan ayah manakala Sharon pula mummy.

Bercerita detik-detik sebelum kelahiran Reo, sambil ketawa Pelakon Lelaki Terbaik Festival Filem Malaysia Ke-20 ini memberitahu, dia cukup kagum dengan ketabahan Sharon yang tenang berdepan dengan saat-saat genting itu.

Jelasnya, Sharon mengalami pendarahan dan kontraksi pada ketika dia sedang sibuk menyiapkan kerja-kerja muziknya di studio milik mereka, Filmwerks Sdn. Bhd. yang terletak di Taman Tun Dr. Ismail, Kuala Lumpur.

"Bayangkan, dia masih lagi boleh pulang ke rumah kami di Bangsar, membersihkan diri dan kemudiannya memandu ke hospital. Kemudian, baru dia menghubungi saya.

"Apa lagi, saya pun bergegas ke hospital selepas meminta pelepasan daripada krew produksi," cerita Rusdi sambil memandang Sharon di sebelahnya.

Kata Rusdi, isterinya itu memang seorang yang kuat bekerja sehinggakan waktu di tempat pembaringan menanti saat untuk melahirkan Reo, Sharon sempat lagi menghantar SMS kepada rakannya.

Selepas hampir 20 tahun tidak menjalani rutin menjaga seorang bayi, Rusdi mengakui, dia agak kekok untuk memulakan semula amalan penjagaan bayi.

Bagi Sharon yang akan menjalani pantang selama 44 hari pula, dia teruja untuk meniti kehidupan sebagai seorang ibu dan menantikan momen manis untuk melihat Reo membesar.

Malah, dia tidak sabar untuk menantikan detik Reo mengucapkan perkataan pertamanya.

Di sebalik itu, Sharon yang berdarah kacukan India dan Cina itu mengakui dia agak gusar seandainya perkara yang tidak enak berlaku sebelum dan selepas melahirkan bayi.

Bukan itu sahaja, pada hari pertama melahirkan Reo, Sharon sedikit tertekan apabila memikirkan perkara-perkara yang mampu memberi kesan kepada bayinya itu.

"Sebelum ini saya pernah mendengar kisah-kisah negatif yang berlaku dan saya bimbang ia berlaku pada saya. Namun, saya berfikiran positif dan optimis dan Alhamdulillah, semuanya dalam keadaan sempurna," jelas pemilik nama penuh Sharon Anne Paul Abdullah ini.

Apa yang pasti, tempoh berpantang bagi komposer popular ini diibaratkan sebagai tempoh percutian.

Mana tidaknya, sepanjang sembilan bulan mengandung hampir setiap hari dia berada di studio menyiapkan kerja-kerjanya.

Mendengar jawapan itu, Sharon diusik. Kalau sudah setiap hari di studio sepanjang mengandungkan Reo, peluang untuk Reo libatkan diri dalam dunia seni amat cerah. Apatah lagi, bapanya juga seorang aktor handalan.

"Kalau boleh, saya enggan dia menjadi seorang artis, tetapi saya tidak kisah kalau dia mahu melibatkan diri dengan kerja-kerja di belakang tabir," ujarnya.

Sudah pasti, Reo akan membesar menjadi seorang jejaka yang kacak memandangkan darah Melayu, Cina dan India yang mengalir dalam dirinya itu.

Bukan itu saja, bahkan Reo barangkali boleh disifatkan sebagai anak kecil yang mewakili semua kaum di Malaysia.

Lebih tepat lagi, Reo merupakan bayi 1Malaysia kerana darah Melayu, Cina dan India mengalir dalam tubuhnya hasil perkahwinan campur ibu dan ayahnya.

Dan bagi Sharon pula, apakah kelahiran Reo akan mendorong dia dan Rusdi untuk menimang cahaya mata kedua?

Sambil memandang Rusdi, seraya mereka berkata: "Sudah pasti kami mahukan anak lagi selepas ini. Kalau diizinkan Allah, kami mahu anak perempuan pula."

No comments: